Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Kraf Malaysia dapat sambutan antarabangsa Posted: Kraf Malaysia dapat sambutan antarabangsaOleh NADIA SHAIFUL BAHARI SAPIE JUSOH menunjukkan koleksi kraf wau yang dihasilkannya. PENGGEMAR barangan kraf tempatan masih berkesempatan untuk mendapatkan pelbagai barangan menarik dan unik pada harga berpatutan sempena Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman yang akan berakhir esok. Program tersebut bermula sejak 27 September lalu di Kompleks Kraf, Jalan Conlay, Kuala Lumpur dan ia dibuka seawal pukul 10 pagi hingga 10 malam. Antara produk kraf paling mendapat sambutan ialah barangan tekstil seperti batik sutera, tenunan dan songket. Pemilik Batik Blok MJ, Siti Nureza Mohd. Razali, 28, berkata, sambutan orang ramai terhadap batik yang dijualnya amat menggalakkan. "Sepanjang menyertai Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Taman ini, memang ramai pengunjung yang datang dan membeli batik. Saya gembira dengan peluang yang disediakan oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia). "Batik yang saya jual dicetak di Kota Bharu, Kelantan dan berharga RM25 hingga RM380 sepasang," katanya ketika ditemui baru-baru ini. Lebih tinggi Dalam pada itu, pengusaha produk berasaskan herba, Goh Kok Keong menjual barangan sabun tanpa pengawet buatan sendiri. Sabun herba itu mampu menyembuhkan alahan kulit, kedutan dan mencerahkan wajah serta menghilangkan jerawat. Ia dijual pada harga RM50 ke RM60 sebuku. Baginya, hasil jualan yang diperoleh di program tersebut lebih tinggi berbanding di premisnya di Bazar Kejiranan, Subang Jaya, Selangor. "Sepanjang menyertai program ini selama hampir 10 hari, saya berjaya menjual sabun herba hingga mencecah RM1,000 sehari. "Saya harap program seperti ini diadakan lebih kerap bagi membantu usahawan kraf tempatan seperti saya memasarkan produk kepada orang ramai," katanya yang sudah tiga tahun menyertai program anjuran Kraftangan Malaysia itu. KAIN tenun yang dijual di tapak lokasi Promosi Hiasan Dalaman dan Seni Hiasan ini mendapat sambutan luar biasa daripada pelanggan. Promosi tersebut merupakan gabungan aktiviti yang mengetengahkan produk kraf bagi hiasan dalaman, dekorasi dan seni taman seperti seni bina landskap. Peraduan Produk berkenaan boleh disesuaikan untuk kediaman, ruang pejabat, hotel mahupun pusat peranginan. Promosi yang masuk kali ketujuh dianjurkan itu menggunakan elemen kraf tempatan seperti tekstil, hasil rimba, hasil tanah, logam, komponen arkitek dan aneka barangan kraf. Seramai 28 usahawan kraf menyertai aktiviti demonstrasi produk kraf membuat ukiran batu, patung, sangkar burung, gambus dan terompah Melayu di Aras B kompleks tersebut. Bagi terus menarik minat pengunjung, pihak penganjur turut mengadakan beberapa peraduan menarik sepanjang tempoh promosi. Antaranya, pertandingan ukiran buah, hiasan sarung kusyen, Craft Chef of The Day (yang berlangsung hari ini) dan congkak pada hari esok. Promosi tersebut dirasmikan oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz. Beliau berkata, potensi pasaran bagi produk berasaskan kraf tempatan amat luas untuk diterokai. "Nilai jualan kraf tempatan di dalam dan luar negara meningkat dari RM143.5 juta pada tahun 2011 kepada RM341.9 juta pada tahun lalu. "Nilai jualan yang direkodkan sehingga Ogos lalu sudah mencatatkan sebanyak RM293.5 juta," katanya semasa berucap pada majlis perasmian promosi tersebut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |