Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
Kreativiti mencorak peti surat Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED Noraini Tohbeean bersama isteri dan anak ketika muncul juara dalam pertandingan peti surat kreatif, baru-baru ini. BATU PAHAT 23 Okt. - Suatu ketika dahulu peti surat merupakan medium perantara komunikasi yang penting bagi penduduk di seluruh dunia. Bagaimanapun dalam zaman yang serba canggih dan moden kini, penggunaan peti surat dipandang enteng dan bukan lagi terlalu istimewa. Masakan tidak, masyarakat hari ini juga lebih mudah mengutus pesanan atau pemberitahuan melalui e-mel atau khidmat pesanan ringkas. Bagi 'menghidupkan' semula suasana dan mengingati peranan peti surat yang merupakan sebahagian daripada landskap di depan rumah, Pemuda UMNO Cawangan Belahan Tampok dengan kerjasama Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat telah menganjurkan pertandingan menghasilkan peti surat kreatif baru-baru ini. Walaupun pada peringkat awal idea itu dikhuatiri kurang mendapat perhatian, namun penyertaan lebih 300 buah rumah memaksa penganjur membuat saringan. Daripada jumlah itu, hanya 30 peti surat paling kreatif diketengahkan untuk diadili oleh kumpulan posmen selain rakan laman Facebook dan Kumpulan Penduduk Kampung Belahan Tampok. Juara pertandingan itu membawa pulang hadiah wang tunai RM150 serta hamper manakala RM100 serta hamper untuk naib juara. Berkongsi kisah menyiapkan peti surat itu, Noraini Tohbeean, 50, yang muncul juara berkata, peti surat yang dinamakan Spongebob itu direka hasil idea anak kembarnya. Menurutnya, dengan menggunakan tong pengepam air tandas terbuang, dia dan dua anaknya mengambil watak kartun Spongebob sebagai bentuk peti surat mereka. "Dengan mengikut kehendak anak kembar saya iaitu Mohd. Azim dan Mohd. Azman yang berusia 12 tahun, saya menyiapkan peti surat berbentuk Spongebob untuk diletakkan di hadapan rumah bagi dinilai oleh penganjur. "Setelah siap, saya tidak pula menyasarkan untuk menjadi juara kerana rekaan itu lebih kepada idea anak saya selain ingin menyiapkan sesuatu yang kreatif di depan rumah. "Tetapi mungkin memang rezeki anak kembar ini, saya diumumkan sebagai juara kerana diberi markah tinggi oleh posmen yang mengisi surat selain undian melalui Facebook," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini. Naib juara pertandingan itu, Julkarnain Jori, 49, pula memberitahu, peti surat berbentuk robot disiapkan oleh anaknya selepas mereka berdua berkongsi idea. Katanya, selepas mendapat surat mengenai pertandingan itu, dia berbincang dengan anaknya, Mohd. Nadrin, 20, untuk menghasilkan sebuah peti surat yang unik dan kreatif menggunakan barangan terpakai di sekeliling rumah. "Setiap hari selepas anak saya pulang dari kerja, dia akan mencari barang terpakai di keliling rumah dan membentuk menjadi sebuah robot peti surat dalam tempoh seminggu. "Hasil gabungan, telefon terbuang, barangan motosikal dan tong cat, akhirnya Mohd. Nadrin berjaya menyiapkan peti surat itu untuk diletakkan di depan rumah, sekali gus turut dinilai dalam pertandingan berkenaan," katanya yang gembira diumumkan sebagai pemenang tempat kedua. |
Pertandingan erat hubungan kekeluargaan Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT Mohd. Azrai Ahmad (kanan) menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan peti surat kreatif di Kampung Belahan Tampok, Batu Bahat, baru-baru ini. BATU PAHAT 23 Okt. - Penganjuran pertandingan peti surat kreatif oleh Pemuda UMNO Cawangan Belahan Tampok dan Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat bukan sahaja berjaya mempamerkan kreativiti penduduk, malah mampu mengukuhkan ikatan institusi kekeluargaan. Ketua Pemuda UMNO Cawangan Belahan Tampok, Mohd. Azrai Ahmad berkata, usaha menganjurkan pertandingan itu adalah bertujuan mencantik dan menceriakan landskap kampung tersebut selain membudayakan kreativiti dan inovasi warga kampung berkenaan. Bagaimanapun, hasil rekaan yang kreatif itu berjaya memikat penduduk dari kampung lain untuk menempah peti surat yang dilihat kreatif bagi menghiasi kawasan di depan rumah. "Sebagai contoh, seorang peserta yang hanya memenangi peringkat saguhati dengan mencipta peti surat berbentuk sarang tebuan telah memikat orang luar untuk membuat tempahan. "Bermakna menerusi pertandingan tersebut, peti surat ciptaan penduduk berjaya dikomersialkan pula dan secara tidak langsung memberi sumber pendapatan baharu kepada mereka," katanya. Beliau berkata, UMNO Cawangan Belahan Tampok turut berterima kasih kepada Ketua Pemuda UMNO Bahagian Batu Pahat, Azizul Kamar Abdul Rahman yang menyumbang hadiah selain memberi kerjasama padu menjayakan pertandingan berkenaan. "Hasil pertandingan ini, kita secara tidak langsung berjaya mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan dalam kalangan penduduk apabila setiap keluarga bekerjasama menyiapkan peti surat mereka. "Bagi Pemuda UMNO, pertandingan ini merupakan kejayaan walaupun hanya setakat peringkat Kampung Belahan Tampok," katanya. |
Posted: 23 Oct 2013 11:22 AM PDT Oleh MUHAMMAD ZIKRI Md. Othman Yusof (tengah) diapit Suhaimi Salleh (kiri) dan Jefridin Atan yang memenangi jawatan masing-masing dalam Pemilihan UMNO Bahagian Tanjung Piai di Pontian, Johor, baru-baru ini. PONTIAN 23 Okt. - Barisan kepemimpinan UMNO Bahagian Tanjung Piai berikrar untuk merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pekan Nanas yang jatuh ke tangan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu. Ketuanya, Datuk Md. Othman Yusof yang berjaya mempertahankan jawatannya berkata, hala tuju itu akan dikongsi bersama barisan kepemimpinan yang baharu dipilih dengan pemimpin Barisan Nasional (BN) di bahagian berkenaan. Beliau berkata, faktor calon akan diberi penekanan supaya benar-benar menepati kehendak pengundi tempatan yang dikenal pasti sebagai punca BN kalah kepada DAP pada pilihan raya umum lalu. Dalam PRU-13 lalu, calon BN, Wong You Fong yang mendapat 12,767 undi, tewas kepada Yeo Tung Siong (DAP) dengan majoriti 2,669 undi. "Kita mempunyai tanggungjawab besar bagi menggalas harapan orang Melayu dan BN di Parlimen Tanjung Piai dalam menghadapi PRU-14 kelak," katanya di sini baru-baru ini. Dalam pertandingan tiga penjuru Sabtu lalu, Md. Othman memperoleh 228 undi menewaskan dua pencabarnya, Datuk Nasir Safar yang mendapat 191 undi dan Zakaria Yusof meraih 156 undi. Jawatan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai pula dimenangi Datuk Jefridin Atan manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup, Suhaimi Salleh memenangi jawatan Naib Ketua UMNO Bahagian. Selain itu, pihaknya turut akan memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan ekonomi orang Melayu di kawasan Parlimen Tanjung Piai yang termasuk dalam wilayah Iskandar Malaysia. "Dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, hala tuju UMNO bahagian adalah bagi memastikan orang Melayu mendapat faedah daripada pembangunan pesat yang berlaku di kawasan ini terutama dalam peluang pekerjaan dan sebagainya," katanya. Mengenai kemenangannya mempertahankan jawatan sebagai Ketua Bahagaian bagi tempoh sepenggal lagi, beliau yang juga bekas ADUN Kukup berterima kasih kepada para perwakilan yang terus memberi kepercayaan kepadanya. "Saya minta semua pihak dapat kembali bekerja dan meneruskan usaha bagi menarik sokongan orang Melayu dan bukan Melayu kepada BN dengan melupakan proses pemilihan yang telah berakhir," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |