{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Waspada banjir gelombang kedua

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

Oleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
utusankelantan@utusan.com.my

PEKAN Rantau Panjang telah dilanda banjir berikutan hujan lebat, baru-baru ini.

RANTAU PANJANG 16 Dis. - Penduduk di beberapa buah kampung khususnya di kawasan rendah yang terletak berhampiran Sungai Golok di sini, berada dalam keadaan siap sedia bagi menghadapi kemungkinan banjir gelombang kedua yang dijangka melanda negeri ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa buah kampung antaranya Kampung Kubang Chenok di sini mendapati penduduk mula mengemas dan meletakkan barangan di tempat selamat ekoran hujan kembali melanda negeri ini sejak dua hari lalu.

Seorang penduduk, Rohani Zakaria, 32, berkata, dia yang baharu sahaja membersihkan rumah akibat banjir baru-baru ini kini kembali bersiap-sedia apabila paras air di Sungai Golok kembali naik dengan mendadak selepas hujan.

Katanya, setiap tahun beliau dan keluarga terpaksa berada dalam situasi berjaga-jaga dan sentiasa berwaspada dalam menghadapi banjir terutama pada bulan Disember dan Januari yang kadangkala datang tanpa diduga sehingga menenggelamkan sebahagian rumahnya.

"Rumah saya terletak bersebelahan dengan Sungai Golok, setiap kali hujan tidak henti dalam masa dua hari, saya akan mula membuat persiapan dengan mengemas barangan untuk diletakkan di tempat yang lebih selamat.

"Selalunya banjir akan melanda dua kali iaitu pada Disember dan Januari, gelombang pertama telah berlalu dan gelombang kedua dijangka melanda sekiranya hujan tidak berhenti dalam masa terdekat ini," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Seorang lagi penduduk, Rahmah Sulaiman, 34, berkata, banjir baharu sahaja reda dan melihat cuaca yang tidak menentu sejak dua hari lalu, berkemungkinan banjir akan berlaku sekali lagi.

Kata Rahmah, beliau sudah 'lali' dengan situasi itu dan sepanjang dua bulan ini dia dan keluarga tidak akan tenteram serta sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

"Banjir baru-baru ini tidak teruk dan saya tidak berpindah ke pusat pemindahan, namun andai hujan masih tidak berhenti, berkemungkinan banjir teruk akan berlaku. Sekiranya berlaku, saya sudah bersedia dan telah memindahkan barangan ke tempat yang selamat.

"Rumah saya terlalu hampir dengan Sungai Golok, sekiranya air melimpah, rumah di kampung ini antara yang terawal menerima kesan dan sekiranya keadaan bertambah buruk, akan terdapat rumah yang ditenggelami sehingga paras bumbung," katanya.

Sementara itu, Utusan Malaysia turut melakukan tinjauan sekitar kompleks bebas cukai di sini dan mendapati operasi perniagaan berjalan seperti biasa dengan orang ramai memenuhi kompleks berkenaan meskipun cuaca tidak menentu, ada ketikanya hujan sepanjang hari.

Kesan daripada banjir baru-baru ini menyaksikan kebanyakan jalan di kawasan berkenaan rosak teruk dengan keadaan jalan berlopak serta dipenuhi air.

Seorang peniaga, Che Din Che Hassan, 55, berkata, ekoran banjir baru-baru ini kebanyakan jalan di kawasan itu mula berlopak dan dipenuhi air.

"Saya harap selepas banjir reda nanti, pihak bertanggungjawab akan segera mengambil tindakan menurap kembali jalan yang rosak kerana menjejaskan keselesaan pengunjung yang datang membeli belah di sini," katanya.

RKK sedia masa depan bagi warga bandar raya

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

KUALA TERENGGANU 16 Dis. - Rancangan Kawasan Khas (RKK) pusat bandar raya Kuala Terengganu yang bakal dibangunkan akan mengubah landskap ibu negeri ini kepada sebuah bandar raya yang terus berdaya huni dan dinamik menjelang 2030.

RKK bagi bandar raya yang mempunyai lebih 14,000 penduduk dengan 60 peratus daripadanya masyarakat Melayu itu tertumpu kepada enam kawasan iaitu Ladang-Tanjung, Nesan Empat, Paya Bunga, Batas Baru, Ladang Sahak dan Gong Kapas meliputi keluasan 185.945 hektar.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said berkata, pembangunan berkenaan akan memfokuskan kepada peningkatan daya huni, pembangunan mapan, ekonomi penduduk bumiputera, keperluan kepada kepentingan pemuliharaan aspek warisan serta estetika bandar selari dengan kehendak rakyat.

"Pembangunan daya huni bukan sahaja akan melibatkan rancangan pembangunan semula kampung, penyediaan kemudahan awam seperti pusat komuniti serta penstrukturan semula tanah perkuburan, malah dengan kewujudan pusat tumpuan baru yang dikenali sebagai Plaza Sentral akan melonjakkan kepesatan ekonomi dan hartanah pusat bandar ini.

"Pembangunan dinamik pula merangkumi pembangunan semula pusat perniagaan dan bazar, menara ikonik, bangunan baru ibu pejabat polis, dataran pelbagai guna, tambahan tempat letak kenderaan serta koridor laluan pejalan kaki di kawasan tertentu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan perasmian Publisiti RKK Pusat Bandar Kuala Terengganu 2030 di Taman Tamadun Islam dekat sini semalam.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Mohd. Zubir Embong.

Yang turut hadir Setiausaha MBKT, Dr. Rosli Muhamad, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Pejabat Projek Zon Timur, Anaspekri Mahiddin, Pengarah JPBD negeri, Mohd. Anuar Maidin dan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi negeri, Datuk Mat Razali Kassim.

Tambah Ahmad, selain memfokuskan segmen daya huni dan dinamik, RKK turut memberi penekanan terhadap aspek pengindahan reka bentuk bandar dan landskap bagi menambah baik nilai estetika bandar berkenaan.

"Pembangunan muara utara dan muara selatan turut menjadi pemangkin utama dalam mewujudkan banda raya yang bertemakan pesisir air dan berfungsi sebagai pintu gerbang pelancongan antarabangsa di masa hadapan," katanya.

Dalam pada itu Mohd. Anuar berkata, RKK tersebut mula dipamerkan sejak 24 November lalu dan dijangka berakhir pada 23 Disember ini bagi memberi peluang kepada rakyat untuk melihat, menilai mahupun membantah cadangan projek yang akan dilaksanakan di bawah pelan RKK berkenaan.

Justeru, beliau meminta orang ramai hadir ke tiga lokasi yang mempamerkan RKK tersebut iaitu di pejabat MBKT, pejabat daerah serta bangunan Wisma Darul Iman di mana setiap lokasi ditempatkan petugas bagi menerangkan RKK itu.

"Sebelum mengemukakan RKK, kita telah mengadakan perjumpaan dan perbincangan antara MBKT, JPBD, jabatan berkaitan, pemaju, badan bukan kerajaan serta penduduk tempatan dalam menyediakan RKK yang memenuhi hasrat semua," ujar beliau.

Kemas Rantau Panjang cadang tabika dinaikkan taraf

Posted: 16 Dec 2013 10:56 AM PST

MUKHTAR Mustafa (dua dari kiri) bersama guru dan penduduk kampung membersihkan kawasan tadika akibat banjir di Tabika Sri Kenanga Kampung Bonggor, Rantau Panjang, baru-baru ini.

RANTAU PANJANG 16 Dis. - Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) daerah mencadangkan kepada kerajaan supaya menaik taraf taman bimbingan kanak-kanak (tabika) khususnya yang terletak di kawasan rendah bagi mengelakkannya ditengelami air setiap kali banjir melanda.

Penyelia Kanan Kemas Rantau Panjang, Mukhtar Mustafa berkata, langkah menaik taraf dengan meninggikan bangunan tabika yang sering kali terjejas dengan banjir di antara satu sehingga dua meter diyakini mampu mengatasi masalah setiap kali bencana tahunan itu melanda.

Beliau berkata, setiap kali banjir melanda, kira-kira 25 tabika di beberapa buah kampung di daerah ini akan terjejas teruk selepas ditenggelami air sedalam dua meter.

Katanya, antara tabika yang sering kali terjejas ialah di Kampung Bonggor, Kampung Chederai, Kampung Tok Derpah, Kampung Pohon Tanjung, Kampung Kubang Rambutan, Kampung Tok Rusa, Kampung Bakung, Kampung Rahmat dan Lubok Stol.

"Bangunan tabika yang ditinggikan akan dapat mengelakkannya daripada ditengelami air, malah risiko kerosakan yang sering berlaku membabitkan pagar, alat permainan, alat bantu mengajar, perabot, peralatan elektrik dan lain-lain dapat diatasi," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyertai guru tabika dan penduduk kampung membersihkan Tabika Sri Kenanga, Kampung Bonggor di sini yang ditengelami air akibat banjir baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Mukhtar berkata, kerja menaik taraf sesebuah tabika dianggar bernilai RM30,000, namun perkara itu boleh dilaksanakan secara berperingkat.

"Sehingga kini, dua tabika di daerah ini telah ditinggikan dan didapati berjaya membantu mengurangkan kerosakan akibat banjir," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat