Utusan Online - Johor
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Johor |
- Cuti 1,100 anggota dibekukan
- Sultan Johor ziarah, bantu mangsa banjir
- Usahawan khat juara Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2013
Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST Oleh MOHAMED SAARI ABDUL Ghani Daud (dua dari kiri) bersama Mohd. Yusof Gunnos (kanan) diiringi oleh Mohd. Aizad Mamat (kiri) ketika memeriksa kelengkapan bot di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra di Segamat, kelmarin. SEGAMAT 6 Dis. - Cuti bagi 1,100 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini dibekukan sehingga banjir yang melanda sejak Ahad lalu pulih sepenuhnya. Langkah tersebut diambil oleh JBPM supaya tugas membantu dan menyelamat mangsa bencana alam kali ini dapat dilaksanakan dengan sepenuh kekuatan yang ada. Pengarahnya, Datuk Abdul Ghani Daud berkata, sebanyak 40 bot, 16 lori muatan lima tan dan lain-lain kenderaan milik bomba dan penyelamat di negeri ini siap sedia untuk digerakkan ke kawasan dilanda bencana. "Apa yang pasti, bomba di Johor sentiasa bersedia 24 jam sehari lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu ini dan selaras dengan fungsi kami dalam Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai anggota bantuan apabila berlaku bencana. "Kami juga akan menggunakan segala kemudahan serta utiliti yang ada dan tidak teragak-agak untuk meminta bantuan daripada negeri lain khususnya Melaka dan Negeri Sembilan sekiranya memerlukan," katanya ketika melawat bilik operasi banjir di Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra di sini semalam. Yang turut hadir timbalannya, Mohd. Yusof Gunnos dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Mohd. Aizad Mamat. Menurut Abdul Ghani, tiada sesiapa pun mahu sebarang kemalangan jiwa berlaku dan demi merealisasikan hasrat tersebut, 42 anggota Unit Skuba JBPM Johor sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan yang berlaku terutama ketika cuaca tidak menentu ketika ini. "JBPM juga turut menerima panggilan kecemasan seperti kemalangan, kebakaran dan lain-lain lagi. Setakat ini panggilan kecemasan yang paling banyak diterima adalah di Mersing yang mana daerah tersebut mencatatkan jumlah mangsa banjir yang tinggi. Katanya, melalui maklumat yang diterima daripada anggotanya di sini, kebanyakan mangsa banjir berpindah sendiri berdasarkan pengalaman mereka ketika menghadapi banjir pada 2011. Tambahnya, pengalaman menghadapi banjir di negeri ini pada 2006 dan 2011 membolehkan JBPM Johor memiliki dua bot amfibia yang boleh berfungsi di air dan darat. "Bagi kami, bot tidak menjadi satu masalah kerana setiap jabatan juga mempunyai bot, tetapi apa yang penting hanya penyelarasan dan penggunaan bot itu sahaja," katanya lagi. |
Sultan Johor ziarah, bantu mangsa banjir Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST SULTAN Ibrahim Iskandar menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Pogoh 2 dekat Segamat, Johor, kelmarin. SEGAMAT 6 Dis. - Rasa terkejut disusuli keceriaan jelas terpancar pada wajah mangsa banjir di tiga pusat pemindahan di daerah ini apabila Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mencemar duli melawat dan melihat sendiri keadaan mereka di sini semalam. Baginda meluangkan masa selama kira-kira sejam di setiap tiga pusat pemindahan tersebut selain menyampaikan bantuan dan turut beramah mesra dengan rakyat jelata yang dihimpit kesusahan. Sultan Ibrahim tiba di Pusat Pemindahan Mangsa Banjir Kampung Pogoh 2 dekat sini, kira-kira pukul 3.40 petang dan meluangkan masa kira-kira 15 minit. Baginda menyampaikan bantuan barangan dan wang tunai kepada 26 keluarga mangsa banjir yang mendapatkan perlindungan di situ sejak empat hari lalu sebelum berangkat melawat serta menyampaikan bantuan sama di pusat pemindahan di Paya Dalam dan juga Gemereh. Sementara itu, Penghulu Mukim Pogoh, Hamzah Abu Bakar berkata, sehingga hari ini, sebanyak 135 mangsa banjir dari kampung berkenaan masih mendapat perlindungan di pusat pemindahan tersebut. Mangsa, katanya, terdiri daripada 56 lelaki dewasa, 46 perempuan dewasa, masing-masing 15 dan 17 kanak-kanak lelaki dan perempuan serta seorang bayi. "Kampung ini sentiasa dilanda banjir dan semua yang ditempatkan di sini sama ada rumah mereka ditenggelami air atau terputus hubungan. Setakat ini keadaan beransur pulih cuma paras air agak tidak menentu berikutan arus yang membawa air ke Sungai Muar," katanya ketika ditemui pemberita di sini. Dalam pada itu, penerima bantuan, Azizah Mat Tap, 63, berkata, dia gembira dengan kehadiran Sultan Johor yang mencemar duli melawat mangsa banjir di situ. Katanya, rakyat sepertinya amat terharu dengan keprihatinan ditunjukkan baginda ketika mereka berdepan musibah banjir. "Rumah didiami keluarga saya terputus hubungan sejak empat hari lalu berikutan banjir dan saya berharap banjir akan segera pulih supaya dapat pulang segera ke rumah," katanya. |
Usahawan khat juara Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2013 Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST ZULKURNAIN Kamisan (kiri) menyampaikan replika cek kepada Zamri Amid dalam Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2013 di Galeri Seni Johor Bahru, baru-baru ini. JOHOR BAHRU 6 Dis. - Seorang usahawan khat dari Muar mengungguli tempat pertama dalam dua kategori karya siap iaitu kategori kanvas dan kategori kayu sempena Pertandingan Seni Khat Terbuka Johor 2013 sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM10,000. Zamri Amid, 38, turut memenangi hadiah tempat ketiga bagi kategori penulisan secara spontan dan membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM500. Bapa kepada enam orang anak itu berkata, biarpun kejayaan yang dikecapinya hari ini bukanlah kali pertama namun tetap meninggalkan kenangan manis dan bersyukur kerana diberi rezeki tersebut. "Sangat bersyukur dan gembira dengan kemenangan ini. Ia menjadi pembakar semangat saya untuk terus menghasilkan karya khat yang lebih bermutu tinggi dan menarik," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di sini baru-baru ini. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan sambil disaksikan oleh Timbalan Pengarah Yayasan Warisan Johor, Zarina Abdul Kadir. Pertandingan Seni Khat kali keempat itu mendokumentasikan warisan seni Sasterawan Negara, Datuk Dr. Usman Awang dalam bentuk seni penulisan khat. Penyertaan kali ini sangat menggalakkan bukan sahaja dari Johor malah turut mendapat sambutan dari Terengganu, Selangor, Perak dan Kuala Lumpur dengan 55 penyertaan bagi kategori spontan dan 45 penyertaan bagi kategori karya siap. Menurut Zamri, bagi kategori kanvas, beliau menukil keindahan khat menerusi tajuk Kelopak Rasa yang mengetengahkan tiga jenis khat iaitu Thuluth, Nasakh dan Dewani manakala bagi kategori kayu pula, menerusi karya bertajuk Guru oh Guru, dia memilih tuga jenis khat iaitu Kufi, Thuluth dan Nasakh. Bercerita lanjut, Zamri berkata, bagi khat kayu, beliau mengambil masa kira-kira seminggu untuk menyiapkan ukiran di atas kayu jenis Nyato manakala bagi kanvas pula penghasilannya memakan masa dalam tempoh tiga hingga empat hari sahaja. Sementara itu, Zulkurnain berkata, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan usaha pelbagai pihak bagi memartabat dan memperkasakan kesenian Islam termasuk tulisan khat. Ujarnya, penulisan khat bukan sahaja mengekalkan warisan kesenian Islam yang telah lama diwarisi, malah menjana pendapatan ekonomi penggiat seni itu. "Dengan penganjuran Pertandingan Seni Khat yang dianjurkan Yayasan Warisan Johor ini, seni itu bukan hanya menjadi hobi penggiatnya, malah turut menjadi medan mencungkil bakat untuk diketengahkan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Johor To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |