Utusan Online - Utara
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Utara |
Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH ALOR SETAR 14 Ogos - Empat teras pembangunan menjadi tumpuan kerajaan negeri bagi meningkatkan taraf hidup dan keselesaan penduduk di kawasan luar bandar selaras dengan Aku Janji Barisan Nasional (BN) Kedah dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah berkata, tumpuan itu melibatkan pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas, modal insan, ekonomi serta institusi. Katanya, perancangan pembangunan itu akan dibuat secara berperingkat dalam tempoh lima tahun sehingga 2018 melibatkan semua 12 daerah di Kedah. "Saya akan turun padang bertemu penduduk bagi mendapatkan pandangan selain memantau perkembangan projek yang dirancang itu sehingga siap," katanya di sini baru-baru ini. Menurut Mohd. Tajuddin, pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas antaranya melibatkan perhubungan jalan raya, bekalan air dan elektrik, tadika, rumah ibadat, sekolah, klinik kesihatan serta pelancongan. Kata beliau, pembangunan modal insan berkaitan dengan aspek penerapan pelbagai latihan kemahiran kepada penduduk di luar bandar manakala pembangunan ekonomi bagi mempertingkatkan pendapatan isi rumah menerusi pelbagai projek pertanian, ternakan dan industri kecil. "Pembangunan institusi pula adalah seperti penubuhan lebih banyak Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) bagi kemudahan penduduk mendapatkan pelbagai perkhidmatan di bawah satu bumbung," katanya. Tambahnya, projek pembangunan itu memerlukan kerjasama rapat semua pihak seperti Kementerian Luar Bandar dan Wilayah serta agensi kerajaan negeri termasuk pejabat daerah, Unit Pembangunan Ekonomi Negeri, penghulu serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung selain Universiti Utara Malaysia (UUM). Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Sik berkata, pihaknya turut mengalukan penglibatan sektor swasta yang mahu menunaikan tanggungjawab sosial mereka seperti Lembaga Tabung Haji, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB). |
Pesakit saraf tabah bekerja menyara keluarga Posted: 14 Aug 2013 11:00 AM PDT MOHAMAD Saud (dua dari kiri) menyerahkan sumbangan kepada Yusof Said di Kampung Kuala Muda, Penaga, Kepala Batas, Pulau Pinang, baru-baru ini. KEPALA BATAS 14 Ogos - Demi menyara keluarga, Yusof Said, 63, yang mengalami masalah saraf dari Kampung Kuala Muda, Penaga di sini terpaksa bekerja mengambil upah sebagai penjaga kubur. Biarpun pendapatan yang diperoleh tidak seberapa namun demi meneruskan kelangsungan hidup bersama isteri Hasnah Salim, 60, dan seorang anak bongsu perempuan berusia 17 tahun, Yusof tidak mempunyai pilihan lain. Sebelum ini, bapa kepada lapan anak itu bekerja sebagai nelayan namun kehidupannya berubah sejak 2007 apabila dia diserang penyakit angin ahmar mengakibatkan saraf di beberapa bahagian badannya terganggu. "Sejak itu bahagian leher dan tangan saya menjadi keras dan tidak boleh digerakkan hingga membataskan pergerakan termasuk tidak lagi mampu melakukan kerja-kerja berat. "Memandangkan saya perlu mencari pendapatan menyara keluarga, maka hanya tugas sebagai penjaga kubur yang sesuai saya lakukan," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Menurutnya, biarpun pendapatan sebagai penjaga kubur tidak menentu kerana hanya bergantung kepada belas ihsan ahli kariah kampung dan saudara si mati yang mengunjungi kubur, namun beliau terpaksa melakukan kerja itu. Yusof berkata, walaupun mempunyai anak, namun dia tidak pernah mengharapkan bantuan mereka kerana semua anaknya sudah berkeluarga dengan berpendapatan rendah selain masing-masing tanggungan sendiri. Katanya, rumah yang didiami sekarang pun dibina hasil sumbangan orang ramai di atas tanah milik seorang penduduk yang prihatin dengan nasibnya di kampung itu. Bagaimanapun penderitaan keluarga malang itu mendapat perhatian ahli Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Pulau Pinang yang melakukan kunjungan ke rumah keluarga itu semalam sebaik sahaja mengetahui mengenai kesusahan yang dihadapi Yusof sekeluarga. Kunjungan yang diketuai oleh Pengerusi MAYC Pulau Pinang, Mohamad Saud itu telah menyampaikan sumbangan berupa bahan makanan dalam usaha meringankan beban keluarga malang berkenaan. Dalam lawatan itu, Mohamad turut berjanji akan cuba menguruskan proses dokumentasi bagi memastikan Yusof mendapat bantuan bulanan melalui agensi kerajaan kerana dia dikategorikan layak untuk dibantu. Selain MAYC, Yusof juga menerima sumbangan segera dari Abdullah Mohd Nor, seorang aktivis masyarakat daerah ini yang terpanggil untuk turut membantu meringankan bebannya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |