Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Hotel TH Terengganu jadi tarikan Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI Hotel TH Terengganu memberi kemudahan kepada jemaah haji berkumpul setiap kali tiba musim haji di Kuala Terengganu. KUALA TERENGGANU 13 Ogos - Selepas Tabung Haji Hotel & Convention Centre (Hotel TH) Alor Setar, Kedah dibuka, TH melebarkan sayapnya dengan pembinaan Hotel TH Terengganu tiga tahun lalu dan mula beroperasi awal bulan lalu. Terletak cuma kira-kira satu kilometer dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) dan bertentangan dengan Kompleks Sukan negeri, kedudukan hotel bertaraf tiga bintang itu ternyata cukup strategik. Reka bentuk kontemporarinya dalam adunan bercirikan Islam, sudah cukup untuk menarik perhatian mereka yang dalam perjalanan dan kewujudannya menjadi salah satu aset bagi negeri dalam kegiatan ibadah dan juga pelancongan. Hotel TH berada dalam Kompleks TH yang keseluruhannya dianggarkan menelan kos RM70 juta, turut direka khas bagi kegunaan pada musim haji dengan mempunyai dewan ketibaan khas untuk jemaah, tempat mendaftar dan imigresen, tempat pemeriksaan bagasi serta dewan berlepas. Kewujudannya yang tersergam di atas tanah seluas 3.2 hektar itu dapat memberi kemudahan kepada jemaah berkumpul setiap kali tiba musim haji khususnya dan memberi pilihan penyediaan hotel berkonsepkan pematuhan syariah kepada umat Islam amnya. Beberapa tahun dahulu jemaah haji dari seluruh Pantai Timur terpaksa bersesak-sesak di lapangan terbang bagi menyelesaikan pelbagai urusan termasuk kesihatan dan keselamatan, dengan persekitaran lapangan terbang sesak dipenuhi ahli keluarga para jemaah. Namun, bermula tahun ini, jemaah haji tidak lagi perlu menghadapi situasi begitu apabila Hotel TH Terengganu turut menyediakan sebuah dewan konvensyen yang mampu memuatkan seramai 3,000 orang pada satu-satu masa. Dewan konvensyen yang dikatakan antara yang terbesar di Pantai Timur itu boleh menampung pengendalian urusan himpunan, seminar dan majlis meraikan perkahwinan dalam suasana yang selesa. Bagi jemaah dan ahli keluarga yang datang dari luar negeri ini, mereka tidak perlu bimbang tentang penginapan memandangkan Hotel TH Terengganu menyediakan ruang penginapan yang selesa dengan harga berpatutan terutamanya kepada pencarum TH. Menurut Pengurus Besarnya, Malizan Zakaria, hotel itu menawarkan 182 bilik dan ketika ini ia hanya beroperasi sehingga tingkat dua yang menempatkan bilik jenis superior dan deluxe manakala tingkat empat sehingga enam dijangka dibuka selewat-lewatnya September ini. Katanya, bahagian berkenaan akan menempatkan bilik jenis famili, eksekutif suite, apartmen suite, residential suite serta presidential suite yang menawarkan ruangan yang lebih eksklusif dengan menempatkan lounge eksklusif. "Selain itu, kami juga menyediakan bilik yang disesuaikan untuk golongan kurang upaya dengan dilengkapi kemudahan seperti posisi perabot yang rendah dan mudah dicapai serta saiz pintu masuk dan pintu bilik air yang lebih besar," katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini. Beliau memberitahu, kebanyakan bilik menyediakan katil yang direka khas iaitu jenis pull out extra bed yang setiap bilik boleh memuatkan tetamu sehingga empat orang. Selain itu, hotel itu turut menawarkan kemudahan pertama seumpamanya di negeri ini seperti kolam renang bagi wanita yang tertutup selain bilik mandi dan tandas diasingkan. Turut disediakan bersebelahan kolam mandi wanita sebuah ruangan rehat golongan tersebut yang membolehkan mereka mengadakan pelbagai aktiviti tanpa perlu bimbang aurat dilihat bukan mahram. Selain itu, kolam renang untuk kanak-kanak turut direka dengan pelbagai keseronokan apabila dibina seolah-olah seperti berada di taman tema mini serta kolam renang terbuka yang luas. Bagi mereka yang ingin mengadakan aktiviti, mesyuarat mahupun bersantai, Hotel TH turut menyediakan ruang yang selesa di Menanti Lounge dan empat bilik persidangan yang mampu memuatkan sehingga 300 orang pada suatu masa serta sembilan bilik mesyuarat. Hotel yang beroperasi mengikut syariah itu menyediakan pelbagai pilihan menu makanan bertempat di Restoran Lagenda yang beroperasi pukul 6 pagi hingga 12.30 tengah malam. |
TAB ambil 30 anak yatim sebagai anak angkat Posted: 13 Aug 2013 11:47 AM PDT PASIR PUTEH 13 Ogos - Nasib 30 anak yatim di Rumah Anak Yatim Puan Salimah Telong, Bachok terbela apabila pengurusan Tok Aman Bali Beach Resort (TAB) dekat sini menjadikan mereka sebagai anak angkat menerusi program amal bakti korporat resort berkenaan. Pengurus Besar resort berkenaan, Hizam Shah Omar berkata, mulai sekarang anak yatim terbabit adalah anak angkat TAB dan akan diberi bantuan yang diperlukan. Beliau berkata, baru-baru ini beberapa pihak termasuk ahli perniagaan yang menjadi pembekal barangan kepada TAB turut sama membantu anak-anak yatim berkenaan melalui sumbangan kewangan dan keperluan lain dalam majlis iftar Ramadan yang dianjurkan khusus untuk mereka. "Sekurang-kurangnya anak-anak yang tidak mempunyai ayah dan ibu ini merasakan masih ada pihak yang prihatin dan menyayangi mereka. Kami mahu anak-anak yatim itu menganggap kami sebagai bapa angkat. "TAB tidak akan mengabaikan kebajikan mereka dan akan turut memberi peluang berehat di resort ini serta menyertai program yang akan dijadualkan nanti," katanya ketika ditemui dalam majlis keraian anak yatim berkenaan sempena sambutan Aidilfitri di sini malam tadi. Sementara itu, penyelia rumah anak yatim tersebut, Azhar Zakaria berkata, sumbangan yang diterima membantu menceriakan anak-anak yatim sepanjang Ramadan dan Syawal selain meringankan bebanan pihak pengurusan yang perlu menampung kos pengurusan rumah berkenaan. Katanya, sebanyak RM10,000 dibelanjakan setiap bulan melibatkan kos pengangkutan anak yatim ke sekolah, penyediaan makan minum serta lain-lain keperluan mereka. "Rumah anak yatim ini dibina secara persendirian oleh ahli perniagaan dari Tanah Merah, Allahyarhamah Salimah Hussin yang mewakafkan tanah miliknya, membina bangunan dan meninggalkan sebahagian dana untuk kemudahan anak yatim yang menginap di rumah berkenaan. "Arwah yang tidak mempunyai anak sepanjang hidupnya mengabdikan diri membela anak-anak yatim. "Pengurusan rumah anak yatim masih memerlukan sumbangan orang ramai untuk menyiapkan bangunan dan membeli bas kecil sebagai pengangkutan utama menghantar 30 anak yatim ke sekolah," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |