{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kesihatan

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kesihatan


Peka dengan kesakitan pada tubuh

Posted: 04 Dec 2013 11:46 PM PST

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar RASHID MAHFOF

MASALAH mata, resdung dan saraf bukanlah penyakit yang perlu diambil mudah. Malah, menyedari kesakitan dan mencari rawatan berkesan dapat membantu mengubati penyakit ini.

Jika anda pernah mengalami kebas-kebas kaki dan tangan, lenguh pada bahagian badan yang berlaku dalam tempoh yang sekejap mahupun berlarutan sehingga beberapa hari, sudah cukup menimbulkan perasaan kurang senang pada diri anda.

Dalam usaha membantu orang ramai merawat ketiga-tiga masalah tersebut, Al Ansar Health mempunyai rawatan alternatif untuk mengurangkan masalah berkenaan dalam waktu yang cepat dan berkesan.

Penasihat Pusat Terapi Al Ansar Health, Adnan Abdul Wahab berkata, seseorang yang sering menanggung kesakitan akibat kebas pada bahagian tertentu pada badan bukanlah perkara biasa.

"Kebas perlu dirawat dengan segera. Rasa sakit akibat kebas merupakan petanda seseorang mempunyai penyakit saraf. Jika rasa kebas tidak dirawat dan dibiarkan berlarutan ditakuti akan memudaratkan kesihatan.

"Sehingga sampai satu tahap, jika rasa kebas yang dialami pesakit tidak dirawat akan mengundang bahaya kerana boleh menyebabkan darah beku pada bahagian otak.

"Walaupun ada antara kita mengalami situasi demikian, namun kita jarang memikirkan rasa kebas sebagai suatu tanda penyakit, malah kita menganggap keadaan ini pernah dialami oleh setiap orang," jelas Adnan.

Tambah Adnan, pelanggan yang mempunyai masalah saraf akan melalui proses rawatan fisioterapi dengan ahli terapi yang berpengalaman dan berkemahiran di pusatnya.

"Kaedah menggunakan urutan saraf magnetik aura bersama-sama minyak terapi mujarab akan digunakan pada bahagian badan yang sakit dan kebas.

"Urutan untuk masalah saraf bertujuan melancarkan kembali darah dan sel dalam badan supaya kembali cergas dan sihat bertenaga. Alhamdulilllah selepas menjalani urutan di sini, didapati pesakit boleh kembali tersenyum kerana bahagian kebas dan lenguh kembali baik.

" Contohnya, terdapat pesakit yang tidak boleh mengangkat tangan akibat masalah urat, namun selepas menerima rawatan di sini tangannya kembali elok dan boleh angkat selepas diurut," katanya.

Ujar Adnan lagi, masalah resdung juga tidak perlu dipandang enteng oleh individu yang menghidapnya. Resdung yang teruk jika tidak dirawat akan menjejaskan kesihatan dan mendatangkan kesakitan yang berlarutan.

"Antara tanda-tanda seseorang mempunyai masalah resdung yang perlu dirawat dengan segera adalah sentiasa gatal pada bahagian muka dan telinga, kerap bersin, rambut gugur dan sakit kepala," kata Adnan.

Sebahagian individu katanya, menganggap sakit kepala adalah disebabkan 'migrain', tetapi sebenarnya sakit ini terjadi kerana dalam rongga muka tersimpan banyak lendir.

"Untuk rawatan resdung, Al Ansar Health menyediakan rawatan pemeriksaan secara percuma kepada pelanggan. Seterusnya rawatan akan dilakukan jika keadaan memerlukan bergantung kepada masalah resdung yang dihidapi pesakit.

"Semasa melakukan rawatan, ibu resdung akan ditarik keluar dari hidung. Selepas proses ini selesai dilakukan pesakit akan rasa kepala lebih ringan , nafas lebih baik dan mata kembali jelas dan tenang," ujarnya.

Beliau menambah, punca seseorang mempunyai masalah resdung adalah melalui pengambilan makan yang berjeruk seperti, belacan dan budu, persekitaran yang tidak bersih dan juga faktor genetik.

Sementara itu, Adnan juga mengulas bahawa lebih 90 peratus dalam kalangan kita akan mempunyai masalah mata dalam tempoh waktu tertentu.

"Masalah mata terjadi akibat mata tidak mempunyai rehat yang cukup, air mata yang tersumbat dan juga saluran darah di sekeliling mata tidak berjalan dengan lancar.

"Terapi mata percuma selama 15 minit dan juga tip rawatan mata percuma disediakan di pusat rawatan kami kepada pelanggan yang berkunjung ke sini," katanya.

Pusat Terapi Al Ansar Health dan cawangannya yang terdapat di seluruh negara diterajui oleh dua orang pengasas yang hebat turut mengalu-alukan kepada orang ramai yang ingin menjadi francais. Sebarang maklumat lanjut mengenai Pusat Terapi Al Ansar Health boleh hubungi di talian 03-89263575 atau layari www.alansari.com.

Ibu dan anak gigih lawan kanser

Posted: 04 Dec 2013 11:46 PM PST

Zalinawati atau Wati yang ditemui bersama-sama anak tunggalnya, Ammy Nadia Johari, 15, di spa tersebut baru-baru ini tampak cukup tabah berkongsi cerita mengenai dugaan yang dihadapinya itu.

Menurut Wati, dia mula dikesan menghidap kanser payu dara pada tahun 2000 apabila sering berasa sengal pada bahagian payu dara kanannya. Namun apabila ke klinik, doktor cuma mengatakan beliau demam biasa sahaja.

Setelah beberapa kali ke klinik namun tiada perubahan, Wati mendapatkan pemeriksaan di hospital pula.

Ketika itu dia baru berumur 25 tahun dan Nadia pula berumur dua tahun. Suami Wati pula baru sahaja meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada Hari Raya Aidilfitri, tahun itu.

Di hospital kata Wati, doktor bertanyakan mengenai genetik keluarga, sama ada terdapat sesiapa dalam keluarga ada menghidap kanser payu dara. Dia memberitahu, ibunya juga menghidap penyakit itu.

Selepas ujian mammogram dijalankan, doktor mengesahkan Wati menghidap kanser payu dara tahap tiga.

"Antara percaya dengan tidak rasanya. Perasaan sedih tu memang ada dan tak dapat dielakkan. Beberapa minit juga saya diam membatu di hadapan doktor dan kemudian baru tersedar bahawa saya mesti bangun dan menjadi kuat demi anak saya.

"Saya dirujuk ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi rawatan kemoterapi. Doktor memberitahu saya perlu melakukan 12 kali kemo bagi mengecutkan sel kanser yang ada di dalam badan saya," kata Wati.

Dia menambah, doktor turut memberitahu sebenarnya dia telah pun menghidap kanser tahap satu semasa mengandungkan Nadia, tetapi kerana dia hamil, ujian mammogram tidak boleh dilakukan. Sehinggalah selepas dua tahun, kansernya mendadak naik ke tahap tiga.

Proses kemoterapi memang dahsyat, ujar Wati. Dia muntah teruk, ulser di dalam mulut dan tekak, tidak ada selera makan serta rambut gugur hingga botak. Dalam keadaan yang lemah itu, ibunya yang menjaga Nadia.

Oleh kerana kesan kemoterapi yang teruk pada dirinya, Wati lumpuh selama tiga bulan.

Masa itu, apa yang terlintas di fikirannya, biarlah dia mati sahaja. Namun wajah Nadia segera terlintas di fikirannya dan dia kembali kuat.

Pinta Wati kepada Allah, kalaulah hendak menjemputnya pergi, biarlah anaknya besar dahulu atau sudah berkahwin supaya ada yang akan menjaganya nanti.

Selepas habis 12 kali kemoterapi, doktor mendapati sel kanser yang di dalam tubuhnya masih aktif. Pembedahan dilakukan bagi mengeluarkan ketumbuhan di dalam payu daranya yang terdapat kanser.

Selepas dua tahun, pembedahan sekali lagi dilakukan bagi memasukkan lemak yang diambil daripada bahagian pinggul dan perut supaya payudaranya nampak berisi dan cantik.

"Dalam tempoh enam bulan itu, setiap minggu saya perlu pergi ke hospital dan selepas itu sebulan sekali. Namun lima tahun selepas itu, kanser merebak ke payu dara sebelah kiri pula.

"Pembedahan dilakukan bagi membuang ketumbuhan pada payu dara kiri. Selepas itu doktor mencuba dengan rawatan radioterapi tetapi tidak dapat diteruskan kerana tidak berkesan," katanya.

Menurut Wati, dia sentiasa berfikiran positif dan cuba gembira. Wati tidak mahu menjadikan kanser sebagai musuh sebaliknya sebagai kawan.

"Kalau kita menganggap kanser yang ada di dalam badan kita itu musuh, kita akan sentiasa berasa marah, tidak dapat menerima kenyataan dan tidak reda.

"Sebaliknya jika kita menganggap penyakit kita itu sebagai kawan, jiwa kita akan tenang kerana itu semua adalah kehendak Tuhan.

"Walaupun kita marah, sedih, berputus asa dan sebagainya, kanser itu tetap ada dalam darah kita. Sel kanser tu tak akan mati. Ia hanya akan mati apabila kita mati," ujar Wati yang memakan ubat-ubatan dan suplemen yang diberikan doktor dengan kos RM350 sebulan.

- MERAN ABU BAKAR

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat