Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Bekas orang kuat Liverpool berminat Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN ALEX Miller (kanan) ketika menjadi pembantu kepada pengurus pasukan Liverpool ketika itu, Rafael Benitez. - Agensi KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini beberapa nama seperti Robert Alberts, Radojko Avramovic dan Ong Kim Swee dikhabarkan antara calon terbaik memikul tugasan mengendalikan Harimau Malaya. Kini timbul nama jurulatih asing terbaharu yang dilaporkan turut berminat menawarkan diri mengisi kerusi panas selaku jurulatih skuad kebangsaan sebaik sahaja kontrak Datuk K. Rajagobal tamat pada 31 Disember ini. Individu yang dimaksudkan adalah bekas jurulatih pasukan utama Liverpool, Alex Miller, yang berusia 64 tahun dan pernah bekerjasama selama sembilan tahun bersama dua pengurus terkemuka The Reds, Gerard Houllier dan Rafael Benitez. Menurut sumber yang boleh dipercayai Utusan Malaysia, Miller antara beberapa jurulatih asing yang telah menghantar permohonan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain bekas jurulatih Singapura, Radojko atau lebih dikenali Raddy. "Miller ada memberitahu hasratnya untuk mencuba nasib menjadi jurulatih Malaysia kerana mahu mendapatkan cabaran baru dan menikmati suasana bola sepak Asia. "Dia telah menghantar segala maklumat mengenai dirinya kepada Datuk Azzudin Ahmad (Setiausaha Agung FAM yang lama) sebelum ini dan masih menunggu jawapan FAM," kata sumber berkenaan. Berasal dari Glasgow, Scotland, Miller bertindak selaku Ketua Pengarah Pencarian Pemain selepas mula berkhidmat dengan The Reds pada tahun 1999 di bawah bimbingan Houllier sebelum kehadiran Benitez pada tahun 2004, dia dilantik sebagai sebagai jurulatih utama pasukan itu sehingga tahun 2008 yang turut menyaksikan The Reds memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara pada tahun 2005. Selain itu, Miller berpengalaman luas sebagai penolong pengurus pasukan kebangsaan Scotland (1993-1999) serta pengurus bersama tiga kelab Scotland, Hibernian (1986-1996), Aberdeen (1997-1998) dan St. Mirren (1983-1986). Selain itu, dia pernah bertindak sebagai pengurus kelab England, Coventry City yang beraksi dalam saingan Liga Perdana pada musim 1996/97 dan turut mempunyai pengalaman di Asia bersama kelab Jepun, Jef United Ichibara yang beraksi dalam J League 1 semasa kedatangannya pada 2008/09. Dua kelab terakhir yang dikendalikannya adalah kelab Sweden, AIK Stockholm (2010) dan kelab Rusia, FC Sibir Novosibirsk (2012) manakala karier sebagai pemain, dia pernah beraksi bersama kelab Scotland, Glasgow Rangers dari tahun 1967 hingga 1982. Walaupun namanya mungkin kurang dikenali, Miller mempunyai pengalaman bekerja di peringkat tertinggi bersama Liverpool serta antara individu bertanggungjawab menaikkan Scotland layak ke pusingan akhir Piala Dunia 1998 dan Euro 1996 yang memungkinkan dia dilihat sebagai calon berprofil tinggi membimbing Harimau Malaya. Cuma, sedikit persoalannya adakah dia bersedia untuk memahami budaya dan corak bola sepak Asia kerana pengalamannya di sini hanyalah sekitar selama satu musim ketika di Jepun dan itu mungkin menyukarkan peluangnya berbanding Raddy atau Alberts yang telah lama berada di rantau Asia Tenggara. Pada masa sama, terdapat beberapa sumber menjelaskan bekas pengurus dan legenda bola sepak Jerman, Rudi Voller turut mengintai menjadi jurulatih Harimau Malaya, namun Utusan gagal mendapatkan kesahihan mengenai perkara tersebut. Voller adalah satu-satunya nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi di pentas bola sepak antarabangsa kerana pernah bermain dengan beberapa kelab terkemuka dunia seperti Bayer Leverkusen, AS Roma dan Marseille serta mengendalikan Jerman dari tahun 2000 hingga 2004. |
Penyertaan pasukan Kuala Lumpur berdepan penggantungan? Posted: 04 Aug 2013 11:32 AM PDT Ahmad Fuad Daud KUALA LUMPUR - Selepas bernasib baik terlepas pada musim lalu, adakah penyertaan pasukan bola sepak Kuala Lumpur pada musim depan di Liga FAM akan digantung dan nama skuad warga kota bakal menjadi satu sejarah pada masa akan datang? Kegagalan pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) melunaskan gaji pemain selama empat bulan bakal menyaksikan mereka boleh dikenakan hukuman penggantungan daripada beraksi saingan Liga Malaysia musim depan, demikian kata, Penolong Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ahmad Fuad Daud. Jelasnya, FAM telah memberi tempoh akhir sehingga hujung bulan ini yang jatuh pada Hari Kemerdekaan 31 Ogos buat KLFA melangsaikan segala tunggakan gaji pemain jika masih berkeinginan beraksi di Liga Malaysia. "Sebenarnya pihak KLFA ada memaklumkan kepada FAM yang mereka hanya boleh membayar gaji pemain selama sebulan dahulu daripada tunggakan empat bulan kerana mereka sedang menghadapi masalah kewangan. "Apa yang menjadi masalahnya, jika mengikut peraturan, mana-mana pasukan yang gagal melunaskan tunggakan gaji sekurang-kurangnya sebulan sekali pun, mereka boleh dikenakan tindakan penggantungan, mujurlah mereka tidak beraksi di Piala Malaysia musim ini, jika tidak mereka mungkin tidak boleh bermain. "Jadi, kami telah berikan tempoh hingga 31 Ogos ini kepada KLFA menjelaskan semua hutang tertunggak dan sekiranya masih gagal selepas melepasi tarikh itu, Sekretariat dan Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM akan bersidang bagi menentukan nasib KLFA sama ada akan digantung atau tidak bagi musim depan," katanya ketika dihubungi, semalam. Sabtu lalu, pemain Kuala Lumpur mendedahkan yang gaji mereka semenjak April lalu tidak pernah dibayar sehingga menyebabkan ada segelintir pemain ada beralaskan roti dan mee segera sebelum perlawanan Liga Perdana bermula selain menyukarkan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Berita yang disiarkan oleh Utusan Malaysia itu mendapat maklum balas segera oleh KLFA melalui Setiausahanya, Nokman Mustaffa yang berjanji akan membayar gaji selama sebulan sebelum Hari Raya, 8 Ogos ini. Isu tunggakan gaji bukan satu perkara yang baru dalam dunia bola sepak negara sehingga menyebabkan JKPT FAM tahun lalu bertindak mewujudkan satu badan bebas memantau transaksi pembayaran gaji pemain di dalam setiap pasukan bertanding serta mendapatkan kerjasama daripada pihak polis serta SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia). Jika gagal melunaskan tunggakan selepas dua kali surat amaran dikeluarkan, FAM mempunyai kuasa untuk menggantung pasukan berkenaan jika surat itu tidak diendahkan. Fuad juga mengingatkan para pemain yang berdepan masalah sebegini agar berani tampil ke depan membuat aduan supaya FAM dapat mengetahui masalah sebenar mereka. "Saya harap selepas ini, selain daripada mereka menceritakan masalah mereka di dada akhbar, datanglah buat aduan kepada FAM, jangan takut kerana kami akan cuba bantu untuk selesaikan masalah ini. "Jika FAM tidak tahu, sampai bila masalah ini boleh diselesaikan, jadi saya harap mereka tidak takut untuk tampil ke depan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |