Utusan Online - Kota
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Kota |
- Penduduk mahu isu diselesai segera
- Penduduk Kajang mahu pemimpin mendengar, selesai masalah
- Enam unit kedai terbakar
Penduduk mahu isu diselesai segera Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST Oleh SOFIAN BAHAROM Sampah sarap tersangkut di tiang jambatan berhampiran pekan Kajang, Selangor didakwa berpunca daripada kegagalan pihak bertanggungjawab menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan. - UTUSAN/WAHIDIN SALIM HULU LANGAT 3 Feb. - Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang didiami kira-kira 40,000 pengundi berbilang kaum tidak pernah sunyi daripada pelbagai isu berbangkit yang melibatkan kehidupan seharian penduduknya. Antara yang menjadi keluhan utama penduduk bandar yang terkenal dengan sate itu ialah isu mengenai kesesakan, pembangunan dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Penduduk dikatakan sudah tidak tahan lagi menempuh kesesakan yang melampau setiap hari di beberapa kawasan berdekatan dengan pusat bandarnya terutama ketika waktu puncak. Mereka tidak nampak sebarang usaha pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR) ke arah memudahkan urusan harian penduduk di bawah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Lee Chin Cheh yang meletakkan jawatan tanpa sebarang alasan kukuh baru-baru ini. Jalan Hishamuddin, Jalan Besar, Jalan Semenyih dan Jalan Sungai Chua yang merupakan nadi kepada laluan penduduk Kajang dilihat saban tahun bertambah sesak dan memerlukan penambahbaikan sistem laluan dan juga pelebaran. Turut dipersoalkan penduduk ialah peranan PBT dalam menjaga kebersihan Kajang berikutan keadaan Sungai Langat yang dipenuhi sampah-sarap telah menjejaskan imej kawasan tersebut. Permasalahan melibatkan pembangunan turut menjadi kerisauan penduduk memandangkan kawasan tersebut pernah mengalami beberapa siri banjir yang menyebabkan kerugian besar terhadap mereka sebelum ini. Mereka jelas mahukan langkah proaktif pihak berkuasa untuk memastikan kawasan berdekatan Jalan Bukit, Jalan Reko, Jalan Semenyih, Jalan Kampung Sungai Kantan dan Jalan Sungai Jelok mempunyai mekanisme terbaik dalam mengelakkan musibah banjir seperti berlaku pada tahun 2011. Sementara itu tinjauan Utusan Malaysia ke sekitar pekan Kajang mendapati dakwaan penduduk memang berasas. Kesesakan lalu lintas begitu ketara terutama pada waktu puncak, selain masalah longkang tersumbat turut menjadi punca kilat sering berlaku. |
Penduduk Kajang mahu pemimpin mendengar, selesai masalah Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST Usaha penambahbaikan sistem laluan dan juga pelebaran jalan perlu dilakukan segera bagi keselesaan pengguna di Jalan Hishammudin, Kajang, Selangor. HULU LANGAT 3 Feb. - Bersikap terbuka, mampu membawa perubahan serta prihatin kepada masalah rakyat. Itulah antara kriteria yang ditetapkan oleh pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang bagi memilih wakil rakyat pada hari pengundian pilihan raya kecil kawasan itu nanti. Tinjauan Utusan Malaysia juga mendapati, penduduk juga mahukan wakil rakyat yang sentiasa turun mendengar dan menyelesaikan masalah mereka. Seorang pesara yang hanya mahu dikenali Murad, 58, berkata, peristiwa beberapa penempatan di situ dilanda banjir melebihi satu meter kira-kira empat tahun lalu masih segar dalam ingatan. Menurutnya, pada ketika itu berpuluh kenderaan yang diletakkan di ruang letak kereta di tepi jalan dan di dalam kompleks membeli-belah Metro Kajang juga tenggelam. "Kami memang tidak ingin perkara sebegitu berulang. Apa yang penting, wakil rakyat yang dipilih perlu menjaga kebajikan kami. "Kami mahukan seorang pemimpin yang mendengar kerisauan kami dan mampu menyelesaikannya. "Kita tahu tempat ini banyak isu khususnya masyarakat Kajang tertanya-tanya sebab peletakan jawatan wakil rakyat Kajang, Lee Chin Cheh dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula masuk, ini merisaukan kami dan kami berasa seperti teraniaya," katanya ketika ditemui di sini hari ini. Selain itu menurutnya, isu kemudahan asas sering bermain di mulut masyarakat Kajang terutama melibatkan Hospital Kajang yang berusia lebih satu kurun dan kurang diberi perhatian dari segi peningkatan prasarananya. Katanya, sudah tiba masanya hospital yang besar jasanya kepada penduduk kawasan berkenaan dinaik taraf selaras dengan perkembangan semasa terutama ketika populasi penduduk Kajang kian meningkat saban tahun. "Hospital ini sudah lama menjadi pusat kepada keperluan kesihatan penduduk. Ramai yang menggunakan perkhidmatan hospital setiap masa dan ini perlu diberi perhatian sewajarnya daripada pihak bertanggungjawab," katanya. Perasaan sama turut dikongsi, seorang peniaga Hashim Yunus, 65. Katanya, dia ingin melihat Kajang berubah daripada landskap sebuah 'pekan koboi' kepada sebuah bandar yang saling melengkapi keperluan semasa masyarakat yang mendudukinya. "Kami mahu melihat Kajang menjadi sebuah bandar yang bukan untuk penduduknya balik dan duduk sahaja. Kajang perlu membangun dan menawarkan punca pencarian sendiri kepada penduduknya. Ramai kini yang duduk di Kajang tetapi bekerja di ibu kota," katanya. Sementara itu Mohd. Faezan Matau, 25, berkata, sebagai mewakili golongan belia di situ mereka juga inginkan perubahan terhadap kawasan tersebut. Menurutnya, mereka mahu Kajang menjadi tumpuan golongan berkenaan memulakan kerjaya dan dalam masa sama meningkatkan ekonomi mereka. "Itu aspirasi kami golongan belia. Apa yang kita lihat di Kajang kini perlu dimajukan dan dijadikan sebuah tempat yang dapat meningkatkan potensi kami masing-masing," katanya. Pendapat sama turut disuarakan Fazira Shamsuri, 20. Katanya, Kajang perlu memiliki sebuah landskap pembangunan pesat yang mesra usahawan memandangkan bidang tersebut merupakan kecenderungan golongan berkenaan. "Kami ingin mengembangkan potensi dan berharap infrastruktur sesuai dibangunkan di kawasan ini," ujarnya. |
Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST SEPANG 3 Feb. - Enam unit kedai hangus dalam kebakaran di Jalan Besar, Sungai Pelek di sini awal pagi semalam. Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sepang, Nor Hashim Ab Wahab berkata, antara premis yang terlibat adalah kedai membaiki motosikal, menjual peralatan sembahyang, kedai runcit dan kedai membaiki alat pendingin serta peti sejuk. Menurutnya, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian itu. "Kami menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.10 pagi dan tiba di lokasi kejadian pada pukul 2.19 pagi tetapi api telah pun marak pada ketika itu. "Kebakaran dapat dikawal sepenuhnya pada pukul 2.43 pagi dan kebakaran dapat dipadam pada pukul 3.07 pagi. Sebanyak 18 anggota dengan dua jentera terlibat dalam operasi ini," katanya ketika ditemui pemberita di sini. Nor Hashim berkata, deretan kedai yang betul-betul terletak di tepi jalan besar itu berusia antara 20 hingga 40 tahun. "Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat," katanya. Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut membuka pusat sehenti kebakaran berhampiran lokasi kejadian selepas operasi itu selesai. Jelasnya, pembukaan pusat sehenti tersebut adalah untuk membantu mangsa kebakaran mendapatkan pertolongan daripada agensi berkaitan. "Antara agensi yang terlibat ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung urusan kad pengenalan dan Jabatan Imigresen sekiranya melibatkan pasport serta beberapa agensi lain," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |