Utusan Online - Keluarga
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Keluarga |
Saya pilih anak daripada isteri Posted: 06 Dec 2013 11:03 AM PST BUKAN senang bagi seorang lelaki yang bergelar duda dan bapa tunggal berkongsi cerita dengan masyarakat. Lagipun kebanyakan cerita rumah tangga yang sering didengar hanya diluahkan oleh wanita. Berbeza dengan lelaki ini yang menamakan dirinya sebagai Rizal (bukan nama sebenar). Seperti kata Rizal, ceritanya bukanlah sebuah kisah hebat tetapi ia ada hikmah tersendiri yang boleh dijadikan iktibar oleh masyarakat. Ingin tahu kisah Rizal seterusnya, kita ikuti ceritanya seperti di bawah ini: "Saya berusia lewat 40-an, mempunyai lima orang anak, kesemuanya lelaki. Saya telah berkahwin tiga kali. Isteri pertama saya orang selatan, kami berkahwin tahun 1988 dan dikurniakan lima anak lelaki. Isteri tidak bekerja dan menjadi suri rumah sepenuh masa. Sedihnya saya apabila isteri tersayang meninggal dunia pada 2004 akibat penyakit kanser. "Setelah pemergian isteri, saya mengambil alih tanggungjawab menjaga lima orang anak berusia dari dua tahun hingga 15 tahun. Lelaki pula semuanya, bayangkan bagaimana susahnya saya hendak melayan kerenah mereka. "Tapi saya kuatkan semangat kerana mereka adalah amanah Allah yang perlu saya jaga sampai ke akhir hayat, lagipun saya teringat pesanan arwah isteri supaya menjaga anak-anak dengan sebaik-baiknya walau apa juga keadaan sekalipun. "Bulan pertama memanglah perit, semua saya kena buat. Kejutkan anak ke sekolah, menyiapkan sarapan dan bekalan mereka, kemudian menghantar mereka ke sekolah dan yang kecil ke rumah pengasuh. "Selesai semua itu, barulah saya ke tempat kerja, hinggalah petang, saya akan pulang, mengambil anak-anak dan menyediakan makan malam mereka. Selepas itu hantar pula mereka mengaji. "Sebelum tidur, saya akan memeriksa semua kerja sekolah anak-anak terlebih dahulu, buku dan beg sekolah tersusun di tempatnya hinggakan kadang kala saya tertidur di meja atau di sofa kerana terlalu letih. "Begitulah rutin hidup yang saya lalui semasa bergelar duda anak lima. Masuk bulan kedua, beban kerja di rumah kurang sikit sebab anak-anak sudah boleh kemas rumah, basuh pakaian mereka sendiri dan masak makanan yang ringkas-ringkas untuk mereka makan. "Masuk setengah tahun, kehidupan saya kembali pulih. Anak-anak sudah pandai mengurus rumah dan mengatur persekolahan mereka. Saya ada masa untuk keluar berjumpa kawan-kawan dan melepaskan tekanan kerja di luar. "Hidup sebagai duda ini, banyak dugaannya, bila kita keluar dengan berpakaian kemas dan berbau wangi, jiran-jiran mula buka mulut, perli konon kita nak cari pengganti, nak pergi dating lah. "Genap setahun isteri meninggal, terasa hidup saya sunyi. Memandangkan umur masih muda dan masih kuat serta mampu, teringin pula mencari teman hidup baru. "Akhirnya saya kenal dengan seorang gadis berumur 27 tahun berasal dari Pantai Timur dan bekerja di Kuala Lumpur sebagai pembantu peribadi di sebuah syarikat swasta. Penghujung tahun 2006, rasmilah kami menjadi suami isteri yang sah, majlis perkahwinan dibuat secara meriah di kampungnya dan di tempat saya, siap bersanding dan berkompang. "Di awal perkahwinan kami cukup bahagia, walaupun penat bekerja, dia sempat menguruskan rumah tangga dengan baik sekali. Pertengahan tahun 2007, bermula keretakan rumah tangga kami disebabkan kehidupan isteri saya bertambah mewah secara mendadak. "Saya mula diabaikan dan pada Ogos 2007, dengan tidak semena-mena isteri minta cerai. Kami tidak bergaduh, tidak bertengkar dan tidak ada selisih faham. Cuma dia ada kata, "bang saya bukan orang yang terbaik untuk jadi isteri dan ibu kepada anak-anak abang, abang nak berapa saya bayar, ceraikan saya." "Saya hampir pitam mendengar permintaannya itu. Esok pagi dia keluar kerja seperti biasa, salam dan cium pipi saya, rupa-rupanya itulah ciuman yang terakhir buat saya. Sejak itu, dia tidak balik ke rumah, talian telefon dimatikan. "Cukup seminggu, saya dapat surat dari Mahkamah Syariah, isteri menuntut cerai. Sebulan selepas itu, saya hadir di mahkamah kerana perbicaraan isteri tuntut cerai. Dia guna peguam yang hebat, sedangkan saya guna kudrat yang ada. Apabila hakim tanya, saya kata tidak setuju cerai. "Saya ingat lagi kata-kata hakim kepada isteri saya , "kamu nak bercerai, mana report dera, mana report nafkah, mana report curang, mana report kaunseling. Senang betul kamu nak minta cerai, kalau macam ini, beribu orang nak bercerai. Lalu terus hakim arahkan jumpa kaunseling di pejabat agama. "Selepas itu, maka bermula episod hidup saya turun naik ke pejabat agama dan Mahkamah Syariah. Selama dua tahun saya pertahankan perkahwinan ini, akhirnya saya jatuh sakit. "Emak saya masuk campur apabila tengok hidup saya sudah tidak serupa orang, tidak terurus. Emak kata 'buat apa kau tahan-tahan orang yang dah tak hendak pada kamu. Selagi dia menjadi isteri kamu, dosa pahala kamu kena tanggung. Jaga anak-anak kamu lebih baik daripada ingat orang yang tak suka kita. "Mendengar kata-kata mak, saya jadi insaf dan sedar. Saya kumpul kekuatan dan pada September 2007, saya ceraikan isteri di depan hakim. Ucapan cerai itu pun terpaksa diulang dua kali sebab yang pertama hakim tolak, tak jelas kerana terlampau sebak. Ucapan cerai kali kedua baru diterima kerana saya mampu melafaznya dalam keadaan tenang. "Pesan mak, setelah lafaz cerai jangan toleh belakang lagi. Jangan jumpa bekas isteri tetapi terus balik, bukan apa takut nanti teringat-ingat. Saya ikut cakap mak, Alhamdulillah, sampai rumah saya merasa lega dan lapang dada berbanding sebelumnya gelisah dan serabut. "Maka bermula lagi status hidup duda kali kedua untuk saya. Seperti biasa, saya uruskan anak dan kerja, kerana itulah rutin harian saya. Saya selalu juga berdoa agar bekas isteri akan balik semula kepada saya, namun harapan saya tipis. "Saya teruskan hidup dan akhir tahun 2010 saya bertemu jodoh dengan seorang gadis berumur 29 tahun, bertugas sebagai seorang pendidik. "Diringkaskan cerita, isteri ketiga saya memanglah baik tapi pemalas, mulut laser. Kalau maki tak kira siapa, babi, sial perkara biasa. Di depan anak-anak dia bentak saya macam tak ada salah, malah langsung tidak ada rasa hormat kepada saya sebagai suami. Sikapnya menyebabkan anak-anak tertekan dan meluahkan perasaan mereka melalui Facebook. "Akhirnya pada pertengahan tahun 2013, isteri keluar rumah tanpa izin hingga sekarang dan tinggal menyewa rumah sendiri sehingga kini. Anak kami dibawa bersama. Alasannya dia tidak boleh tinggal dengan anak-anak saya. Tidak cukup dengan itu, isteri telah buat aduan di pejabat agama. "Dalam keadaan serabut ini, saya bersyukur kerana tiga daripada anak-anak saya berjaya ke menara gading dan dua daripadanya sudah tamat belajar. "Dua minggu lalu, saya menghadiri majlis konvokesyen dua orang anak saya. Semasa majlis berlangsung, air mata saya menitis, hati saya berkata-kata, "emak kamu ada tiga orang, tetapi tidak seorang yang hadir untuk menyaksikan majlis bersejarah ini. "Kepada anak-anak, abah minta maaf banyak-banyak sebab hidup kamu tidak seperti anak-anak yang lain. Dari kecil, kamu semua terpaksa hidup tanpa kasih sayang seorang ibu. "Saya berdoa moga Allah lindungi keluarga saya daripada sebarang perkara yang buruk dan sentiasa memberkati hidup mereka di dunia dan akhirat," Rizal menamatkan ceritanya. Seperti saya duga, kisah Rizal memang hebat. Banyak pengajaran yang boleh diperoleh oleh mereka yang membacanya terutama kaum Adam. Saya doakan segala kemelut yang dihadapi Rizal akan segera berlalu. Bersikap positif dan jangan peduli apa orang nak kata, yang penting, apa yang kita rasa terbaik untuk diri kita dan keluarga, lakukan! Menamatkan catatan, pesanan saya, hidup ini walaupun tidak selalu indah akan nampak cantik dengan warna-warna perjalanan yang berliku dan penuh ranjau, semuanya kerana Dia yang mengatur hidup manusia ke arah kebaikan di dunia dan akhirat. Salam. |
Posted: 05 Dec 2013 10:55 PM PST Mohd. Yusof Abdul Wahid di samping tikar mengkuang yang dibingkaikan dan barangan lain yang menghiasi sudut ruang tamu rumahnya. Orang kata barang lama dilupa jangan, mungkin ada nilai yang sepadan boleh dilakukan dalam usaha untuk meletakkannya di tempat yang betul sebagai hiasan. Agak unik pada pandangan mata kasar apatah lagi apabila kreativiti mengatasi segalanya. Bijak menyusun, barangan yang lama akan menyerlahkan sudut di mana-mana sahaja yang sesuai. Itu yang cuba dikongsi oleh pemilik rumah dua tingkat ini, Mohd. Yusof Abdul Wahid yang mempunyai pandangan tersendiri terhadap barangan lama terutamanya peninggalan daripada arwah ibu, ayah dan mertuanya. Menurut Mohd. Yusof, barangan lama seperti ini mempunyai nilai estetika dan sentimental yang tersendiri. Barangan lama yang dikumpul dan kemudian diletakkan di sudut-sudut tertentu sebagai hiasan yang sedikit sebanyak memberi nilai tampak kepada ruang berkenaan. Antara barangan lama yang masih disimpan elok oleh Mohd. Yusof dan dijadikan barang hiasan, sepasang songket yang mungkin berusia lebih seratus tahun yang dipakai oleh pasangan arwah ayah dan ibu mertuanya ketika mereka bersanding dahulu. Bukan itu sahaja, pengisar tepung, batu tumbuk, penggiling cili, lesung batu diperbuat daripada kayu, dulang tembaga, tembikar, tubir katil dan meja yang berukir, tempayan lama, dan sebagainya turut disimpan oleh Mohd. Yusof. Setiap barang tersebut diletakkan di suatu ruang yang sesuai. Selain kelihatan unik dan cantik, sebenarnya semua barangan lama ini mempunyai cerita tersendiri. Sudah tentu kisah yang sudah lama tersimpan itu akan hilang begitu sahaja sekiranya dibuang. "Saya mengambil barangan peninggalan orang-orang tua dahulu yang dipinggirkan atau sudah tidak boleh dipakai lagi dan bakal dibuang ini daripada adik-beradik atau saudara mara untuk saya simpan. "Sesampainya di rumah saya akan mula memikirkan apa yang patut saya lakukan dengan barangan berkenaan. Ada antaranya yang saya bingkaikan, dicat semula atau apa sahaja, sehinggakan ada bingkai cermin yang berukir reka bentuk lama saya ambil biarpun tiada lagi cerminnya kerana boleh disuai padan dengan barangan lain. "Hasilnya memang menakjubkan kerana sentuhan kreativiti seperti ini boleh memberi nilai seni yang artistik kepada sesuatu ruang," jelasnya yang ditemui di kediamannya di Taman Putra, Ampang, Selangor. Mohd. Yusof yang juga seorang pelukis dan telah melukis hampir 400 buah lukisan dan bakal melakukan pameran tunggalnya di Galeri Artiseri, Hotel Seri Pasific, Kuala Lumpur, bermula 16 Disember ini, juga mendapatkan ilhamnya daripada melihat barangan lama berkenaan. "Seni yang terukir pada barangan lama susah untuk kita lihat pada hari ini lebih-lebih ukiran-ukiran yang dihasilkan dengan tangan dan mengambil masa berhari-hari untuk disiapkan. "Bersandarkan ini saya merasakan amat rugi sekiranya barangan lama hanya dibuang begitu sahaja. Perlu diingat, lagi lama sesuatu barangan itu lagi tinggi nilai antiknya," jelasnya tersenyum. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Keluarga To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |