Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT Oleh SAMSUL BAHARI MOHAMED DUA buah rumah guru Sekolah Kebangsaan Bukit Jering di Jeli, Kelantan musnah akibat kebakaran petang kelmarin. JELI 6 Ogos - Dua unit rumah guru Sekolah Kebangsaan Bukit Jering di sini, musnah dalam kebakaran petang semalam. Kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu menyebabkan mangsa tinggal sehelai sepinggang apabila semua barangan termasuk pakaian raya musnah dengan kerugian dianggarkan bernilai RM100,000. Kedua-dua unit rumah di kuarters tersebut diperbuat daripada papan dan separuh konkrit serta terletak dalam kawasan sekolah. Seorang mangsa, Nur Liza Mohamed, 43, berkata, ketika kejadian beliau berada di luar rumah kerana membersihkan sampah-sarap, manakala anaknya, Nurin Azrin Mohamed Shaarie, 14, sedang menonton televisyen di ruang tamu. Jelas Nur Liza, beliau tiba-tiba didatangi oleh seorang pengawal keselamatan dan memberitahu rumah bersebelahan yang didiami oleh seorang guru bujang terbakar. "Saya yang panik terus berlari masuk ke dalam rumah untuk menyelamatkan anak saya. Saya cuba menyelamatkan barangan berharga tetapi tidak sempat kerana api marak terlalu cepat, hanya dapat ambil dompet duit kecil sahaja," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam. Menurut Nur Liza, ketika kejadian beliau hanya tinggal dua beranak kerana tiga anaknya dan suami, guru di sekolah berkenaan, berada di Kampung Wakaf Bharu, Tumpat. "Saya berasa terlalu sedih apabila teringat hari raya hanya tinggal dua hari lagi, manakala persiapan raya sudah dibeli bagi menyambut lebaran tetapi semuanya habis musnah," katanya. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Soleh Nasir berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 7.03 petang dan tiba di lokasi kira-kira 30 minit kemudian. "Seramai 20 anggota termasuk anggota Persatuan Bomba Sukarela Jeli dan Kuala Balah serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) terlibat dalam operasi memadam kebakaran. "Apabila tiba di lokasi, kedua-dua unit rumah berkenaan sudah terbakar keseluruhannya dan pihak kami mengambil masa selama 15 minit untuk memadamkan api. Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada pukul 9.15 malam," katanya. |
Gotong-royong pasang pelita satu kilometer Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT BESUT 6 Ogos - Bagi memeriahkan suasana sambutan Aidilfitri yang bakal tiba dan menyatakan kegembiraan, pelbagai usaha dilakukan termasuk oleh penduduk Kampung Pulau Pajang, dekat sini. Mereka mahu menjadikan kehadiran lebaran kali ini penuh keceriaan dengan menerangi dan menghiasi malam menjelang ketibaan Syawal dengan deretan pelita sepanjang jalan kampung tersebut. Sejak beberapa hari lalu, lebih 20 orang penduduk keluar bergotong-royong bagi menyiapkan lebih 800 pelita buluh untuk dipasang di kiri dan kanan bahu jalan sejauh satu kilometer. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pulau Panjang, Jaafar Deraman berkata, aktiviti yang julung kali diadakan itu mendapat kerjasama penduduk setempat. Katanya, kawasan kelas Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di kampung itu dijadikan tempat mereka berkumpul dan menyiapkan pelita tersebut. "Menurutnya, menerusi kerja itu, diharap hubungan yang sedia terjalin dalam kalangan mereka dapat dieratkan lagi, selain menjadikan kampung ini lebih bercahaya dan indah pada waktu malam sepanjang Aidilfitri ini,'' ujarnya. |
AADK kesan remaja positif dadah Posted: 06 Aug 2013 10:09 AM PDT KUALA TERENGGANU 6 Ogos - Dua remaja berusia 16 dan 20 tahun dikesan positif dadah jenis 'methapetamine' dalam satu Operasi Khas Motosikal di atas Jambatan Sultan Mahmud di sini malam kelmarin. Pegawai Unit Pengesanan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kuala Terengganu, Khairuddin Idris berkata, mereka merupakan antara 27 penunggang yang diarah menjalani ujian air kencing dalam operasi tersebut. Ekoran keputusan ujian itu, katanya, kedua-dua mereka ditahan buat sementara waktu untuk siasatan lanjut. "Kesemua penunggang terlibat sebenarnya kita pilih secara rawak daripada sejumlah penunggang motosikal yang melalui jambatan ini. "Dalam operasi ini, kami menggunakan kekuatan seramai sembilan anggota AADK dan kesemua mereka berpusat di Kuala Terengganu," katanya ketika ditemui semasa operasi itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |