{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Timur

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Timur


Paya Peda jadi muzium hidup

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB dan KAMARUDDIN HAMZAH
utusanterengganu@utusan.com.my

Yunus Abd. Razak (dua dari kiri) bersama pakar fosil dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Mohd. Shafeea Leman (tengah) dan Pengarah JMG Terengganu, Mohd. Zukree Abd. Ghani (kiri) melihat antara kutipan fosil tumbuhan kuno berusia antara 270 hingga 340 juta tahun di kawasan penemuan berhampiran pembinaan Ampangan Paya Peda, Hulu Besut, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 6 Feb. - Alam yang terbentang dan apa yang terbenam, boleh diajak 'bercerita' kisah masa silamnya, tentang asal usul kejadian, perkembangan, evolusi kehidupan dan apa yang mungkin berlaku pada masa depan.

Tentunya ini boleh 'didengari' melalui peranan ahli geologi hasil daripada pengamatan dan penyelidikan tentang sains bumi dengan membawa menyusuri waktu silam beratus juta tahun yang lalu menerusi monumen yang wujud dan berjaya ditemui setelah terpendam sekian lama.

Terengganu adalah sebuah negeri yang kaya dengan kepelbagaian geologi dan landskap, turut menyimpan rekod sejarah bumi yang penting.

Ini mempunyai kaitan rapat dengan ketamadunan manusia seperti gua tempat tinggal masyarakat purba dan bekas lombong lama, memiliki keindahan tabii yang luar biasa, digolongkan sebagai sumber warisan geologi.

Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Malaysia dengan kerjasama Kumpulan Warisan Geologi Malaysia serta komuniti geologi yang lain memulakan kerja-kerja inventori pencirian, pengelasan, penilaian dan penarafan berkaitan sumber warisan geologi (SWG) sejak tahun 2000.

Sehingga kini, negeri ini merekodkan 23 lokasi sebagai sumber warisan geologi dengan mana dua daripadanya diberi penarafan luar biasa iaitu Bukit Keluang dan Bukit Bewah.

Ini disusuli penemuan tumbuhan purba, dianggarkan berusia antara 270 juta hingga 350 juta tahun ditemui dalam keadaan terawet di satu kawasan bukit berhampiran projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut sejak akhir tahun lalu.

Penemuan awal di lokasi itu membayangkan kemungkinan banyaknya warisan geologi ini di sini yang boleh membantu meningkatkan kecintaan dan penghargaan terhadap warisan bumi, penuh dengan keunikan untuk terus dipelajari, difahami, dikaji dan dihargai.

Penemuan fosil tumbuhan melibatkan tujuh genus di Paya Pedu ini seperti mana didedahkan kepada media baru-baru ini, sekali gus penarafan luar biasa kerana kepelbagaian genus fosil ditemui.

Mohd. Shafeea Leman merakamkan foto fosil tumbuhan purba pada batu-batu di tapak pembinaan Empangan Paya Peda, Besut.

Ketua Pengarah JMG, Datuk Yunus Abd. Razak memberitahu, setakat ini fosil yang direkodkan dalam bentuk tempelan atau teraan di batu-batan di kawasan sedalam lebih 100 meter itu termasuklah daun, bunga, akar, buah dan corak batang pokok.

Beliau menyifatkan ini suatu yang sangat bermakna, antara lain bakal membuka lembaran sejarah baharu termasuk menentukan usia negara ini, di samping kaitannya dengan kewujudan rantau ini.

Penemuan genus fosil tumbuhan yang telah lenyap itu penting bukan sahaja kepada ahli geologi di negara lain, malah akan dirujuk oleh pakar dari luar seperti Thailand, Vietnam dan China kerana pernah ditemui di negara berkenaan.

"Penemuan ini merupakan sebahagian bukti kukuh yang mana sebahagian timur Semenanjung, Thailand, Vietnam, Indonesia serta selatan China dulunya merupakan satu benua yang diberi nama Cathaysian," katanya.

Menurut Yunus, Paya Peda akan diberi penarafan luar biasa ketiga di negeri ini dari segi sumber warisan geologi selepas Bukit Keluang dan Bukit Bewah, namun Paya Peda lebih istimewa kerana wujudnya kepelbagaian genus fosil tumbuhannya.

"Tumbuh-tumbuhan pada zaman tersebut terdiri daripada beberapa jenis pokok sahaja dan mudah dikenal pasti, dipercayai tumbuh di kawasan paya yang luas, padat dengan tumbuh-tumbuhan.

"Kesemua fosil tumbuhan itu ditemui semasa kerja-kerja pemotongan jalan untuk laluan sekitar kawasan pembinaan empangan itu yang dimulakan pada tahun 2011," ujarnya.

Katanya, susulan itu, JMG Terengganu dengan kerjasama beberapa pihak telah melakukan beberapa siri kerja lapangan, antaranya pemetaan geologi awal bagi mengenal pasti jujukan batu berfosil dan mendapati serpihan fosil tersimpan baik dalam jujukan syal berkarbon, berketebalan 50 meter.

Yunus menjangkakan mungkin terdapat fosil hidupan lain seperti ikan, serangga dan haiwan berkaki empat (tetrapod) yang boleh ditemui kerana genus tumbuhan itu hidup di persekitaran berpaya atau tasik serta bercuaca panas pada zaman itu.

"Adalah menjadi harapan JMG lokasi penemuan fosil tumbuhan ini dipelihara dengan langkah mewartakannya serta dijadikan muzium hidup untuk penyelidikan pelajar serta pensyarah institusi pengajian tinggi," tegasnya.

Malah kemungkinan selain berperanan menyalurkan kesejahteraan kepada masyarakat sebagai sumber bekalan air bersih dan mengairi tanaman, Empangan Paya Pedu akan menjadi tarikan lebih besar jika dapat diangkat sebagai sebuah taman geo.

Taman yang bukan sahaja bagi tujuan pemuliharaan dan melestarikan sumber warisan itu turut membuka peluang untuk penelitian dan pendidikan serta berpotensi besar bagi mengembangkan ekonomi setempat melalui industri pelancongan.

Fosil dinosaur mungkin terdapat di negara ini

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Yunus Abdul Razak (kiri) bersama Prof. Mohd. Shafeea Leman (tengah) menunjukkan salah satu fosil yang ditemui di kawasan projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut, baru-baru ini.

KUALA TERENGGANU 6 Feb. - Mungkinkah fosil dinosaur ditemui di negara ini?

Ini tidak disangkal oleh ahli kaji bumi kerana negara ini mempunyai beberapa tempat batuannya berusia Jura Kapur antara 65 juta hingga 203 juta tahun yang sesuai untuk haiwan itu hidup di sini.

Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Datuk Yunus Abdul Razak berkata, bagaimanapun usaha mencarinya masih belum berhasil.

"Kami hanya menemui fosil tumbuhan dalam lingkaran usia itu di dalam lapisan batu pasir," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas melawat lokasi penemuan fosil tumbuhan kuno berusia antara 270 hingga 340 juta tahun berhampiran kawasan projek pembinaan Empangan Paya Peda, Hulu Besut baru-baru ini.

Yunus menarik perhatian, Thailand yang berpengalaman menjejaki fosil hidupan itu berjaya menemui tulang femur kiri dinosaur di Khon Kaen yang terletak di timur laut negara itu pada tahun 1976.

Menurutnya, lokasi Khon Kaen yang mempunyai batuan berusia Jura Kapur mempunyai persamaan dengan Gunung Panti di Johor dan Gunung Gagau yang merupakan titik sempadan negeri Terengganu, Kelantan dan Pahang.

"Ekspedisi awal dilakukan pada tahun 1974 yang mana berjaya menemui beberapa fosil tumbuhan berusia Jura Kapur dalam lapisan batu pasir. Kajian terperinci telah dilakukan pada tahun 1990 diikuti 1982 dan 1983 di kawasan Sungai Cincin, Terengganu.

"Pada tahun 1997, ahli Persatuan Geologi Malaysia telah melaksanakan ekspedisi melalui Sungai Cincin, Terengganu.

"Menerusi cerapan geologi yang dijalankan, kita cuba mencari fosil yang telah ditemui oleh pengkaji terawal," katanya.

Yunus berkata, pada tahun 2008, pegawai JMG serta pengkaji dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakukan ekspedisi ke Gunung Gagau bagi membuat cerapan geologi, di samping mencari fosil baharu fauna dan flora.

Pihaknya berhasrat melakukan sekali lagi ekspedisi ke Gunung Gagau dan mungkin dengan kerjasama Thailand yang lebih berpengalaman dalam menjejaki fosil hidupan tersebut.

"Usaha itu akan diteruskan dan hasilnya kelak akan didedahkan untuk tatapan dan pengetahuan generasi akan datang," katanya.

PGA tumpas 43 kes berprofil tinggi

Posted: 06 Feb 2014 11:08 AM PST

Oleh ROSMIZAN RESDI
utusankelantan@utusan.com.my

Azizan Abu Taat (kanan) bersama Mohd. Arif Md. Hanuddin (dua dari kiri) dan Azli Mohd. Noor (lima dari kiri) beramah mesra dengan anggota PGA pada Majlis Taklimat Ops Cantas Khas Briged Tenggara di Kota Bharu, semalam.

KOTA BHARU 6 Feb. - Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menumpaskan 43 kes yang melibatkan pelbagai jenayah berprofil tinggi dalam Op Cantas Khas PGA di empat daerah sempadan dalam tempoh dua minggu.

Komander Bridged Tenggara PGA, Datuk Azizan Abu Taat berkata, Ops Cantas Khas PGA yang bermula sejak 21 Januari lalu itu melibatkan daerah di sempadan iaitu Tumpat, Tanah Merah, Pasir Mas dan Jeli.

"Dalam tempoh dua minggu, pasukan yang terdiri daripada 60 anggota dan pegawai PGA berjaya menumpaskan beberapa kegiatan penyeludupan berisiko tinggi seperti senjata api, dadah serta jenayah lain di empat daerah berkenaan.

"Daripada 43 kes tersebut, kita berjaya menahan 72 penjenayah dengan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM63,043," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Taklimat Ops Cantas Khas Bridged Tenggara, PGA di Mess Pegawai PGA di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Keselamatan dan Ketenteraman Awam IPK Kelantan, Supritenden Azli Mohd. Noor dan Pegawai Turus Gerakan/Risik Bridged Tenggara PGA, Deputi Supritendan Ir Mohd. Arif Md. Hanuddin.

Pada majlis tersebut, seramai 30 pegawai serta anggota telah menerima surat penghargaan di atas kejayaan mereka dalam menyelesaikan kes sepanjang Ops Cantas Khas PGA dilaksanakan.

Azizan berkata, Ops Cantas Khas PGA itu akan dilaksanakan secara berterusan di mana pegawai serta anggota PGA akan ditempatkan di balai bagi setiap daerah sempadan.

"Penguatkuasaan akan dipergiatkan di empat daerah sempadan ini bagi mengawal segala aktiviti kemasukan senjata api, pistol dan senapang tiruan serta dadah dari sempadan.

"Kita akan berusaha untuk membanteras sindiket-sindiket berkenaan daripada terus masuk ke negara ini, " katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat