Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Bertindak sebelum ada kematian
- Pelajar Thailand sertai merentas desa
- PITT laksanakan program 'Ibuku Heroku'
Bertindak sebelum ada kematian Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST Oleh KAMARUDIN HAMZAH MUHAMMAD Pehimi Yusof (dua dari kanan) dan Anwa Sulaiman (kanan) menyembur replika nyamuk Aedes ketika merasmikan program 'Ayuh Gempur aedes' di Kampung Tanjung Demong Air Tawar, Besut, Terengganu, kelmarin. BESUT 16 Feb. - Sikap masyarakat yang tidak endah terhadap seruan bekerjasama menjaga kebersihan bagi membanteras nyamuk aedes seolah-olah menunggu berlaku kematian ahli keluarga atau jiran akibat demam denggi terlebih dahulu. Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, penularan denggi perlu dibendung agar tidak menjadi wabak kerana ia tidak memilih sesiapa untuk menjadi mangsa. Katanya, sikap tidak ambil peduli dan mementingkan diri ini tidak sesuai lebih-lebih lagi apabila seseorang tinggal dalam sesebuah kampung atau taman perumahan yang memerlukan mereka bersikap saling tolong-menolong. "Apabila berlaku kecemasan seperti penularan wabak denggi, penglibatan setiap orang amat diperlukan untuk menjaga kebersihan bagi memastikan tempat pembiakan nyamuk aedes dimusnahkan," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program 'Ayuh Gempur Aedes' peringkat negeri di Kampung Tanjung Demong Air Tawar, dekat sini semalam. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd. Mahdi Musa; ADUN Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman; Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Anwa Sulaiman dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh. Katanya, kerajaan menerusi jabatan dan agensi telah melaksanakan pelbagai usaha dan program untuk mencegah wabak denggi tetapi tidak akan berjaya tanpa kerjasama dan penglibatan anggota masyarakat. Pehimi memberitahu, sejak Januari hingga 9 Februari lalu, sebanyak 155 kes demam denggi telah dilaporkan di negeri ini berbanding 32 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu. Katanya, dalam tempoh yang sama, sebanyak 28,273 premis, kebanyakannya rumah kediaman telah diperiksa. Didapati 95 premis positif tempat pembiakan nyamuk aedes dan tindakan diambil dengan mengenakan kompaun. "Sebanyak 671 pemilik premis yang mempunyai bekas berpotensi membiak nyamuk aedes telah diberikan notis atau surat amaran supaya melakukan pembersihan kawasan. "Sebenarnya punca utama adalah pengabaian pemilik premis terhadap aspek kebersihan dengan membiarkan sampah-sarap di kawasan sekitar yang menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya. |
Pelajar Thailand sertai merentas desa Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST Sebahagian pelajar Sekolah Ban Muno, Selatan Thailand dan SK Berangan bergambar kenangan selepas menyertai acara merentas desa di Pasir Puteh semalam. - UTUSAN/HAPIZAH AZIZ PASIR PUTEH 16 Feb. - Sebanyak tujuh pelajar Sekolah Ban Muno, Selatan Thailand memecah tradisi apabila menyertai pertandingan merentas desa anjuran Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pasir Puteh di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Berangan, di sini semalam. Penyertaan julung kali pelajar dari negara jiran itu adalah untuk mengeratkan hubungan dua hala dalam sektor pendidikan. Penolong Pengawai Pelajaran (Pengurusan Sekolah) Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh, Mohd. Anuar Ibrahim berkata, penyertaan pelajar luar itu turut bertujuan memberi pendedahan kepada mereka dalam sukan tersebut. "Acara ini diadakan bagi memilih wakil daerah ini untuk bertanding di kejohanan peringkat negeri. "Pelajar tempatan mahir dalam acara merentas desa bagaimanapun rakan-rakan mereka tidak didedahkan dalam sukan ini kerana mereka memberikan tumpuan dalam sukan bola sepak, bola tampar, sepak takraw dan bola keranjang," katanya kepada Utusan Malaysia selepas majlis penyampaian hadiah di SK Berangan, di sini semalam. Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Selising, Zulkifli Ali; Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Kampung Berangan, Datin Rafiah Mohd. Zain dan Guru Besar Sekolah Ban Muno, Dr. Worachai Ponnitayapong. Sementara itu, dua pelajar Sekolah Ban Muno melahirkan rasa gembira kerana dapat bersama rakan-rakan mereka dari Pasir Puteh untuk menyertai larian merentas desa yang tidak pernah mereka ketahui sebelum ini. Mohd. Hafizi Awang, 16, berkata, dia hanya menyertai latihan bola sepak di sekolah sebagai sebagai sukan pilihan untuk memenuhi kegiatan kokurikulum. Katanya, sesi latihan bola sepak bermula selepas kelas akademik iaitu kira-kira 2 hingga 4 petang, dua atau tiga kali seminggu. "Acara merentas desa tiada di sekolah saya, kecuali larian 100 meter dan 400 meter yang diadakan pada hari sukan," katanya. Rakannya, Che Asri Che Lah, 15, berkata, baginya larian merentas desa agak mencabar kerana perlu berlari melalui jalan kampung dan padang. "Tetapi saya gembira kerana sambil berlari, dapat melihat persekitaran kampung," katanya. Tambahnya, dia akan menceritakan pengalaman menyertai kejohanan merentas desa kepada rakan di sekolah yang tidak berpeluang menyertainya. |
PITT laksanakan program 'Ibuku Heroku' Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST KUALA TERENGGANU 16 Feb. - Persatuan Ibu Tunggal Terengganu (PITT) mengambil inisiatif menggerakkan Program Latihan Keusahawan 'Ibuku Heroku' dalam usaha membantu ahli meningkatkan pendapatan ekonomi keluarga. Pengerusinya, Halimah Rahmad berkata, melalui program yang julung kali diadakan itu, para peserta akan didedahkan dengan program keusahawanan kepada pengusaha industri kecil agar mereka mendapat rangsangan untuk terus memajukan diri. Katanya, sebagai permulaan sebanyak 30 peserta yang telah mengusahakan pelbagai bidang perniagaan termasuk makanan dan kraftangan menyertai program selama tiga hari itu. "Melalui program berkenaan peserta akan menjalani latihan secara berperingkat-peringkat yang diadakan dalam tiga fasa iaitu pembangunan modul, program latihan dan bimbingan perniagaan," katanya. Beliau ditemui pada pelancaran program itu di sini kelmarin yang dijayakan melalui kerjasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Katanya, pelaksanaan program yang diadakan secara berperingkat itu bagi membantu merealisasikan hasrat kerajaan untuk meningkatkan ekonomi rakyat. Oleh itu katanya, PITT bersama Koperasi Ummu Wahidah Terengganu Berhad (Kuwat) yang merupakan koperasi yang diwujudkan bagi memayungi ibu tunggal merebut peluang tersebut untuk membantu ahli. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |