Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Segamat, Muar sesuai bina RTC
- Kumpulan Seri Putera juara Ghazal Terbuka Johor
- Misi penting Mohammad Khairi perkasa Melayu Gelang Patah
Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Oleh MOHAMED SAARI Ayub Rahmat (tengah) menyerahkan peruntukan kepada salah seorang penerima dalam Majlis Penyampaian Peruntukan Projek-Projek Kecil di DUN Kemelah, Segamat, baru-baru ini. SEGAMAT 28 Okt. - Pembangunan di negeri ini tidak seharusnya tertumpu di sesuatu kawasan sahaja malah kemajuan wilayah di sebelah utara Johor seperti Muar dan Segamat juga perlu diteliti supaya tidak ketinggalan dalam arus pembangunan. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, perindustrian baharu berskala besar dan pembangunan hebat seperti Iskandar Malaysia mampu membangunkan daerah-daerah terlibat terutama di Johor selatan. "Saya dulu pernah mencadangkan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) dibina di Segamat tetapi UTC berkenaan dibina di Kulaijaya. Sepatutnya, daerah Segamat dan Muar adalah lokasi strategik untuk pembinaan RTC kerana Kulaijaya termasuk dalam pembangunan Iskandar Malaysia. "Walau bagaimanapun, isu ini telah mendapat perhatian Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan beliau juga sedia maklum mengenai perkara ini," katanya selepas Majlis Penyampaian Peruntukan Projek-Projek Kecil di DUN Kemelah, di sini kelmarin. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah berkata, kawasan yang diwakilinya juga banyak mengalami perubahan prasarana lebih baik berbanding beberapa tahun kebelakangan ini seperti Klinik 1Malaysia di Bukit Siput, pembinaan beberapa buah sekolah agama dan sebuah Maktab Rendah Sains Malaysia (MRSM) yang bakal dibina. Menurutnya, dua buah sekolah agama telah siap dibina iaitu Sekolah Agama Pogoh dan Sekolah Agama Bandar Putra sementara Sekolah Agama Melayu Raya, Bukit Siput dan Taman Pelangi sedang dibina. "Sekolah Agama Segamat Baru pula dalam proses mencari tanah menjadikan enam buah sekolah agama secara keseluruhan. Pembinaan MRSM pula dijangka bermula tahun hadapan dan sebuah sekolah menengah dan sekolah rendah juga akan dibina di Bukit Siput bagi memudahkan penduduk di sekitar kawasan berkenaan," katanya. Dalam pada itu, Ayub memaklumkan sejumlah RM150,000 telah diperuntukkan Pejabat Menteri Besar ke DUN Kemelah untuk pembangunan projek-projek kecil dan peruntukan tahunan tersebut diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya. |
Kumpulan Seri Putera juara Ghazal Terbuka Johor Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT Mohamed Khaled Nordin (tengah) menyampaikan replika cek kepada wakil kumpulan Seri Putera Ghazal selepas mereka muncul johan Pertandingan Ghazal Terbuka Johor 2013 di Pasir Gudang, Johor, malam kelmarin. JOHOR BAHRU 28 Okt. - Kumpulan Seri Putera Ghazal dari Kluang berjaya mempertahankan kejuaraan dalam Pertandingan Ghazal Terbuka Johor 2013 yang berlangsung di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, di sini malam tadi. Kejayaan mempertahankan kejuaraan bagi kategori Terbuka yang dimenangi dua tahun lalu itu melayakkan kumpulan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, trofi pusingan Pak Lomak dan sijil penyertaan. Wakil kumpulan tersebut, Zamri Zainir, 29, berkata, kemenangan dalam pertandingan dwi tahunan anjuran Yayasan Warisan Johor (YWJ) itu amat bermakna kepada sembilan ahli kumpulan yang ditubuhkan pada 1999. "Kami mengambil masa selama dua minggu untuk membuat latihan memandangkan sebelum ini kami sibuk dengan kerjaya masing-masing. "Sudah semestinya kemenangan ini sungguh bermakna kerana usaha kami generasi muda yang turut memartabatkan seni ghazal dihargai," katanya. Naib johan kategori Terbuka dimenangi Kumpulan Sri Muar Ghazal yang membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000 dan sijil penyertaan, manakala tempat ketiga diraih Kumpulan Aswarisan Ghazal dengan hadiah RM3,000 dan sijil penyertaan. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan dan Pengarah YWJ, Muhamad Fuad Radzuan. Tiga lagi kategori yang dipertandingkan pada pertandingan selama tiga hari itu ialah kategori Sekolah Rendah, Sekolah Menengah dan Harapan. Juara kategori Sekolah Rendah dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan Sri Tebrau, Johor Bahru yang membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, trofi pusingan Mokhtar Zam Zam dan sijil penyertaan. Kategori Sekolah Menengah pula dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan Dato' Sulaiman, Batu Pahat yang membawa pulang wang tunai RM3,000, piala pusingan Ahmad Jusoh dan sijil penyertaan, manakala kategori Harapan diungguli Kumpulan Seri Bayu dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membawa pulang RM4,000, piala pusingan S.A Aisyah dan sijil penyertaan. |
Misi penting Mohammad Khairi perkasa Melayu Gelang Patah Posted: 28 Oct 2013 11:59 AM PDT JOHOR BAHRU 28 Okt. - Pemuafakatan, pembangunan dan pemerkasaan orang Melayu di Gelang Patah menjadi misi penting buat Mohammad Khairi A. Malik selaku Ketua UMNO Bahagian Gelang Patah yang baharu sebagai persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kelak. Menurut beliau, pemuafakatan adalah penting dalam usaha pembangunan yang akan diperhebatkan melalui Yayasan Pembangunan Melayu Gelang Patah yang akan dimulakan dalam usaha membangkitkan jati diri anak muda Melayu kawasan tersebut serta mempertingkatkan ekonomi setempat. "UMNO Gelang Patah menjadi penyumbang kekuatan UMNO Johor dan kita akan pastikan pada PRU-14 nanti, kita akan mempertahankan Dewan Undangan Negeri (DUN) Nusajaya, cuba merampas DUN Skudai serta bekerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk memenangi kawasan Parlimen," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Mohammad Khairi mencatat kemenangan besar dalam pemilihan UMNO peringkat bahagian pada 19 Oktober lalu dengan mendapat 219 undi berbanding penyandang sebelumnya, Datuk Abdul Aziz Sapian yang sekadar mendapat 69 undi dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar dengan 96 undi. Karier politik beliau bermula sebagai Ketua Pemuda UMNO Cawangan Kampung Tiram Duku (1992-2004), AJK Pemuda UMNO Bahagian Pulai (1995), AJK Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah (1995), Setiausaha Pemuda UMNO Bahagian Gelang Patah (1998-2004) dan Ketua Pemuda UMNO Gelang Patah (2004-2008). Sebelum menjadi Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, beliau turut memegang jawatan yang sama ketika berkhidmat dengan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi serta Kementerian Pengajian Tinggi. Kata Mohammad Khairi, usaha tersebut juga melibatkan pemantauan secara khusus yang akan dilakukan setiap bulan kerana beliau berpendapat sudah tiba masanya untuk menggandakan usaha bermula dari sekarang. "Kita tidak boleh berdiam diri dan sekadar bercakap tentang penambahan ahli dan pengundi, sebaliknya kita perlu mengenal pasti punca jika sasaran tidak dicapai. UMNO Cawangan di Gelang Patah akan diperkasakan, begitu juga sayap-sayapnya dalam usaha tersebut," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |