{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Utusan Online - Johor

Posted by Tanpa Nama

Utusan Online - Johor


169 lokasi sampah haram di Johor

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
utusanjohor@utusan.com.my

AB. Rahim Md. Noor (tiga dari kiri) memasang papan tanda amaran pembuangan sampah di Bukit Flora, Batu Pahat,Johor, baru-baru ini. - UTUSAN/MUHAMAD AIMY AHMAD

BATU PAHAT 30 Mei - Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) mengenal pasti kira-kira 169 kawasan di negeri ini menjadi lokasi pembuangan sampah haram oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ab. Rahim Md. Noor berkata, kebanyakan lokasi tersebut dijadikan 'jalan mudah' untuk pembuangan sampah membabitkan sisa industri, sampah pukal serta sisa makanan yang tidak dibuang di tempat sepatutnya.

Bagaimanapun, kebanyakan kawasan itu sudah ditutup pihaknya dengan bantuan pihak berkuasa tempatan (PBT) di kawasan masing-masing dan empat kertas siasatan telah dibuka PPSPPA.

"22 daripada kawasan tersebut adalah di Batu Pahat tetapi PPSPPA dengan kerjasama SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM) dan PBT telah berjaya menyelesaikan sebahagian besar masalah itu sehingga pertengahan bulan ini.

"Kami menyasarkan kesemua kawasan pembuangan sampah haram itu akan bebas daripada sebarang kegiatan terbabit menjelang penghujung September depan," katanya ketika memasang papan tanda amaran pembuangan sampah di Bukit Flora di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Ab. Rahim berkata, mana-mana individu yang ditangkap melakukan kegiatan tersebut akan didakwa mengikut Seksyen 71, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672).

Katanya, individu yang didapati bersalah bakal berdepan denda antara RM10,000 sehingga RM100,000 atau penjara enam bulan sehingga lima tahun.

Sementara itu, PPSPPA turut memandang serius tindakan segelintir pemandu yang membuang sampah keluar dari kenderaan mereka ketika berada di atas jalan raya.

"Kita akan bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk mengenal pasti alamat pemilik kenderaan dan mengambil tindakan undang-undang mengikut Undang -Undang Kecil PBT sebagai pengajaran kepada orang awam," kata Ab. Rahim.

Polis Muar nafi kasari orang awam

Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT

MUAR 30 Mei - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar hari ini menafikan laporan sebuah portal berita propembangkang yang mendakwa anggotanya memukul seorang lelaki Cina semasa mendapat rawatan di hospital, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azman Ayob berkata, laporan itu tidak benar dan pihaknya kesal dengan tindakan tidak bertanggungjawab pihak berkenaan yang sepatutnya merujuk kepada IPD terlebih dahulu.

"Tiada kejadian seumpama itu berlaku di Muar. Sebaliknya, dalam kes berasingan polis membantu pengurusan Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) menahan seorang pesakit mental di hospital ini 20 Mei lalu.

"Apa yang berlaku ialah pada pukul 8 malam itu, seorang lelaki Melayu berusia 25 tahun ditahan semasa cuba lari daripada ditahan di wad. Berlaku pergelutan kerana dia mahu melepaskan diri dan pergelutan ini didakwanya sebagai dikasari polis," katanya dalam sidang akhbar di IPD Muar, di sini hari ini.

Baru-baru ini portal berita MalaysiaKini melaporkan berita tersebut dan mendakwa pihak polis memukul lelaki berkenaan.

Azman berkata, kejadian tersebut bermula apabila sepasukan polis peronda berada dalam HPSF untuk melakukan rondaan cegah jenayah dan ketika itu, lelaki berkenaan tiba-tiba masuk ke dalam kereta polis.

Katanya, lelaki itu meminta anggota terbabit membawanya keluar dari HPSF dan tiba-tiba beberapa kakitangan HPSF muncul dan meminta bantuan polis menahannya kerana dia perlu mendapatkan rawatan susulan di wad psikiatri.

"Melihat kehadiran tiga kakitangan hospital, lelaki itu terus keluar dari kereta peronda polis sebelum melarikan diri menyebabkan anggota polis dan kakitangan itu mengejarnya sebelum berlaku pergelutan," katanya.

Pergelutan itu katanya, mengakibatkan anggota polis dan beberapa kakitangan hospital cedera ringan, sebelum lelaki itu berjaya ditahan dan diserahkan kepada kakitangan HPSF untuk rawatan selanjutnya.

Katanya, siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai rekod masalah mental dan untuk itu pihaknya tidak mengambil sebarang tindakan susulan.

"Tiada kes polis memukul orang awam seperti yang didakwa portal berita tempatan. Kejadian itu tidak berlaku dan pihak terbabit sepatutnya mendapatkan pengesahan untuk mendapatkan kepastian," katanya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat