{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Kota

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Kota


Rezeki nelayan terputus

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH
kota@utusangroup .com.my

Sebahagian nelayan menunjukkan pukat mereka yang rosak dilanggar bot pukat tunda di kawasan nelayan pantai di Pantai Sungai Haji Dorani, Sungai Besar, Sabak Bernam, Selangor, semalam. - UTUSAN/UMU HANI ASSAIDAH ABDULLAH

SABAK BERNAM 6 Feb. - Nasib nelayan pantai di Sungai Haji Dorani di sini kini tidak menentu berikutan pencerobohan bot pukat tunda di kawasan berkenaan sejak kebelakangan ini.

Terbaharu, sebanyak empat nelayan terbabit mengalami kerugian apabila pukat mereka rosak dilanggar bot pukat tunda yang menceroboh pada kira-kira pukul 10.30 malam, Isnin lalu.

Salah seorang mangsa, Othman Harun, 33, berkata, kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku.

Menurutnya yang menjadi nelayan sejak 15 tahun lalu, jumlah kerugian yang ditanggung oleh mereka dianggarkan RM12,000.

"Saya dan rakan-rakan tidak dapat turun ke laut kerana pukat kami telah dirosakkan

"Saya memang bergantung sepenuhnya kepada pencarian hasil laut untuk menampung dan menyara hidup sekeluarga namun selepas kejadian ini mungkin saya terpaksa mencatu perbelanjaan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan kerosakan yang dialami, dia membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sabak Bernam pada 4 Februari lalu.

Seorang lagi mangsa, Wahab Om, 53, memberitahu, berdasarkan pemerhatiannya, terdapat kira-kira 30 bot bukat tunda sering menceroboh di kawasan itu.

"Mereka memang bijak kerana ketika melakukan pencerobohan mereka akan menutup nombor pendaftaran bot dan memadamkan lampu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa," ujarnya.

Rakannya, Abdul Talib Lambak, 55, pula berkata, dia pernah diugut oleh beberapa orang lelaki dipercayai pengusaha bot pukat tunda beberapa bulan lalu selepas pukatnya dilanggar.

"Mereka datang ke rumah saya pada pukul 4 pagi sambil mengugut akan melakukan sesuatu jika saya melaporkan kejadian tersebut kepada pihak berkuasa," katanya.

Sementara itu, Setiausaha UMNO Bahagian Sungai Besar, Ahmad Samsuri Ahmad Mukri mahu pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menceroboh itu.

Kata beliau, pihaknya akan memberikan bantuan yang sewajarnya kepada nelayan terlibat.

Beliau juga berharap permohonan nelayan di Pangkalan Nelayan Sungai Haji Dorani untuk mewujudkan 'Rakan Fish' (RF) dipertimbangkan oleh Jabatan Perikanan.

"Dengan adanya RF dapat memastikan keselamatan kira-kira 120 nelayan di pangkalan ini dilindungi sepenuhnya berikutan terdapat sukarelawan nelayan berdaftar yang boleh mengawal perairan," katanya.

Perkenal aplikasi perbaharui lesen

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (tiga dari kiri) menyendukkan makanan kepada Tengku Adnan Tengku Mansor (kiri) selepas melawat enam premis restoran terpilih untuk diletakkan papan tanda harga patut di Jalan Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. - Utusan/ZAINI HUSIN

KUALA LUMPUR 6 Feb. - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang memperkenalkan kaedah memperbaharui lesen premis perniagaan dan pemberitahuan tarikh tamat lesen kepada semua peniaga di ibu negara.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian usaha pihak berkuasa tempatan itu ke arah perkhidmatan yang lebih efisien.

Menurutnya, ini termasuklah memperkenalkan aplikasi menggunakan internet bagi memudahkan peniaga dan pihak berkuasa tempatan itu.

"Aplikasi ini akan memudahkan transaksi untuk peniaga memperbaharui lesen mereka dan boleh dicetak terus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melawat ke enam premis restoran terpilih untuk diletakkan papan tanda harga patut di sekitar Jalan Medan Tuanku, di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalannya, Datuk Dr. J. Loga Bala Mohan; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz.

Sementara itu, Tengku Adnan berkata, kementeriannya juga bercadang memperkenalkan aplikasi telefon pintar bagi membolehkan orang ramai berkongsi maklumat mengenai harga barangan serta makanan di kedai dan restoran di Lembah Klang.

"Aplikasi yang sedang dibangunkan itu bagi membolehkan orang ramai berinteraksi sesama mereka dan berkongsi maklumat mengenai tempat-tempat yang sesuai untuk berbelanja," katanya.

Dalam pada itu, Mhd. Amin Nordin berkata, pihaknya memperuntukkan kira-kira 1,000 pelekat kedai harga patut kepada semua premis perniagaan di sekitar ibu kota yang menetapkan harga patut kepada pengguna.

"Pelekat tersebut terbahagi kepada beberapa jenis iaitu khas untuk restoran, gerai penjaja dan premis runcit.

"Pemantauan berterusan akan dilakukan dan sekiranya didapati kedai berkenaan meningkatkan harga mereka, pelekat itu akan ditarik semula oleh DBKL," katanya.

Kempen tingkat kesedaran jalan raya

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Muhammad Heeza Hassan (kiri sekali) bersama Shahrul Azhar Mat Dali (kanan) menyarungkan jaket keselamatan dan topi keledar kepada seorang pembonceng kanak-kanak semasa Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Mingguan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur, semalam.

GOMBAK 6 Feb. - Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya yang dianjurkan Jabatan Keselamatan Jalan Raya Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKJRWP) dan pelbagai agensi kerajaan berjaya meningkatkan kesedaran pengguna mengenai keselamatan di jalan raya.

Pengarahnya, Muhammad Heeza Hassan berkata, kadar kemalangan dan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di sekitar ibu kota pada tahun lalu mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelum itu.

Menurutnya, walaupun menurun, ia memberi cabaran besar kepada JKJRWP untuk terus memberi pendedahan dan kesedaran orang ramai mengenai keselamatan di jalan raya.

"JKJRWP juga mempunyai misi untuk dijayakan iaitu Sifar Kematian. Sekurang-kurangnya tidak berlaku kematian akibat kemalangan jalan raya walaupun kita tidak dapat mengelakkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Kempen Advokasi Keselamatan Jalan Raya Mingguan sempena musim perayaan Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Gombak, dekat sini hari ini.

Turut hadir Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan, Shahrul Azhar Mat Dali.

Kempen ini turut melibatkan pelbagai rakan kongsi jabatan iaitu Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJWKL), Skuad 1JPJ serta 1M4 Road Safety, Polis Trafik Kuala Lumpur dan Penguat kuasa Trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Muhammad Heeza berkata, kempen seumpama itu akan terus diadakan dari semasa ke semasa sehingga pengguna jalan raya terdidik untuk menjaga keselamatan diri dan keluarga.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat