Utusan Online - Rencana
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Rencana |
Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST Zulkiflee Bakar Anwar Ibrahim disambut penyokong PKR dan hanya segelintir penyokong Pas sejurus tiba di majlis pelancaran jentera pilihan raya kecil PKR di Taman Mesra di Kajang , baru-baru ini. SETAKAT kelmarin, Pas sudah menyatakan hanya akan memberi bantuan kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang dalam pilihan raya kecil yang dirancang oleh PKR dan tidak mahu dikaitkan dengan usaha menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor. Dalam kata mudah, Pas hanya akan membantu Anwar di dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang pada 23 Mac ini tetapi tidak akan merestui Ketua Pembangkang itu menjadi Menteri Besar Selangor. Sehingga kelmarin juga, Pas nampaknya bertegas dalam soal itu dan tidak mahu isu penggantian Abdul Khalid dibangkitkan. Kita tidak pasti sejauh manakah pendirian Pas dalam soal itu akan berkekalan kerana rentetan politik sebelum ini sering menyaksikan parti itu sering mengalah apabila berhadapan dengan tekanan Anwar, PKR dan DAP. Bagaimanapun sumber dalaman Pas memberitahu penulis, kali ini parti benar-benar konsisten untuk terus mempertahankan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor kerana mereka melihat tidak ada cacat celanya, bekas tokoh korporat itu menerajui negeri tersebut. Sumber itu berkata, Pas sememangnya menentang sebarang perancangan politik bagi menyingkirkan Abdul Khalid apatah lagi jika hanya kerana beliau berbalah dengan orang kesayangan Anwar iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa, Azmin Ali. ''Sebab itulah Pas menentang keras keputusan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang semata-mata untuk memberi laluan kepada Anwar bertanding dan seterusnya menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar. ''Gerakan politik ini tidak dibincangkan oleh PKR dengan Pas, biar pun dari segi kerusi Pas mempunyai lebih banyak kerusi di DUN Selangor berbanding PKR," katanya ketika dihubungi. Apabila ditanya jika begitu keadaannya kenapakah Pas hendak membantu PKR, sumber itu berkata, ''Atas semangat pakatan pembangkang kita perlu membantu PKR tetapi pernahkah saudara mendengar Pas bersetuju Anwar menggantikan Abdul Khalid, jika Anwar menang kerusi DUN Kajang? Tidak ada...bukan? Ini bermakna dalam keadaan apa sekali pun Pas tidak mahu Anwar mengganggu Abdul Khalid menerajui Selangor." Biar pun cuba diperlekehkan secara tidak langsung oleh Anwar yang menyatakan Abdul Khalid cemerlang dari segi ekonomi tetapi lemah dari segi pengurusan politik namun pemimpin-pemimpin Pas melihat Abdul Khalid jauh lebih baik berbanding Anwar. ''Pemimpin Pas melihat Abdul Khalid seorang pemimpin yang bersih dan sentiasa dilihat bersih kerana tidak dikaitkan dengan sebarang skandal termasuklah moral tetapi bagaimana dengan Anwar, beliau dilihat terlalu banyak masalah dan keadaan itu sudah tentulah tidak sesuai untuk beliau menjadi Menteri Besar," kata seorang pemimpin muda Pas kepada penulis. Oleh itu, dalam berhadapan dengan pertembungan antara 'dua anak Ibrahim' itu Pas dikatakan mempunyai strategi bagi memastikan Anwar tidak menang dalam sebarang usaha menyingkirkan Abdul Khalid. Menurut sumber Pas lagi, walaupun setakat ini tidak ada kenyataan yang jelas daripada Anwar bahawa beliau ingin menggantikan Abdul Khalid, tetapi manuver politik yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang itu cukup ketara. ''Apa yang kita persoalkan, kalau setakat hendak menyelesaikan masalah dalaman PKR, kenapa perlu mengheret rakyat? ''Kalau beliau tidak mahu menjadi Menteri Besar tak kan, beliau hendak menjadi Exco atau ADUN biasa sahaja? Jika begitu keadaannya siapa sebenar yang akan menerajui Selangor, Abdul Khalid atau Anwar? Bolehkah Abdul Khalid bekerja kalau Anwar yang menjadi Exco sedangkan Anwar adalah pemimpin nombor satu PKR?," kata sumber itu. Bagaimanapun penulis diberitahu, buat masa ini Pas tidak mahu membangkitkan isu Menteri Besar kerana menganggap ia tidak ada keperluan memandangkan parti itu kekal dengan pendirian bahawa Abdul Khalid tidak harus digantikan. Kenyataan itu selari dengan penegasan Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat yang tidak mahu polemik DUN Kajang mengheret pakatan pembangkang bagi membincangkan perebutan kerusi 'panas' (Menteri Besar). ''Pemuda Pas mendesak agar isu Menteri Besar dihentikan segera kerana rakyat sudah muak dengan polemik politik yang tidak berkesudahan," kata Suhaizan dalam sidang akhbar, kelmarin. Walaupun Anwar menafikan peletakan jawatan ADUN Kajang, Lee Chin Cheh dirancang tetapi sejarah perjalanan politik Anwar sudah membuktikan bahawa 'penafian beliau hakikatnya adalah satu kebenaran." Jika tiada perancangan untuk meletakkan Anwar sebagai Menteri Besar kenapakah dalam reaksi mereka Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyelar Suhaizan kerana tidak bersetuju dengan cadangan melantik Anwar sebagai Menteri Besar? "Kita tawarkan pemimpin berpengalaman luas untuk Selangor dan secara tidak langsung akan memantapkan lagi kerjasama parti pendukung pakatan pembangkang khususnya di negeri tersebut," katanya dalam kenyataan menerusi Facebook AMK Johor. Bagi Abdul Khalid pula, beliau setakat ini belum membuat kenyataan terbuka bahawa Anwar akan menjadi Menteri Besar. Sehingga kelmarin, Abdul Khalid hanya berkata, ''Anwar sudah bersedia bekerja untuk rakyat.'' Kalau dikaji kenyataan Abdul Khalid sejak tercetus isu DUN Kajang, beliau dilihat tidak begitu selesa apabila dianggap oleh Anwar hanya bijak menguruskan ekonomi. Mungkin atas sebab itulah dalam ucapan ketika majlis bersama pemimpin masyarakat Hulu Langat semalam, Abdul Khalid berkata, Anwar mahu kerajaan Selangor menunaikan permintaan rakyat dan ia berbeza dengan kebolehan beliau 'yang hanya tahu mengira duit'. Namun begitu, apa pun perancangan politik Anwar termasuklah dengan menjadi PRK DUN Kajang sebagai usaha mengalih isu yang terlalu banyak dipalitkan dengan beliau, ia tidak akan berhasil jika pengundi-pengundi Kajang menolak beliau dalam pilihan raya kecil tersebut. Oleh itu DUN Kajang seharusnya dijadikan medan kepada pengundi mengajar PKR supaya berpolitik dengan cara lebih bermoral. Janganlah begitu mudah mempermainkan amanah rakyat dengan sewenang-wenangnya. Kita menghormati keputusan pengundi Kajang sebelum ini apabila memberikan kemenangan kepada PKR dalam pilihan raya umum lalu. Itu hak mereka kerana yakin PKR yangturut menerajui kerajaan negeri mampumelakukan sesuatu untuk kawasan itu. Namun sekarang sudah jelas kerusi DUN Kajang dipertaruhkan oleh PKR semata-matamemenuhi agenda politik parti itu dan lebih buruk jika benar ia sekadar agenda Anwar untuk mengalih isu yang melumuri dirinya, apakah isu itu semua orang tahu! |
Pertahan kedaulatan Beting Serupai Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST Azmi Hassan BETING Serupai atau lebih dikenali oleh masyarakat antarabangsa sebagai Beting James di perairan Laut China Selatan tidak syak lagi berada dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) Malaysia kerana jaraknya dari Bintulu, Sarawak hanya 80 kilometer (km). EEZ mengikut peruntukan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) membenarkan sesebuah negara mengurus tadbir EEZ yang boleh menjangkau sehingga 370 km dari sempadan sah perairan negara berkenaan. UNCLOS juga mengesahkan negara pesisir mempunyai hak kedaulatan terhadap kawasan perairan 17 km dari pantai. Memang tidak dinafikan EEZ Malaysia bertindih dengan EEZ beberapa negara lain seperti Brunei, Filipina dan Indonesia kerana perkara sebegini adalah lazim bagi negara yang berdekatan antara satu sama lain. Tidak timbul masalah ketara di antara EEZ empat negara ASEAN ini kerana masing-masing menghormati kedaulatan negara lain. Tetapi apabila Beting Serupai juga dituntut oleh China sebagai sebahagian daripada wilayah mereka walaupun jarak terdekat perairan negara tersebut iaitu Hainan dari Beting Serupai ialah 1,800 km, tuntutan Beijing dianggap sebagai tidak masuk akal. Ini adalah kerana tuntutan Beting Serupai oleh Beijing tidak bersandarkan kepada peruntukan EEZ UNCLOS tetapi hanya berasaskan sejarah lampau China. Timbul masalah apabila China mula cuba memperkuatkan tuntutan Beting Serupai dengan menggunakan strategi ketenteraan bermula dari tahun 1983 dengan menggunakan alasan kebebasan laluan di perairan antarabangsa. Ini adalah kerana peruntukan UNCLOS membenarkan kapal negara asing (termasuk kapal perang) melalui perairan EEZ sesebuah negara jika aktiviti kapal tersebut tidak mengganggu kegiatan ekonomi negara milik EEZ tersebut. Pada 1987 dan 1994 kapal perang milik Tentera Laut Rakyat China (PLAN) merentas perairan berhampiran Beting Serupai dan paling membimbangkan pada 20 April 2010 besi penanda sempadan diletakkan berhampiran dengan beting tersebut. Tindakan agresif China berterusan kerana pada 2013, PLAN mula mempamerkan kekuatan tentera laut mereka dengan mengadakan latihan pendaratan amfibia di kawasan EEZ Malaysia. Paling terkini agensi berita China Xinhua melaporkan pada 26 Januari lalu, tiga kapal perang PLAN iaitu kapal pendarat Changbaishan dan dua kapal pemusnah daripada kelas Luyang I dan II iaitu Wuhan dan Haikou telah melakukan rondaan di perairan berhampiran Beting Serupai. Walaubagaimanapun Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menafikan laporan agensi berita tersebut kerana berdasarkan pemantauan dan risikan TLDM, tiga kapal perang PLAN yang dalam latihan itu tidak memasuki perairan negara sebagaimana didakwa. "TLDM mengetahui tentang kehadiran tiga buah kapal perang PLAN di kawasan perairan Laut China Selatan dan kita sememangnya memantau rapat pergerakan mereka tetapi tiada pencerobohan di James Shoal (Beting Serupai)?, tegas beliau. Beijing begitu lazim menggunakan strategi psikologi terhadap rakyat mereka dalam apa jua peristiwa untuk menentukan sokongan tanpa belah bahagi kepada pemerintah. Umpamanya dalam media tempatan mereka sering diwarnai dengan berita China sentiasa berada dalam ancaman dari pihak luar seolah-olah seperti dalam ambang peperangan. Begitu juga dengan isu tuntutan kawasan perairan Laut China Selatan walaupun dari pandangan luar mentafsirkan sebagai sesuatu yang tidak logik, tetapi rakyat mereka disogok dari kecil lagi dengan propaganda bahawa hampir 80 peratus perairan tersebut adalah milik mereka. Termasuk dalam propaganda harian mereka adalah Beting Serupai (yang dilabel sebagai Terumbu Zengmu oleh China) juga milik mereka. Ada kemungkinan laporan terbaru agensi berita Xinhua mengenai Beting Serupai adalah salah satu propaganda pemerintah mereka untuk menguatkan persepsi bahawa beting yang berdekatan dengan Bintulu itu adalah wilayah paling selatan China. Walau apa pun senario sebenarnya, adalah menjadi tanggung-jawab Kuala Lumpur untuk mempertahankan kedaulatan Beting Serupai seperti yang diperuntukkan oleh UNCLOS atau mana-mana undang-undang maritim antarabangsa. Berhadapan dengan Beijing memerlukan strategi licik yang harus menggabungkan usaha diplomasi dan ketenteraan. Peristiwa perebutan Beting Scarborough antara Filipina dan China boleh dijadikan petunjuk bagaimana untuk berhadapan dengan Beijing. Beting tersebut yang terletak 230 km dari Pulau Luzon, Filipina dan 870 km dari Hainan, China menjadi rebutan kedua-dua negara tersebut. China kini mengawal sepenuhnya beting tersebut kerana kekuatan PLAN jauh melebihi kemampuan tentera laut Filipina. Tetapi Manila menggunakan saluran UNCLOS untuk memaksa Beijing menerima pakai lunas perundangan antarabangsa. Begitu juga dengan Malaysia, kekuatan TLDM pernah digunakan jika berlaku pencerobohan perairan negara seperti yang telah dilakukan oleh PLAN. Cadangan untuk membangunkan pangkalan laut di Bintulu atau menubuhkan pasukan tentera marin mengikut acuan tentera marin Amerika Syarikat (AS) adalah usaha untuk memantapkan pertahanan maritim negara. Kuala Lumpur juga perlu menggunakan hubungan diplomatik yang agak istimewa dengan Bejing sebagai strategi mengendurkan konflik bersangkutan dengan Beting Serupai. Hubungan perdagangan yang sihat antara dua negara juga boleh dijadikan pemangkin sebagai jalan penyelesaian masalah. Begitu jua dengan persefahaman untuk melaksanakan latihan ketenteraan di antara kedua-dua negara adalah manifestasi hubungan rapat Kuala Lumpur-Beijing. China memerlukan rakan dalam Asean apabila berhadapan dengan tuntutan bertindih di Laut China Selatan. Filipina, Vietnam, Indonesia dan Singapura tidak memihak kepada China dan situasi sebegini boleh digunakan oleh Kuala Lumpur untuk memaksa Beijing supaya tidak menimbulkan provokasi dengan Malaysia. Dalam apa jua keadaan mungkin pembinaan struktur di Beting Serupai belum tiba masanya seperti yang dilakukan terhadap beberapa pulau milik Malaysia dalam gugusan Kepulauan Spratly. Tetapi hakikatnya, kedaulatan Beting Serupai perlu dipertahankan. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |