{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Agenda memerangi orang tengah

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Oleh Rohami Shafie

CUKUP menarik lapan strategi yang diumumkan oleh kerajaan dalam memerangi orang tengah bagi sub-sektor perikanan. Strategi-strategi ini bakal menguntungkan nelayan yang sejak dari dahulu keringat mereka diperah oleh orang tengah.

Orang tengah ini tidak perlu bersusah payah menangkap ikan di lautan dalam lagi bergelora. Siapa yang pernah menangkap ikan di lautan dalam sahajalah yang mengetahui betapa susahnya menjadi nelayan.

Tetapi bagi orang tengah, mereka ini tidak peduli pun nasib yang ditanggung oleh nelayan. Nelayan-nelayan kita jarang sekali dapat menjadikan tangkapan mereka sebagai hasil perniagaan yang amat lumayan.

Tidak sebagaimana negara maju seperti Jepun yang meraih pendapatan tinggi, keringat nelayan kita tidak mendatangkan hasil lumayan kepada mereka. Yang untung berlipat kali ganda ialah orang tengah.

Dengan kuasa wang, orang tengah membeli hasil tangkapan nelayan pada harga yang murah dan menjual pula dengan harga yang tinggi. Status kehidupan nelayan kita rata-ratanya tiada perubahan yang ketara berbanding dahulu kerana adanya segelintir golongan ini yang menguasai industri perikanan di Malaysia.

Jadi, apabila kerajaan memperuntukkan RM40 juta bagi melangsaikan hutang mereka dengan orang tengah, maka ia merupakan langkah tepat untuk membantu nelayan daripada dikongkong oleh orang tengah.

Hutang yang ditanggung oleh nelayan menyebabkan mereka terpaksa menjual hasil mereka kepada orang tengah. Mahu tidak mahu, meskipun hasil tangkapan mereka banyak, namun wang yang diterima sedikit kerana dijual pada harga yang murah. Dengan menggunakan hutang, orang tengah menjadikan ia sebagai senjata untuk membeli hasil tangkapan nelayan.

Hasil tangkapan mereka sewajarnya dibeli oleh persatuan nelayan itu sendiri agar ia menguntungkan nelayan. Begitu juga, persatuan nelayan telah diberikan sebanyak RM50,000 bagi memberi pinjaman segera kepada nelayan agar nelayan tidak lagi bergantung kepada orang tengah.

Begitu juga, kerajaan melalui Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional menyediakan pinjaman kepada nelayan jika mereka memerlukan wang untuk membeli bot dan peralatan lain. Dengan cara ini, ia memudahkan nelayan bagi mendapatkan dana untuk membeli kelengkapan yang diperlukan.

Tidak cukup dengan itu, inisiatif kerajaan untuk membantu para nelayan dalam memasarkan tangkapan mereka. Dengan kerjasama Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat) akan menyediakan 200 pusat pengumpulan dan pengedaran hasil tangkapan ikan.

Bahkan, bantuan juga disalurkan kepada para nelayan dengan menambah lagi bilangan pasar nelayan, memberi tapak kepada nelayan di pasar tani untuk berniaga dan memperkenalkan pasar ikan bergerak.

Ini secara langsung membolehkan nelayan menjual hasil tangkapan mereka secara terus kepada pembeli. Secara tidak langsung, harga ikan akan lebih murah berbanding ikan ditolak kepada orang tengah sebelum dibeli oleh pengguna.

AH LONG

Ini bermakna pengguna juga akan mendapat manfaat dengan terhakisnya peranan orang tengah dalam sub-sektor perikanan.

Biarlah harga ikan benar-benar ditentukan oleh pasaran iaitu nelayan dan pembeli dan bukannya kuasa menentukan harga terletak pada orang tengah. Tidak keterlaluan dikatakan selama ini, sektor pertanian terlalu bergantung kepada orang tengah.

Dengan kejayaan memerangi orang tengah dalam sub-sektor perikanan, maka ia boleh dilaksanakan di sub-sektor yang lain seperti perladangan, penternakan dan sebagainya.

Tidak keterlaluan juga boleh dikatakan bahawa selama ini orang tengah berfungsi sebagai ah long dalam sektor pertanian.

Meskipun mereka ini tidaklah sekejam ah long yang memberi pinjaman peribadi, yang mana boleh menggugat keselamatan si peminjam tetapi ah long dalam sub-sektor perikanan memberi kesan yang berpanjangan dek kerana nelayan terlalu bergantung kepada ah long ini.

Ah long ini mengetahui kelemahan-kelemahan nelayan seperti tiada wang untuk membeli dan memperbaiki bot dan alatan untuk ke laut serta tidak mengetahui cara bagaimana untuk menjual secara terus kepada pengguna.

Jadi, bagi meraih keuntungan berlipat kali ganda, mereka menawarkan pinjaman kepada nelayan agar nelayan terikat dengan mereka.

Ini menunjukkan tiada bezanya di antara orang tengah dengan ah long sebenar. Akibat terlalu bergantung kepada mereka, nelayan mahupun si peminjam terpaksa mengikut kehendak mereka meskipun mengetahui bahawa mereka telah dimanipulasikan.

Penindasan ke atas nelayan terdesak sebeginilah menyebabkan hanya orang tengah sahaja yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda manakala yang menjadi mangsanya bukan setakat nelayan bahkan pembeli yang terpaksa membeli hasil tangkapan nelayan dengan harga yang lebih tinggi berbanding sepatutnya.

Justeru, nelayan-nelayan di seluruh Malaysia sewajarnya memberi kerjasama sepenuhnya kepada kerajaan dalam memerangi orang tengah. Sewajarnya juga, Nekmat dan agensi kerajaan yang berkaitan membantu para nelayan dengan memberi penjelasan sebaik mungkin akan kebaikan lapan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan ini bagi membolehkan para nelayan memberi kerjasama sepenuhnya dalam menjayakan agenda memerangi orang tengah.

Tidak mustahil, inisiatif kerajaan ini bakal melahirkan lebih ramai lagi usahawan pertanian yang berjaya bagi sub-sektor perikanan. Kelak, kerjaya nelayan akan mengalami perubahan ketara yang bakal mengubah status kehidupan nelayan kepada profesion yang berpendapatan lumayan berbanding sekarang.

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan (SOA) dan Felo Penyelidik Institut

Keusahawanan dan Koperasi (CEDI)

Universiti Utara Malaysia

Apabila yang demam bertambah demam

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Oleh Fauziah Arof

AKU tunggu lebih tiga jam, dengan badan menggigil demam , rasa nak tumbang dan badan semua sakit-sakit, hujung-hujung aku dapat panadol satu papan sahaja dan doktor minta ambil darah pada petang esoknya. Maknanya kena datang baliklah lagi.

Sudahlah tunggu lama, klinik itu pula dah jadi macam taman rekreasi, budak-budak bermain, berlari-lari, menjerit-jerit tetapi emak ayah dia buat tak kisah, leka layan handphone. Tambah sakit orang yang tengah sakit," cerita seorang kawan kepada saya setelah dia pergi ke Klinik Kesihatan di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Menurutnya, urusan pendaftaran saja sudah ambil masa 45 minit, walaupun ada angka giliran dengan empat kaunter pendaftaran tetapi yang dibuka cuma dua. Masanya pula ketika itu, belum masuk waktu makan tengah hari, pukul 10 pagi. Kalau tiba waktu makan tengah hari mungkin boleh terima alasan dua lagi pergi makan.

Sebab itu, katanya, dia memang lebih suka pergi ke klinik swasta saja apabila demam atau ada sakit-sakit lain. Bagaimanapun, katanya, bila duit tak berapa nak ada terpaksalah juga pergi ke klinik kesihatan.

Sememangnya, cerita-cerita sebegini kita selalu dengar. Menunggu lama untuk mendapatkan rawatan dan akhirnya mendapat satu atau dua jenis ubat yang sebenarnya boleh saja dibeli di kedai serbaneka seperti 7-Eleven atau lain-lain tanpa membazir masa menunggu lama.

Bagi kebanyakan daripada kita yang bekerja dan syarikat menyediakan kemudahan rawatan dan kesihatan di klinik dan hospital berbayar, kita sebenarnya amat bertuah tidak melalui perkara-perkara sebegini.

Tetapi bagaimana dengan mereka yang tidak mempunyai kemudahan itu dan pendapatan mereka pula kecil? Sudah pasti untuk pergi ke klinik swasta, sekurang-kurangnya RM60 diperlukan untuk sesi rawatan termasuk ubat-ubatan untuk demam. Itu belum masuk penyakit-penyakit lain lagi. Mengeluarkan wang sebanyak itu bukanlah mudah bagi mereka.

Kita harus akui bahawa kebanyakan yang mendapatkan rawatan pesakit luar di hospital atau klinik kesihatan kerajaan ini ialah golongan berpendapatan rendah. Mereka ini, ada yang datang dari jauh dengan menaiki kenderaan sendiri, guna pengangkutan awam atau menumpang kereta saudara-mara. Ada yang datang mengendong anak, siap dengan membawa bekal makanan. Apabila tiba di hospital atau klinik kesihatan pula, mereka perlu menunggu lama dan akhirnya setelah diperiksa, tentunya tidak berbaloi segala kepenatan menunggu itu jika hanya diberi pil paracetamol.

Dalam pada itu, mencari tempat letak kenderaan di kawasan hospital dan klinik kesihatan kerajaan ini memang susah. Selalunya mereka terpaksa meletak kenderaan di kawasan yang jauh dari tempat rawatan. Sudahlah tempat letak kenderaan awam terhad, pantang silap parking sikit , sekejap saja tayar kereta kena clamp.

Inilah antara cabaran-cabaran yang pastinya akan menguji tahap kesabaran tetapi terpaksa juga dilayan kerana tidak mampu untuk pergi ke klinik swasta.

Pun begitu, sudah tentunya apabila kita memilih untuk mendapatkan rawatan di hospital atau klinik kerajaan, kita mengharapkan layanan, rawatan dan ubat-ubatan yang diberi adalah yang terbaik. Sebabnya, apa pun yang datangnya daripada kerajaan selalunya adalah yang terbaik. Maknanya dari segi perubatan ini, hospital kerajaan sepatutnya lebih baik dan perkhidmatannya mendahului hospital dan klinik swasta.

Memang tidak dinafikan Kementerian Kesihatan sentiasa memastikan bahawa klinik dan hospital kerajaan ini sentiasa cekap, masa menunggu pun sudah dipendekkan, kakitangannya pun diminta sentiasa mesra pelanggan.

Justeru perkara ini perlulah sentiasa diperingatkan dan dipantau. Memang bukan semua hospital dan klinik kerajaan yang lembab. Di Jabatan Pesakit Luar, Hospital Kuala Lumpur (HKL), kita boleh lihat stafnya bergerak cepat, sudah banyak perubahan, tidak seperti dahulu. Di sana, pesakit boleh berjumpa doktor, periksa darah dan keputusannya boleh dapat dalam masa tidak sampai satu jam. Tidak perlulah datang semula ke hospital hanya untuk diambil darah.

Dalam pada itu, di HKL juga disediakan perkhidmatan bas perantara untuk orang awam ke jabatan-jabatan dalam hospital berkenaan. Ini menunjukkan mutu perkhidmatan di hospital berkenaan sentiasa cuba ditingkatkan.

Tinggal lagi sekarang ini yang perlu dipastikan adalah kecekapan yang sudah tentunya melibatkan sikap kakitangannya. Jika doktor, kita boleh faham bilangannya tidak ramai yang kena mengendalikan ramai pesakit, tetapi takkanlah kelewatan di bahagian pendaftaran pun mahu beri alasan doktor tak cukup.

Dan apabila Malaysia terletak dalam kedudukan ketiga negara terbaik dalam menyediakan penjagaan kesihatan serta paling berpatutan di dunia selepas Perancis dan Uruguay, sepatutnya kenyataan yang amat membanggakan ini selari dengan apa yang dilalui oleh rakyat negara ini dalam mendapatkan perkhidmatan di hospital awam.

Kedudukan itu, menurut kajian laman web pelancongan antarabangsa, International Living, memandangkan negara ini merupakan antara destinasi perubatan pelancongan yang terbaik dan termurah di dunia. Kepakaran perubatan di Malaysia adalah setara atau lebih baik daripada kebanyakan negara Barat.

Kajian itu memberitahu, kos penjagaan kesihatan di negara ini begitu rendah sehingga pesakit boleh membayar daripada poket sendiri untuk banyak prosedur standard.

Hasil kajian ini tentulah menggembirakan kita. Tetapi adakah ia benar-benar memudahkan rakyat di negara ini terutamanya golongan berpendapatan rendah? Saya kira jika semua rintangan itu dapat diatasi, itu lebih baik.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat