Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Kes tetak, simbah asid April ini
- Kepulangan Ahmad disambut meriah
- Insentif bai'ah dapat pujian delegasi nazir Brunei
Kes tetak, simbah asid April ini Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST Oleh MOHD. HAFIZ. ABD. MUTALIB MOHD. Nurfino Omar atau Fino dibawa daripada Mahkamah Sesyen Kota Bharu selepas mahkamah menetapkan 27 sehingga 30 April depan bagi perbicaraan kes atas dua pertuduhan mencederakan dua lelaki sehingga parah dalam kes berasingan pada tahun 2011 dan 2012. - UTUSAN/ROSNI MASRI KOTA BHARU 5 Feb. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 27 hingga 30 April ini perbicaraan kes seorang pengusaha perniagaan cuci kereta yang menghadapi dua pertuduhan mencederakan dua lelaki sehingga parah termasuk menyimbah seorang mangsa dengan asid dalam dua kes berasingan pada 2011 dan 2012. Hakim Mohd. Yusoff Yunus menetapkan 27 dan 28 April ini untuk perbicaraan terhadap Mohd. Nurfino Omar atau lebih dikenali dengan 'Fino', 31, atas dakwaan menyebabkan kecederaan parah terhadap pengusaha hotel, Abdul Aziz Dollah, 50, dengan menggunakan parang. Mohd. Nurfino didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Abdul Aziz bersama-sama seorang lagi yang masih bebas di antara pukul 1.30 dan 3 petang, 19 Jun 2011 di Hotel Sri Cemerlang Baru Lounge, Jalan Sri Cemerlang, di sini. Sementara di Mahkamah Sesyen berasingan, Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 29 dan 30 April ini perbicaraan kes terhadap Mohd. Nurfino yang didakwa dengan sengaja menyebabkan penjaga bot, Mohd. Khaidzir Hanafi, 33, cedera parah menggunakan parang dan cecair asid. Bagi pertuduhan kedua itu, Mohd. Nurfino didakwa melakukan perbuatan tersebut bersama tiga lagi yang masih bebas di sebuah rumah di Kampung Padang Purut, Nilam Puri di sini di antara pukul 12.30 tengah malam dan 1 pagi, 13 Februari 2012. Kedua-dua pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebat. Bagi pertuduhan pertama, pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin, manakala pertuduhan kedua pula dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Hamizah Ghazali. Tertuduh diwakili oleh peguam Latifah Ariffin dan Mohd. Zubairi Salleh. Pada 5 Januari lalu, Mohd. Nurfino mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap kedua-dua pertuduhan itu dan hakim tidak membenarkannya diikat jamin. Dia dihadapkan ke mahkamah selepas berjaya ditangkap di Ipoh, Perak pada 26 Disember 2013 setelah diburu sejak lebih setahun lalu. |
Kepulangan Ahmad disambut meriah Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST AHMAD Said disambut oleh penyokong-penyokong UMNO dan BN Terengganu termasuk Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO sebaik tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Terengganu, semalam. KUALA TERENGGANU 5 Feb.- Kepulangan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said setelah dua minggu mengetuai delegasi Malaysia dalam lawatan kerja ke Antartika disambut meriah di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini malam tadi. Kira-kira 1,000 orang hadir dengan sebahagian membawa sepanduk mengalu-alukan kepulangan kumpulan berkenaan yang menyelesaikan ekspedisi yang dikritik pembangkang sebagai membazir. Ahmad berkata, lawatan bersifat eksplorasi saintifik itu bagi memenuhi jemputan kerajaan Chile menerusi Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI). "Kerajaan Chile yang merupakan salah sebuah negara mempunyai stesen penyelidikan paling banyak iaitu sembilan buah memberi sokongan penuh terhadap Malaysia dalam bidang penyelidikan. "Mereka menawarkan sama ada menggunakan kemudahan penyelidikan melalui kerjasama dengan mereka atau kerajaan Malaysia membina satu stesen sendiri," ujarnya dalam sidang akhbar sebaik tiba di LTSM. Menurut beliau sehingga kini, YPASM telah menghantar seramai tujuh orang saintis untuk membuat kajian di Antartika dan seorang saintis dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) masih lagi berada di situ membuat kajian mengenai kehidupan marin di pusat penyelidikan Antartika kepunyaan Korea. Katanya, selain MOSTI, Terengganu terlibat secara langsung dengan menyalurkan peruntukan bagi tujuan penyelidikan di Antartika dan salah satu tujuan beliau ke sana untuk melihat sendiri keadaan dan keperluan. Tambah beliau, kerajaan negeri bersedia menghantar anak-anak Terengganu dari mana-mana universiti untuk membuat kajian di Antartika pada masa hadapan dan mengharapkan rakyat negeri ini menyambut baik tawaran yang diberikan. |
Insentif bai'ah dapat pujian delegasi nazir Brunei Posted: 05 Feb 2014 10:48 AM PST KUALA TERENGGANU 5 Feb. — Delegasi Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei memuji pelaksanaan program Tawaran Baharu atau Bai'ah oleh Kementerian Pendidikan bagi memberi penghargaan kepada guru dan sekolah yang berjaya menaikkan prestasi kecemerlangan akademik. Program Bai'ah merupakan program insentif diberikan kepada guru besar dan guru yang berjaya melonjakkan prestasi kecemerlangan akademik sekolah dengan guru besar layak menerima RM7,500 seorang, lima peratus guru paling cemerlang akan menerima RM1,800 seorang dan guru lain RM900 seorang. Pemangku Pengarah Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei, Tan Lian Lian berkata, pihaknya berpendapat program itu merupakan amalan terbaik untuk dicontohi dan diaplikasikan di negaranya. "Untuk mendapat gelaran sekolah berprestasi tinggi bukan senang dan untuk mempertahankannya juga bukan mudah...ini boleh diamalkan untuk menjamin kualiti pendidikan di sesebuah negara dan lawatan ini memberikan kami gambaran untuk kami berbincang dengan pihak atasan (untuk dilaksanakan di negara kami)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Program Jalinan Silaturahim bersama Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Terengganu dan Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah Negara Brunei, di sini hari ini. Yang turut hadir, Ketua Nazir dan Jaminan Kualiti Terengganu, Wan Ahmad Hizan Wan Hassan. Tan berkata, pihaknya juga berminat mencontohi pelaksanaan sekolah berprestasi tinggi dan sekolah kluster kecemerlangan di negara ini. "Kami juga tertarik dengan sistem pembelajaran di Terengganu yang menggunakan e-book...ia memberi peluang kepada pelajar untuk akses kepada teknologi. "Di Brunei, cuma ada satu sekolah yang menggunakan sistem pembelajaran seperti e-book ini tetapi kami menggunakan iPad dan baru dilaksanakan tahun lepas...mungkin di Brunei kita juga perlu memikirkan perkara sama," katanya. Lawatan empat hari berakhir hari ini turut disertai Penolong Pengarah Nazir Brunei, Ardinah Orang Kaya Maha Bijaya Othman dan 10 lagi nazir yang bertujuan memperkukuhkan hubungan jemaah nazir kedua-dua negara serta melihat sistem pendidikan di negara ini, khususnya di Terengganu. — BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |