Utusan Online - Pemotoran
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pemotoran |
Sorento baharu cukup praktikal Posted: 06 Oct 2013 12:02 PM PDT Oleh FAIRUS KASSIM KIA Sorento mampu memberi kepuasan kepada mereka yang berkeluarga. KENDERAAN untuk keluarga mestilah bersaiz besar, kapasiti lima hingga tujuh orang, bumbung lebih tinggi, selesa dan ruang kabin yang praktikal. Semua itu menjadi faktor utama yang terdapat pada Kia Sorento. Awal tahun ini, Kia telah memperkenalkan Sorento yang dipertingkat untuk pasaran Malaysia. Walaupun perubahan yang dibuat tidak terlalu ketara tetapi kenderaan utiliti sport (SUV) ini mempunyai kelebihan tersendiri. Dari hadapan, boleh dilihat jeriji 'hidung harimau' masih dikekalkan dengan lampu siang LED, lampu kabus dan lampu kecil yang menyala secara automatik apabila roda stereng diputarkan . Lampu berkenaan banyak membantu pemandu untuk memperoleh penglihatan yang lebih jelas apabila membelok atau memasuki simpang yang agak gelap. Rekaan luarnya tampak biasa sahaja tetapi kekal tegap dan memberi keyakinan kepada sesiapa sahaja dalam usaha melindungi keluarga tersayang semasa menempuh perjalanan yang jauh. Melihat ke bahagian belakangnya pula, perubahan dilakukan di bahagian lampu LED baharu dengan cahaya membentuk garisan hampir petak berbanding LED berbintik sebelum ini. Sorento baharu juga menggunakan sistem kunci pintar yang membolehkan pemandu membuka pintu dan menghidupkan enjin tanpa mengeluarkan kundi cari poket seluar. Selari dengan imej kereta keluarga, Sorento mempunyai saiz badan yang agak besar dan sedikit menyulitkan pemandu untuk melalui jalan yang sempit dan meletakkan kenderaan di ruang yang terhad. Bagaimanapun, Kia sudah pasti terkehadapan dalam memperkenalkan gajet dalam setiap kenderaannya. Pengesan yang terdapat di bahagian depan dan belakang Sorento banyak membantu pemandu mengagak jarak yang selamat. Penulis berpeluang memandu uji kenderaan ini semasa musim perayaan yang lepas untuk membuktikan keberkesanannya melaksanakan tugas sebagai pengangkutan utama keluarga. Ketika pulang ke kampung, kerusi di barisan ketiga boleh dilipat ke hadapan untuk memberi ruang yang luas untuk meletakkan beg dan kelengkapan keluarga lain. Semasa musim perayaan, tidak lengkap jika tidak kunjung mengunjung ke rumah saudara-mara dan ketika ini peranan Sorento cukup besar. Penulis cukup yakin untuk mempelawa saudara-mara untuk tumpang bersama. Seramai tujuh dewasa dan dua kanak-kanak mampu memenuhi kenderaan ini (atas kertas tujuh orang), satu pencapaian yang cukup baik. Ruang kabin juga sangat selesa membolehkan penumpang bergurau senda semasa menaikinya. Semuanya berjalan lancar, enjin 2.4 liter berkeupayaan untuk membawa muatan penuh tanpa sebarang masalah walaupun melalui jalan berbukit. Ruang kabin sangat ringkas tetapi praktikal dari setiap sudut dengan penekanan kepada keselesaan dan ruang. Secara keseluruhannya, penulis cukup berpuas hati dengan Sorento baharu ini. Cukup selesa dipandu dan cukup selesa untuk ditumpangi. |
Aprilia terbaharu temui peminat Malaysia Posted: 06 Oct 2013 12:02 PM PDT NAZA Premira melancarkan Aprilia Caponord 1,200 berharga RM83,888 di Kuala Lumpur, kelmarin. Majlis pelancaran disempurnakan Nik Danial Nik Mahmood (kiri) dan Naib Presiden Kanan EFTRA Group, Zakaria Ismail. - BERNAMA KUALA LUMPUR 6 Okt. - NAZA Premira Sdn. Bhd. menjangkakan jualan motosikal Aprilia akan meningkat menerusi pelancaran model terbaharu 2013, Aprilia Caponord 1,200 ABS, tahun depan. Naib Presiden, Naza Motor Bahagian Dua Roda, Nik Danial Nik Mahmood berkata, Caponord akan menyumbang 25 peratus kepada jualan pada 2014. Beliau berkata, pendaftaran Aprilia bagi tempoh enam bulan pertama 2013 sudah mengatasi keseluruhan pendaftaran pada 2012. "Kami menjangkakan dapat mengakhiri tahun ini dengan jualan lebih 400 unit dan menguasai tujuh peratus daripada pasaran motosikal berkuasa tinggi - prestasi terbaik setakat ini," katanya menerusi satu kenyataan, semalam. Jumlah jualan terbesar dijangka membabitkan model Shiver 750, katanya. Ia merupakan model kesembilan Aprilia di Malaysia yang meliputi RS4 125cc, Shiver 750cc dan V4 TUONO 1,000 cc. Model terbaharu memperoleh nama daripada Aprilia sebelum ini, ETV 1000 Caponord yang dikeluarkan pada 2001 menggunakan konsep 'enduro jalan' yang dipertingkat. Dengan pengenalan Caponord, barisan produk Aprilia kini lebih luas dan mampu bersaing dalam hampir setiap segmen pasaran motosikal besar, kata Nik Danial. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pemotoran To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |