Utusan Online - Pahang
Posted by Tanpa Nama
Utusan Online - Pahang |
- Bomba tingkat siap siaga
- Kekalkan semangat berpasukan laksana tugas
- 38 pelajar, 6 guru lakukan khidmat bakti di DBDJ
Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT Oleh ZAMZURINA AHMAD KUANTAN 30 Mei - Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri meningkatkan kesiapsiagaan pegawai dan anggotanya dengan menganjurkan seminar khas untuk menghadapi risiko perubahan cuaca serta iklim akibat fenomena El Nino yang dijangka melanda negara ini bulan depan. Pengarahnya, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin, pihaknya telah membuat persediaan dengan menyusun strategi dan jadual kerja pegawai serta anggota supaya dapat bertindak dengan pantas termasuk melakukan rondaan. "Selain keanggotaan mencukupi, kita turut melengkapkan kemudahan jentera bagi menghadapi fenomena El Nino. "Oleh yang demikian, saya menyarankan setiap lapisan masyarakat meningkatkan tahap keselamatan daripada ancaman kebakaran," katanya kepada pemberita selepas hadir pada Program Derma Darah dan Hari Bersama Pelanggan sempena Sambutan Hari Bomba Sedunia di sebuah pusat beli-belah di sini semalam. Sementara itu, katanya, program berkenaan merupakan acara tahunan yang dianjurkan Pasukan Bomba dan Penyelamat negeri dengan kerjasama Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini. "Selain anggota dan pegawai bomba, orang ramai termasuk penjawat awam dari pelbagai agensi kerajaan turut serta dalam program ini. "Sambutan amat menggalakkan kerana seramai 200 orang terlibat dalam penganjuran program selama sehari bermula 10 hingga 6 petang," jelasnya. Dalam pada itu, seorang anggota bomba, Adli Awang Mohamad, 53, merupakan penderma paling aktif menderma darah sejak 1994 iaitu sebanyak 22 kali. "Sejak menderma darah kira-kira 20 tahun lalu, tahap kesihatan saya berada dalam keadaan yang baik dan saya berbangga dapat mendermakan darah demi keselamatan insan lain," ujarnya. |
Kekalkan semangat berpasukan laksana tugas Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT KUANTAN 30 Mei - Warga Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri diminta mengekalkan semangat berpasukan dalam melaksanakan tugas khususnya melibatkan penguatkuasaan demi memastikan hak pengguna sentiasa terbela. Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Usahawan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, semangat itu perlu bukan sahaja tugas dapat dijalankan dengan licin malah membentuk hubungan kekeluargaan yang erat sesama mereka. "Saya berharap warga PPDNKK Pahang teruskan semangat berpasukan dalam melaksanakan tugas kerana cara itu sahaja yang mampu membawa kepercayaan pengguna kepada agensi itu," katanya. Shahiruddin berkata demikian dalam majlis ramah mesra bersama beliau di sini kelmarin dan turut dihadiri Pengarah PPDNKK negeri, Shahruddin Jali yang ditukarkan ke negeri ini selepas berkhidmat dua tahun di pejabat sama di Kelantan. Menurut Shahiruddin, beliau memahami tugas penguatkuasaan agensi itu semakin mencabar terutama dalam dunia teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang menuntut mereka mengharungi tanggungjawab dengan lebih berkesan. Tambahnya, pengguna hari ini banyak terdedah dengan pelbagai maklumat melalui internet sekali gus membuatkan agensi tersebut perlu membuktikan keupayaan dan mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan. "Tugas kita kali ini amat berat lebih-lebih lagi berkaitan dengan isu dan hak pengguna. Sehubungan itu, laksanakan dengan baik supaya pengguna dan rakyat percaya bahawa kerajaan sememangnya menitikberatkan hal berkaitan kepenggunaan. "Tunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat di luar sana bahawa agensi ini mampu melakukannya dengan lancar," katanya. Beliau berkata, selain penguatkuasaan, mereka juga menjadi ejen dalam menyedarkan pengguna tentang hak mereka dalam pelbagai bidang. "Pengguna perlu ditingkatkan kesedaran dan tugas itu tidak hanya sementara tetapi dilakukan sepanjang masa," katanya. |
38 pelajar, 6 guru lakukan khidmat bakti di DBDJ Posted: 30 May 2014 12:49 PM PDT PENGAWAS dan guru dari SMK Felda Kota Gelanggi 2 menunjukkan tanda bagus selepas selesai melakukan khidmat bakti di Desa Bina Diri Jerantut di Jerantut, baru-baru ini. JERANTUT 30 Mei - Seramai 38 pengawas dan enam guru pengiring dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Felda Kota Gelanggi 2 mengadakan program khidmat bakti di Desa Bina Diri Jerantut (DBDJ) di sini baru-baru ini. Pengarah program, Ahmad Farizan Bahaman berkata, program tersebut merupakan salah satu aktiviti kemasyarakatan yang dijalankan oleh pengawas sekolah pada setiap tahun. "Kali ini kita memilih DBDJ yang menjadi pusat jagaan golongan kurang bernasib baik sebagai lokasi untuk para pelajar terbabit melakukan khidmat sosial mereka. "Kami adakan beberapa aktiviti iaitu membersih dewan makan, menyediakan hidangan makanan kepada penghuni dan memotong kuku serta rambut," katanya. Menurutnya, pelajar sangat bertuah kerana mereka dapat melihat pelbagai ketidakupayaan penghuni di DBDJ dan banyak perkara yang mereka pelajari di situ. Ahmad Farizan berkata, melalui program itu, banyak nilai murni diterapkan kepada pelajar seperti menghormati orang tua, kasih sayang, tolong-menolong dan pengurusan keluarga. "Program ini berjaya mendidik mereka untuk menjadi modal insan berjaya dalam semua aspek bagi mengharungi kehidupan pada masa depan," ujarnya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |