{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Utara

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Utara


Jangan pakai topi 'kura-kura'

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

Oleh FAJAR NUR SURIA AZMAN
pengarang@utusan.com.my

S. JEGAN (kiri) dan Collin Peter Pareira (kanan) menunjukkan tanda bagus selepas memakaikan topi keledar kepada pengguna motosikal sempena kempen keselamatan jalan raya di Batu Uban, Pulau Pinang, kelmarin.

PULAU PINANG 6 Dis. - Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) kecewa dengan sikap penunggang motosikal yang masih menggunakan topi keledar yang tidak mendapat kelulusan SIRIM Berhad (SIRIM) meskipun pelbagai kempen dijalankan.

Kajian JKJR mendapati masih ramai penunggang menggunakan topi keledar berbentuk separuh atau 'kura-kura' dan topi mainan kanak-kanak ketika berada di jalan raya.

Pengarah JKJR Pulau Pinang, S. Jegan berkata, topi keledar sedemikian tidak mampu untuk melindungi bahagian kepala sekiranya penunggang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

"Topi keledar yang digunakan perlu mendapat kelulusan SIRIM dan selamat untuk melindungi bahagian kepala, justeru topi keledar separuh ini langsung tidak sesuai di jalan raya.

"JKJR telah bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk membuat pemantauan dan penguatkuasaan terhadap premis perniagaan yang menjual topi keledar jenis itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran kempen keselamatan jalan raya anjuran JKJR Pulau Pinang dan Allianz Malaysia Berhad di sini semalam.

Dalam program tersebut, sebanyak 50 topi keledar, 600 pelekat pantul cahaya dan 20 kerusi keselamatan khas untuk kanak-kanak diedarkan kepada orang ramai.

Sementara itu, Pengurus Cawangan Utara Allianz Malaysia Berhad, Collin Peter Pereira menjelaskan, program berkenaan merupakan kali keempat diadakan pihaknya.

"Ini merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat kami kepada masyarakat dengan memberi pendidikan tentang keselamatan jalan raya kepada orang ramai.

"Aspek keselamatan sering dilupakan terutama oleh penunggang motosikal, jadi kami mengambil langkah untuk menukar topi keledar yang tidak selamat kepada topi keledar baharu yang mendapat kelulusan SIRIM," ujarnya.

PUO beri saingan di Eco-Challenge

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

PENGARAH PUO, Md. Nor Yusof mendengar penjelasan daripada seorang pelajar mengenai projek tahun akhir mereka pada Pameran dan Pertandingan Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (MEDSPEC) 2013 yang dianjurkan di Ipoh, Perak, baru-baru ini.

IPOH 6 Dis. - Politeknik Ungku Omar (PUO) bersedia memberikan saingan hebat, sekali gus mengekalkan kejuaraan pada pertandingan Perodua Eco-Challenge 2013 yang akan berlangsung di Litar Go-Kart Shah Alam pada 12 hingga 14 Disember ini.

Pegawai Perhubungan Awam Eco-Challenge PUO, Zarina Sulaiman berkata, keyakinan itu berdasarkan prestasi cemerlang PUO yang telah merangkul kejuaraan sebanyak tiga kali dalam acara yang dipertandingkan sejak tahun 2009.

Katanya, pertandingan kali ini bukan sahaja tertumpu kepada aspek teknikal yang melibatkan pelajar mekanikal semata-mata tetapi aspek pemasaran dalam kalangan pelajar perdagangan.

"Bermula tahun lalu, format pertandingan ini telah ditukar iaitu pemarkahan bukan sahaja merangkumi aspek teknikal semata-mata tetapi juga aspek pemasaran.

"Melalui pertandingan ini, pelajar Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan pelajar Fakulti Perdagangan akan bersama-sama menghasilkan produk yang baik, sekali gus memasarkannya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Zarina berkata, satu majlis pelancaran program akan diadakan di Perodua Cawangan Ipoh, Jalan Lahat pada 9 Disember ini.

Katanya, acara yang bermula pada pukul 9 pagi itu turut menampilkan kemunculan istimewa kumpulan Hyper Act.

"Segala aktiviti, program dan makluman berkenaan pertandingan itu boleh layari laman sosial Facebook di http://www.facebook.com/facepuo dan instagram pecpuo," ujarnya.

Sumbangan kerusi roda ringankan beban Othman

Posted: 06 Dec 2013 11:04 AM PST

ABDULLAH Mohd. Noor (duduk) dan Mariam Nawawi (berdiri, kiri) serta Roslan Mat (berdiri, tiga dari kiri) mendengar penerangan Othman Mohd. Akil tentang penyakitnya ketika menyampaikan sumbangan kepada beliau di Flat Ampang Jajar, Butterworth, baru-baru ini.

BUTTERWORTH 6 Dis. - Kesukaran Othman Mohd. Akil, 49, untuk bergerak aktif selepas kaki kiri dipotong akibat menghidap diabetes lapan bulan lalu terubat apabila menerima sumbangan kerusi roda kelmarin.

Kerusi roda berharga RM4,000 yang disumbangkan oleh seorang pengusaha stesen minyak di Mak Mandin, di sini, Abdullah Mohd. Noor membolehkan bapa kepada lima anak itu menjalani kehidupan harian dengan lebih selesa.

Othman berkata, sebelum kaki kirinya dipotong, dia bekerja sebagai penjual ubat tradisional selepas berhenti kerja dengan sebuah syarikat swasta, tiga tahun lalu.

"Kaki kiri saya terpaksa dipotong selepas dinasihatkan oleh pakar perubatan kerana difahamkan telah dijangkiti kuman dan boleh membahayakan nyawa.

"Sebelum ini, satu jari kaki lebih awal dipotong yang kemudiannya disusuli pergelangan kaki hingga membataskan pergerakan dan menyukarkan saya menguruskan diri dan keluarga," katanya semasa menerima kunjungan Abdullah di kediamannya di sini semalam.

Yang turut hadir Pengurus Shell Kawasan Utara, Mariam Nawawi dan Pegawai Perhubungan Awam Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara, Inspektor Roslan Mat.

Othman berkata, bantuan itu disifatkan tepat pada masa, sekali gus membantunya yang kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Zakat Pulau Pinang.

Sementara itu Abdullah, berkata, dia terpanggil untuk menyumbang kerusi roda dan peralatan keperluan lain seperti lampin pakai buang dan makanan selepas dimaklumkan kesusahan yang ditanggung Othman.

"Kerusi roda ini diharap akan meringankan beban ahli keluarga Othman kerana sebelum ini, dia terpaksa mendapatkan bantuan untuk bergerak di dalam rumah.

"Malah, kerusi roda ini turut memudahkan pergerakannya untuk mencari rezeki menjual ubat bagi menyara keluarganya," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat