Utusan Online - Selatan
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Selatan |
- Usaha pertingkat pelaburan
- Ekonomi Negeri Sembilan amat membanggakan
- Bekalan air Felda Gugusan Palong naik taraf
Posted: 01 Oct 2013 11:20 AM PDT MELAKA 1 Okt. - Kerajaan negeri akan terus mempergiat usaha mempertingkat pelaburan, mendorong produktiviti buruh serta merangsang kecekapan bagi mencapai matlamat ke arah negeri berpendapatan tinggi melalui pembaharuan ekonomi strategik dalam Model Baharu Ekonomi (MBE). Ketua Menteri, Datuk Idris Haron (gambar) berkata, matlamat utama MBE adalah ke arah berpendapatan tinggi dengan sasaran perkapita sebanyak RM48,497 hingga RM64,665 setahun pada 2020 dalam usaha membolehkan semua komuniti menikmati kekayaan negara tanpa menjejaskan generasi akan datang. Menurutnya, Melaka telah mencapai negeri maju pada 2010 melalui kerangka 32 indikator Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) meliputi lima sektor utama termasuk ekonomi, sosial, alam sekitar, infrastruktur dan pentadbiran. "Misi kerajaan negeri pada 2020 seterusnya adalah untuk mendokong misi dan visi negara menerusi acuan Melaka Maju, Negeri Bandar Teknologi Hijau dan berpendapatan tinggi. "Berdasarkan anggaran Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri, ekonomi Melaka perlu berkembang dengan purata 4.8 peratus setahun untuk menyamai tahap perkapita nasional iaitu RM52,700 pada 2020," katanya. Idris (BN-Sungai Udang) berkata demikian ketika menjawab soalan Amiruddin Yusof (BN-Ayer Limau) mengenai langkah dan tindakan sebenar MBE kerajaan negeri dalam melonjak ke arah status negeri berpendapatan tinggi dalam Persidangan Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-13 di Seri Negeri hari ini. Jelas Idris, kerajaan negeri akan memastikan pertumbuhan ekonomi ini menyokong golongan miskin dan memastikan tiada kumpulan dipinggirkan selain memenuhi keperluan asas rakyat. Menurutnya, kerajaan negeri juga menyasarkan bantuan dan pengukuhan keupayaan kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah. "Bagi ekonomi berpendapatan tinggi, kerajaan negeri akan memastikan rakyat boleh mendapat pilihan lebih banyak dan kuasa membeli yang lebih tinggi. "Rakyat juga berpeluang merasa kualiti hidup yang lebih baik serta peluang bagi meningkatkan mobiliti selain merasa keyakinan tinggi terhadap kekukuhan ekonomi," ujarnya. Tambahnya, kerajaan negeri juga telah mewujudkan Unit Pembela dan Pembangunan Desa bagi memainkan peranan dan tanggungjawab dalam memberikan bantuan kepada golongan miskin yang memerlukan. |
Ekonomi Negeri Sembilan amat membanggakan Posted: 01 Oct 2013 11:20 AM PDT SEREMBAN 1 Okt. - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berpuas hati dan gembira selepas menyaksikan banyak pencapaian yang telah dibuktikan oleh kerajaan negeri dibawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan. Titah baginda, pertumbuhan ekonomi negeri ini semakin baik, malah pada tahun 2012 sahaja, pelaburan asing dan tempatan dalam sektor perindustrian dan perkhidmatan telah meningkatkan sumbangannya kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri sebanyak RM24.63 bilion atau 88.9 peratus. "Kerajaan beta telah melepasi sasaran jumlah pelaburan tahunan sekurang-kurangnya sebanyak RM1 bilion setahun. Pada tahun 2011 dan 2102, jumlah pelaburan yang telah diluluskan jauh melepasi sasaran iaitu masing-masing RM5.9 bilion dan RM2.73 bilion, sekali gus mewujudkan lebih 10,000 peluang pekerjaan," titah baginda dalam Istiadat Pembukaan Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13, di sini semalam. Titah Tuanku Muhriz lagi, prestasi pelaksanaan projek pembangunan juga mencapai tahap 98 peratus dan menjadi salah satu daripada dua negeri yang memiliki prestasi pelaksanaan projek pembangunan melebihi peratusan berkenaan dan satu yang amat positif. "Jumlah kedatangan pelancong sejak kebelakangan ini juga telah menunjukkan peningkatan ketara iaitu 4.1 juta pada tahun 2012 berbanding 2.4 juta pada tahun sebelumnya," titah baginda. Pada masa sama juga, bagi memastikan rakyat di negeri ini memperoleh kediaman yang lebih selesa, baginda menyeru pemaju perumahan supaya tidak melupakan tanggungjawab sosial untuk membina lebih banyak rumah mampu milik yang berkualiti bagi menyokong usaha yang sedang dilakukan kerajaan negeri. "Kadar pengangguran pula semakin baik iaitu 3 peratus sahaja pada tahun lalu berbanding 3.2 peratus pada tahun 2010. Secara perbandingan pencapaian ini lebih baik daripada sebahagian negara-negara maju," titah baginda. Tuanku Muhriz turut melahirkan rasa sukacita dengan prestasi kewangan negeri yang mengutamakan pengurusan berhemah sehingga berjaya meningkatkan hasil setiap tahun dan meningkatkan rizab Kumpulan Wang Disatukan kepada RM347.47 juta sehingga Disember lalu. "Pencapaian yang memberansangkan ini telah meletakkan Negeri Sembilan di landasan yang betul untuk mencapai status negeri maju pada tahun 2020," titah baginda. Baginda turut berbangga apabila Negeri Sembilan merupakan antara dua negeri yang membuat pembayaran balik hutang secara tunai kepada kerajaan Persekutuan. |
Bekalan air Felda Gugusan Palong naik taraf Posted: 01 Oct 2013 11:20 AM PDT Mohamad Hasan SEREMBAN 1 Okt. - Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) merancang menaik taraf dan membaik pulih secara berperingkat sistem bekalan itu di Felda Gugusan Palong melalui Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB). Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kerja itu meliputi baik pulih dan naik taraf kolam Palong 2 serta menukar paip masuk dan keluar di Palong 3. "Kerja itu juga akan meliputi baik pulih dan naik taraf Kolam Palong 4, 5 dan 6, selain menaik taraf sistem pengepaman di Palong 7 dan 8," katanya pada hari kedua Persidangan Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri, Negeri Sembilan yang ke-13 di sini hari ini. Mohamad (BN-Rantau) yang menjawab saoalan lisan Datuk Lilah Yassin (BN-Palong) berkata, anggaran kos keseluruhan bagi projek itu ialah sekitar RM5.2 juta. Katanya, dahulu banyak kolam air ini tidak diselenggara atau berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan kawasan di Palong mengalami gangguan bekalan air dan menjadi lebih sulit pada waktu puncak iaitu hujung minggu atau musim perayaan. Selain itu, Mohamad memberitahu, kerja menukar paip lama kepada paip besi yang lebih tahan lama sedang dibuat di seluruh negeri dan kosnya adalah tinggi. Menjawab soalan lain oleh Lilah berkaitan perindustrian Negeri Sembilan Timur, Mohamad berkata, kerajaan akan terus meningkatkan ekonomi di situ selain berusaha menarik pelabur baharu serta menggalakkan pembangunan Industri Kecil Sederhana (IKS) di setiap daerah. "Kerajaan akan memastikan kemudahan infrastruktur di setiap kawasan perindustrian di naik taraf dan diselia dengan baik, selaras dengan keperluan operasi syarikat yang berteknologi tinggi. "Penyertaan syarikat terkemuka dari China dan India akan dibuat untuk mereka melabur dalam pengeluaran sumber atau bahan mentah berasaskan herba, selain menggalakkan pembangunan industri berasaskan pertanian," katanya. Sehingga kini, kata Mohamad, jumlah pelaburan yang diluluskan di daerah Jempol tahun lalu adalah sebanyak RM42.2 juta. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Selatan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |