Utusan Online - Megabait
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Megabait |
Posted: 31 May 2014 06:05 AM PDT GALAXY S5 mempunyai 10 sensor membantu pengguna dalam kehidupan seharian. TEKNOLOGI telefon pintar phablet dan tablet terus melangkah maju dengan penambahan beberapa fungsi yang dapat membantu pengguna dalam kehidupan seharian mereka. Antara tambahan yang terdapat dalam Galaxy S5 ialah sensor kadar degupan jantung, cap jari dan tekanan atmosfera. Samsung Galaxy S5 yang dilancarkan baru-baru ini oleh Samsung Electronics Co. Ltd menambah fungsi sensornya kepada 10 jenis menjadikan ia antara peranti yang terawal memperkenalkan teknologi tersebut. Menerusi aplikasi S Health, pengguna dapat mengira kadar degupan jantung mereka sama ada ia berada dalam keadaan normal atau sebaliknya. Sungguh mudah, hanya menghalakan kamera belakang ke jari dan aplikasi tersebut akan membuat pengiraan. Selain itu, peranti terbaharu ini juga menjadi telefon pintar pertama yang mampu membuat bacaan tersebut sekali gus membantu pengguna mengesan kesihatan mereka. Menariknya, ia terdiri daripada sensor nadi dan LED merah. Apabila LED merah bersinar di hujung jari pengguna, sensor tersebut akan mengira berapa cepat sel-sel darah merah mengalir ke saluran dan mengukur nadi pengguna dengan jumlah bilangan denyutan dalam seminit. Sejurus itu, keputusan akan terus ditunjukkan pada paparan skrin telefon dan boleh disimpan. Melalui simpanan data itu, mereka dapat membuat perbandingan kadar semasa degupan jantung pada bila-bila masa, seperti sebelum dan selepas melakukan senaman serta mengesan kesihatan harian. Teknologi sensor cap jari telah membawa perubahan baharu kepada tahap keselamatan dan kebolehgunaan telefon pintar. Apa tidaknya, ia bukan sahaja melindungi paparan skrin utama telefon, malah dapat digunakan untuk menutup fail-fail peribadi mengikut kehendak pengguna. Bukan itu sahaja, ciri-ciri cap jari pengguna akan disimpan dalam bentuk templat ke ruang yang selamat serta ditampilkan dengan kekunci unik yang berbeza bagi setiap peranti. Manakala, sensor lain yang terdapat dalam Galaxy S5 pula ialah sensor tekanan atmosfera yang dapat mengira jumlah kalori terbakar ketika mendaki gunung berdasarkan pengiraan tekanan udara. Menerusi teknologi Hall Sensor, pengguna boleh menjimatkan kuasa bateri apabila mereka membalikkan pelindung telefon. Paparan cahaya skrin juga boleh dikurangkan atau dilebihkan secara automatik melalui sendor RGB manakala sensor pergerakan pula membolehkan pengguna berinteraksi dengan telefon mereka dengan hanya menggerakkan tangan tanpa perlu menyentuhnya. Selain itu, sensor jarak pula akan menutup skrin ketika telefon sedang digunakan dan sensor giro pula membolehkan pengguna membaca mesej dengan mencondongkan skrin telefon ke atas atau ke bawah. Antara lain ialah meter pecutan yang menjalankan fungsi serupa dengan alat pengukur langkah dan menyediakan ciri-ciri lain berkaitan dengan kecergasan. Akhir sekali, sensor geomagnetik 8 pula boleh mengukur ketepatan kardinal. - DHIYA'ZULHILMI DAUD |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Megabait To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |