Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Pesawah dakwa rugi RM80,000
- Kakitangan hospital terus bertugas meskipun jadi mangsa banjir
- Isu Sabasun: MBKT tidak perbaharui lesen pasar raya
Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST Oleh TOREK SULONG Petani melihat kawasan sawah yang ditenggelami air berpunca daripada pembinaan jalan ladang yang tidak menyediakan pembentung air yang sesuai di Mukim Gong Datuk, Pasir Puteh, Kelantan, semalam . - UTUSAN/Torek Sulong PASIR PUTEH 4 Dis. - Kira-kira 15 pesawah di Mukim Gong Datuk, Gaal dekat sini, mendakwa mengalami kerugian hampir RM80,000 apabila tanaman seluas 23 hektar yang diusahakan sejak sebulan lalu musnah ditenggelami air. Kumpulan pesawah itu mendakwa keadaan tersebut berlaku disebabkan air tidak dapat mengalir kerana terhalang oleh sebatang jalan ladang yang baru dibina di kawasan berkenaan sejak sebulan lalu. Mereka yang terbabit adalah pesawah dalam kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kemasin-Semerak dari Kampung Gelung Kerbau, Kampung Gong Rengas dan Gong Datuk Hilir di sini. Seorang petani, Mamat Yaakub, 43, berkata, pembinaan jalan ladang dengan jarak 500 meter itu bertujuan memudahkan petani membawa keluar hasil tanaman dan sememangnya disokong sekiranya masalah pengaliran air turut diperincikan terlebih dahulu. "Sekiranya pembentung laluan air tidak dibina, tanaman padi akan tenggelam dan digenangi air dalam tempoh yang lama. Pertumbuhannya akan terbantut dan akhirnya akan reput begitu sahaja. "Kami berharap masalah ini mendapat perhatian segera pihak yang berkenaan bagi mengelak lebih banyak lagi tanaman padi musnah. "Itulah sahaja yang kami harapkan agar penat lelah kami membanting keringat mendapat hasil yang baik bagi menyara hidup keluarga," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Mamat berkata, seluas 1.38 hektar daripada 11.5 hektar keluasan padi yang diusahakannya ditenggelami air. Seorang lagi petani, Hanafi Salleh, 49, turut mendakwa pembinaan jalan itu menyebabkan 1.84 hektar daripada 2.76 hektar padi yang diusahakannya musnah. Menurutnya, laluan air yang disediakan adalah terlalu kecil dan tidak mampu menampung kapasiti air yang sepatutnya dibuang dari sawah dalam tempoh yang cepat. "Pembentung lebih besar diperlukan dan lihatlah sekarang pembinaan jalan ladang yang sepatutnya memberi kemudahan kepada petani menimbulkan satu permasalahan lain. "Kami berterima kasih di atas kemudahan itu tetapi pada masa yang sama kami perlukan tindakan drastik untuk membina sistem pengaliran air yang lebih sistematik,'' katanya. |
Kakitangan hospital terus bertugas meskipun jadi mangsa banjir Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST Anggota bomba dan pasukan menyelamat yang lain membantu memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat di bandar Kemaman, Terengganu, semalam. - UTUSAN/ AZLAN BAHRUM KEMAMAN 4 Dis. - Sebanyak 25 kakitangan Hospital Kemaman yang rumah mereka dinaiki air terus bertugas dan menjadikan dewan seminar di hospital tersebut sebagai pusat pemindahan untuk keluarga masing-masing. Timbalan Pengarah Kesihatan (Perubatan) negeri, Dr. Mohammad Omar memberitahu, sikap yang mereka tunjukkan terutama dalam keadaan bencana sebegini sangat dihargai. Dengan membawa keluarga bersama, mereka dapat menjalankan tugas dengan perasaan yang tenang tanpa perlu risau soal keselamatan atau keadaan anak-anak dan anggota keluarga lainnya. Sebanyak 25 kakitangan membawa bersama keluarga mereka manakala yang tidak dapat datang pula membantu memberikan khidmat bersama pasukan petugas di pusat-pusat pemindahan di mana mereka ditempatkan," katanya di sini hari ini. Menurut beliau, pihak hospital telah menjadualkan semula tugasan kakitangan bagi memastikan perkhidmatan tidak terjejas. Tambahnya, pasukan petugas yang dibentuk bagi memberikan khidmat kepada mangsa-mangsa banjir telah digerakkan sejak kelmarin, namun dalam keadaan yang di luar jangkaan itu, beberapa pusat pemindahan terutama di pedalaman terputus hubungan. Daripada kira-kira 40 pusat pemindahan, pihak kami hanya dapat pergi ke 24 pusat menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan bot manakala 16 pusat terputus hubungan disebabkan arus deras, di samping kemudahan bot yang terbatas. Kita akan berusaha mendapatkan kemudahan lebih banyak bot dari pejabat daerah dan kekurangan kemudahan ini disebabkan banyak digunakan untuk kerja-kerja memindahkan yang dilakukan secara berterusan dalam kawasan yang cukup luas," ujarnya. |
Isu Sabasun: MBKT tidak perbaharui lesen pasar raya Posted: 04 Dec 2013 10:54 AM PST KUALA TERENGGANU 4 Dis. - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengambil langkah tidak memperbaharui lesen pemilik pasar raya Sabasun dekat sini, setelah pemiliknya tidak mengendahkan undang-undang dan prosedur yang ditetapkan sekian lama. Datuk Bandar, Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, pihaknya sudah terlalu lama bertolak-ansur dan tindakan perlu diambil bagi mengingatkan bahawa peraturan tidak boleh diabai begitu sahaja dan tidak boleh diselesaikan dengan memburukkan pihak berkuasa. Katanya, banyak perkara yang berkait dengan pasar raya ini perlu diselesaikan termasuk isu pemilikan tapak bagi membolehkan lesen perniagaannya diperbaharui semula, selain mempertimbangkan pemberian permit perniagaan sementara. Selain itu, tindakan pemilik itu yang telah membina struktur tetap iaitu bangunan yang dikatakan sebuah stor dan ruang perniagaan di atas tanah milik MBKT dan kerajaan negeri menyalahi undang-undang. Bercakap kepada pemberita di sini semalam katanya, seharusnya pemilik pasar raya itu sedia maklum tentang prosedur pembinaan sebarang struktur di atas tanah kerajaan yang perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan yang berkaitan. Isu pasar raya Sabasun menjadi hangat sejak beberapa hari lalu apabila pemiliknya dikatakan mendakwa MBKT cuba menindas peniaga Melayu kerana enggan memperbaharui lesen perniagaannya yang akan tamat hujung tahun ini. Ini dipaparkan melalui pelbagai blog dan Facebook dan dijadikan suatu politik yang mengecam tindakan pihak berkuasa, kononnya menindas peniaga Melayu yang berjaya. Menurut Adzlan, pasar raya Sabasun yang terletak di Bukit Kecil ini telah lama beroperasi dengan memberi kelulusan sebagai sebuah kedai runcit, berkeluasan 83.7 meter persegi. Ketika ini pemiliknya menambah binaan baharu pula pada keluasan lebih 186 meter persegi dan telah menggunakan nama pasar runcit besar . Tindakan tersebut, jelas beliau sepatutnya perlu mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) seperti Mydin atau Giant. "Kita telah bertolak ansur yang mana pada tahun 2000, kita juga tawarkan satu ruang di tanah milik kita untuk dibuat tempat meletak kenderaan. ''Namun ketika ini, pemilik telah membuat binaan di atas tanah itu sedangkan isu pemilikan tanah asal pasar raya itu juga masih belum selesai," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |