{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Daging lembu didakwa naik harga

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Pengunjung memilih barangan keperluan di Pasar Chow Kit Kuala Lumpur semalam sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidiladha. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Pasar pagi terbesar di Kuala Lumpur, Pasar Jalan Raja Bot di Chow Kit lebih sibuk daripada kebiasaan hari ini apabila warga kota bertumpu ke situ untuk mencari barangan bagi persediaan menyambut Aidiladha esok.

Rata-rata pengunjung yang ditemui berkata, mereka memilih untuk menyambut Aidiladha di Kuala Lumpur sahaja dan semua barangan yang dibeli hari ini adalah untuk memasak pelbagai juadah istimewa.

Begitu pun tidak kurang yang menyatakan rasa tidak puas hati apabila mereka mendapati berlaku kenaikan harga barangan di premis yang turut dikenali sebagai Pasar Chow Kit itu.

Kenaikan tersebut menyebabkan mereka terpaksa menahan diri daripada membeli sesetengah barangan kerana dirasakan terlalu mahal.

Dalam keadaan pasar yang semakin sesak, sempit dan kotor, para pengunjung berpendapat adalah tidak berbaloi berlaku kenaikan harga-harga barang terutama pada ikan, ayam, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan.

Suri rumah Ziana Md. Daud, 36, berkata, dia terkejut apabila mendapati secekak daun selom yang lazimnya berharga 50 sen dijual dengan harga RM1 yang baginya adalah terlalu mahal.

"Itu baru satu jenis barang, saya percaya banyak lagi barang-barang di pasar ini naik harga tanpa kita sedari. Walaupun cili merah dijual RM8 sekilogram tetapi didapati cili tersebut rata-rata sudah layu dan tidak lagi segar.

"Begitu juga dengan daging lembu yang dijual, daripada biasanya harga RM12-RM13 sekilogram, kini dijual dengan harga RM15 sekilogram, sedangkan daging tersebut daging beku import.

"Saya berharap sangat agar kerajaan berusaha untuk memastikan bekalan daging lembu segar tempatan adalah mencukupi terutama ketika musim perayaan," katanya.

Pekerja pasar raya, Siti Salwa Yusuf, 35, pula membatalkan niat untuk membeli daging lembu untuk dijadikan juadah istimewa sempena Aidiladha setelah mendapati harganya RM15 sekilogram.

"Terpaksalah saya beli ayam pencen, tetapi sama ada saiz ayam itu kecil atau besar, ayam tersebut dijual dengan harga RM7 dan RM8 seekor, agak mahal juga. Hendak beli ayam segar pula walaupun rata-rata penjual menjual dengan harga RM7.50 sekilogram tetapi kita boleh dapat dengan harga RM6.50 jika membeli di pasar raya.

"Lebih berbaloi membelinya di pasar raya yang keadaannya lebih bersih," katanya.

Pasangan suami isteri Hassan Hamdan dan Shamsiah Ibrahim pula membeli daun palas dan ketupat untuk dianyam menjadi ketupat.

"Kami datang dari Johor dan singgah di pasar ini membeli daun-daun ini. Daun palas agak murah, iaitu antara RM2 dan RM3 setiap satu pelepah yang boleh menghasilkan hampir 100 biji ketupat. Tidak berbaloi untuk mencarinya di hutan, baik beli sahaja di pasar dan harganya pula murah," kata Shamsiah.

Seorang penjual kelongsong ketupat yang mahu dikenali sebagai Ani sahaja berkata, dia tetap menjual pada harga RM5 bagi setiap 10 biji.

"Setiap tahun harga tetap sama, tidak perlu naikkan harga kerana daun kelapa masih mudah untuk diperoleh," katanya.

ETS pilihan warga kota pulang ke kampung

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

ORANG ramai bergegas untuk menaiki ETS di stesen KL Sentral di Kuala Lumpur untuk pulang ke kampung masing-masing semalam.

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Walaupun cuti umum hanya sehari warga kota tetap mahu merayakan Aidiladha esok di kampung halaman masing-masing, dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menjadi pilihan mereka untuk sampai ke destinasi.

Sebahagian warga kota mula meninggalkan rumah ibu negara sejak Jumaat lalu tetapi masih ramai lagi yang memilih untuk kembali ke kampung halaman pada hari ini lantas menyaksikan stesen KTMB di KL Sentral dipenuhi perantau.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, kira-kira 200 penumpang sedang menunggu untuk menaiki ETS dan mereka yang ditemui menyatakan lebih selesa menaiki pengangkutan awam itu kerana tidak perlu bersesak di jalan raya.

Kira-kira pukul 1 petang tadi, tren yang membawa penumpang berlepas ke Ipoh disusuli oleh tren menghala ke arah utara satu jam kemudian.

Seorang pekerja swasta, Julia Amirah Azman, 23, berkata, ETS menjadi pilihannya untuk pulang ke kampung kerana stesen perkhidmatan itu di Tapah, Perak berdekatan dengan rumah ibu bapanya.

"Sempena Aidiladha, saya bercuti selama tiga hari bermula semalam dan pulang semula ke ibu kota pada lusa. Persiapan kami hanya bersifat sederhana untuk esok selain merayakan bersama-sama orang tua dan adik-beradik.

"Erti sebuah pengorbanan bagi saya buat adalah bekerja dengan penuh dedikasi untuk membantu ibu bapa saya di kampung," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Ernii Zainal Abidin, 30, berkata, mereka sekeluarga tetap mahu pulang walaupun sebentar bagi melepaskan rindu menyambut Aidiladha di kampung.

"Tidak kisah sekejap, pastinya kerinduan terubat apabila bersama-sama ibu bapa. Persiapan juga dibuat secara bersederhana selain menolong keluarga mentua menyediakan juadah untuk Aidiladha," ujarnya.

Noh cadang tubuh Gema di setiap Parlimen

Posted: 14 Oct 2013 11:53 AM PDT

KUALA SELANGOR 14 Okt. - Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar mencadangkan agar setiap Parlimen di negeri ini menubuhkan Gerakan Mahasiswa (Gema) bagi membolehkan lebih banyak aktiviti bercorak pendidikan dan kemasyarakatan melibatkan mahasiswa dijalankan di kawasan masing-masing.

Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata, penubuhan Gema juga akan membolehkan mahasiswa yang merupakan anak tempatan di kawasan Parlimen yang terlibat memberikan sumbangan dengan cara mengadakan kelas tuisyen dan aktiviti bermanfaat lain.

"Gema ini bukan pertubuhan politik tetapi lebih kepada gerakan sukarelawan yang membolehkan mahasiswa membantu masyarakat setempat di mana mereka berasal.

"Mahasiswa ini perlu diberikan peluang untuk berbakti kepada masyarakat terutama kerana mereka mempunyai kebolehan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Gema Tanjong Karang dan menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang Parlimen Tanjong Karang kepada 311 pelajar termasuk pelajar universiti, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di sini hari ini.

Menurut Noh, dalam pengetahuannya setakat ini, hanya Parlimen Tanjong Karang dan Sabak Bernam telah menubuhkan Gema.

Sementara itu, Pengerusi Gema Tanjung Karang, Mohd. Ridzuan Mekedad berkata, sejak ditubuhkan pertengahan tahun ini, Gema Tanjong Karang telah mengumpul 270 ahli yang terdiri daripada mahasiswa dan alumni universiti.

"Antara aktiviti yang telah diadakan ialah mengagihkan bubur lambuk, majlis perasmian bazar Ramadan dan aktiviti hari ini.

"Kami bercadang untuk mengadakan kelas tuisyen dan tip untuk memilih kursus ke universiti kepada para pelajar terutama calon SPM dan STPM," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat