{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Banjir: Proses semakan diperhalus

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
pengarang@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU 3 Feb. - Proses semakan mangsa banjir terpaksa dilakukan dengan teliti kerana terdapat kalangan mereka yang mengambil kesempatan mendaftar di beberapa tempat untuk mengaut lebih banyak bantuan yang bakal disalurkan oleh kerajaan negeri dan Pusat.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Terengganu, Mohd. Sarif Hassan berkata, dengan bilangan mangsa yang ramai, proses itu mengambil masa untuk memastikan tidak berlaku pertindihan dan hanya yang layak berhak mendapatkan bantuan itu.

"Selain itu turut dikesan sebuah rumah mendaftar lebih daripada satu keluarga sedangkan pemberian ihsan hanya akan diberikan kepada setiap ketua keluarga," katanya.

Beliau juga memaklumkan MKN negara hanya menguruskan pemberian wang ihsan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat dan tidak melibatkan bantuan kewangan dan peralatan rumah oleh kerajaan negeri.

Mohd. Sarif ditemui pada majlis penyampaian wang ihsan mangsa banjir bagi daerah Marang yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Kerajaan, Komunikasi dan Multimedia, A. Latiff Awang di Pejabat Daerah Marang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Marang, A. Rahman Che Ali. Pada majlis itu sebanyak 43 ketua keluarga di daerah itu menerima wang ihsan RM500 seorang.

Beliau memberi jaminan seramai 19,205 mangsa banjir yang layak di negeri ini akan menerima wang ehsan sumbangan Kerajaan Pusat selewat-lewatnya Mac ini dengan kira-kira RM9.602 juta diperuntukkan.

Menurut beliau, daerah Kemaman mencatatkan bilangan yang paling ramai layak menerima bantuan sebanyak RM500 setiap keluarga iaitu seramai 15,197 orang, Dungun (2,787 orang), Hulu Terengganu (1,031 orang), Setiu (101 orang), Besut (46 orang ) dan Marang (43 orang).

Katanya, berkata, proses pembayaran tersebut telah dimulakan sejak Januari lalu dan akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

"Sehingga kini sebanyak 797 orang telah mendapat bantuan, melibatkan daerah Setiu, Besut dan Marang manakala 607 orang di Kampung Pengkalan Pandan sempena lawatan Perdana Menteri di Kemaman baru-baru ini," katanya.

Mohd. Sarif berkata, bagi Hulu Terengganu, majlis penyampaian akan diadakan pada 6 Februari ini melibatkan kawasan Telemong, Ajil (16 Februari) dan Kuala Berang (18 Februari) manakala daerah Dungun dan Kemaman kini dalam proses semakan terakhir dan tarikh belum ditentukan.

Bantuan bukti Kerajaan Pusat tidak pilih bulu

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

Mohd. Mansor Daud (hadapan, dua dari kanan) bersama sebahagian guru dan pelajar pada Majlis Penyerahan Bantuan Awal Persekolahan 2014 di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 3 Feb. - Seramai 2,206 pelajar Ma'ahad Muhammadi (Perempuan) menerima Bantuan Awal Persekolahan 2014 dengan jumlah keseluruhannya RM220,600.

Bantuan tersebut sekali gus membuktikan kebajikan sekolah-sekolah di bawah kelolaan Kerajaan Pas Kelantan tidak pernah dipinggirkan oleh Kerajaan Pusat.

Pengetua sekolah itu, Mohd. Mansor Daud berkata, bantuan itu amat dihargai bagi membantu menyempurnakan keperluan sekolah terutama pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan.

"Ini kali ketiga kami menerima bantuan ini bermula 2012 dengan purata 2,200 pelajar sekolah ini memperoleh manfaat setiap tahun.

"Pihak sekolah berharap pelajar akan menggunakan wang ini sebaik-baiknya dan belajar bersungguh-sungguh tanda bersyukur dengan bantuan yang diperoleh ini," katanya selepas majlis penyerahan bantuan kepada pelajar di dewan sekolah itu di sini hari ini.

Sementara itu seorang pelajar tingkatan lima, Hirtieni Mohd. Shaufi, 17, dari Kampung Ana, Tumpat berkata, dia akan menyerahkan wang itu kepada ibunya, Sarinah Che Ya, 51, seorang ibu tunggal yang tidak mempunyai punca pendapatan tetap.

Anak kelima daripada enam beradik itu kehilangan ayah, Mohd Shaufi Jusoh pada 2009 akibat serangan jantung.

"Kami bukan keluarga yang berharta kerana arwah ayah hanya bekerja sebagai buruh dan ibu pula suri rumah. Setakat ini kami bergantung kepada kakak dan abang yang menghulurkan bantuan sekadar termampu.

"Keadaan ini bukan penghalang kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan mencapai cita-cita menjadi seorang doktor. Saya bersyukur kerana sebelum ini sudah dapat menghadiahkan ibu keputusan 9A pada Penilaian Menengah Rendah (PMR)," katanya.

Turut menerima sumbangan, Tengku Awanis Alim Tengku Azmi, 17, yang juga anak kepada Pengarah Yayasan Islam Kelantan (YIK), Tengku Azmi Tengku Jaafar.

Ketika ditemui, Tengku Awanis Alim berharap usaha Kerajaan Pusat membantu pelajar-pelajar sekolah di seluruh negara itu diteruskan kerana ramai pelajar dari keluarga kurang bernasib baik memerlukan bantuan itu walaupun mungkin dianggap sedikit oleh sesetengah pihak.

"Ada antara rakan saya yang sebelum ini terpaksa bersabar memakai uniform yang lusuh tetapi kini mereka berpeluang membeli baju sekolah baru menggunakan bantuan ini.

"Saya sendiri bercadang menyerahkan wang ini untuk tabung pembinaan masjid sekolah dan juga membantu rakan-rakan lain," katanya yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Rokok dengan taksiran cukai RM1.4 juta dirampas

Posted: 03 Feb 2014 10:33 AM PST

KUALA TERENGGANU 3 Feb. - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas pelbagai jenis rokok bernilai RM129,742 melibatkan nilai cukai hampir RM1.4 juta di Kampung Beladau Selat di sini minggu lalu.

Pengarah Kastam negeri, Abdullah Zawawi Abd. Latif berkata, rampasan rokok itu merupakan yang pertama pada tahun ini dengan nilaian begitu besar dan pihaknya turut menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dengan kes tersebut.

"Pada 27 Januari, Bahagian Penguatkuasaan JKDM negeri telah merampas 12,907 karton dengan lebih 2.5 juta batang rokok dipercayai belum mendapat kelulusan kastam dengan rampasan ditaksirkan bernilai RM129,742," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kejayaan itu hasil serbuan oleh lima anggota di sebuah premis di Kampung Beladau Selat setelah menerima maklumat berhubung aktiviti penyeludupan rokok.

Abdullah Zawawi percaya kesemua rokok yang dirampas adalah untuk diedar di sekitar daerah ini khusus bagi bekalan musim perayaan Tahun Baharu Cina.

"Semasa serbuan dilakukan, sebuah kenderaan turut berada di lokasi. Tiga orang lelaki tempatan berusia antara 37 hingga 45 tahun turut ditahan reman selama seminggu di bawah Seksyen 116C Akta Kastam 1967 bagi membantu siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Abdullah Zawawi mengingatkan orang ramai tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan, pengedaran dan penjualan rokok tidak sah serta mercun dan bunga api.

Katanya, ini kerana tindakan itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang daripada 10 kali nilai barang dan tidak lebih 20 kali nilai barang atau penjara tiga tahun atau kedua-keduanya sekali.

"Saya meminta orang ramai terus memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan kepada Bahagian Penguatkuasaan, JKDM negeri melalui talian 09-6228477," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat