Kosmo Online - Varia
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Varia |
- Calicivirus mudah menjangkiti kucing
- Pelanggan setia dirai tonton X-Men
- Kejutan Hari Ibu Sukarelawan GSST
Calicivirus mudah menjangkiti kucing Posted: Calicivirus mudah menjangkiti kucingFELINE calicivirus (FCV) menjangkiti kucing di seluruh dunia dan menyebabkan penyakit kepada semua baka kucing. Sekurang-kurangnya terdapat 40 jenis Calicivirus. Kekuatan jangkitan bergantung kepada jenis virus yang menjangkiti kucing. Tanda-tanda biasa jangkitan ialah masalah pada sistem pernafasan yang melibatkan hidung dan tekak. Lazimnya, FCV menyebabkan kucing kerap bersin, hidung tersumbat dan konjunktivitis. Konjunktivitis ialah radang pada membran lapisan kelopak mata. Lelehan cecair juga keluar dari hidung atau mata. Cecair yang keluar mungkin bernanah atau mengandungi nanah. Kucing yang dijangkiti calicivirus sering mendapat masalah gusi dan mulut seperti ulser di lidah, lelangit, gusi, bibir dan hidung. Simptom-simptom lain boleh dikenal pasti pada kucing yang dijangkiti calicivirus termasuk hilang selera makan, lesu, demam, kelenjar membengkak dan juling. Dalam sesetengah kes, kucing hanya menunjukkan simptom yang sedikit dan tidak ketara. Malah ada yang memperlihatkan tanda-tanda lebih besar seperti demam teruk, kesukaran bernafas, penghasilan mukosa atau lendiran berwarna kuning kehijauan, kemurungan, demam kuning dan kerosakan teruk pada organ dalaman. Zarah virus Kadar kematian selepas jangkitan sekitar 67 peratus dan amat sukar untuk veterinar merawat jangkitan tersebut. Calicivirus sangat mudah berjangkit dan kucing dijangkiti boleh menyebarkan zarah virus dalam air liur atau rembesan lendir daripada hidung atau mata. Jika kucing yang dijangkiti bersin, maka zarah virus boleh tersebar beberapa meter ke udara sekali gus menjangkiti kucing-kucing lain di sekitarnya. KUCING yang dijangkiti Calicivirus sering mendapat masalah gusi dan mulut seperti ulser di lidah, lelangit, gusi, bibir dan hidung. Kucing lain yang sihat boleh mendapat jangkitan melalui sentuhan dengan kucing yang dijangkiti atau pendedahan alam sekitar termasuk objek tercemar dengan rembesan. Sehubungan itu, jangan sesekali menempatkan kucing yang dijangkiti berhampiran kucing yang sihat. Sebaik-baiknya asingkan bekas makanan, minuman, kotak sampah dan lain-lain. Calicivirus mampu bertahan sehingga seminggu dalam persekitaran tercemar malah lebih lama terutamanya di lokasi sejuk dan lembab. Selain sentuhan terus antara kucing, manusia juga boleh menjadi faktor jangkitan terhadap kucing. Ini kerana sentuhan pada objek tercemar atau kucing yang dijangkiti juga boleh menyebarkan virus kepada kucing lain. Tempoh inkubasi calicivirus mengambil masa antara dua hingga enam hari selepas jangkitan. Ketika itu kucing akan mula menunjukkan gejala. Tempoh jangkitan adakalanya mengambil masa antara 14 hingga 21 hari. Rawatan mungkin diperlukan untuk jangka masa yang agak panjang dan kos rawatan serta ubatan bergantung pada tahap jangkitan. Cecair yang keluar daripada tubuh kucing yang mengandungi virus akan dikeluarkan daripada badan kucing yang dijangkiti dalam masa dua hingga tiga minggu. Dalam tempoh ini, kucing mula menunjukkan tanda-tanda penyusutan berat badan, hilang selera makan dan sebagainya. Penghidap calicivirus mungkin sembuh tapi haiwan tersebut menjadi pembawa virus ini seumur hidup dan menyebarkannya kepada kucing-kucing lain di persekitarannya. Kucing yang bunting boleh menurunkan jangkitan kepada anak-anak yang dikandung. Jika kucing kerap selesema, sukar bernafas, keluar lendir pekat dari hidung, mulut atau mata, ada baiknya ia segera asingkan dan bawa ke klinik untuk pemeriksaan veterinar. Jika veterinar mengesyaki kucing dijangkiti virus ini, mereka akan melakukan ujian terhadap sampel cecair kucing dengan menggunakan kaedah reaksi rantai polimerase (PCR). Bagi kes calicivirus ini, rawatan yang ada memang agak rumit, namun ia belum tentu menyembuhkan. Sesetengah kes yang kronik, kucing mungkin tidak mampu bertahan dan akhirnya mati. Langkah pencegahan terbaik ialah dengan suntikan vaksin dan penjagaan kebersihan rumah serta kawasan sekitar. |
Pelanggan setia dirai tonton X-Men Posted: Pelanggan setia dirai tonton X-MenSAMSUNG Malaysia menghadiahkan lebih 3,600 tiket prebiu filem X-Men: Days of Future Past kepada pengguna aplikasi Galaxy Life di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Melaka baru-baru ini. PENGGUNA setia Samsung pasti bertambah teruja apabila jenama barangan elektronik terkemuka itu menghadiahkan ganjaran menarik sebagai penghargaan terhadap kesetiaan pelanggan. Bagi pengguna peranti Samsung Galaxy yang tertanya-tanya cara untuk mendapatkan ganjaran tersebut, anda harus segera memuat turun aplikasi Galaxy Life ke telefon pintar masing-masing. Aplikasi tersebut memberikan tawaran istimewa secara harian, mingguan dan bulanan. Baru-baru ini, Samsung Malaysia Electronics Sdn. Bhd. (Samsung Malaysia) melalui Galaxy Life telah menjadikan pengguna Samsung Galaxy sebagai antara kumpulan pertama menonton filem adiwira X-Men: Days of Future Past sebelum ia ditayangkan secara rasmi di Malaysia. Timbalan Presiden Teknologi Maklumat dan Perniagaan Mobil, Samsung Malaysia, Ng Long Shang berkata, pengguna peranti Samsung Galaxy berpeluang menikmati pelabagai kejutan istimewa sejak aplikasi Galaxy Life dilancarkan. SAMSUNG Malaysia terus menawarkan ganjaran istimewa kepada para pengguna perantinya. "Antara kejutan yang diberikan termasuk minuman Sturbucks, aiskrim Baskin Robbins dan tiket wayang dari Golden Screen Cinema (GSC). "Sudah tentu kami akan memberikan lebih banyak ganjaran eksklusif dan menakjubkan kepada pengguna pada masa akan datang," jelasnya dalam satu kenyataan baru-baru ini. Sehubungan itu, Samsung Malaysia telah menawarkan lebih 3,600 tiket prebiu buat pengguna Galaxy Life. Mereka boleh menebus tiket tersebut di empat lokasi yang disenaraikan iaitu GSC Pavilion dan Mid Valley, Kuala Lumpur; Gurney Plaza, Pulau Pinang dan AEON Bandaraya, Melaka. Filem yang ditayangkan tersebut merupakan francais X-Men yang kelapan yang diadaptasi daripada komik Marvel karya asal Stan Lee sebagai penulis dan artis Jack Kirby pada tahun 1963. Filem terbaharu itu mengisahkan tentang pasukan adiwira yang menggelarkan diri mereka The X-Men telah menghantar Wolverine atau Logan ke masa lalu dalam usaha mengubah sejarah bagi menghalang peristiwa yang menyebabkan kemusnahan kepada manusia dan makhluk mutan. Berjayakah Logan mencapai misi mustahil tersebut? Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan kesudahan filem bernilai AS$200 juta (RM643 juta) itu di pawagam berhampiran anda. |
Kejutan Hari Ibu Sukarelawan GSST Posted: Kejutan Hari Ibu Sukarelawan GSSTOleh KASANABILAH KAMARUL ZAMAN PARA penghuni ditatang dengan penuh kasih sayang oleh para sukarelawan GSST yang menjalankan tugasan lapangan kesukarelaan. PELUH menitik tidak berhenti, bahang yang dirasa jelas kelihatan pada kulit muka yang merah seperti dibakar apabila bersesak di ruang tamu yang sempit di Pusat Jagaan Warga Emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) Nur. Lot rumah banglo yang terletak di Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur itu menetapkan kira-kira 60 orang penghuni yang rata-ratanya tidak mempunyai keluarga, anak yatim, dibuang keluarga, dan majoritinya mempunyai kelainan upaya mental. Kipas siling di ruang tamu yang juga tempat tidur beberapa orang penghuni tidak berupaya untuk memberikan pengudaraan yang baik memandangkan ruangnya yang sesak dipenuhi katil dan manusia. Menurut tuan rumah yang juga penyelia pusat tersebut, Norma Adlan, 48, penghuni di rumah tersebut bertambah dari hari ke hari. Wanita yang sepenuhnya menjaga para penghuni pusat tersebut berasa bertanggungjawab untuk membela nasib beberapa orang yang dibuang keluarga. "Sekurang-kurangnya di samping membuat kebajikan, saya boleh mengisi masa terluang dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. "Saya juga boleh mengelakkan sesetengah penghuni yang tidak mempunyai tempat tinggal hidup menjadi gelandangan," katanya. Rumah banglo yang disewa Norma pada harga RM3,000 sebulan mempunyai empat buah bilik. Tiga buah bilik dijadikan penginapan penghuni manakala satu bilik lagi dikongsi oleh Norma dan empat anaknya untuk berehat dan tidur. Sesak Penghuni yang ramai menyebabkan Norma terpaksa menempatkan beberapa buah katil untuk dijadikan tempat tidur insan-insan istimewa itu. Jelas Norma, kira-kira 20 orang sahaja penghuni yang merupakan insan normal manakala yang lainnya mengalami kelainan upaya mental. Ketika para wartawan menemu bual Norma, salah seorang daripadanya telah dipeluk daripada seorang remaja lelaki, yang juga merupakan penghuni di rumah tersebut. Rakan-rakannya yang lain pula ada yang merampas buku dan pen yang sedang dipegang rakan-rakan wartawan. Ujar Norma, situasi tersebut sudah menjadi biasa bagi dirinya. Adakalanya wanita ini akan berjaga pada waktu malam untuk memastikan para penghuni tidak melakukan perbuatan di luar kawalan. NAIB Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan (tengah) turut menceriakan para penghuni pusat tersebut. Selain menggunakan duit sendiri, Norma juga turut menerima bantuan daripada masyarakat setempat selain terdapat beberapa orang ahli keluarga penghuni yang menghulurkan bantuan. Walau bagaimanapun, ketidakselesaan ini tidak mematahkan semangat para peserta kursus Train the Trainers yang mendapat tugasan mengejut bersempena hari ibu. Kursus yang bertujuan melatih sukarelawan Puteri UMNO seluruh negara yang dikenali sebagai Global Support Super Team (GSST) telah memautkan ikatan kasih antara para sukarelawan dan penghuni Pusat Jagaan Warga Emas dan OKU Nur. Kejutan Bertepatan dengan sambutan Hari Ibu, tugasan mengejut yang diberikan memerlukan peserta untuk mencari satu tempat yang sesuai untuk mengadakan sambutan Hari Ibu. Pada 9 Mei lalu, para peserta telah bersepakat untuk mengadakan sambutan tersebut di Pusat Jagaan Warga Emas dan OKU Nur. Program yang diberi nama We Love You Mum adalah projek pertama kendalian sepenuhnya GSST bertujuan memberi pendedahan awal tentang kesukarelaan. Sementara itu, Pengerusi Biro Antarabangsa Puteri UMNO, Nor Hazreena Mohamad Hashim berkata, tugasan tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk mempraktikkan ilmu yang diperoleh semasa menjalani kursus di Janda Baik, Pahang. "Semasa rombongan kami sampai sekitar pukul 2 petang, para penghuni sudah sedia menunggu di hadapan pintu pagar. "Mereka kelihatan begitu teruja menyambut kedatangan kami. Raut wajah mereka menunjukkan betapa mereka mahukan perhatian," katanya yang juga selaku pengarah program tersebut. GSST turut memberikan hadiah berupa bunga dan kek sebagai hadiah bersempena Hari Ibu. Selain itu mereka juga turut memberikan sumbangan lampin pakai buang kepada Norma untuk meringankan beban wanita tersebut. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Varia To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |