Utusan Online - Timur
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Timur |
- Premis niaga waktu malam dikaji
- Gadis terpaksa berhenti kerja untuk jaga bapa
- 20 penunggang motosikal berkuasa tinggi sertai konvoi ziarah, bantu anak yatim
Premis niaga waktu malam dikaji Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT KOTA BAHARU 28 Mei - Kerajaan Kelantan akan mengkaji waktu operasi bagi semua premis perniagaan yang berniaga sehingga lewat malam seperti pasar malam dan kopitiam bagi membendung masalah gejala sosial di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata, ini kerana premis berkenaan adakalanya beroperasi melebihi had waktu yang ditetapkan, yang boleh mengundang masalah sosial dan kesejahteraan keluarga jika tidak dibendung. Beliau berkata kajian itu akan dilakukan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) dalam tempoh enam bulan bermula hari ini. "Antara aspek yang akan diberi perhatian (dalam kajian itu) termasuk kawalan terhadap waktu perniagaan, jenis perniagaan dan lokasi perniagaan yang dijalankan. "Sehingga hari ini, premis perniagaan dilihat seolah-olah beroperasi tanpa kawalan dan terdapat sesetengah premis yang menjalankan perniagaan tanpa mengira waktu," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kota Darul Naim di sini, hari ini. Abdul Fattah berkata, Kerajaan Kelantan juga akan bekerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan persatuan peniaga tempatan berhubung perkara sama sebelum satu dasar baharu diputuskan. Pihaknya mendapat maklumat daripada polis yang mendakwa berlaku pelbagai masalah sosial terutama dalam kalangan remaja apabila mereka sering berpeleseran di pasar malam dan kopitiam pada lewat malam. "Sepatutnya waktu malam dihabiskan bersama keluarga... inilah yang akan kita kaji (tentang) keadaan itu," katanya. Mengulas lanjut perniagaan di Pasar Borong Wakaf Che Yeh di sini yang beroperasi melebihi 12 tengah malam, Abdul Fattah berkata, waktu perniagaan itu tidak akan berubah kerana ia merupakan tumpuan pelancong. "Bagaimanapun, beberapa aspek lain yang sesuai dan perlu diberikan perhatian akan dikaji bagi menepati matlamat perniagaan di situ," katanya. - BERNAMA |
Gadis terpaksa berhenti kerja untuk jaga bapa Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT MAT Yaacob Ismail (dua dari kiri) yang mengalami strok saraf melakukan pemeriksaan kesihatan semasa lawatan khidmat komuniti sempena Program Semarak 1Malaysia Peringkat Daerah Kota Bharu di rumahnya di Kampung Seterpa, Peringat, Kota Bahru, baru-baru ini. KOTA BHARU 28 Mei - Seorang gadis berusia 19 tahun tahun terpaksa berhenti kerja untuk menjaga bapanya yang menghidap angin ahmar di rumah mereka di Kampung Seterpa, Peringat di sini. Selain diserang angin ahmar sejak dua minggu lalu, Mat Yaacob Ismail, 61, sebelum ini turut mengalami masalah saraf pada bahagian tangan sejak dua tahun lalu. Lebih memilukan, gadis itu iaitu Farah Nabila juga terpaksa menjaga adik beradiknya yang berusia antara lima hingga 21 tahun termasuk seorang daripadanya mengalami cacat penglihatan setelah ditinggalkan ibu mereka sejak dua tahun lalu. Farah Nabila berkata, mereka sekeluarga kini hanya bergantung kepada pendapatan abang sulungnya, Khairul Aswadi, 21, yang bekerja sebagai buruh. "Dengan pendapatan abang, ia masih tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian kami sembilan beranak. "Justeru, kami amat mengharapkan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mahupun kerajaan negeri bagi meringankan beban," katanya ketika ditemui di rumahnya semasa lawatan khidmat komuniti sempena Program Semarak 1Malaysia Peringkat Daerah Kota Bharu di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Pegawai Penerangan Daerah, Shamsudin Daud serta wakil Klinik Kesihatan Peringat. Pada lawatan tersebut, kira-kira 100 pesakit yang terlantar menerima bantuan makanan serta pemeriksaan kesihatan. Farah Nabila berkata, dia yang juga anak kedua daripada sembilan beradik itu terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja memandangkan keadaan kesihatan bapanya yang memerlukan penjagaan sepenuhnya. "Selain itu, saya juga perlu mengambil alih urusan menjaga keperluan adik-adik kerana masih bersekolah," katanya. Mereka yang berhasrat untuk membantu keluarga ini boleh terus datang ke Kampung Seterpa, Peringat atau menghubungi seorang lagi anak Mat Yaacob iaitu Siti Norlaila di talian 011-29443883. |
20 penunggang motosikal berkuasa tinggi sertai konvoi ziarah, bantu anak yatim Posted: 28 May 2014 12:08 PM PDT PENUNGGANG motosikal berkuasa tinggi dan basikal bergambar bersama anak yatim, pada Majlis Sumbangan Anak Yatim Darul Aitam, Pasir Puteh, baru-baru ini. PASIR PUTEH 28 Mei - Sebanyak 20 penunggang motosikal berkuasa tinggi dan 15 penunggang basikal menyertai konvoi amal dari Kota Bharu ke Rumah Anak Yatim Darul Aitam di sini bagi menyampaikan sumbangan. Program itu dianjurkan Majlis Peguam Kelantan dan turut mendapat kerjasama Versys Owner Club serta Kelab Pemilik Motosikal BMW Kelantan. Presiden Majlis Peguam Kelantan, Azham Mohamad berkata, konvoi amal tersebut bertujuan menyerahkan sumbangan serta beramah mesra dengan 40 anak yatim yang menjadi penghuni di rumah tersebut. "Kami terpanggil memberi sumbangan berbentuk barangan keperluan kepada mereka bagi menunaikan tanggungjawab sosial kepada golongan kurang bernasib baik. Mereka yang susah akan dibantu dan yang senang pula akan menghulurkan. "Program sebegini juga membolehkan anak-anak yatim di rumah tersebut tidak berasa terpinggir," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini. Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Majlis Peguam Kelantan, Norazham Yahya dan Pengerusi Persatuan Pemilik Motosikal BMW Kelantan, Kapten Rohisyam Din. Pengayuh solo warga emas, Wan Hashim Wan Mahmood yang mencipta sejarah selepas menjelajah Semenanjung Malaysia selama 28 hari dengan kayuhan sejauh 2,250 kilometer turut menyertai konvoi berkenaan. Sementara itu, Pengurus Rumah Anak Yatim Darul Aitam, Nazri Mohamad Nor berkata, beliau mengalu-alukan inisiatif Majlis Peguam Kelantan untuk menceriakan penghuni di samping mengurangkan beban pihak pengurusan. Katanya, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada anak-anak yatim di situ boleh menghubungi beliau di talian 019-9376754. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |