Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
Posted: Rezeki penjual air berganda
SEJAK cuaca panas terik melanda beberapa minggu lalu, aktiviti luar penduduk di sekitar Lembah Klang dan beberapa negeri seperti Perlis, Pulau Pinang dan Kedah agak sedikit terganggu. Perubahan cuaca kering dan ekstrem yang mencecah suhu sekitar 36 darjah Celcius pada siang hari menyebabkan ramai yang mungkin berfikir berkali-kali sebelum melakukan sebarang aktiviti di luar rumah. Seorang pekerja swasta, Mohd. Azhari Abdullah, 21, memberitahu, perubahan cuaca panas dan kering yang berlaku sepanjang minggu ini menyebabkan dirinya agak kurang selesa. "Suhu sekarang membuatkan saya berasa rimas, kerap berpeluh dan kadangkala terasa mahu pitam. "Walaupun berada di dalam rumah atau bilik pendingin hawa, suhu badan kekal panas, malah tekak masih terasa kering meskipun waktu malam," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Bagi seorang guru di sekolah swasta, Siti Ramla Chik, 39, berkata, fenomena cuaca panas dan kering ini tidak boleh dipandang ringan. Sehubungan itu, bagi memastikan kesihatannya tidak terjejas dia akan mengurangkan aktiviti di luar rumah. Masih terkawal "Cuaca panas sememangnya membuatkan kita rasa tidak selesa malah menjadikan tekak terasa kering dan perit. Selain itu, ia boleh menyebabkan seseorang itu terdedah dengan penyakit seperti demam, batuk dan lain-lain lagi akibat kekurangan air," katanya ketika ditemui. ORANG ramai tidak melepaskan peluang untuk menikmati cendol tatkala cuaca panas di gerai rojak cendol di hadapan Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Kuala Lumpur. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, keadaan panas dan kering yang dialami di kebanyakan tempat di negara ini khususnya di Semenanjung Malaysia dijangka berterusan sehingga penghujung Februari ini. Keadaan tersebut berlaku berikutan kadar hujan yang sedikit melibatkan beberapa kawasan terutama di bahagian utara Semenanjung sejak bulan lalu. Namun begitu, orang ramai tidak perlu terlalu bimbang kerana fenomena ini masih lagi berada pada tahap yang terkawal dan pihak berkuasa belum ada perancangan untuk melakukan pembenihan awan. Pengarah Pusat Cuaca Nasional, Muhammad Helmi Abdullah, 50, berkata, walaupun cuaca dijangka panas sehingga penghujung Februari ini, namun ia masih berada pada tahap normal. "Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak terdedah terlalu lama di bawah cahaya matahari dan minum air secukupnya. Selain itu, elakkan melakukan pembakaran terbuka dan jimatkan penggunaan air di samping memakai pakaian yang ringan, longgar dan berwarna terang," katanya. Ketika ramai yang berasa agak kurang selesa dengan keadaan cuaca panas dan kering, lain pula ceritanya kepada rata-rata peniaga minuman. Kepada seorang peniaga cendol dan rojak di Pandan Indah, Kuala Lumpur, Abdul Malik Mydin Batcha, 37, cuaca panas ini merupakan suatu rahmat kepadanya kerana perniagaan minumannya mencatatkan keuntungan yang berganda. Bahkan, dia mendapat permintaan di luar jangkaan. Lelaki yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu memperoleh jualan sehingga 40 peratus sejak negara dilanda fenomena cuaca panas berbanding sebelum ini. "Orang ramai terutamanya di kawasan bandar ini gemar bersiar-siar pada waktu petang. "Namun, cuaca panas ketika ini menyebabkan ramai yang singgah ke gerai saya untuk membeli cendol bagi menghilangkan dahaga," katanya yang berniaga tujuh tahun di gerai miliknya yang terletak di hadapanMINUMAN air mata kucing Jalan Petaling menjadi pilihan orang ramai untuk membasahkan tekak ketika cuaca panas. Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang, Kuala Lumpur. Dalam pada itu, Abdul Malik mengenakan harga berpatutan kepada para pelanggan yang mengidam minum cendol ketika ini. Harga cendol biasa dijual RM1.70 semangkuk dan cendol pulut pula RM2.30 manakala mereka yang berhasrat membawa pulang minuman itu hanya dikenakan bayaran RM2. Menyegarkan Selain cendol, Abdul Malik turut menjual rojak biasa pada harga RM3.50 dan rojak sotong RM5 sepinggan. Menurut seorang lagi peniaga minuman mata kucing terkenal di Jalan Petaling, Kuala Lumpur, Chan Pooi Chee, 40, cuaca panas dan kering ini banyak membantu meningkatkan jualan minumannya. "Jualan air mata kucing meningkat antara lima hingga ke 10 peratus ketika cuaca panas sekarang. Rata-rata pengunjung di sini mencari minuman ini kerana ia amat menyegarkan. "Setiap gelas air mata kucing dijual pada harga RM1.80 sahaja," katanya yang turut memberitahu pelancong asing juga menggemari minuman tersebut di saat negara dilanda cuaca panas. Seorang pelajar kolej swasta, Risa Priya Mohanan, 20, memberitahu, dia tidak akan melepaskan peluang untuk mencuba air mata kucing di Jalan Petaling. "Rasa air berwarna coklat pekat yang dicampur dengan buah longan kering, buah lo han dan gula batu merupakan pilihan yang terbaik di saat tekak berasa dahaga dan perit," ujarnya. | |
Riwayat kesatria Hindu atas lukisan kanvas Posted: Riwayat kesatria Hindu atas lukisan kanvasISMADI menterjemahkan kisah Arjuna dengan unik menerusi karya lukisan atas kanvas dan arca. APABILA disebut Arjuna dalam riwayat kitab Mahabharata, pastinya terbayang sebuah pentas teater menggambarkan kesatria terkemuka berparas menawan dan berhati lembut sedang memegang kemas busur panah. Namun, gambaran itu berbeza sekali jika berkunjung ke Muzium Seni Asia di Universiti Malaya, Kuala Lumpur apabila kisah anak raja itu diterjemahkan dalam bentuk karya seni arca dan lukisan. Menariknya, ia digarap dengan penuh warna-warni menerusi 15 lukisan akrilik atas kanvas, 10 lukisan lakaran, dua arca logam dan kayu. Warna-warna yang digunakan pula seolah-olah melambangkan perjalanan hidup Arjuna dalam cerita epik lama itu yang menempuh pelbagai kisah suka duka. Apa tidaknya, Arjuna yang tampan disifatkan sebagai angkuh dan sombong, berilmu tinggi dan cekap memanah, namun sifat buruknya ialah ragu-ragu dalam membuat tindakan atau keputusan. Pengajaran Adunan cerita Arjuna yang menarik itu dipersembahkan secara unik dan eksklusif oleh artis seni tersohor tanah air, Mohamad Ismadi Sallehudin, 43, menerusi Pameran Solo Arjuna di Muzium Seni Asia sejak 18 Januari lalu. Mungkin ada yang pelik, mengapa Ismadi yang merupakan keturunan Melayu dan beragama Islam cuba mengangkat kisah riwayat legenda Hindu di dalam karya tersebut? Bagaimanapun, bekas Dekan Fakulti Seni Halus di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mempunyai sebab serta falsafah tersendiri hingga sanggup mengadaptasikan kisah Arjuna di dalam hasil karya itu. "Kisah ini saya jadikan sebagai ukuran, sempadan, saranan dan pengajaran kepada kita. ANTARA karya Ismadi yang dipamerkan pada Pameran Solo Arjuna di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. "Ini kerana, ada masanya kita perlu sentiasa beringat bahawa setinggi mana kedudukan, pangkat atau kuasa kita, jangan sesekali memandang rendah kepada mana-mana pihak atau menyalahgunakan kuasa itu," katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini. Menerusi karya tersebut, Ismadi mahu mengajak khalayak mengamati sesuatu yang tersirat dalam legenda kehidupan Arjuna dan mahu masyarakat mengambil pengajaran serta teladan daripada kisah berkenaan. Sementara itu, pelukis yang berasal dari Kampung Peruas, Ulu Dong di Raub, Pahang itu mengambil masa selama lima bulan untuk menghasilkan Arjuna menerusi gaya sapuan di atas kanvas manakala genre arca daripada logam serta kayu pula disiapkan dalam tempoh sebulan. Idea "Sebenarnya idea menghasilkan Arjuna ini tercetus pada tahun 2004 dan saya mengakui karya solo ketiga ini menuntut saya membuat pemerhatian seni pada satu garisan yang fokus kepada riwayat Arjuna. "Alhamdulillah, pameran solo ini mendapat sambutan memberangsangkan bukan sahaja rakyat tempatan bahkan daripada luar negara hinggakan ada artis warga Australia menawarkan supaya saya membuat pameran di Melbourne pada Julai nanti," ujar beliau. Dalam pada itu, Ismadi menceritakan, dia banyak menyertai pameran bukan sahaja di dalam negara bahkan di luar negara sama ada secara berkumpulan atau solo. Malah, pemegang Ijazah Sarjana Seni dari Universiti De Montfort, United Kingdom tersebut turut bergaul bersama pelukis-pelukis handalan luar negara termasuk anak buah pelukis legenda dunia, Pablo Ruiz Picasso bagi mempelajari seni dengan lebih mendalam. "Saya banyak mengembara di Eropah dan boleh dikatakan 80 peratus negara-negara di benua itu telah dijelajahi. Saya juga sanggup tinggal bersama pelukis-pelukis warga asing bagi memudahkan saya belajar daripada mereka. "Menerusi usaha itu, saya dapat menimba pengalaman, mendapat idea-idea baharu, menyelami emosi dan kemahiran pelukis-pelukis ini," jelasnya. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |