Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Sindiket dadah hotel bajet tumpas
- Pulihara 250 bangunan lama sebagai tarikan pelancongan
- Konvokesyen Ke-13 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bermula hari ini
Sindiket dadah hotel bajet tumpas Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT Oleh ZULHISHAM ISAHAK HARUN Idris menunjukkan syabu dan barangan lain yang dirampas pada sidang akhbar di IPD Ledang, Johor, semalam. - UTUSAN/Zulhisham Isahak LEDANG 4 Okt. - Polis menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang beroperasi di hotel-hotel bajet di bandar ini dan Muar ekoran penahanan dua pasang kekasih serta merampas dadah berjumlah RM196,800 di Kampung Pagar Laut, Kesang di sini kelmarin. Ketua Polis Daerah Ledang, Supritendan Harun Idris berkata, serbuan dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang hasil maklumat dan risikan. "Dalam serbuan itu, kita menahan seorang lelaki berusia 33 tahun dan dua perempuan berusia 19 dan 30 tahun di luar rumah. Hasil pemeriksaan sebuah kereta Honda Accord yang bernombor pendaftaran Singapura di situ, kita menemukan 26.5 gram dadah jenis syabu. "Di dalam rumah pula kita menahan seorang lelaki berusia 25 tahun dan merampas 31.12 gram heroin, 56.4 gram syabu, wang tunai RM3,000, barang kemas bernilai kira-kira RM5,000, alat timbang dan peket plastik," katanya dalam sidang akhbar di IPD Ledang di sini hari ini. Katanya, modus operandi mereka adalah dengan menyewa hotel-hotel bajet untuk urusan jual beli dadah menggunakan wang tunai atau barangan kemas selain menggunakan kereta bernombor pendaftaran warga asing untuk mengaburi pihak berkuasa. Beliau berkata, hasil siasatan mendapati kegiatan tersebut sudah dilakukan sejak Januari lalu dan pihaknya masih menyiasat sumber bekalan dadah berkenaan diperolehi. "Kesemua syabu yang dirampas itu boleh dibekalkan kepada 3,500 penagih manakala heroin itu antara 1,500 hingga 1,600 penagih," ujar beliau. Harun memberitahu, kesemua suspek didapati positif syabu dan direman sehingga Rabu depan, sementara kes itu disiasat di bawah Seksyen 39A (1) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. |
Pulihara 250 bangunan lama sebagai tarikan pelancongan Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT Cheng Chean Chiang (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata berupa kaligrafi Cina kepada Tee Siew Kiong sempena Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Muzium Persatuan Kwong Siew Wai Kuan di Johor Bahru, semalam. JOHOR BAHRU 4 Okt. - Pemilik dan penyewa kepada bangunan lama yang diklasifikasikan sebagai bangunan ikonik dan bersejarah di bandar raya ini digesa terus memelihara dan memulihara bangunan tersebut bagi menarik lebih ramai pelancong ke sini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong berkata, bandar raya ini mempunyai lebih 250 buah bangunan lama yang mempunyai nilai sejarah yang harus dikekalkan. "Bangunan-bangunan lama ini ada yang telah berusia lebih puluhan, malahan ratusan tahun seperti kedai-kedai lama, masjid dan rumah ibadah yang seharusnya diuruskan dengan baik. "Ini kerana, bukan sahaja mempunyai banyak nilai-nilai sejarah, malah turut menjadi salah satu daya tarikan pelancong ke negeri ini, khususnya di bandar raya Johor Bahru," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Semula Muzium Persatuan Kwong Siew Wai Kuan di Jalan Siu Nam di sini semalam. Yang turut hadir Presiden Persatuan Kwong Siew Wai Kuan, Cheng Chean Chiang. Siew Kiong berkata, pemilik bangunan seperti premis perniagaan dinasihatkan untuk meneruskan perniagaan masing-masing atau menyewakannya kepada orang lain bagi mengelakkan bangunan tersebut terbiar begitu sahaja. "Jangan tutup kedai, jika tidak mahu berniaga, sewakan kepada mana-mana pihak yang berminat. Kita tidak mahu dalam 10 kedai, hanya tiga sahaja dibuka sementara tujuh yang lain sekadar menjadi stor. "Jika peniaga membiarkan sahaja bangunan tersebut begitu sahaja, ini bukan sahaja merugikan mereka, malah pada masa sama hanya akan mencacatkan imej bangunan bersejarah di Johor Bahru sahaja," katanya lagi. |
Konvokesyen Ke-13 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bermula hari ini Posted: 04 Oct 2013 11:40 AM PDT JOHOR BAHRU 4 Okt. - Sebanyak 3,519 orang siswazah akan menerima ijazah dan diploma masing-masing merangkumi pelbagai peringkat pengajian iaitu ijazah doktor falsafah (PhD), sarjana, sarjana muda dan diploma dalam Majlis Konvokesyen kali ke-13 Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) selama tiga hari bermula esok. Penolong Pegawai Perhubungan Awamnya, Noorhafiza Ismail berkata, majlis yang berlangsung di Dewan Konvokesyen itu telah diperkenankan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang juga Canselor UTHM dan baginda akan mencemar duli bagi menyempurnakan sidang pertama konvokesyen bermula 9 pagi esok. "Konvokesyen kali ini juga akan menyaksikan penganugerahan ijazah kehormat doktor falsafah kepada Gabenor Daerah Istimewa Jogyakarta, Sri Sultan Hamengku Buwono X, bagi menghargai jasa tokoh negarawan Indonesia itu yang telah banyak menyumbang dalam pembangunan semula Wilayah Jogjakarta setelah bencana Merapi. "Ini merangkumi pembangunan semula ekonomi serta sosial wilayah tersebut. Kesungguhan beliau dalam mentadbir wilayah dan menjadikan sektor pendidikan sebagai fokus utama dalam pemerintahannya telah melayakkan diri beliau untuk menerima anugerah tersebut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Menurut Noorhafiza, sidang kedua majlis konvokesyen akan disempurnakan Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Tan Sri Dr. Ir. Jamilus Md. Hussin dan akan menyaksikan penganugerahan gelaran Profesor Emeritus kepada Profesor Datuk Dr. Ismail Bakar bagi menghargai sumbangan beliau dalam bidang pendidikan, khususnya kejuruteraan awam. Tambahnya, Ismail yang merupakan bekas Naib Canselor UTHM adalah seorang tokoh akademik lulusan PhD dari Bradford University, United Kingdom telah berkhidmat di UTHM sejak 1997 dan bersara wajib pada 2008, namun meneruskan khidmat secara kontrak serta diamanahkan menjadi Ketua Pusat Penyelidikan Tanah Lembut di universiti ini sehingga kini. Bersempena konvokesyen ini juga, katanya, UTHM turut mengadakan Majlis Pemakaian Hud Graduan Siswazah kepada graduan peringkat ijazah doktor falsafah (14 orang) dan sarjana (37 orang) bertempat di Dewan Tunku Ibrahim Ismail semalam, bagi meraikan kejayaan mereka. "Bagi meneruskan tradisi seperti tahun-tahun sebelumnya, UTHM juga telah mengadakan perarakan konvokesyen ala Town and Gown bermula pada pukul 8 malam, 28 September lalu bertempat di Dataran Penggaram Batu Pahat, bertujuan memaklum penduduk daerah ini tentang Majlis Konvokesyen Ke-13 UTHM. "Bagi memeriahkan sambutan konvokesyen pada kali ini, UTHM juga akan menganjurkan Pesta Konvokesyen yang bermula pada 1 hingga 7 Oktober ini bertempat di padang kawad Palapes UTHM. Pesta Konvokesyen, melibatkan penyertaan lebih 50 kelab yang bernaung di bawah UTHM dan akan dimeriahkan dengan kira-kira 400 gerai jualan," katanya lagi. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |