Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
- Komputer pretasi tinggi harga berpatutan
- Cabaran Dew Xtreme lebih getir
- Peluang hayati karya seni potret
Komputer pretasi tinggi harga berpatutan Posted: Komputer pretasi tinggi harga berpatutanOleh AMMAR JAZLAN MAD LELA KOMPUTER riba HP Pavilion TouchSmart 14 Sleekbook sesuai untuk pengguna yang mementingkan prestasi komputer untuk kegunaan harian. HEWLETT-PACKARD (M) Sdn. Bhd. (HP) baru-baru ini mengumumkan variasi produk terbaharunya dengan cip pemproses AMD, sekali gus menawarkan komputer berprestasi tinggi untuk kegunaan harian pada harga berpatutan. Variasi komputer itu terdiri daripada HP Pavilion TouchSmart 14 Sleekbook, HP Pavilion TouchSmart 11, HP Pavillion TouchSmart 20 dan unit pemprosesan pusat (CPU) HP Envy 110 Desktop PC. Pengurus Besar Percetakan dan Sistem Peribadi Malaysia dan Singapura, Serena Yong berkata, variasi produk yang baharu dilancarkan itu sesuai bagi semua peringkat pengguna di negara ini. Katanya, model komputer riba, HP Pavilion TouchSmart 14 Sleekbook misalnya, sesuai untuk pengguna yang mementingkan prestasi sesebuah komputer sama ada untuk kegunaan harian atau hiburan. "Model komputer peribadi HP Pavilion 20 TouchSmart pula menawarkan nilai-nilai ekonomi dengan konsep komputer 'semua dalam satu' yang menawarkan skrin lebar 20 inci (50.8 sentimeter). "Sementara itu, komputer riba HP Pavilion TouchSmart 11 yang lebih kecil dan ringan sesuai untuk kegunaan pelajar sekolah dan kolej manakala HP Envy 110 Desktop PC pula menawarkan pilihan komputer yang berkuasa," katanya ketika majlis pelancarannya di ibu negara baru-baru ini. Turut hadir ialah Pengurus Negara AMD Malaysia (Jualan), Alex Tan. Tambah Yong , HP menawarkan gaya baharu kepada pengguna agar kekal produktif dan pada masa yang sama menikmati pengalaman menyeronokkan melalui filem atau permainan video dengan paparan muka mesra pengguna pada harga yang berpatutan. "Kami berharap dengan variasi komputer baharu yang dikuasakan AMD ini memberi pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan sebuah peranti yang berkuasa, pelbagai fungsi dan berdaya saing," ujarnya. Sementara itu Tan berkata, sistem operasi AMD sememangnya direka untuk memberi kepuasan maksimum kepada pengguna. "Ia tidak sekadar sesuai untuk pelbagai tugasan harian seperti menghasilkan dokumen atau menyiapkan bahan-bahan persembahan tetapi juga mampu menawarkan pemprosesan grafik terbaik dan berkualiti tinggi sejajar dengan keperluan pengguna. "Variasi produk terbaharu HP dan AMD merupakan gabungan terbaik yang menawarkan rekaan dan kuasa yang dikehendaki pengguna tanpa berkompromi tentang harga," jelasnya. Di pasaran HP Pavilion TouchSmart 14 Sleekbook dijual pada harga RM2,199 (skrin sesentuh) dan RM1,899 (skrin biasa); HP Pavilion 20 TouchSmart (RM1,899); HP Pavilion TouchSmart 11 (RM1,299 hingga RM1,499) dan HP Envy 110 Desktop PC (RM899). |
Cabaran Dew Xtreme lebih getir Posted: Cabaran Dew Xtreme lebih getirPESERTA perlu melalui beberapa halangan sebelum melangkah ke peringkat akhir yang bakal diadakan pada 14 Disember ini di Berjaya Times Square, Kuala Lumpur. SUKAN ekstrem semakin mendapat tempat dalam masyarakat pada hari ini. Menyedari hakikat itu, jenama minuman terkemuka dari Amerika Syarikat, Mountain Dew menganjurkan Cabaran Dew Xtreme 2013 yang berlangsung bermula 12 Oktober hingga 14 Disember nanti. Memasuki edisi ketiga penganjurannya pada tahun ini, cabaran tersebut menjanjikan debaran adrenalin pada peserta melalui pelbagai aktiviti lasak dan mencabar berbanding siri-siri sebelumnya. Naib Presiden Pemasaran dan Pembangunan Perniagaan Permanis, R. Hemalatha berkata, pertandingan yang diadakan pada tahun ini menjanjikan cabaran lebih getir kerana peserta akan diuji di daratan, air dan udara. Katanya, selain perlu mempunyai kekuatan mental dan fizikal yang tinggi, Cabaran Dew Xtreme 2013 juga perlu melalui beberapa ujian yang disediakan di peringkat saringan sebelum melangkah ke peringkat akhir. "Kami sentiasa menyediakan cabaran yang sejajar dengan jenama yang menjadi pilihan kepada mereka yang bersemangat dan suka menguji diri dengan sesuatu yang ekstrem," katanya. Tambah Hemalatha, Cabaran Dew Xtreme 2013 akan berlangsung mengikut negeri di tujuh lokasi terpilih di seluruh negara. Antaranya, pusat beli-belah Berjaya Time Square, Kuala Lumpur pada 12 hingga 13 Oktober, Berjaya Megamall, Kuantan (19 hingga 20 Oktober), Citi Square, Johor Bahru (26 hingga 27 Oktober), The Curve, Selangor (9 hingga 10 November) dan Alor Star Mall, Kedah (15 hingga 16 November). Katanya, pemenang di setiap negeri, yang juga terdiri daripada peserta dalam talian, akan berentap antara satu sama lain sebelum memasuki pertandingan akhir yang dijangka diadakan di Berjaya Times Square pada 14 Disember ini. "Seramai 70 peserta dijangka bertanding di peringkat akhir nanti. Mereka akan diuji dari sudut keberanian, ketangkasan dan kecerdasan akal sehingga tinggal dua peserta terakhir. "Kedua-dua peserta ini akan berjuang habis-habisan dan berpeluang membawa pulang hadiah bernilai RM250,000 yang ditawarkan," jelasnya sambil memaklumkan pemenang utama akan membawa pulang sebuah trak Chevrolet Colorado 4x4 manakala tempat kedua pula sebuah kereta Chevrolet Sonic. Orang ramai yang berminat untuk menyertai cabaran di peringkat negeri boleh mendaftar melalui laman sosial Facebook (fb.com/MountainDewMalaysia) atau mengisi borang yang diedarkan di kolej-kolej dan universiti tempatan di seluruh negara. Pendaftaran juga boleh dilakukan di salah satu daripada tujuh lokasi pertandingan dengan hanya mendaftar dan mengikuti Dew Challenge yang dianjurkan. |
Peluang hayati karya seni potret Posted: Peluang hayati karya seni potretSEORANG pengunjung menghayati keindahan karya seni potret yang dihasilkan pelukis-pelukis hebat negara. ARENA seni tanah air mengorak langkah ke depan apabila penggiat-penggiat seni berpeluang mempamerkan karya masing-masing di Galeri Potret Negara (GPN), Kuala Lumpur. Ini berikutan, Balai Seni Visual Negara (BSVN) telah membuka Galeri Potret Negara (GPN) untuk tatapan umum, bermula Khamis lalu. Lebih manis, lebih 30 buah karya potret dan figuratif daripada seniman-seniman terbaik negara dihimpunkan buat pertama kali selepas 55 tahun BSVN ditubuhkan. Menurut Timbalan Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Abdul Ghaffar A. Tambi, penubuhan GPN bermatlamat untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan rakyat Malaysia terhadap identiti, stail, sejarah, budaya, kreativiti dan kepelbagaian seni menerusi karya seni potret. "Galeri ini merakamkan wajah rakyat Malaysia daripada pelbagai latar belakang, agama dan kaum yang mempunyai kepentingan dalam sejarah tanah air. "Secara tidak langsung, GPN mengangkat perkembangan seni catan potret di Malaysia dan sebagai penganugerahan kepada pelukis-pelukis potret negara," katanya. Bagaimanapun, katanya, ruang GPN di BSVN itu hanya bersifat sementara kerana pembinaan galeri di sebuah bangunan kekal akan dibina pada masa depan. Jelasnya, pembinaan GPN di lokasi tetap akan merancakkan dan memperluaskan lagi peranan BSVN dalam mempergiatkan aktiviti kesenian dalam negara. Setakat ini, BSVN mempunyai 500 koleksi lukisan potret pelbagai kategori. Sebahagian besarnya akan dipamerkan di GPN mengikut kronologi susur masa seni visual negara. Potret terawal Antara lukisan bersejarah yang dipamerkan ialah My Wife Wedding Dress, karya tahun 1933. Ia merupakan karya potret terawal negara yang dilukis oleh O.Don Peris menggunakan media cat minyak. Selain itu, terdapat juga lukisan oleh H.N Ridley yang menghasilkan karya potret Howard Barron. Dua lukisan daripada pemotret tersohor negara, Datuk Mohd. Hoessein Enas turut dipamerkan iaitu Potret Sendiri dan Minah. Beliau merupakan pelopor kepada stail konsisten dengan pegangan figuratif yang romantis. Mengulas kewujudan GPN, pelukis potret, Fadli Buhari berpendapat, ia merupakan satu usaha yang memberi manfaat kepada pelukis-pelukis negara, terutamanya pelukis potret. "Ia dilihat sebagai satu batu loncatan kepada artis yang terlibat dalam seni lukis potret kerana difahamkan selepas penubuhan GPN ini, akan ada lagi galeri seni serupa di beberapa negeri," ujarnya. Tambahnya, apabila semakin banyak galeri khusus dalam seni potret, masyarakat akan lebih menerima cabang lukisan tersebut. Berkecimpung dalam dunia lukisan sepenuh masa sejak lima tahun lepas, dia banyak merantau untuk melukis potret. Selain itu, dia turut melukis di beberapa lokasi seni popular sekitar ibu kota seperti Jalan Bukit Bintang dan Pasar Seni. "Sesetengah pelukis berpendapat, jika seorang pelukis itu mahir dalam lukisan potret dan figura, dia mampu menguasai cabang seni lukis lain," katanya. Jelas Fadli atau dikenali sebagai Imam dalam kalangan penggiat seni tempatan, pelukis potret mempunyai ketelitian dalam beberapa perkara seperti lukisan wajah, jari-jari dan pergerakan anggota. "Sesetengah pelukis cabang lain, contohnya pelukis pemandangan, merasakan mereka tidak dapat menghasilkan lukisan yang terlalu teliti seperti yang dilakukan pelukis potret dan figura," tambah Fadli. Sementara itu, orang ramai yang ingin mengunjungi GPN, ia dibuka secara percuma setiap hari dari 10 pagi hingga 6 petang atau dapatkan maklumat lanjut di laman web www.artgallery.gov.my. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |