Utusan Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Sukan |
Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN Mohd. Aidil Zafuan KUALA LUMPUR - Pemain bola sepak mana tidak gerun jika bertemu kelab terbaik dunia, Barcelona dan itu perasaan yang dikongsi oleh pertahanan negara, Mohd. Aidil Zafuan Abdul Razak yang menganggap pertembungan dengan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini, pasti akan menjadi antara perlawanan yang sukar sepanjang kariernya. Bukan sekadar pemain terbaik dunia, Lionel Messi, yang perlu dihadapi sebaliknya bintang baharu dari Brazil, Neymar, perancang kelas dunia, Xavi dan Andres Iniesta bakal menjanjikan satu dimensi baru buat Aidil yang menganggap perlawanan ini pasti akan menjadi pengalaman paling berharga dalam hidupnya. Sedar akan hakikat 'ukur baju di badan sendiri', Aidil mengakui kemenangan besar 8-0 Barcelona ke atas kelab Brazil, Santos pada 2 Ogos lalu tidak dinafikan memberikan sedikit kegerunan kepada psikologi pemain Harimau Malaya, namun dia sama sekali tidak mahu berasa rendah diri sebaik sahaja berada di atas padang nanti. "Sebut sahaja Barcelona, bukan saja mana-mana pemain, namun saya sendiri terasa kerdil untuk berdepan dengan bintang-bintang mereka kerana kita tahu kualiti yang mereka ada dan kita masih jauh hendak dibandingkan dengan mereka. "Memang tiada siapa akan meletakkan sebarang harapan untuk kita menang cuma sekurang-kurangnya kami boleh beri tentangan kepada mereka dan meraih seberapa banyak pengalaman berharga," katanya ketika dihubungi, semalam. Ditambah pula terpaksa pulang pada Hari Raya pertama menjalani latihan di Wisma FAM, dia menganggap itu sebagai asam garam kepadanya sebagai pemain bola sepak profesional, malahan terpaksa berjaga-jaga dari segi pemakanan supaya kecergasannya tidak terjejas ketika diturunkan menentang Barcelona. "Sebenarnya ini adalah perkara biasa buat saya dan ada kalanya saya tidak berkesempatan pulang untuk berhari raya kerana sibuk dengan tugasan selaku pemain bola sepak profesional. "Cabarannya masa Hari Raya pertama nanti saya kena pastikan kena jaga pemakanan dan elakkan mengambil yang terlalu berlemak supaya dapat memastikan kecergasan tidak terjejas ketika tiba hari perlawanan sebenar, namun inilah pengorbanan yang terpaksa dilakukan oleh kami semua pada hari raya ini demi bola sepak negara," katanya. Barisan pertahanan negara berdepan krisis apabila dua lagi tonggak, Azizi Matt Rose dan Amiridzwan Taj Tajudin terpaksa diketepikan ekoran kecederaan dengan pilihan yang tinggal selain Aidil adalah Mohd. Fadhli Mohd. Shas serta pertahanan bidan terjun, Junior Eldstal. Sementara itu, Fadhli Shas, Hari Raya ini akan disambut dengan sederhana kerana fokusnya hanya memikirkan pertemuan dengan Barcelona sahaja dan mahu memberikan yang terbaik pada perlawanan itu nanti. "Saya tidak boleh terlalu beria-ia menyambut Hari Raya seperti orang lain, pemakanan kena pantang di samping rehat pun kena secukupnya kerana perlawanan tinggal tiga hari sahaja lagi. "Tidak sabar rasanya untuk berdepan dengan pemain-pemain hebat seperti Neymar atau Messi, dua pemain terbaik di dunia buat masa sekarang, rasa macam mimpi pun ada tetapi saya akan beri yang terdaya untuk mengawal pergerakan mereka," katanya. |
Posted: 07 Aug 2013 10:26 AM PDT Park Joo-bong (kanan) memberi amaran kepada Kien Keat (tengah) dan Boon Heong agar tidak berasa terlalu selesa apabila lawan mereka menarik diri, sedangkan kedua-duanya belum teruji sepenuhnya pada Kejohanan Dunia pada kali ini. GUANGZHOU - Koo Kien Keat-Tan Boon Heong mungkin menganggap mereka bertuah bertuah sebab mereka tidak perlu mengeluarkan peluh untuk melangkah ke pusingan ketiga Kejohanan Dunia yang sedang berlangsung di sini. Ini semua memihak kepada mereka selepas menerima bye di pusingan pertama, manakala lawan di pusingan kedua pula menarik diri. Namun, bekas pakar beregu Korea Selatan, Park Joo-bong menegaskan, melihat kepada senario pada Kejohanan Dunia kali ini, keadaan tersebut sebenarnya boleh mengundang bahaya kepada beregu No. 2 dunia itu. Katanya, hampir semua pemain utama yang menerima bye agak bergelut apabila turun ke gelanggang buat kali pertama seperti pasangan No. 1 dunia, Xu Chen-Ma Jin, Qiu Zihan-Bao Yixin dan Muhammad Rijal-Debby Susanto (beregu campuran). Xu Chen-Ma Jin hampir dikejutkan pasangan Denmark, Mads Pieler Kolding-Kamilla Rytter Juhl apabila tewas di set pertama, sebelum menang 18-21 21-17, 21-13. Qiu Zhihan-Bao Yixin dikejutkan rakan senegara, Tao Jiaming-Tang Jinhua 16-21, 19-21, manakala Rijal-Debby bergelut untuk mengetepikan Hirokatsu Hashimoto-Miyuki Maeda dari Jepun 10-21, 21-17, 21-11. "Hampir semua pemain bergelut dalam perlawanan pertama mereka di sini, jadi sesiapa yang telah turun beraksi terlebih dulu memegang kelebihan ke atas lawan mereka yang tidak pernah bermain. "Kien Keat-Boon Heong bukan saja tidak bermain dalam dua perlawanan, malah tiga kerana menerima bye di pusingan pertama dan mendapatkan kemenangan percuma di pusingan kedua, jadi saya rasa situasi ini lebih kepada berbahaya daripada membawa tuah," kata bekas juara Olimpik itu. Joo-bong yang pernah menjadi ketua jurulatih Malaysia turut menambah, Kien Keat-Boon Heong perlu segera menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang esok atau bakal berdepan bahaya. Naib juara dunia 2010 dijadual menentang pasangan Hong Kong, Lee Chun Hei-Ng Ka Long pada pusingan kedua hari ini. - UTUSAN |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Sukan Tempatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |