{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Masalah 17 peniaga EMBA selesai

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

Oleh OTHMAN YAHAYA
utusanpenang@utusan.com.my

Sebahagian peniaga EMBA bersama Jahara Abdul Hamid (duduk dua dari kanan) pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Telok Ayer Tawar, Pulau Pinang, kelmarin.

TASEK GELUGOR 21 Ogos - Masalah 17 peniaga di lot kedai Ekonomi Melayu Bagan Ajam (EMBA) di Taman Tun Dr. Awang, Bagan Ajam di sini yang tidak dapat memulakan perniagaan mengikut jadual selepas premis mereka dibaik pulih dua bulan lalu mendapat perhatian pihak pengurusan projek berkenaan.

Wakil kumpulan peniaga tersebut, Ronyzam Abdul Ghaffar, 36, berkata, sebaik keluhan mereka disiarkan dalam Utusan Malaysia pada Sabtu, 17 Ogos lalu, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Pulau Pinang tampil memberi kebenaran untuk mereka memulakan perniagaan di situ.

"Kami difahamkan hasil campur tangan Ahli Dewan Undangan Negeri, Teluk Ayer Tawar, Datuk Jahara Abdul Hamid dengan ICU, lot kedai yang siap dibaikpulih itu akan diserahkan kepada peniaga pada 28 Ogos ini bagi membolehkan kami kembali berniaga seperti sedia kala.

"Kami difahamkan kelewatan memberi kebenaran menggunakan premis ini kerana masalah teknikal melibatkan pemasangan bekalan elektrik dan air, tetapi akhirnya masalah itu dapat diatasi," katanya.

Beliau ditemui dalam majlis Rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat ADUN Teluk Ayer Tawar di sini semalam.

Seorang peniaga nasi dan kuih-muih, Asmah Azim, 62, memberitahu, dia bersyukur kerana ICU meluluskan segera kebenaran untuk menjalankan perniagaan di situ.

"Tiada perkataan yang mampu melahirkan kegembiraan apabila mendapat tahu akhir Ogos ini saya boleh kembali menjalankan perniagaan.

"Sekarang saya sibuk membuat persiapan bagi memulakan perniagaan kerana itulah satu-satunya punca pendapatan untuk menyara lima anak selepas bergelar ibu tunggal," ujarnya.

Peniaga makanan, Huszaimi Abu Hassan, 40, pula menjelaskan, keprihatinan ICU menyegerakan kebenaran menjalankan perniagaan di situ telah menghilangkan kerisauannya selama ini.

"Ucapan terima kasih ditujukan kepada ICU dan ADUN Teluk Ayer Tawar yang turut membantu mengatasi masalah peniaga di sini," katanya.

Sementara itu, Jahara berkata, beliau mengambil pendekatan untuk berbincang dengan ICU bagi membantu peniaga berkenaan selepas dimaklumkan kesulitan yang dialami mereka berikutan proses baikpulih bangunan itu mengalami masalah teknikal.

Kemudahan infrastruktur buat rakyat

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

Oleh MOHAMAD HANIPAH TEH
pengarang@utusan.com.my

GERIK 21 Ogos - Parlimen Gerik akan menerima peruntukan sebanyak RM5 juta mulai tahun depan bagi membiayai kemudahan infrastruktur dalam kawasan itu demi kemudahan rakyat.

Ahli Parlimennya, Datuk Hasbullah Osman berkata, langkah berkenaan direncana selaras dengan dasar Kerajaan Pusat yang mendahulukan rakyat tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

"Saya sendiri akan mengenal pasti setiap projek di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pengkalan Hulu dan Temengor supaya benar-benar memberi manfaat kepada semua kaum secara maksimum.

"Setakat ini beberapa projek telah dikenal pasti antaranya pembinaan dewan orang ramai di Kampung Tersusun Bandariang, Gerik dalam DUN Temengor serta di Taman Mutiara dan Taman Klian Intan di DUN Pengkalan Hulu," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hasbullah berkata, projek berkenaan yang dijangka bermula tahun ini akan membabitkan kos sebanyak RM500,000.

Menurut Hasbullah, beliau sendiri akan memantau segala pengurusan yang berkaitan dengan keperluan rakyat sehingga projek berkenaan dapat disiapkan.

"Parlimen Gerik sentiasa mendengar pandangan daripada UMNO Bahagian, Cawangan dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) kerana kita mahu menentukan projek pembangunan yang benar-benar memberi manfaat sahaja yang akan dilaksanakan,'' ujarnya.

Tambah Hasbullah, beliau juga akan memastikan dua wakil rakyat baharu di bawah Parlimen Gerik iaitu Aznel Ibrahim dan Salbiah Mohamed; masing-masing mewakili Pengkalan Hulu dan Temengor agar sentiasa dapat memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.

"Kami pemimpin hanyalah sebagai 'alat' kepada rakyat untuk berkhidmat dan pemimpin akan bertukar ganti bagi membawa kemajuan di kawasan masing-masing," katanya.

MAIPs rai 114 anak yatim sempena Aidilfitri

Posted: 21 Aug 2013 12:03 PM PDT

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) bersama anak-anak yatim di Kampus Induk UniMAP di Pauh Putra, Arau, Perlis, semalam.

ARAU 21 Ogos - Seramai 114 orang anak yatim seluruh Perlis diraikan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sempena Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Para penerima adalah penghuni lima pusat kebajikan iaitu Pusat Jagaan Nur Kasih, Rumah Mak Teh, Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Malaysia (Peyatim), Yayasan Saad dan Teratak Rahmat.

Majlis diserikan dengan keberangkatan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga Yang Dipertua MAIPs dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Pada majlis tersebut baginda turut menyampaikan duit raya sumbangan MAIPS kepada golongan asnaf terlibat.

Turut bersama pada majlis itu, Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Abdul Malik Hussin.

Anak-anak yatim itu juga dibawa melawat Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Kampus Induk UniMAP di Pauh Putra, Arau di sini.

Mereka kemudiannya dibawa membeli belah di Pasa Raya C-Mart, Jitra di Kedah dengan setiap seorang diberi baucar RM15 sumbangan pasar raya itu sebelum menonton wayang di Jitra Mall.

Di akhir program, anak-anak yatim dibawa ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Arau dalam satu Program Mengubah Destini Anak Bangsa dan menandatangani kain rentang Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan ke-56.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat