Utusan Online - Politik
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Politik |
Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST Oleh ANGELINA SINYANG KUCHING 13 Feb. - Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi jaminan UMNO tidak akan masuk ke Sarawak walaupun selepas berlaku peralihan kuasa di negeri ini. Timbalan Presiden UMNO itu berkata, tiada keperluan untuk membawa masuk parti tersebut ke negeri ini kerana Barisan Nasional (BN) Sarawak mempunyai struktur pentadbiran yang sama. "Saya fikir tak perlu UMNO (masuk) ke Sarawak. Boleh saya sebutkan begitu kerana struktur (pentadbiran UMNO) sudah ada dalam BN Sarawak. "Sebagai contohnya jika UMNO di Semenanjung (mendapat sokongan padu pemimpin dan ahlinya), Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) yang menjadi badan induk di Sarawak turut mendapat sokongan parti komponen yang berada di sekelilingnya," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Persatuan Penjaja dan Persatuan Pembekal Sarawak di sebuah hotel di sini hari ini. Beliau ditanya adakah kemungkinan UMNO akan dibawa masuk ke Sarawak ekoran peletakan jawatan Tan Sri Abdul Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri dan pelantikan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tuga-tugas Khas), Tan Sri Adenan Satem menggantikan beliau berkuat kuasa 1 Mac ini. Mengulas lanjut, Muhyiddin yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, PBB telah mewujudkan situasi stabil menerusi politik pembangunan yang dilaksanakannya. Ini, kata Muhyiddin, menunjukkan peranan yang dimainkan oleh PBB adalah sama seperti UMNO di Semenanjung dan Sabah. "Itu (peranan) boleh diteruskan. Saya fikir tidak perlu kita duplicate (menyalin) hal yang sudah pun terpakai kerana yang mustahak bukan parti itu sahaja tetapi objektif (parti). "Objektif ini sudah tercapai melalui gagasan BN yang sedia ada dan diterajui oleh PBB dan disertai rakan-rakan lain dalam BN," katanya. BN Sarawak juga tambah Muhyiddin, telah berjaya membawa negeri ini mencapai perpaduan, kemajuan, kekayaan dan kestabilan. |
Posted: 13 Feb 2014 10:42 AM PST Oleh NORAZRIN MARZUKI Teresa Kok KUALA LUMPUR 13 Feb. - Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkeras tidak akan memohon maaf kepada rakyat Malaysia meskipun terdapat pihak yang mungkin tersinggung dengan penerbitan klip video ONEderfull Malaysia CNY 2014. "Buat apa saya nak minta maaf? Saya nak minta maaf pada siapa? Video saya telah diputar-belit oleh pihak tertentu, jadi mereka yang patut minta maaf pada saya. "Saya rasa tiada apa-apa masalah dengan klip video itu," katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini hari ini. Teresa ditanya sama ada akan memohon maaf secara terbuka atas tindakannya menerbitkan klip video itu yang mencetuskan kemarahan rakyat, selain menyinggung perasaan pihak tertentu. Walaupun jelas klip video itu mempersendakan pemimpin tertinggi negara dan kerajaan serta menyindir mengenai isu keselamatan di Sabah, Teresa sekali lagi menegaskan, ia dihasilkan hanya untuk 'bergurau.' "Memanglah saya bergurau. Ini adalah sejenis satira politik dan tidak ditujukan pada sesiapa. Satira politik dipentaskan oleh pelakon-pelakon komedi di banyak tempat. "Selagi kita merupakan tokoh yang dikenali (public figure), kita perlulah bersedia untuk dikritik dan di tertawa," katanya lagi. Teresa bersama peguamnya, S. Nair, sebelum itu, hadir ke IPK kira-kira pukul 3 petang kerana dipanggil untuk memberi keterangan di bawah Seksyen 504 (c) Kanun Keseksaan berhubung kandungan video tersebut yang mungkin boleh memecah belahkan kaum. Pemangku Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Asisten Komisioner Khairi Ahrasa ketika dihubungi di sini hari ini berkata, proses mengambil keterangan itu berjalan lancar dan mengambil masa kira-kira sejam. Kata beliau, siasatan kes itu sudah lengkap dan akan dihantar ke Timbalan Pendakwa Raya (DPP) esok. Setakat ini, polis menerima hampir 500 laporan polis di seluruh negara terhadap pemimpin DAP itu bagi menggesa siasatan disegerakan ke atas beliau. Laporan turut dibuat bagi menuntut permohonan maaf Teresa kepada seluruh rakyat Malaysia dan pihak-pihak yang disindir di dalam video tersebut. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Politik To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |