{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Kota Bharu semakin sesak

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

Oleh NURUL AKMAR AIDA SUHAIMI
utusankelantan@utusan.com.my

SALAH satu daripada jalan utama di Kota Bharu, Kelantan menjadi semakin sesak berikutan sambutan Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lagi. - Utusan/Rosni Masri

KOTA BHARU 5 Ogos - Bandar Kota Bharu mulai sesak dengan kenderaan berikutan terlalu ramai anak Kelantan dari perantauan mula pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang beberapa hari sahaja lagi.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, keadaan jalan utama semakin sesak, terutama di Jalan Kuala Krai-Kota Bharu, Jalan Sultanah Zainab, Jalan Sultan Ibrahim, Jalan Pintu Pong dan Jalan Che Su.

Selain jalan raya, turut sesak ialah pusat beli-belah di bandar ini berikutan pengunjung berpusu-pusu membeli pelbagai barangan keperluan hari raya.

Seorang guru, Noriha Awang, 29, berkata, pengalaman membeli-belah di pasar raya KB Mall setiap tahun membuatkan beliau memilih meneruskan tradisi berbelanja di pasar raya itu.

"Kebiasaannya, baju raya tiga anak termasuk saya dan suami dibeli di KB Mall bukan sahaja kerana lokasinya berdekatan dengan rumah, malah mudah untuk mendapat saiz terutama buat anak saya yang berusia dua tahun," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, pekerja swasta, Norul Huda Sulaiman, 37, berkata, keenakan pelbagai biskut raya yang dijual di KB Mall sentiasa memikat seleranya dan keluarga.

"Tidak dinafikan kesemua biskut yang dijual memenuhi cita rasa pelanggan dan setiap kali lebaran, sekurang-kurangnya 10 jenis biskut akan dibeli untuk dihidangkan kepada tetamu," katanya.

Pekerja swasta, Mohd. Fakhruddin Borhanuddin, 23, pula berkata, dia sudah bersedia sepenuhnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

"Keluarga saya sudah membuat persiapan sepenuhnya. Pakaian, kek dan biskut memang sudah ditempah awal-awal lagi kerana tiap-tiap tahun kami sekeluarga teruja menyambut perayaan Hari Raya Aidilfitri," katanya.

Tahap keselamatan kebakaran masih rendah

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

WAN Ahmad Fadillah Wan Abdul Rahman (kiri) memeriksa tekanan air paip bomba dalam Operasi Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran Raya 2013 Peringkat Negeri Terengganu di Pasar Raya Besar Mydin, Kuala Terengganu, kelmarin.

KUALA TERENGGANU 5 Ogos - Tahap keselamatan kebakaran melibatkan struktur bangunan termasuk premis perniagaan, sekolah, asrama, pusat beli-belah, kedai dan pusat pengajian tinggi di negeri ini masih terlalu rendah.

Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Terenganu, Wan Ahmad Fadhillah Wan Abdul Rahman memberi gambaran ini berikutan daripada 82 buah premis yang diperiksa jabatan itu baru-baru ini, sebanyak 44 pemilik telah diberikan notis pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi yang dijalankan sepanjang tempoh Operasi Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran Raya 2013 peringkat negeri yang bermula 24 Julai sehingga 1 Ogos lalu, sebanyak 10 notis dikeluarkan kepada sekolah dan asrama, pusat beli-belah (17 notis) manakala pusat pengajian tinggi (17 notis).

"Daripada jumlah itu, 38 kes melibatkan kesalahan Seksyen 2 (d) di bawah Peruntukkan Akta 341 iaitu melibatkan kesalahan kelengkapan menentang kebakaran tidak berada dalam keadaan baik atau rosak manakala selebihnya menjalankan pengubahan menyalahi undang-undang, pengalihan atau tidak terdapat kelengkapan menentang kebakaran serta laluan keluar yang tidak cukup.

"Justeru, kita berharap pemilik premis yang telah menerima notis berkenaan dapat mengambil perhatian tentang perkara itu agar tidak dikenakan tindakan yang lebih berat kerana ia melibatkan nyawa orang awam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melancarkan gimik Operasi Pemeriksaan Penghapusan Bahaya Kebakaran Raya 2013 peringkat negeri di Pasar Raya Besar Mydin di sini semalam.

Dalam pada itu Wan Ahmad Fadhillah menambah, sejak awal tahun sehingga Julai lalu, sebanyak 4,182 premis telah disenaraikan dan daripada jumlah itu sebanyak 776 notis telah dikeluarkan jabatan berkenaan melibatkan pelbagai kesalahan.

Katanya, notis kesalahan di bawah Seksyen 2 (d) paling banyak dikesan iaitu berjumlah 651 notis serta Seksyen 2 (c) sebanyak 103 notis iaitu kesalahan pengalihan atau tidak terdapat apa-apa kelengkapan menentang kebakaran.

Jelas beliau, fokus pemeriksaan ke atas premis melibatkan laluan keluar kecemasan tidak terhalang, dinding pemetakan, pintu rintangan api, saluran bantu mula, sistem pecah kaca, lampu kecemasan dan lampu tanda keluar.

"Pemeriksaan rutin ini dijalankan setiap masa bagaimanapun pada musim perayaan kita menggiatkan operasi pemeriksaan bagi menjamin bangunan awam terutamanya tempat yang menjadi tumpuan orang ramai seperti pasar raya agar dapat mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya.

Pada tahun lalu, sebanyak 130 premis yang telah diperiksa dan daripada jumlah itu sebanyak 35 notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Bomba Gua Musang pantau laluan utama

Posted: 05 Aug 2013 12:14 PM PDT

GUA MUSANG 5 Ogos - Pasukan Bomba dan Penyelamat Daerah Gua Musang akan membuat pemantauan menyeluruh di empat laluan utama yang dikenal pasti merupakan laluan sibuk semasa musim perayaan ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat daerah, Nordin Ibrahim berkata, pihaknya akan membuat rondaan tiga kali sehari di empat laluan terlibat melalui Op Raya yang akan bermula pada 8 Ogos ini.

Beliau berkata, empat laluan tersebut ialah Gua Musang-Kuala Lipis, Gua Musang-Cameron Highlands, Gua Musang-Kuala Krai-Tasik Kenyir, Terengganu dan Gua Musang-Jeli.

"Seramai 34 anggota dikerahkan untuk pemantauan. Kita telah agihkan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan rondaan bermula pada pukul 9 pagi, 2 petang dan 9 malam untuk membuat pemantauan menyeluruh iaitu secara 24 jam di laluan-laluan yang ditetapkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Gua Musang merupakan 'pintu masuk' bagi rakyat Kelantan yang hendak pulang berhari raya melalui Kuala Lipis, Pahang.

Ahmad berkata, selain pemantauan kemalangan dan kebakaran, pihaknya juga sedia memberikan perkhidmatan kepada pengguna jalan raya yang mengalami kerosakan kenderaan seperti tayar bocor selain mengelak berlakunya kesesakan jalan raya.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pemandu supaya memandu dalam keadaan berhemah, sementara suri rumah dan peniaga pula diminta tidak leka semasa membuat kuih muih untuk hari raya bagi mengelak kebakaran.

"Kepada pemandu yang akan pulang ke Pantai Timur atau sebagainya, saya menasihatkan mereka lebih berhati-hati, terutamanya di laluan yang kerap berlaku kemalangan iaitu jalan Gua Musang-Kuala Lipis dan Gua Musang-Kuala Krai. Pastikan juga kenderaan diperiksa sebelum memulakan perjalanan," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat