Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Bekalan barangan asas cukup
- Jambatan Sultan Yahya dibuka selepas Aidiladha
- Bank Rakyat beri sumbangan kepada 94 pesakit kanak-kanak
Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT KUALA TERENGGANU 2 Ogos - Bekalan barangan keperluan asas termasuk gula dan minyak masak di negeri ini adalah mencukupi pada musim perayaan Aidilfitri. Pengerusi Jawatankuasa Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Kepenggunaan dan Koperasi negeri, Roslee Daud berkata, Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri telah memainkan peranan berkesan bagi memastikan tiada pihak yang cuba mencari kesempatan menyorok dan menaikkan harga. Setakat yang saya perhatikan, PPDNKK tidak pernah lepas tangan dan sentiasa membuat pemantauan berhubung bekalan barang keperluan dari semasa ke semasa. Pengguna tidak perlu bimbang jika ada spekulasi mengatakan bekalan barangan asas tidak mencukupi di negeri ini," katanya. Beliau ditemui selepas majlis perasmian Karnival Jualan Terus Dari Kilang Peringkat Negeri Terengganu - Jom Beli Barang Raya yang diadakan di pekarangan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu, di sini semalam. Yang turut hadir Pengarah PPDNKK negeri, Syamsul Badrin Mohshin. Karnival yang berlangsung selama dua minggu bermula 25 Julai lalu itu disertai oleh 17 syarikat yang menjual pelbagai jenis barangan termasuk pakaian, beg, kasut dan sebagainya. Dalam pada itu, Roslee berpuas hati dengan penganjuran karnival berkenaan yang disifatkannya sebagai satu usaha baik. Saya lihat barang-barang yang dijual di sini tidak kurang kualitinya walaupun ditawarkan pada harga yang murah iaitu sehingga 70 peratus potongan. Kita akan kaji beberapa cadangan termasuk untuk mengadakan karnival seperti ini di kawasan-kawasan luar bandar bagi memberi peluang kepada penduduk setempat untuk membeli barangan pada kadar yang murah selepas ini," katanya. |
Jambatan Sultan Yahya dibuka selepas Aidiladha Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT MAKHTAR Mustapha (kiri) beramah mesra dengan pengusaha dan kaunselor yang menyertai Program Tunas Mekar di Jabatan Pembangunan Persekutuan, Kota Bharu, baru-baru ini. - BERNAMA KOTA BHARU 2 Ogos - Pembukaan laluan kedua Jambatan Sultan Yahya Petra terpaksa ditangguhkan sehingga selepas Hari Raya Aidiladha kerana jentera menyambung konkrit yang digunakan dalam projek itu kini berada di luar negeri. Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan, Datuk Makhtar Mustapha menjelaskan, perkembangan tersebut mengakibatkan pembukaan laluan dari Kota Bharu ke Wakaf Bharu itu yang sebelum ini dijadual sebelum Hari Raya Aidilfitri ini tertangguh kira-kira dua bulan lagi. Beliau bagaimanapun menjelaskan, kelewatan tersebut tidak menyebabkan sebarang pertambahan kos kepada pembinaan jambatan itu yang pembukaan laluan Wakaf Bharu-Kota Bharu sebelum ini, telah berjaya mengatasi kesesakan di kawasan tersebut. Pembinaan jambatan yang menelan belanja sebanyak RM188 juta itu sebelum ini dijadual siap sepenuhnya Julai ini. "Kelewatan ini tidak dapat dielakkan kerana jentera berkenaan berada di luar Kelantan dan difahamkan hanya terdapat tiga jentera terbabit yang beroperasi di negara ini," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Beliau ditemui selepas menyampaikan watikah pelantikan kepada pengusaha dan kaunselor Projek Tunas Mekar Siri 4, 2013 di sini. Yang turut hadir Timbalan Pengarah Kampus Hal Ehwal Akademik, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan, Prof. Madya Zulkarnain Yusoff. Projek Tunas mekar diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan dilaksanakan secara bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dengan UiTM dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan muda bumiputera. Di Kelantan, seramai 34 peserta mengikuti projek tersebut membabitkan tiga kluster perniagaan iaitu sektor perkhidmatan, peruncitan dan pemborongan membabitkan peruntukan sebanyak RM300,000 setahun. Dalam pada itu, Makhtar menyifatkan masalah yang berlaku di Jambatan Pasir Hor yang cuba digembar-gemburkan oleh akhbar pembangkang Harakah, adalah tidak serius dan pihak kontraktor telah diarahkan supaya mengatasinya. "Masalah dikatakan berlaku akibat mendapan pada kepala jambatan yangtidak serius dan pihak kontraktor telah diminta mengambil perhatian serius membaiki masalah tersebut," katanya. |
Bank Rakyat beri sumbangan kepada 94 pesakit kanak-kanak Posted: 02 Aug 2013 11:42 AM PDT AHMAD Subari Badli (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan Ramadan kepada Salwati Mail, ibu kepada Nurul Ain Batrisya yang menghidap jangkitan paru-paru di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu, kelmarin. KOTA BHARU 2 Ogos - Bank Rakyat cawangan Kubang Kerian menyampaikan sumbangan Ramadan iaitu hamper dan wang tunai RM100 kepada 94 pesakit kanak-kanak di Wad Pediatrik, Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), di sini. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengurus Cawangannya, Ahmad Subari Badli dalam kunjungan ke hospital itu bersama beberapa kakitangannya pada pukul 9.30 pagi semalam. Ahmad ketika ditemui selepas itu berkata, ini adalah program tanggungjawab sosial yang dilakukan bank itu setiap kali Ramadan sejak tahun 2009 bagi membantu golongan memerlukan. "Sumbangan ini berbentuk hamper yang diisi dengan pelbagai barang termasuk makanan dan biskut raya yang keseluruhannya berjumlah RM100 dan wang tunai. "Kami mahu menunjukkan kepada masyarakat bahawa Bank Rakyat adalah sebuah badan korporat yang prihatin dan penyayang, semoga dengan sumbangan ini dapat menceriakan sambutan hari raya setiap kanak-kanak terbabit," katanya. Menurut Ahmad, program tersebut turut diadakan di seluruh negara dengan peruntukan keseluruhan RM257,000 yang diagihkan kepada pesakit di 20 hospital terpilih. Dalam pada itu, beliau memberitahu, pihak bank sedang menganjurkan Kempen Promosi Ria Aidilfitri sempena Ramadan iaitu insentif kepada pemohon yang membuat pinjaman pada tempoh itu. "Kempen ini berakhir pada 20 Ogos dan terbuka kepada semua pelanggan baharu yang memohon pembiayaan peribadi, kenderaan dan perumahan dari Bank Rakyat. "Pelanggan baharu sepanjang tempoh itu akan berpeluang memenangi hadiah utama iPad Mini yang akan diberikan sebanyak dua unit setiap minggu," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |