{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Kerjasama dengan Institut Integriti Nasional, Jabatan Perdana Menteri

Posted: 01 Oct 2013 11:20 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

ALOR SETAR 1 Okt. - Kerajaan Kedah akan menjalin kerjasama dengan Institut Integriti Nasional, Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi membantu mengurus tadbir negeri dengan lebih baik dalam usaha menjadikan Kedah sebuah negeri berintegriti tinggi.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, negeri Kedah terpilih menjadi negeri pertama untuk bekerjasama dengan institut tersebut.

"Saya rasa terhormat kerana Kedah dipilih sebagai negeri contoh untuk melaksanakan satu program integriti yang akan membantu kerajaan negeri mengurus tadbir negeri.

"Kita akan bincang dengan terperinci selepas ini bagaimana untuk melaksanakannya, saya sebenarnya ternanti-nanti idea yang bakal dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low Seng Kuan dan rakan-rakan lain untuk bantu tingkatkan tahap urus tadbir di Kedah ini," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis Wacana Integriti Ke Arah Budaya Politik Yang Sihat dan Demokratik bersama ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, kerjasama itu seiring dengan apa yang dihasratkan kerajaan negeri untuk memastikan tahap integriti yang tinggi dalam kalangan anggota pentadbirannya.

"Dalam usaha untuk memajukan negeri banyak perkara yang kita hendak lakukan, semua itu akan menjadi payah sekiranya ada unsur-unsur yang melanggar etika atau integriti.

"Saya bimbang kalau tidak diberi perhatian yang sewajarnya mungkin projek yang kita mahu lancarkan itu tidak menjadi atau terbengkalai atau tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan," katanya.

Dalam pada itu, Seng Kuan berkata, pihaknya berharap Kedah menjadi model negeri yang mempunyai urus tadbir baik dalam tempoh dua atau tiga tahun lagi.

"Kita akan melakukan transformasi dari segi urus tadbir di Kedah dan berharap Kedah akan menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam soal integriti," katanya.

Sementara itu, Seng Kuan memberitahu, kerajaan meluluskan penubuhan pasukan pemantau bagi projek bernilai RM500 juta ke atas sekali gus menunjukkan kerajaan serius dalam soal integriti dan pembanterasan rasuah.

"Pasukan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) akan melawat semua negeri untuk menerangkan pelan integriti dan pembanterasan rasuah serta membantu syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) melaksanakan urus tadbir yang baik," ujarnya.

MBI perjelas kelewatan projek jambatan Jalan Lahat bernilai RM6.5 juta

Posted: 01 Oct 2013 11:20 AM PDT

Roshidi Hashim

IPOH 1 Okt. - Projek jambatan Jalan Lahat merentangi Sungai Guntong bernilai RM6.5 juta yang lewat siap kerana mempunyai beberapa kekangan, akhirnya dibuka untuk kegunaan orang ramai bermula hari ini.

Datuk Bandar, Datuk Roshidi Hashim berkata, projek tiga fasa yang merangkumi kerja pengalihan paip besar, pembinaan jambatan baharu, penurapan semula jalan serta pembinaan longkang itu pada asalnya dijadualkan siap pada Jun 2011.

"Semasa kerja pengalihan paip besar, Lembaga Air Perak (LAP) menetapkan syarat baharu iaitu mengkehendaki pemasangan 'steel truss' sebagai sokongan kepada paip berkenaan dan menyebabkan perkara ini berlanjutan sehingga 12 Jun 2012 walaupun kerja-kerjanya telah bermula Jun 2009.

"Apabila kontraktor mula memasuki tapak, mereka pula menemukan beberapa kabel milik syarikat telekomunikasi seperti Celcom, Maxis dan Time DotCom. Urusan pengalihan kabel tersebut hanya dapat diselesaikan pada pertengahan Februari lalu.

"Selain itu, sewaktu kerja-kerja sedang rancak dijalankan, pengusaha industri berhampiran pula membantah kerja-kerja pemasangan dinding konkrit kerana merasakan kerja itu mengganggu urusan operasi harian sehingga menyebabkan kita terpaksa mereka bentuk semula projek ini mengikut tuntutan mereka," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas turun padang merasmikan pembukaan jambatan itu di Jalan Lahat berhampiran Menglembu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Roshidi berkata, kerja-kerja penurapan semula jalan tersebut melibatkan kawasan sepanjang 690 meter dari persimpangan Falim ke persimpangan Pasar Borong Menglembu.

Namun katanya, pembinaan longkang besar di sekitarnya pula bagaimanapun akan disiapkan dalam tempoh seminggu ini.

"Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berasa kesal dan saya mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf atas kelewatan ini. Bagaimanapun, projek yang mengambil masa tidak kurang daripada tiga tahun ini bukannya disebabkan oleh kesalahan kontraktor," jelasnya.

Loji baharu TNB tampung kenaikan guna tenaga

Posted: 01 Oct 2013 11:20 AM PDT

PULAU PINANG 1 Okt. - Pembinaan dua loji jana kuasa arang batu di Manjung, Perak yang dibangunkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) mampu menampung kenaikan sehingga lima peratus guna tenaga tahun depan.

Naib Presiden (Penjanaan) TNB, Zainuddin Ibrahim berkata, loji jana kuasa berkapasiti 1,000 megawatt (MW) setiap satu itu dibangunkan di bawah pakej 3A dan dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

Menurutnya, kadar guna tenaga harian pernah mencecah 16,600 MW sehari pada Mei lalu dengan pengguna utama elektrik domestik, komersial dan industri.

"Dengan pembinaan dua loji jana kuasa di Manjung ini dijangka mampu menampung peningkatan sehingga lima peratus pada tahun akan datang berbanding kadar guna tenaga harian yang pernah mencecah maksimum 16,600 MW pada Mei lalu.

"Selain itu, sebuah lagi loji jana kuasa hidro bakal beroperasi dengan kapasiti 600 MW di Hulu Terengganu pada 2016," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Kumpulan Pengguna Arang Batu Sub Bitumen Asia Ketiga di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Urusan TNB Jana Manjung Shamsul Ahmad.

Tambah Zainuddin, selain loji jana kuasa gas asli sebanyak 50 peratus, Malaysia juga bergantung kepada arang batu dengan kadar penggunaan sehingga 40 peratus diikuti loji jana kuasa hidro dan tenaga boleh ubah.

Jelasnya, pada masa ini sebanyak 70 peratus bekalan arang batu diperoleh dari Indonesia manakala selebihnya Afrika dan Australia.

"Semua loji jana kuasa TNB menggunakan arang sub bitumen yang lebih mesra alam untuk alam sekitar yang dijangka mampu bertahan sehingga 200 tahun lagi.

"Dalam masa lima tahun lagi kita juga akan membangunkan tenaga boleh ubah sehingga lima peratus berbanding dua peratus kini," ujarnya.

Dalam pada itu, persidangan selama tiga hari bermula hari ini dihadiri sebanyak 140 peserta dari 15 negara dengan pembentangan 24 kertas kerja.

Persidangan itu juga menumpukan aspek keselamatan di loji jana kuasa seperti tahap kualiti udara dan alam sekitar serta isu kesihatan.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat