{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Pusat rehabilitasi dipertingkat

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 6 Okt. - Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, Seberang Takir di sini akan meningkatkan kualiti perkhidmatan sedia ada dan menambah peralatan bagi membolehkan masyarakat setempat menerima rawatan lebih meluas dan berkesan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, langkah itu dapat membantu memudahkan orang ramai mendapat rawatan lebih awal.

Beliau berkata, pada masa ini pusat tersebut tidak hanya memberi rawatan percuma kepada penduduk di DUN Seberang Takir, malah akan dinikmati juga masyarakat yang tinggal di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun katanya, setiap pesakit perlu mendapatkan surat sokongan dan pengesahan doktor di klinik-klinik kerajaan terlebih dahulu sebelum menerima rawatan di pusat berkenaan.

Menurut beliau, antara peralatan baharu yang akan diterima di pusat itu ialah khusus untuk memberi rawatan kepada kanak-kanak pendidikan khas yang bernilai RM60,000 yang dijangka memulakan perkhidmatan pada awal November depan.

"Selain itu pusat tersebut juga akan menempatkan seorang doktor pakar pelbagai penyakit secara bergilir-gilir pada setiap Sabtu untuk memberi rawatan dan khidmat kesihatan," katanya selepas merasmikan Program Kesihatan Institut Jantung Negara (IJN) Bersama Komuniti DUN Seberang Takir di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia, Seberang Takir di sini semalam.

Katanya, pada masa ini, antara aktiviti yang dijalankan di pusat berkenaan ialah penilaian dan rawatan kepada pesakit, memberi pendidikan kepada pesakit mengenai penjagaan rutin harian di rumah, memberi pendidikan kepada penjaga serta memantau keberkesanan rawatan kepada pesakit.

Selain itu, pusat tersebut juga menyediakan kemudahan pengangkutan secara percuma untuk menghantar dan mengambil pesakit dari rumah mereka ke pusat itu memandangkan ramai antara mereka yang tidak mempunyai kenderaan.

Pusat Rehabilitasi bernilai RM1 juta itu merupakan yang pertama di negara ini dan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Mei lalu.

Ahmad Razif yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sains dan Teknologi, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Air negeri berkata, kebanyakan pesakit yang berkunjung ke pusat itu adalah penghidap angin ahmar, jantung, buah pinggang, kencing manis dan darah tinggi.

Katanya, sehingga kini seramai 258 pesakit kronik terutama berkaitan saraf menerima rawatan di Pusat Rehabilitasi 1Malaysia Seberang Takir di sini, sejak pusat itu beroperasi Mei lalu dengan purata setiap hari dianggarkan antara 12 hingga 15 orang menerima rawatan di situ.

Dalam majlis itu, Pusat Rehabilitasi 1Malaysia turut menerima peruntukan bagi mengurus dan menambah peralatan bernilai RM187,291 dan bantuan geran tahunan sebanyak RM100,200 daripada Pejabat Perdana Menteri yang disampaikan oleh Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan negeri, Ahmad Shahrom Yasin.

Ahmad Razif berkata, dengan bantuan yang diperoleh itu, dapat memudahkan lagi pihaknya menggerakkan Pusat Rehabilitasi 1Malaysia dengan lebih efektif.

Peluang pekerjaan graduan KIST terbuka luas

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

Sebahagian daripada graduan meraikan kejayaan dalam Majlis Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Sains dan Teknologi Kali Ke-6 di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kelantan di Kota Bharu, kelmarin.

KOTA BHARU 6 Okt. - Peluang pekerjaan bagi graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) dalam perkhidmatan kesihatan terbuka luas sama ada di sektor awam atau swasta memandangkan pembangunan hospital yang semakin bertambah.

Presiden KIST, Muhammad Zamly Abdullah berkata, setakat ini hampir 100 peratus graduan KIST mendapat peluang pekerjaan terutamanya dalam bidang kejururawatan.

"Peluang terbuka luas kerana kerajaan telah menyediakan sehingga 2,300 kekosongan untuk diisi oleh graduan daripada kolej swasta," katanya kepada pemberita selepas Majlis Istiadat Konvokesyen KIST Kali Ke-6 di Auditorium Kompleks Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan di sini semalam.

Penyampaian sijil dan diploma kepada graduan KIST itu turut disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Penasihatnya, Datuk Tengku Putera Tengku Awang.

Dalam majlis tersebut, seramai 1,700 graduan KIST daripada Kampus Kelantan dan Terengganu menerima diploma masing-masing.

Muhammad Zamly berkata, tiada apa yang dapat membezakan graduan dari kolej swasta mahupun kerajaan kerana yang lebih penting adalah kualiti.

"Apa yang dapat dibezakan ialah kualiti kerana piawaian jururawat dari kolej swasta juga perlu menduduki dan lulus peperiksaan Lembaga Jururawat Malaysia," katanya.

Katanya, keupayaan graduan KIST diakui dan terbukti kerana mereka mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan.

"Sebahagian daripada mereka memperoleh pekerjaan yang sesuai sejurus menamatkan pengajian walaupun belum menerima diploma pada hari konvokesyen," katanya.

Kondominium berkonsep hijau pertama di Kelantan

Posted: 06 Oct 2013 12:03 PM PDT

KOTA BHARU 6 Okt. - Sebuah kondominium mewah berkonsepkan kehijauan serta lengkap dengan ciri-ciri mesra alam akan dilaksanakan di bandar ini sekali gus bakal merealisasikan cita rasa penduduk yang sememangnya sangat mengimpikan pembangunan sedemikian.

Pembangunan tersebut yang buat pertama kalinya dilaksanakan di negeri ini akan dilaksanakan oleh Ken Property Sdn. Bhd. (KPSB) anak syarikat Ken Holding Berhad dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK).

Pengerusi PKINK yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, projek berkenaan yang menelan kos RM48 juta akan dilaksanakan di Lot 17, Seksyen 16, Jalan Hamzah berhampiran pusat beli-belah terkenal KB Mall di sini.

''Projek kondominium 21 tingkat yang terdiri daripada 165 unit kediaman itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun,'' katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembangunan bersama di antara PKINK dan Ken Holding Berhad di salah sebuah hotel di sini hari ini.

Katanya, projek yang dibiayai sepenuhnya KPSB di tanah milik PKINK itu nanti turut bakal merangkumi pembinaan seperti pejabat pengurusan, surau, dewan masyarakat, tadika, gimnasium, kolam renang dan kawasan permainan kanak-kanak.

"Apabila siap projek itu nanti, akan membuka peluang kepada penduduk di negeri ini memiliki kediaman dalam kawasan bandar selain mampu memesatkan lagi pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

"Selain itu, PKINK juga bakal memperoleh keuntungan sebanyak RM5.7 juta hasil daripada projek ini," ujarnya.

Yang turut hadir, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Ken Holding Berhad, Datuk Kenny Tan Boon Kang; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Abdullah dan Ketua Eksekutif PKINK, Mohd. Sabri Abdullah.

Tambah Ahmad Yakob, beliau yakin projek berkenaan nanti akan mendapat sambutan baik daripada rakyat di negeri ini yang sememangnya berkeupayaan memiliki kediaman mewah seperti itu.

Sementara itu, Kenny pula berkata, pihaknya akan melaksanakan projek itu nanti dengan baik dalam usaha merealisasikan sebuah lagi gaya hidup masyarakat di negeri ini melalui kehidupan yang lebih selesa dan mapan.

"Syarikat kami yang menjadi perintis pembangunan berkonsep hijau atau mesra alam selama ini akan terus menitik beratkan konsep tersebut dan akan merealisasikan pembangunan mapan berkonsepkan hijau yang pertama di Kota Bharu ini," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat