{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pesona

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pesona


Bekal hidangan untuk 60 majlis perkahwinan

Posted:

Bekal hidangan untuk 60 majlis perkahwinan

Bekal hidangan untuk 60 majlis perkahwinan

Oleh DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA

DARI jauh kelihatan kepulan asap berwarna putih meresap ke udara dan melepaskan haruman bauan kulit kayu manis, bunga cengkih, lada hitam, bunga lawang dan jintan. Mungkin juga diletakkan serai yang dititik pangkalnya.

Bahan-bahan itu 'dikayuh' menggunakan 'pendayung' sehingga berwarna keemasan. Selesai kerja menumis, sedikit demi sedikit rencah utama iaitu ayam, daging dan sotong dimasukkan ke dalam kawah oleh chef Mohd. Aslah Alias, 42.

Di penjuru lain pula kelihatan beberapa orang wanita berusia 40-an sedang memotong bahan-bahan hiasan seperti timun dan cili merah besar.

Mengetuai aktiviti itu ialah ibu Mohd. Aslah, Ramlah Arshad, 68, yang mempunyai kepakaran dalam bidang masakan sejak lima dekad lalu.

Kerja-kerja memasak itu merupakan aktiviti rutin bagi perniagaan keluarga di bawah jenama Katerer Sri Angsana (Sri Angsana).

Setiap hujung minggu, seawal pukul 3 pagi hingga subuh, anak-anak Ramlah yang seramai tujuh orang akan sibuk menyediakan sajian buat para tetamu di majlis perkahwinan.

Menurut Mohd. Aslah, tahap disiplin tinggi diperlukan dari setiap ahli keluarga yang terlibat kerana menu akan dihantar ke lokasi majlis perkahwinan tepat pada pukul 8.30 pagi.

Bagaimanapun, anak keempat itu memberitahu bahawa kuantiti sajian pada musim cuti sekolah atau sebarang perayaan tidak seperti hari-hari biasa.

Kebiasaannya, Sri Angsana menyediakan hidangan untuk 20,000 tetamu bagi 20 majlis perkahwinan pada hujung minggu. Namun, jumlah tempahan meningkat kepada 30 majlis perkahwinan setiap Sabtu dan Ahad semasa cuti sekolah.


JASMIN menggunakan pembesar suara semasa memberikan arahan kepada kakitangannya.


Rezeki

Ujarnya, tempahan tersebut merupakan rezeki yang tidak mampu ditolak walaupun terpaksa berhempas pulas untuk disediakan.

"Kami tidak sampai hati menolak permintaan pelanggan, apatah lagi sajian ini adalah untuk tetamu yang hadir bagi meraikan hari yang istimewa.

"Ada juga pelanggan meminta kami menghantar makanan jauh dari tempat memasak sehingga sanggup membayar duit minyak, tol dan menanggung sebarang risiko sewaktu penghantaran," jelasnya ketika ditemui di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

Tepat pada waktu penghantaran, bekas demi bekas dinaikkan ke dalam lori yang sedia menunggu di hadapan dapur masak.

Dengan menggunakan pembesar suara, anak sulung Ramlah, Jasmin, 48, memberikan arahan kepada pekerja supaya hidangan dimasukkan ke dalam lori mengikut pakej tempahan dan memastikan ia sampai ke destinasi yang betul.

Jasmin berkata, mereka turut menyediakan pasukan bantuan sebagai bersiap siaga jika perkara yang tidak diingini berlaku sebarang seperti tersalah hantar jenis hidangan ke rumah pengantin atau makanan rosak.

Mengulas lanjut tentang pakej hidangan, Jasmin berkata, sehingga kini Sri Angsana menyediakan empat pakej katering dengan jumlah pesanan juadah minimum untuk 1,000 orang tetamu.

Harga setiap pakej bermula daripada RM8.80 hingga RM15.80 untuk setiap orang.

Antara juadah wajib yang disediakan ialah nasi beriani, nasi putih, ayam masak merah, daging hitam, dalca sayur, jelatah nanas dan acar buah.

Sehingga hujung tahun ini, Sri Angsana menawarkan sajian daging kambing golek pada separuh harga, iaitu RM500 seekor kepada pelanggan terawal yang membuat tempahan.


TEPAT pukul 8.30 pagi, lori Sri Angsana akan bertolak menuju ke lokasi majlis perkahwinan.


Sepadan dengan harganya, bakal pengantin baharu yang memilih pakej bernilai RM12.80 dan RM15.80 untuk setiap tetamu akan diberikan kek dua tingkat dilengkapi kemudahan meja deejay, sistem audio atau dua set kanopi untuk tetamu utama. Selain itu, mereka juga boleh memilih sepasang persalinan.

Pasangan terawal berkesempatan memilih pakaian baju pengantin koleksi terbaharu rekaan daripada Dwen Raha. Selain pakaian, aksesori seperti kasut, rantai, subang, tiara, tengkolok dan keris turut disediakan.

Pakej itu juga merangkumi set pelamin dengan konsep kain yang dilengkapi dengan barang-barang perhiasan dan laluan pintu gerbang untuk pasangan pengantin.

Cabaran

Menceritakan permulaan Sri Angsana dalam dunia katering, Jasmin berkata, orang tuanya sebenarnya merupakan tukang masak dan mempunyai sebuah kedai makan yang dikenali sebagai Restoran Kita di Jalan Tunku Abdul Rahman pada era 70-an.

Bagaimanapun, restoran tersebut terpaksa ditutup selepas ayahnya meninggal dunia kerana tenaga kerja tidak mencukupi, juga memandangkan adik-beradiknya pada ketika itu masih kecil.

Beberapa tahun kemudian, ibunya kembali membuka sebuah kedai makan baharu dengan nama Restoran Sri Angsana dan mula melibatkan diri dalam dunia katering pada tahun 1996.

Walaubagaimanapun, pada ketika itu Sri Angsana hanya mengambil tempahan untuk kira-kira tiga majlis perkahwinan sahaja.

"Masa itu kami menyediakan sajian di ruang belakang rumah yang terletak di Kampung Pandan.

"Pengalaman itu merupakan antara cabaran buat kami sekeluarga kerana memasak di kawasan yang terhad dan dikelilingi jiran tetangga bukanlah perkara mudah. Ada jiran yang merungut waktu tidur mereka terganggu dengan bunyi tukangan sudip dan periuk belanga seawal jam 3 pagi," ujarnya tersenyum mengimbau kisah silam.

Pada tahun 2007, Sri Angsana mula dikenali ramai dan berjaya memiliki bangunan penyediaan makanan dan pejabat urusan sendiri yang terletak di Taman Nirwana, Ampang, Selangor.

RAMLAH (kanan) menurunkan ilmu masakan kepada anak keempatnya, Mohd. Aslah.


Perniagaan keluarga

Mengulas lanjut tentang kualiti juadah, Ramlah berkata, segala ilmu masakan dan resipi telah diturunkan kepada anak-anaknya.

Namun beliau memberitahu, resipi-resipi tersebut telah diolah oleh Mohd. Aslah mengikut kesesuaian memandangkan beliau pernah menjadi chef di hotel-hotel terkemuka seperti Hotel Hilton dan Hotel Nikko Kuala Lumpur.

Ciri-ciri baharu hidangan Sri Angsana mengambil kira jenis ramuan yang digunakan agar juadah yang dihasilkan tahan lebih lama dan menjimatkan masa.

"Zaman saya dahulu, bahan-bahan masakan disediakan menggunakan kaedah tradisional seperti batu giling, jemuran, jeruk dan sebagainya.

"Namun, pada hari ini banyak kemudahan untuk memudahkan kerja di dapur yang disediakan seperti perkakas elektrik dan bahan-bahan yang sedia digunakan seperti santan segar," jelasnya yang masih lincah membuat kerja-kerja dapur.

Ujarnya lagi, rempah-ratus yang digunakan dalam masakan Sri Angsana dibeli khas dari Johor bagi memberikan rasa asli nasi beriani.

Selain itu, bagi menangani masalah daging ayam yang dikhuatiri tidak elok dimasak, Sri Angsana menggunakan ayam siap dimasak daripada rangkaian Rasamas.

Dalam pada itu, bagi menjaga kualiti makanan, Sri Angsana juga mengadakan sesi ujian makanan yang dibuka kepada orang ramai pada setiap hujung minggu.

Setiap komen dan kritikan diterima dengan hati yang terbuka bagi memenuhi cita rasa pelanggan dan meningkatkan lagi mutu hidangan serta perkhidmatan yang disediakan perniagaan keluarga berkenaan.

Turut melihat kredibiliti Sri Angsana dalam menyediakan makanan adalah Institut Profesional Baitulmal. Menurut Mohd. Aslah, pusat pengajian tersebut telah menghantar beberapa orang pelajar ke Sri Angsana untuk sesi praktikal dalam bidang penyajian.

Dia yang berbesar hati menerima kedatangan pelajar itu menganggap perkongsian ilmu yang dibuat merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat kepada masyarakat.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari di laman angsanacaterer.blogspot.com atau menghubungi di talian 03-9202 3276.

Larian solidariti kesaksamaan wanita

Posted:

Larian solidariti kesaksamaan wanita

Larian solidariti kesaksamaan wanita

Oleh MOHD. SHAZWAN YUSOP


ROHANI (tengah) ceria bergambar bersama peserta sebelum memulakan cabaran Purple Walk 2014.


SEAWAL pukul 6.30 pagi, Nik Nor Azma Zakaria, 26, telah berada di pekarangan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur untuk menyertai acara Purple Walk 2014.

Acara yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) itu ialah bersempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang diraikan pada 8 Mac setiap tahun. Ia juga merupakan penganjuran kedua larian tersebut ekoran kejayaan yang dicapai pada acara 1 million Women Purple Walk di Putrajaya tahun lalu.

"Hari ini merupakan hari yang istimewa buat semua wanita di seluruh negara. Sebagai wanita saya tidak mahu melepaskan peluang untuk sama-sama meraikan hari bersejarah ini," katanya ketika ditemui Kosmo! pada acara tersebut.

Dia yang datang bersama rakan sekerjanya dari Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Putrajaya, turut memaklumkan bahawa penganjuran acara tersebut bukan sahaja dapat menggalakkan gaya hidup sihat dalam kalangan wanita dan keluarga mereka, malah mampu menyatukan masyarakat berbilang bangsa di negara ini.

Menurut seorang peserta lelaki, Muhammad Ashtar Rahim, 26, dia turut sama menyertai acara tersebut adalah untuk memberi sokongan moral kepada rakan-rakan wanitanya.

"Walaupun acara ini bertujuan meraikan kaum wanita, namun langkah penganjur membuka penyertaan kepada lelaki pada tahun ini sedikit sebanyak dapat memberi ruang kepada kami untuk lebih menghargai pengorbanan kaum Hawa khususnya ibu dan isteri demi kesejahteraan keluarga mereka," katanya.

Program yang turut berlangsung serentak di seluruh negara kecuali di Kedah dan Perlis itu, berjaya menggamit kehadiran lebih 10,000 peserta daripada segenap lapisan masyarakat dan usia.

Sementara itu, dalam ucapan perasmian, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, KPWKM telah merancang untuk mengadakan acara Purple Walk pada 25 Mac lalu. Namun, ia ditunda sebagai tanda keprihatinan terhadap keluarga penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang telah hilang pada 8 Mac lalu.


LEBIH 10,000 peserta menyertai acara Purple Walk 2014 yang berlangsung di Dataran Merdeka baru-baru ini.


Sumbangan

Katanya, tema Hari Wanita Kebangsaan tahun ini iaitu Kesaksamaan Wanita, Kemajuan Untuk Semua dilihat bertepatan memandangkan separuh daripada penduduk negara ini adalah wanita yang turut memacu dan menggerak agenda pembangunan negara.

Justeru, beliau melihat acara Purple Walk 2014 dapat menyuntik semangat kepada golongan wanita di Malaysia untuk terus menyumbang tenaga dan buah fikiran demi pembangunan negara.

Para peserta Purple Walk 2014 dengan penuh semangat dan ragam telah berjalan sejauh dua kilometer melalui beberapa jalan utama di ibu negara iaitu Jalan Raja Laut, Jalan Esfahan dan Jalan Tunku Abdul Rahman.

Bagi terus menggamatkan suasana, KPWKM turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk pengunjung termasuk senamrobik, tarian poco-poco, pertandingan senyum selfie dan pertandingan mewarna serta cabutan bertuah.

Selain itu, 30 ruang pameran agensi kerajaan dan swasta turut dibuka pada hari berkenaan.

Penganjuran kali ini juga dihadiri Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Azizah Mohd. Dun; Ketua Setiausaha, Datuk Seri Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Phesal Talib.

Hukum mencela orang lain

Posted:

Hukum mencela orang lain

Hukum mencela orang lain


AJARAN Islam tidak membenarkan umatnya merendahkan kaum atau sesuatu puak.


SOALAN: Assalamualaikum Ustaz. Sejak akhir-akhir ini saya lihat ramai individu dan segelintir pihak yang gemar memperlekehkan orang lain. Malah, mereka tanpa rasa bersalah turut mencela para ulama yang muktabar secara terbuka di media massa dan sosial. Apa pandangan ustaz mengenai sikap sebegini?

JAWAPAN: Waalaikumsalam. Ketahuilah bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Mencela seorang Muslim adalah kefasikan dan membunuhnya adalah kekufuran."(Hadis Riwayat Muslim).

Sikap suka mencela orang lain seperti mana yang terkandung di dalam hadis adalah jelas menunjukkan bahawa ia sangat dilarang dalam Islam kerana ia menggambarkan sikap keji yang boleh memecah-belahkan masyarakat.

Firman Allah SWT dalam surah al-Ahzab ayat 58 yang bermaksud: "Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin dan mukminat tanpa kesalahan yang mereka perbuat, maka sesungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata."

Di dalam ayat ini, Allah Taala menggambarkan bahawa orang yang menyakiti mukmin lain tidak kira dengan lidah atau tangannya, sebenarnya telah memikul satu dosa yang sangat besar. Islam melarang umatnya memburuk-burukkan orang lain kerana ia sikap yang akan mengundang perpecahan dalam masyarakat.

Perpecahan

Percayalah. Kalau kita mengkaji sejarah lalu, kita akan dapati perpecahan dalam kalangan umat Islam bermula dengan lidah iaitu dari sikap suka mencela dan mengeji golongan lain.

Pandangan dan pendirian Islam dalam menjaga maruah, kemuliaan dan kehormatan diri seseorang amat tegas.

Islam tidak membenarkan seseorang Muslim menyakiti perasaan saudara sesama muslim dengan perkataan menghina, sama ada di hadapan atau di belakangnya.

Dalam riwayat Imam Muslim ada menyebut: "Sesungguhnya ada seorang bertanya Nabi SAW, orang Islam manakah yang lebih baik?

"Maka Baginda SAW menjawab, orang-orang Islam yang terpelihara daripada gangguan lidah dan tangannya."

Pada hari ini kita melihat suasana umat Islam yang semakin runcing dengan perpecahan. Lebih dahsyat, masing-masing ingin mempertahankan pendirian mereka.

Lalu, terus mencela golongan yang tidak sependapat dengannya. Seharusnya kita kembali mengingati firman Allah dalam surah al-Hujuraat ayat 11:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban sesetengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.

(Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim."

Kesimpulannya, saya menyeru umat Islam agar berdiri di atas landasan Islam yang teguh, di samping memperkukuhkan akhlak yang terpuji seperti mana akhlak Baginda Rasulullah SAW.

Mencela orang lain sebenarnya adalah mencela diri sendiri. Hormati dan jagalah maruah saudaramu. Seandainya Rasulullah SAW masih hidup, pasti Baginda akan merasa tersangat kasihan melihat keadaan umatnya pada zaman ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat