Kosmo Online - Sukan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Sukan |
Posted: Tok Gajah mudah singkir PKNSOleh AHMAD FAZLI MOHD. YADI KAPTEN Pahang, Jalaluddin Jaafar (kanan) mengasak penyerang PKNS, Patrick Ronaldinho pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Shah Alam malam tadi. PAHANG menepati ramalan selaku pasukan pilihan apabila mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Selangor PKNS dengan agregat 5-3. Selepas menang 3-2 pada aksi suku akhir pertama di Kuantan, Pahang minggu lalu, Tok Gajah meneruskan momentum sedia ada dengan menewaskan PKNS 2-1 dalam aksi suku akhir kedua di Stadium Shah Alam malam tadi. Beraksi di depan 30,000 penonton, Pahang membuka tirai jaringan menerusi peledak import, Matias Conti hasil sepakan penalti pada minit ke-28. Tonggak Harimau Malaya, Mohd. Azamuddin Akil terus memberi tekanan kepada PKNS apabila menjaringkan gol kedua Tok Gajah pada minit ke-59. Tersentak dengan dua jaringan Pahang, PKNS kembali mempamerkan corak persembahan agresif dengan melancarkan asakan ke kubu pertahanan lawan. Asakan bertubi-tubi itu memberikan hasil kepada PKNS apabila Khairul Azrin Khazali meledak gol pada minit ke-66. PKNS terus bangkit bagi memburu gol dalam tempoh 10 minit terakhir perlawanan, namun gagal menambah sebarang jaringan sehingga tiupan wisel terakhir. "Kejayaan ini hadir daripada 120 peratus komitmen barisan pemain Pahang. Saya sangat gembira kami berjaya mara ke pusingan separuh akhir. "Kini saya berazam untuk membantu Pahang mara ke final," jelas Azamuddin. Jurulatih PKNS, Abdul Rahman Ibrahim memberitahu, beliau tetap berbangga dengan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas kepada Pahang. "Saya tidak puas hati dengan jaringan pertama Pahang dan gol kedua mereka adalah hasil kesilapan pemain saya sendiri. "Begitupun, saya tetap berbangga dengan pencapaian PKNS dalam saingan Piala Malaysia kali ini berdasarkan pemain sedia ada," katanya. |
Posted: ATM 'bedil' Lions XIIOleh NOR AZIRAN YUNUS PENYERANG Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Marlon Alex James muncul wira apabila meledak hatrik bagi membantu The Gladiators mara ke saingan separuh akhir Piala Malaysia. Pada aksi suku akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Selayang malam tadi, tiga gol yang disumbangkan Marlon membolehkan ATM menang 4-1 ke atas juara Liga Super, Lions XII. Sebelum pertemuan di Selayang, Lions XII membawa bekalan satu gol selepas meraih kemenangan 1-0 pada aksi suku akhir pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura. Kemenangan bergaya di Selayang malam tadi menyaksikan ATM melangkah ke saingan separuh akhir dengan agregat 4-2. Beraksi di hadapan penyokong sendiri, beberapa percubaan merbahaya ATM pada awal perlawanan berjaya dinafikan oleh benteng pertahanan Lions XII. ATM akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan gol apabila pemain pertahanan Lions XII, Hariss Harun tertampan bola ke gawang sendiri. ATM terus melancarkan serangan ke kubu lawan dan hasilnya pada minit ke-32, Marlon berjaya menambah gol kedua The Gladiators selepas melepasi perangkap ofsaid. Bersambung babak kedua, Lions XII mula memperkemas rentak permainan dan pada minit ke-49, Hafiz Abu Sujad berjaya menjaringkan gol buat pasukan pelawat. Pada minit ke-70, Marlon membuktikan kewibawaannya selaku penjaring terbanyak Liga Super musim ini apabila berjaya menyempurnakan sepakan percuma dari sebelah kanan pintu gol Lions XII untuk gol ketiga ATM. Marlon terus menjelmakan watak pemusnahnya apabila tenang memperdaya dua pertahanan lawan seterusnya melengkapkan jaringan hatrik pada minit ke-83. Memasuki masa kecederaan, ATM terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas pemain pertahanan, Amiridzwan Taj Tajuddin dilayangkan kad merah kerana menyiku Fazrul Nawaz. |
Posted: Kelantan laung benam Johor DTOleh YATIMIN ABDULLAH HODAK (kanan) berkata sesuatu kepada kapten Kelantan, Mohd. Badhri Radzi pada sesi latihan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu semalam. KELANTAN mahu memadamkan kelebihan dua gol yang dimiliki Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam aksi suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini. Pengendali Kelantan, Bojan Hodak berkata, beliau optimis barisan pemainnya mampu bangkit dalam perlawanan tersebut, sekali gus menyekat kemaraan Johor DT untuk ke saingan separuh akhir. Beliau berkata, kelebihan beraksi di tempat sendiri menjadi tonik paling berharga buat The Red Warriors untuk mencatatkan kemenangan seterusnya memadamkan kelebihan jaringan yang dimiliki skuad Harimau Selatan. Menurutnya, moral barisan pemainnya kini berada pada tahap terbaik dan sudah bersedia untuk berhadapan dengan Johor DT. "Segala kelemahan yang ada dalam aksi pertama tempoh sudah diperbaiki. Saya penuh yakin untuk perlawanan ini kita akan tampil dengan segala kekuatan yang ada. "Walaupun ramai menganggap kita berdepan dengan tekanan dalam aksi kedua, namun bagi saya... kami tetap bermain seperti biasa sebagaimana menghadapi saingan sebelum ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam. Hodak mengakui, pasukannya perlu mendapatkan jaringan awal dalam perlawanan tersebut sebagai pembakar semangat untuk memadamkan kelebihan jaringan lawan. Sehubungan itu, Hodak berkata, The Red Warriors harus menggunakan setiap peluang yang dimiliki dengan menjaringkan gol pada perlawanan tersebut. "Kami tidak boleh melepaskan setiap peluang yang dimiliki dan saya berkeyakinan tinggi barisan pemain mampu melakukan tugas mereka dengan baik dalam perlawanan ini," ujarnya. Sementara itu, pengurus Kelantan, Azman Ibrahim tetap yakin anak-anak buahnya mampu bangkit untuk memadam kelebihan jaringan yang dimiliki Johor DT. "Jika pemain beraksi dengan penuh semangat, kami mampu memadamkan kelebihan yang dimiliki oleh mereka. Tempoh 90 minit cukup panjang dan kami perlu manfaatkan setiap peluang yang dimiliki. "Kalau kami dapat hasilkan jaringan awal dalam separuh masa pertama, kami mungkin mempunyai peluang lebih cerah dalam perlawanan tersebut," katanya. Pada aksi suku akhir pertama di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin minggu lalu, Kelantan tumbang 2-4. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Sukan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |