Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Mantai Perdana disambut meriah
- Ibu enam anak bersyukur terima bantuan
- Utamakan keselamatan jalan raya
Mantai Perdana disambut meriah Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Oleh NAZARUDIN SHAHARI MOHAMAD Hasan (kanan) sempat beramah mesra dengan orang ramai ketika meninjau Program Mantai Perdana di tapak lama Kem Paroi, Seremban, Negeri Sembilan, malam semalam. SEREMBAN 7 Ogos - Daging daripada 200 ekor lembu yang disembelih habis dijual dalam tempoh 12 jam pada program Mantai Perdana yang diadakan di tapak lama Kem Paroi dekat sini malam tadi. Mantai adalah acara tradisi masyarakat negeri ini bagi menyambut kedatangan Ramadan dan Syawal. Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, program selama dua hari mulai semalam bertujuan meringankan beban rakyat mendapatkan bekalan daging dan ayam bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri. Beliau berkata, sambutan yang diterima amat memberangsangkan dengan para pelanggan bukan sahaja datang dari negeri ini malah dari negeri jiran. "Harga daging yang ditawarkan di sini adalah RM20 sekilogram berbanding RM26 di pasaran biasa. "Kita berjaya mengumpulkan kira-kira 20 penternak dari seluruh negeri ini untuk menjual daging pada harga tersebut," katanya kepada para pemberita selepas melawat tapak program berkenaan malam tadi. Selain daging lembu, turut dijual ialah ayam, kerbau, kambing, puyuh, itik dan rusa. Mohamad menarik perhatian, program itu telah memasuki tahun keenam dianjurkan oleh Jabatan Veterinar negeri dan ia semakin mendapat sambutan saban tahun. "Ia dibuat semata-mata untuk memberi keselesaan kepada orang ramai dan kita buat sebaik yang mungkin dengan dipantau oleh Jabatan Veterinar," ujarnya. Beliau menjelaskan, jualan daging itu dibuat berdasarkan stok tersedia yang dimiliki oleh para penternak dan ia tidak akan ditambah sekiranya semua daging tersebut habis dijual. |
Ibu enam anak bersyukur terima bantuan Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT NOOR Salawati Mohd. Sekak (tengah) gembira setelah menerima sumbangan Aidilfitri di Taman Seri Serting, Jempol, Negeri Sembilan, kelmarin. JEMPOL 7 Ogos - Sebuah keluarga dekat Taman Seri Serting di sini mampu tersenyum apabila kesempitan hidup mereka mendapat perhatian sebuah persatuan kebajikan di Bahau. Menurut Noor Salawati Mohd. Sekak, 36, beliau bersyukur kerana menerima berita gembira itu menjelang hari lebaran. "Saya membesarkan enam anak dengan pendapatan yang kecil tanpa suami. "Kesemua anak saya masih bersekolah dengan yang sulung berusia 15 tahun dan bongsu berusia tujuh tahun. Dengan bekerja sebagai pembantu kedai, saya cuma mendapat sekitar RM25 ke RM30 sehari," kata ibu tunggal itu. Katanya, beliau amat terharu dengan bantuan wang tunai yang diterima daripada persatuan kebajikan Cina tersebut iaitu sebanyak RM1,000. "Saya dimaklumkan pengerusinya ialah calon Barisan Nasional (BN) mewakili parti MCA di Bahau pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu. Saya berterima kasih di atas bantuan itu," ujarnya. Tambah Noor Salawati, beliau akan menggunakan bantuan itu untuk membiayai persekolahan anaknya yang dianggarkan RM700 dan bakinya akan digunakan untuk Aidilfitri. "Pendidikan anak lebih utama dan saya bimbang, jika tiba masa untuk membayar yuran peperiksaan sumber kewangan menjadi susut. Cukuplah apa yang ada untuk menyambut lebaran," jelasnya. Katanya, beliau perlu membayar sewa rumah sebanyak RM250 setiap bulan dan memang menyedihkan apabila anak bertanya tentang baju baharu, persiapan Aidilfitri dan sebagainya. "Kadang kala memang sedih, tetapi anak-anak saya faham," ujarnya sambil memberitahu pada tahun ini dua anaknya akan menduduki peperiksaan iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah dan Penilaian Menengah Rendah. |
Utamakan keselamatan jalan raya Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT MELAKA 7 Ogos - Pengguna jalan raya diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan dan mengutamakan keselamatan jalan raya bagi mengelak berlakunya kemalangan sepanjang musim perayaan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemudahan Awam, Pengangkutan Awam dan Pemulihan Projek negeri, Datuk Abdul Ghafaar Atan berkata, sikap peka dan prihatin terhadap keselamatan adalah penting dan perlu dipertingkatkan dalam diri pengguna supaya memandu kenderaan dengan berhemah. Menurutnya, lebih 100 kemalangan jalan raya membabitkan lima kematian direkodkan berlaku di negeri ini sejak pelancaran Kempen Ops Selamat sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri pada 1 Ogos lalu. "Kes yang berlaku melibatkan kawasan hitam yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan dan setakat hari ini kebanyakannya melibatkan penunggang motosikal yang dilihat mudah terdedah dengan bahaya jika tidak berhati-hati. "Kerajaan telah mengambil langkah terbaik bagi cegah kemalangan di kawasan hitam itu dengan kemudahan seperti letak papan tanda, turap jalan namun masalah itu juga datang dari pengguna jalan raya itu sendiri yang perlu peka dan berhati-hati di jalan raya selain utamakan aspek keselamatan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Kempen Anti Kemalangan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat negeri Melaka anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Melaka di Tol Ayer Keroh, semalam. Yang turut hadir Timbalannya, Zaidi Atan dan Ketua Polis Melaka, Datuk Chuah Ghee Lye. Abdul Ghafaar berkata, kempen tersebut merupakan penambahan kepada kempen keselamatan jalan raya yang dianjurkan oleh pelbagai agensi kerajaan dan organisasi sempena Aidilfitri bagi mengingatkan para pengguna secara berterusan supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu. "Kempen ini merupakan satu kaedah strategi komunikasi untuk menimbulkan rasa 'benci' atau tidak suka terhadap berlakunya sebarang kejadian kemalangan dengan mengusahakan corak inovatif dan kreatif serta ringkas untuk menyampaikan mesej kepada pengguna jalan raya," katanya, Pada kempen itu, lebih 200 risalah pesanan keselamatan jalan raya, pelekat kereta dan motor anti kemalangan, baju dan 'sticker' pantulan diedarkan kepada pengguna jalan raya selain khidmat nasihat pemanduan berhemah oleh MKJR dan Gabungan Rakan Ahli Anti Kemalangan (GRAK). |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |