Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
BN tidak pinggirkan Orang Asli Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST Oleh HARIS FADILAH AHMAD G. Palanivel (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai kepada penduduk Orang Asli di Pos Betau, Kuala Lipis, kelmarin. KUALA LIPIS 2 Feb. - Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan terus memberikan fokus terhadap projek perumahan dan kemudahan asas untuk penduduk Orang Asli di Cameron Highlands dan Hulu Jelai di sini dalam melaksanakan transformasi pembangunan sosial serta ekonomi setempat. Ahli Parlimen Cameron Highlands, Datuk Sri G. Palanivel berkata, kerajaan akan memastikan mereka dapat tinggal bersama dalam satu penempatan dengan membabitkan diri dalam sektor pertanian, pelancongan dan keusahawan yang boleh menjamin perubahan kehidupan pada masa akan datang. Menurutnya, pembinaan rumah berdasarkan Projek Pemajuan Kawasan (PPK) Orang Asli akan diberikan tumpuan di kawasan Tanah Rata, Brinchang, Pos Lernyar, Pos Betau dan pedalaman Hulu Jelai. "Komitmen saya dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail untuk melaksanakan projek ini secara berperingkat dengan mengemukakan perancangan kepada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dalam masa terdekat. "Saya akan berusaha membawa menteri berkenaan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal melawat ke perkampungan Orang Asli di Cameron Highlands dan Hulu Jelai bagi meninjau lokasi yang sesuai serta keperluan peruntukan untuk merealisasikan projek ini," katanya dalam majlis penyampaian sumbangan wang tunai kepada tok batin dan penduduk Orang Asli di Pos Betau dekat sini semalam. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tok Batin Hulu Jelai, Ahmad Selalu. Pada majlis itu Palanivel dan Wan Rosdy menyampaikan sumbangan bernilai RM6,000 kepada 600 penduduk Orang Asli Pos Betau manakala RM1,800 kepada 18 Tok Batin Orang Asli kawasan Hulu Jelai. Menurut Palanivel, isu perumahan Orang Asli di Parlimen Cameron Highlands diberi keutamaan sejak berlakunya kejadian tanah runtuh menyebabkan kerajaan bertindak segera menangani masalah berkenaan dan memfokuskan penempatan baharu untuk kaum minoriti itu di semua kampung dalam tempoh lima tahun. Sehubungan itu, katanya, pelbagai kemudahan termasuk pendidikan dan kebajikan tertentu tetap dirancang serta diteruskan pada masa akan datang. "Kerajaan BN begitu serius mengenai masalah perumahan penduduk Orang Asli kerana mereka merupakan pemain utama dan penyumbang tenaga dalam sektor pertanian serta pelancongan di Cameron Highlands," ujarnya. Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan kebajikan penduduk Orang Asli dan mendengar segala masalah yang dikemukakan oleh tok batin di kedua-dua kawasan berkenaan. Menurutnya, secara keseluruhannya penduduk Orang Asli di negeri ini sudah menerima pelbagai kemudahan termasuk pendidikan manakala beberapa penempatan di pedalaman yang perlu diberi perhatian kebajikan berkenaan. |
Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST Ismail Abd. Muttalib (tiga dari kiri) melakukan tinjauan harga di sebuah pasar raya di Maran, kelmarin. MARAN 2 Feb. - Pengguna perlu bijak menggunakan hak dan kuasa membeli sebagai langkah strategik bagi membendung kenaikan harga barangan di pasaran. Ahli Parlimen Maran, Datuk Ismail Abd. Muttalib berkata, kenaikan harga barangan turut dipengaruhi oleh sikap pengguna yang tidak ambil kisah tentang harga yang ditawarkan peniaga. Tambahnya, malah persepsi yang sengaja dimainkan pihak pembangkang dengan menyatakan barangan keperluan naik mendadak turut mempengaruhi minda sebilangan rakyat. ''Sedangkan fakta sebenar kenaikan beberapa barangan tertentu seperti ikan dipengaruhi faktor luaran seperti cuaca manakala ada juga barangan dijual pada kadar yang masih rendah. ''Walau bagaimanapun kerajaan tetap berusaha membantu rakyat dengan melancarkan kempen penurunan harga barangan dari tiga hingga 70 peratus selama enam bulan," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan harga di pasar besar dan pasar raya Tunas Manja dengan disertai pegawai Penguatkuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Pahang cawangan Temerloh di sini semalam. Ismail yang juga Timbalan Menteri Sumber Manusia berkata, keprihatinan kerajaan dalam perkara itu sangat konsisten bagi mengawal harga barangan seperti mewujudkan Skim Harga Kawalan Musim Perayaan. Menurutnya, skim khas itu bertujuan mengelakkan pengguna dieksploitasi oleh peniaga yang tamak berikutan keghairahan orang ramai berbelanja pada musim perayaan. ''Di sini letaknya kebijaksanaan pengguna berbelanja dalam mengeluarkan setiap wang untuk membeli barangan keperluan di premis perniagaan yang menawarkan harga rendah tetapi berkualiti. ''Pengguna perlu merancang dan berbelanja kepada barangan keperluan sahaja bagi mengelakkan daripada ditipu peniaga untuk mengaut keuntungan," katanya. Menurutnya, pegawai penguat kuasa PPDNKK akan menjalankan pemantauan setiap masa bagi memastikan tiada peniaga menaikkan harga barangan atau menyoroknya dengan tujuan mengaut untung berlebihan. |
Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST MARAN 2 Feb. - Pengawas sekolah perlu mendisiplinkan diri sebelum berbuat demikian kepada pelajar lain supaya imej yang dimiliki dapat mempengaruhi pelajar terbabit akur dengan peraturan ditetapkan oleh pihak sekolah. Pegawai Perhubungan Sekolah Daerah Maran, Inspektor Azuwel Nadzir berkata, pengawas juga perlu mementingkan imej diri dan menunjukkan teladan baik kepada pelajar lain. Menurutnya, mereka juga diingatkan supaya tidak berat sebelah dalam tugas harian kerana jika bersikap pilih kasih pengawas terbabit tidak akan dihormati malah diperkeleh oleh rakan-rakan sendiri. "Mereka juga harus serius dan bersikap positif semasa menjalankan tugas dengan penuh dedikasi demi menjaga imej dan nama baik sekolah. Pengawas tidak kebal mematuhi peraturan sekolah sekali gus mereka patut berusaha mendisiplin diri sendiri kerana merupakan contoh kepada pelajar lain di sekolah,' katanya. Azuwel yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran berkata demikian ketika berucap dalam majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pengawas Sekolah 2014 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jengka 18 di Dewan Bakti Jengka 18 di sini baru-baru ini. Yang turut hadir Pengetua SMK Jengka 18, Saimah Hasan dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Aminallah Mat Long. Katanya, pengawas tersebut perlu sentiasa peka terhadap apa yang berlaku dan memberikan cadangan serta pendapat kepada pengetua atau guru disiplin untuk mengatasi masalah yang timbul. Tambahnya, golongan itu juga perlu menjadi mata dan telinga untuk mengenal pasti pelajar yang mempunyai masalah disiplin dan cuba sedaya upaya mengubah sikap mereka. "Pengawas juga perlu memastikan diri sendiri mencapai prestasi cemerlang dalam akademik, kokurikulum, sahsiah dan disiplin yang menambah penghargaan rakan. Mereka juga boleh memainkan peranan dalam mempengaruhi rakan lain supaya lebih berdisiplin dan memberikan teguran membina sekiranya didapati melakukan kesalahan," ujarnya. Menurutnya, mereka juga bertanggungjawab dalam memimpin pelajar supaya dapat mencegah sebarang salah laku termasuk kes jenayah di sekolah. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |