{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Rencana

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Rencana


Meneruskan tradisi dakwah

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Oleh MOHD. ZUBER ZAIN
PENULIS ialah Ketua Penerbitan Perkim.

Tertegaknya bangunan Perkim dan Balai Islam Perkim di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menjadi testimoni atau bukti jelas sokongan padu kerajaan terhadap gerakan dakwah Islam di Malaysia.

PADA hari ini, warga Perkim akan menyambut ulang tahun penubuhan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia ini buat kali ke-54 di Masjid Assyakirin KLCC dengan acara ringkas bacaan Yasin dan tahlil. Majlis ini akan dihadiri Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku Yang Dipertua Perkim sejak 2005.

Dalam usia melebihi setengah abad, Perkim sering dikenali sebagai ikon Saudara Baru walaupun skop khidmat badan kebajikan ini sebenarnya lebih luas meliputi bantuan kepada fakir miskin, anak yatim dan golongan yang ingin mendalami Islam.

Hal ini kerana sudah menjadi amalan - "jika mahu masuk Islam, pergilah ke bangunan Perkim di Jalan Ipoh."

Contohnya, Abdul Karim Raymond, 30, mengenali Malaysia menerusi seorang teman yang pernah berkunjung ke negara ini. Kebetulan pula, pada ketika itu melihat keadaan aman harmoni rakyat negara ini, hatinya semakin berkeyakinan dengan agama Islam yang hampir tiga tahun dikenalinya itu.

"Agama Islam di negara saya Ghana adalah agama kedua selepas Kristian. Pun begitu peratus yang beragama Islam adalah kecil berbanding dengan agama Kristian yang melebihi 54 peratus. Walaupun dilahirkan dan dibesarkan dalam suasana keluarga dan masyarakat yang boleh dikatakan kuat pegangan kepada agama Kristian, saya masih merasa kosong. Demi mencari pengisian itulah, saya membawa diri ke negara-negara yang majoritinya beragama Islam. Namun hanya setelah ke Malaysia dan melihat sendiri Islam dipraktikkan dalam seluruh kehidupan, saya yakin inilah agama yang tepat buat saya," cerita Abdul Karim yang masuk Islam pada Disember 2007.

Abdul Karim ialah salah seorang daripada 10 penerima anugerah pelajar cemerlang Perkim Kebangsaan pada Ogos lalu. Mengikuti kelas-kelas pengajian Islam dan mengaji al-Quran yang dianjurkan Perkim, dia semakin memahami agama suci ini.

Mengenai Islam yang sering dilabel dengan perkara-perkara negatif, beliau tidak menyalahkan pihak terlibat termasuk media Barat yang berpandangan sedemikian. Hakikatnya, kata Abdul Karim, Islam adalah agama yang paling lengkap dan sempurna. "Sayangnya, umat Islam itu sendiri tidak memberi gambaran Islam yang sebenar. Sikap negatif merekalah yang turut mencemarkan imej Islam," katanya.

Alhamdulillah, dakwah yang dilakukan oleh Perkim berjaya menawan hati Abdul Karim dan ramai lagi mualaf, biarpun jarang diketahui masyarakat awam.

Jika badan-badan dakwah lain memberi tumpuan kepada orang Melayu, Perkim sejak ditubuhkan pada 19 Ogos 1960, telah memberi tumpuan kepada orang seperti Abdul Karim, yang berkelana ke negara ini untuk mencari ketenangan jiwa.

Pada masa ini, ramai peserta kelas-kelas agama Perkim terdiri daripada orang Afrika, Eropah dan Filipina yang tertarik kepada agama Islam apabila datang bekerja di Malaysia. Selepas mengucap syahadah dan diislamkan oleh mubaligh Perkim yang majoriti mereka juga ialah Saudara Baru, mereka perlu mengikuti kelas pengajian Islam yang diadakan setiap hari termasuk hujung minggu di Bangunan Perkim dan di Bahagian Perkim yang terdapat di setiap negeri di Semenanjung Malaysia.

Selain teori, mereka diajar secara amali bagaimana berniat dan mengambil wuduk, sembahyang, puasa dan ibadah yang lain. Selain fardu ain, mereka juga diajar membaca al-Quran, tafsir, hadis, sejarah Islam, bahkan dibekalkan naskhah al-Quran dan pelbagai bahan bacaan mengenai Islam terbitan Perkim.

Sebarang persoalan agama atau masalah tentang alam kehidupan yang baharu, mereka boleh menghubungi atau berjumpa sendiri pegawai-pegawai dakwah Perkim yang sedia membantu 24 jam.

Laman web pertubuhan itu boleh diakses di mana-mana sahaja. Pusat Aduan di tingkat empat Bangunan PERKIM pula, bukan sahaja sedia memberi bantuan kepada masalah berkaitan agama bahkan berfungsi menerima pelbagai aduan berhubung masalah rakyat yang akan dipanjangkan kepada pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan sebagainya.

Sebenarnya kelas agama Perkim bermula sejak 1961 di sebuah banglo kerajaan di Jalan Ampang, dipimpin Haji M.N Qandil. Kemudian kelas agama ini berpindah ke Balai Islam Perkim di Jalan Ipoh yang dirasmikan oleh Allahyarham Tun Razak pada 1974. Mulai 1976, kelas-kelas agama ini diserapkan dalam Institut Dakwah Islamiah Perkim (IDIP) yang berpindah pula ke premis baru lengkap dengan asrama di Wisma Selangor, Jalan Universiti, Petaling Jaya. Sejak 1991, kampus tetap IDIP di Pengkalan Chepa, Kelantan, iaitu bekas tapak kem pelarian Islam Champa/Kemboja.

IDIP melatih mubaligh Islam yang sebahagian besar mereka terdiri daripada mualaf Cina, India, Orang Asli dan kaum Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Memandangkan sumber dakwah yang paling penting ialah pendakwah yang terlatih dan berkaliber, Perkim merancang membina Kompleks IDIP Pusat di Kuala Kubu Baru di atas tanah seluas lima hektar. Namun kekangan dana membuatkan projek yang dianggarkan bernilai RM20 juta ini terpaksa ditangguhkan buat sementara.

Selepas 54 tahun, Perkim boleh berbangga kerana berjaya melaksanakan kerja-kerja dakwah dan kebajikan yang dihasratkan oleh pengasasnya, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Walaupun tidak mendapat pendidikan Islam secara formal, agenda penyatuan dan perpaduan umat Islam cukup dekat di hati Almarhum.

Contoh jelas adalah usaha memperkenalkan Musabaqah Al-Quran selepas negara merdeka pada 1960.

Melalui Musabaqah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, Almarhum telah mengumpul qari dan qariah serta alim ulama dari seluruh negara dalam satu majlis tahunan. Musabaqah Peringkat Antarabangsa yang diadakan sejak 1961 pula menyatukan qari dan qariah serta alim ulama dari seluruh dunia Islam. Melalui Musabaqah Antarabangsa ini nama Malaysia tersebar dan terpancar ke seluruh dunia Islam.

Apabila Malaysia ditubuhkan pada 1963, Perkim menjalin hubungan dengan BINA/HIKMAH (Sarawak) dan USIA (Sabah) menubuhkan Badan Dakwah Islam (Badai) bagi tujuan dakwah di Malaysia Timur.

Walaupun dengan peruntukan dan sumber yang cukup terhad, sekitar 1980-an, dianggarkan lebih 100,000 orang telah memeluk Islam melalui usaha dakwah Perkim, BINA dan USIA, dengan purata 5,000 orang setiap tahun. Anggaran terkini mungkin lebih 254,000 orang Saudara Baru.

Aktiviti kebajikan Perkim termasuk membuka rangkaian klinik dan klinik bergerak yang dikendalikan oleh doktor dan jururawat sukarela memberi rawatan secara percuma kepada pesakit.

Perkim juga membuka Pusat Pemulihan Dadah di Perak, Pusat Perlindungan Wanita di Negeri Sembilan dan Kompleks Anak Yatim di Kedah di samping Institut Perkim-Goon, yang menawarkan kursus peringkat diploma kepada Saudara Baru. Turut dibuka, Tasputra Perkim khas untuk anak kurang upaya (OKU) dan sebuah asrama untuk anak Orang Asli di Bukit Persekutuan Kuala Lumpur.

Sumbangan Perkim tidak terhad kepada rakyat tempatan, apabila membantu Pelarian Perang Islam (PPI) dari negara ASEAN yang bergolak antaranya Melayu Champa dari Kemboja, Mindanao (bangsa Moro), Myanmar (Rohingya) dan Bosnia, mendapat perlindungan sementara atau menjadikan Malaysia sebagai negara transit sebelum berhijrah ke negara lain.

Melihat perlunya satu koordinasi antara badan-badan dakwah di rantau Asia Pasifik, pada 1980 Almarhum Tunku menubuhkan Regional Islamic Secretariat East Asia Pasifik (RISEAP). Di peringkat antarabangsa RISEAP bergabung dengan Kongres Islam Sedunia yang beribu pejabat di Karachi.

Usaha dakwah dan kepimpinan Almarhum Tunku mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila Perkim terpilih menerima Anugerah Raja Faisal dan Anugerah Maal Hijrah dari Kerajaan Pakistan. Pada 1986, jasa dan sumbangan besar dalam bidang kebajikan diiktiraf kerajaan apabila dipilih menerima Anugerah Tun Razak.

Tertegaknya bangunan Perkim dan Balai Islam Perkim di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur menjadi testimoni atau bukti jelas sokongan padu kerajaan terhadap gerakan dakwah Islam di Malaysia.

Dr. Mahathir meneruskan cara dan gaya dakwah Perkim yang sederhana, mengorak langkah kerja yang lebih dinamik dengan berusaha menonjolkan imej Islam yang positif dan menepis label ekstremis yang dilukis oleh media antarabangsa.

Usaha beliau menganjurkan Konvoi Flotila Bantuan Kemanusian Gaza berjaya menonjolkan imej Malaysia sebagai negara Islam yang kecil tetapi berperanan besar dalam kerja-kerja membantu saudara seagama di seluruh dunia.

Dengan segala macam penyakit sosial yang melanda negara sekarang, Perkim kini memberi tumpuan dakwah kepada golongan muda.

Bahagian Tajdid Pemikiran Islami Era Globalisasi ditubuhkan bagi membolehkan Perkim menerang dan memperjelas keperluan nilai-nilai Islam menjadi pegangan hidup kepada 40,000 pensyarah dan guru agama di Kementerian Pendidikan.

Program Tajdid ini dikendali sendiri oleh Dr. Mahathir yang sanggup turun padang berdakwah berkongsi pemikiran dan pengalaman luas beliau dengan guru-guru agama, dengan harapan mereka akan menyebar luas fahaman Tajdid Islami ke 10,000 sekolah dan 28 maktab perguruan seluruh negara.

Perkim juga sedang giat mempromosi konsep Tajdid Islami di universiti awam dan swasta melalui Kelab-Kelab Perkim Universiti.

Fokus Perkim kini adalah kepada generasi muda di samping meneruskan kerja-kerja kebajikan yang menjadi tradisi PERKIM kepada anak-anak yatim, fakir miskin, OKU serta Saudara Baru.

Jangan terperangkap politik alih isu pembangkang

Posted: 07 Feb 2014 11:13 AM PST

Zulkiflee Bakar

TINDAKAN biadab Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menghina pemimpin negara melalui penerbitan klip video Tahun Baharu Cina baru-baru ini turut 'menghangatkan' arena politik negara yang ketika ini sudah 'dipanaskan' dengan wayang politik Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Perbuatan Teresa yang menganggap penerbitan video itu sekadar satira politik menunjukkan dengan jelas bahawa pemimpin DAP itu tidak berasa bersalah dengan perbuatan biadabnya.

Justeru tidak hairanlah jika setakat ini 243 laporan polis dibuat oleh pelbagai pihak yang menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Seputeh itu. Pada masa yang sama, Teresa juga dikecam melalui laman-laman sosial sehingga mendorong sekumpulan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mengadakan demonstrasi membantah perbuatan beliau.

Bagaimanapun persoalannya, sejauhmanakah semua tindakan itu akan memberi tekanan politik kepada Teresa, DAP dan sekutunya seperti PKR dan Pas? Setakat ini pemimpin kedua-dua parti itu tidak berkata apa-apa. Mungkin kerana pemimpin negara yang dihina oleh Teresa itu ialah pemimpin-pemimpin UMNO maka mereka menganggap ia tidak salah.

Namun begitu, dalam keghairahan pelbagai pihak membuat bantahan, kita juga harus berhati-hati supaya tidak terperangkap dengan politik alih isu yang sememangnya sudah menjadi 'senjata politik' pakatan pembangkang sejak sekian lama.

Ketika ini, kecaman yang dilemparkan kepada Teresa, sudah dijadikan 'alat' oleh pembangkang untuk menyerang balas UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang sedang membuat persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil DUN Kajang pada 23 Mac ini.

Mereka mengaitkan semua tindakan dan bantahan yang dilakukan oleh NGO-NGO didalangi oleh UMNO - tidak pasal-pasal UMNO dikaitkan - sedangkan apa yang berlaku kerana rakyat sudah bosan melihat kebiadaban pemimpin-pemimpin pembangkang sejak kebelakangan ini.

Apatah lagi, rentetan politik sebelum ini menunjukkan biarpun beratus-ratus laporan polis dibuat ke atas pemimpin pembangkang namun ia sepi begitu sahaja.

Keadaan inilah memungkinkan sesetengah pihak khususnya NGO terpaksa melakukan tindakan dengan tujuan menarik perhatian pihak berkuasa bahawa mereka mahu langkah tegas diambil sebagai pengajaran.

Kebiadaban Teresa tidak boleh didiamkan. Laporan polis yang dibuat harus disusuli dengan keberanian Jabatan Peguam Negara untuk mengambil tindakan.

Sudah terbukti kini tindakan Teresa telah menimbulkan kemarahan rakyat, oleh itu mereka mahu melihat pemimpin DAP itu 'diajar' untuk menghormati undang-undang.

Jika dikaji, adalah jelas tidak ada keinsafan pada diri Teresa untuk meminta maaf sebaliknya dia kembali menyerang pemimpin-pemimpin UMNO, dalam kata mudah seolah-olah dia sedikit pun tidak takut dengan laporan-laporan polis dibuat.

Apapun, kita mengharapkan semua pihak rasional dalam berhadapan dengan isu Teresa. Ini memandangkan jika mereka bertindak keterlaluan, ia boleh menyebabkan mereka termasuk dalam perangkap pembangkang yang sememangnya sedang cemas dengan isu wayang politik PKR di Kajang.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat