{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Koperasi entiti ekonomi

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Oleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH
utusankedah@utusan.com.my

KUBANG PASU 25 Ogos - Gerakan koperasi di negeri ini mempunyai kekuatan dari segi keanggotaan dan bidang ekonomi yang boleh digemblengkan menerusi pelbagai aktiviti perniagaan.

Perangkaan menunjukkan sebanyak 833 koperasi telah didaftarkan dengan kekuatan anggota seramai 328,178 orang yang mempunyai modal syer dan yuran sejumlah RM286.3 juta serta aset RM489.8 juta sehingga mampu menjana perolehan RM239.2 juta.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, keadaan itu jelas menunjukkan bahawa gerakan koperasi di Kedah terus berkembang sebagai sebuah entiti ekonomi yang berupaya memenuhi keperluan pembangunan sosioekonomi negeri.

Kata beliau, sejajar dengan moto 'Bersama Memacu Transformasi, Bandaraya Alor Setar' akan mengalami perubahan wajah ke arah menjadikannya sebuah bandar raya metropolis yang menumpukan kepada kecemerlangan pendidikan menerusi program penyelidikan dan pembangunan berteknologi tinggi.

"Selain itu, bandar raya ini akan diperindahkan lagi untuk dijadikan destinasi pelancongan di Koridor Utara sekali gus menjana peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat," katanya dalam majlis perasmian Hari Koperasi Negara 2013 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Dataran Darul Aman, Bandar Darul Aman di sini semalam.

Menurut Mukhriz, limpahan nikmat akan dirasai di seluruh negeri ini menerusi aktiviti pelaburan berskala besar ditambah pula dengan 'Bandaraya Getah' bertaraf antarabangsa yang akan dibangunkan di Padang Terap berupaya menawarkan ribuan peluang pekerjaan.

Kata beliau, bandar Bukit Kayu Hitam pula akan dibina pembangunan bercampur Projek Strategik Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand manakala peniaga-peniaga kecil juga akan dibantu menerusi kemudahan dan prasarana yang lebih banyak.

Selain itu, kata beliau, teras transformasi sosial akan memberi tumpuan kepada isu perumahan, penyelesaian masalah banjir, kesihatan, keselamatan, kebajikan, sistem penyampaian awam, belia, sukan, pendidikan dan pembangunan modal insan.

"Saya pasti koperasi di Kedah akan mendapat manfaat daripada projek-projek yang dilaksanakan kerajaan negeri. Inisiatif ini bertujuan merealisasikan pelan transformasi yang dirancang Kerajaan Persekutuan di negeri ini," katanya.

Rakyat perlu bersatu perangi Syiah - Tunku Annuar

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

Tunku Annuar Sultan Badlishah (duduk tengah) dan Mukhriz Tun Mahathir (duduk, tiga kiri), Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah (duduk, dua kiri) serta Md. Rozai Safian (duduk, kiri) bersama barisan Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah selepas Majlis Istiadat Perasmian Pembukaan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah Ke-13 di Wisma Darulaman, Alor Setar, semalam. - utusan/Safrizal Azmi

ALOR SETAR 25 Ogos - Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah menyeru semua pihak bersatu menangani penularan ajaran Syiah yang bercanggah dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Tunku Annuar turut berharap perkara itu tidak dipolitikkan kerana semua pihak bertanggungjawab menanganinya dan perbalahan berhubung perkara tersebut tidak harus timbul kerana sudah disepakati secara bersama.

"Kerajaan perlu bertegas menangani penularan ajaran tersebut yang turut ditolak Majlis Fatwa Kebangsaan.

"Malaysia adalah sebuah negara Islam dan mengamalkan ajaran ASWJ selain daripada ajaran ini yang bercanggah dengan hukum syarak adalah dilarang.

"Janganlah sekali-kali ia dipolitikkan dan saya menggesa semua pihak bersatu menangani isu ini. Tanggungjawab kita semua cukup signifikan. Sudah berlalu masa untuk berbalah berhubung perkara yang sudah disepakati bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika bertitah dalam majlis Perasmian Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang Ke-13 di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.

Turut berangkat, Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah.

Yang turut hadir, Speaker DUN Kedah, Datuk Md. Rozai Shafian serta Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Perasmian tersebut dihadiri Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada penyokong kerajaan dan pembangkang.

Bertitah lanjut, Tunku Annuar menyeru perkara yang dijamin dalam kerangka Perlembagaan dan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah tidak diperdebatkan.

"Persoalan berkaitan sejarah, kemuliaan Islam, kewibawaan institusi, kedaulatan Raja-raja dan hak-hak kaum, jangan lagi disentuh atau diperdebatkan.

"Kerajaan dan pihak pembangkang mengetahui peranan masing-masing. Saya ingin tegaskan ruang yang ada ini harus diisi bagi memacu agenda transformasi," katanya.

Menyentuh pembangunan negeri ini, Tunku Annuar berkata, beliau yakin Kedah bakal berubah wajah kepada sesuatu yang memberi nikmat dan keselesaan kepada rakyatnya hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Mengamati keseluruhan gerak kerja yang sedang disusun kerajaan negeri saya berkeyakinan status Kedah sebagai sebuah negara yang aman dan makmur mampu dipahatkan.

"Kerja keras Menteri Besar bersama pasukannya dilengkapi jentera Perkhidmatan Tadbir Negeri yang sentiasa menjadi tulang belakang pentadbiran kerajaan serta dokongan rakyat dan pelbagai pihak pastinya memudahkan segala usaha menjadikan Kedah sebuah negeri maju pada dekad mendatang," katanya.

Tunku Annuar turut melahirkan hasratnya supaya Kedah mampu dilonjak menjadi Knowledege Valley atau Lembah Ilmu.

"Ini misalnya dapat digarap melalui pembukaan lebih banyak cawangan kampus universiti swasta dan awam dari dalam dan luar negara. Dalam masa sama, saya mahu supaya dikekalkan sejarah warisan dan budaya untuk tujuan itu," katanya.

Lima lagi sekolah tahfiz bakal dibina di Perak

Posted: 25 Aug 2013 11:12 AM PDT

IPOH 25 Ogos - Lima lagi sekolah tahfiz akan dibuka sekali gus bakal merencanakan sasaran kerajaan negeri mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah institusi pendidikan agama berkenaan di kesemua 10 daerah di Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd. Nizar Zakaria berkata, ketika ini, terdapat lima sekolah tahfiz beroperasi di lima daerah selain tiga lagi di sekolah agama iaitu Sekolah Raja Perempuan Taayah, Sekolah Izzudin Shah dan Sekolah Menengah Raja Dr. Nazrin Shah di Kampung Gajah.

"Lima sekolah tahfiz sedia ada terdapat di daerah Lenggong, Sungai Siput, Tapah, Kerian dan Batang Padang. Kita sedang dalam proses mengenal pasti lima lagi tapak sekolah tahfiz di beberapa daerah lain dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).

"Di sekolah persendirian dan swasta pula, terdapat 24 buah yang menawarkan pengajian tahfiz, jadi, dengan pertambahan sekolah tahfiz ini, kita menjangkakan peningkatan bilangan pelajar dengan sasaran kita melahirkan sebanyak 300 orang setahun," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis penutupan ihtifal sekolah-sekolah agama peringkat negeri di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Mohamad Nasar Kurdi.

Program tahunan yang berlangsung selama tiga hari itu antara lain mempertandingkan beberapa acara termasuk nasyid, marhaban dan rawi, hafazan, tilawah al-Quran, bercerita kisah al-Quran, syarahan bahasa Arab dan bahasa Melayu, hiwar (lakonan), khutbah dan tulisan khat.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Nizar berkata, pendaftaran ke sekolah-sekolah agama untuk pengambilan pelajar ke tingkatan satu di negeri ini dijangka bakal menggunakan aplikasi dalam talian menjelang hujung tahun.

Beliau berkata, hasil kerjasama dengan agensi kerajaan negeri, KPerak Implementation and Coordination Corporation (KPerak) itu juga akan membolehkan pendaftaran pelajar dibuka selama dua minggu sebaik sahaja keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 diumumkan.

"Pendaftaran itu akan dibuka di laman web rasmi Gerbang Mesra Rakyat Negeri Perak yang mana semua maklumat termasuk panggilan temuduga akan dipaparkan secara dalam talian," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat