Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Bayaran deposit tanah dibeku
- 1,219 jemaah ikuti Kursus Perdana Haji
- UMNO: Pastikan mesyuarat adil, telus
Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT Oleh ASMA HANIM MAHMOOD KOTA BHARU 24 Ogos - Kerajaan Pas Kelantan kini membekukan semua proses pembayaran deposit tanah kerajaan sehingga Pasukan Petugas Khas tentang isu penerokaan tanah selesai menjalankan tugas mereka. Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, pihaknya mahu memastikan dahulu masalah penerokaan haram terutamanya oleh kumpulan sindiket dapat ditangani dan dibawa ke muka pengadilan. Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri juga mahu memastikan individu yang benar-benar memerlukan tanah beroleh peluang itu dan bukannya pihak yang sudah memiliki banyak lot tanah. "Masalah besar kita adalah sindiket, (penerokaan) orang kampung tidak serius sebab libatkan seekar, dua ekar sahaja, tapi sindiket sampai 100, 200 ekar, ada satu kawasan sampai 400 ekar tanah kerajaan diceroboh. "Kita putuskan Pejabat Tanah dan Jajahan (PTJ) rangka satu 'task force' yang turut dianggotai pihak berkuasa tempatan (PBT), polis dan lain-lain untuk mengatasi masalah ini. "Kita rasa kalau benda ini berjaya kita buat, kita boleh selesaikan masalah penerokaan haram dan susun masalah pembahagian tanah kepada rakyat supaya orang yang benar-benar perlukan tanah akan dapat memilikinya," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah pagi di hadapan pejabat Badan Perhubungan Pas negeri, di sini semalam. Mohd. Amar berkata, pembahagian tanah kepada penduduk sebelum ini tidak seimbang kerana masalah sistem fail secara manual yang disimpan di pejabat tanah di serata daerah. Namun katanya, pelaksanaan sistem berkomputer sejak beberapa tahun dahulu memudahkan pihaknya mengesan secara berpusat nama pemilik tanah dan jumlah lot yang sudah sedia dimiliki bagi mengelak pembahagian tidak adil. "Ada kes suami isteri yang sudah memiliki 17 lot tanah tetapi membuat permohonan lagi, cukuplah, berilah peluang kepada orang lain yang belum ada tanah sendiri walaupun sekeping," katanya. Terdahulu dalam kuliahnya, beliau memberitahu kerajaan negeri telah menyelesaikan lebih 70,000 fail permohonan tanah sejak 1990 dan kini sedang memproses lebih 30,000 fail lagi. |
1,219 jemaah ikuti Kursus Perdana Haji Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT MOHD. Zubir Embong bersalaman dengan para peserta Kursus Perdana Haji peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam. Turut kelihatan, Mohammad Mokhzani Mukhtar (kanan). - UTUSAN/SHAIFUDIN MOHD. NOR KUALA TERENGGANU 24 Ogos - Seramai 1,219 bakal haji iaitu 597 jemaah lelaki dan 622 jemaah wanita mengikuti Kursus Perdana Haji peringkat negeri yang bermula petang semalam. Kursus selama dua hari yang menghimpunkan para jemaah dari seluruh negara khususnya dari negeri Terengganu dan Kelantan itu merupakan lanjutan daripada beberapa kursus awal yang diadakan sebelum ini. Pengarah Tabung Haji negeri, Mohammad Mokhzani Mukhtar berkata, kursus yang menekankan latihan secara praktikal itu bertujuan membiasakan para jemaah terutama yang baharu kali pertama menunaikannya agar tidak berasa kekok ketika berada di Tanah Suci. "Para jemaah ini juga akan diberikan taklimat khas berkaitan cara menjaga dan mengekalkan kesihatan sepanjang berada di Mekah. "Di samping itu, melalui kursus ini juga, kita akan sampaikan maklumat terkini mengenai situasi semasa termasuk apa yang berlaku di sana agar para jemaah mendapat gambaran awal sebelum berlepas ke sana," katanya. Beliau berkata demikian kepada Mingguan Malaysia ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 1434H/2013M peringkat Negeri Terengganu di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini malam tadi. Hadir menyempurnakan perasmian majlis itu ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Terengganu, Mohd. Zubir Embong yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said. Terdapat lima penerbangan haji yang akan bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini pada tahun ini dengan penerbangan pertama dijangka bermula pada 17 September ini. Dalam pada itu, Mohammad Mokhzani berkata, terdapat beberapa kelainan yang ditampilkan untuk para jemaah yang akan berlepas dari LTSM pada musim haji kali ini. "Antaranya ialah mereka (para jemaah) akan ditempatkan di Hotel Tabung Haji (TH) yang terletak di Gong Badak di sini untuk sesi pendaftaran. Selepas itu, mereka akan dibawa ke lapangan terbang dengan menaiki bas dari hotel berkenaan," katanya. |
UMNO: Pastikan mesyuarat adil, telus Posted: 24 Aug 2013 10:53 AM PDT KOTA BHARU 24 Ogos - UMNO Kelantan mahu mesyuarat cawangan, bahagian dan sayap parti yang tidak cukup korum supaya bermesyuarat semula bagi mengelak masalah kepada parti tersebut. Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, setiap cawangan, bahagian dan sayap parti juga perlu memastikan mesyuarat yang diadakan berjalan secara telus dan adil. Beliau berkata, budaya telus dan adil tersebut perlu diteruskan bagi membolehkan proses pemilihan barisan kepimpinan parti di peringkat akar umbi dapat dijalankan untuk menjamin survival UMNO pada masa hadapan. "Kita pilih pemimpin-pemimpin yang terbaik dalam kalangan kita untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Beliau ditemui selepas merasmikan Muzakarah Perhubungan UMNO negeri dan mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pemilihan parti di sini. Yang turut hadir, Pegerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO negeri, Datuk Hassan Harun dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahaya. Dalam perkembangan berkaitan, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, muzakarah yang diadakan telah memutuskan supaya UMNO negeri mewujudkan barisan pelapis dalam golongan muda bagi memastikan kekuatan parti pada masa hadapan. "Selain barisan pelapis, UMNO bahagian juga perlu memastikan ada golongan agama dan pengkaderan dalam parti demi kekuatan UMNO negeri dan UMNO Malaysia," katanya. Beliau berkata, bagi mencapai tiga agenda tersebut, UMNO bahagian perlu mengadakan program-program pemantapan dan pengkaderan membabitkan golongan muda serta agama. "Menjelang akhir tahun perlu ada program yang mantap, pengkaderan orang muda, orang agama ini harus ada dalam barisan kepimpinan kita," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |