Kosmo Online - Hiburan
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Hiburan |
Posted: Masih tebal budaya TimurMESRA, ramah dan penuh sopan dia menyapa kami. "Saya Yuna," begitu dia memperkenalkan diri. Ah, masakan penyanyi terkenal seluruh dunia sepertinya tidak dikenali media di tanah air sendiri. Hari itu, pertemuan kami diatur oleh pihak ntv7 yang sedang melakukan rakaman untuk program #AskYuna bagi meraikan ulang tahun ke-16 stesen televisyen tersebut dan bersempena dengan sambutan Aidilfitri. Dia hadir dalam penampilan biasanya - turban dan busana sopan yang masih tinggi cita rasa fesyennya. Topik utama menjadi perbicaraan kami hari itu tentang perkembangan kariernya di Amerika Syarikat. Akui Yuna, selepas empat tahun merantau menanam benih muziknya di sana, kini dia sedang menikmati buah sukses kariernya secara perlahan-lahan. Selain album terkininya, Nocturnal mendapat sambutan yang menggalakkan dengan kebanyakan siri jelajahnya dipenuhi peminat, peluang muncul dalam program bual bicara terkenal seperti Jimmy Kimmel Live dan Conan O'Brien Show dan mendendangkan karya miliknya disifatkan sebagai pintu rezeki yang sedang terbuka luas. Paling dirasai kata Yuna, survival hidupnya di negara tersebut tidak sesukar pada tahun awal dia mencari tapak di sana. "Alhamdulillah, kehidupan saya di AS semakin baik. Semua berjalan dengan lebih lancar. Jika dulu boleh dikatakan agak sukar untuk saya hidup di sana tetapi kini tidak lagi. "Bayaran untuk persembahan sudah mula meningkat dan itu penting untuk saya kerana banyak juga kos yang perlu dikeluarkan kerana saya kerap mengadakan persembahan di luar kawasan. "Namun, perkara yang paling saya banggakan apabila kini saya tidak lagi perlu 'menumpang' penyanyi lain untuk diperkenalkan kepada khalayak dalam kebanyakan persembahan yang dilakukan. "Saya kini mampu melakukan persembahan atas nama sendiri, malah ada persembahan saya yang penuh peminat. Saya juga diundang dalam beberapa persembahan secara langsung dalam program bual bicara di sana. "Saya kira itu pencapaian yang baik buat saya sejak bermaustatin di sana empat tahun lalu," ujarnya. Beritahunya lagi, sambutan media di negara tersebut terhadapnya juga agak memberangsangkan. Mengaku kebanyakan media melihat dirinya sebagai penyanyi yang 'terbalik' dengan penampilan artis Barat, namun 'keanehannya' yang lebih tertutup itu memberi pesona tersendiri. Ditanya berapa lama lagi dia menyasarkan untuk terus meneroka muzik dan seni di sana, penyanyi ini tersenyum. Jelas Yuna, sukar buat dia menentukan tempoh kelangsungan hidupnya di sana, namun apa yang pasti, dia tidak akan pulang ke Malaysia dalam tempoh dua tahun lagi kerana masih banyak mimpi yang mahu dipeluk dan direalisasikannya di sana.
"Seperti mana saya nekad ke AS sebelum ini tanpa bekalan, saya tidak mahu meninggalkan negara ini separuh jalan. "Masih banyak misi muzik saya di sini. Saya mahu lebih fokus terhadap karier saya di sini. Bukan bermakna saya tidak sayangkan Malaysia. Keluarga dan karier saya di sini (Malaysia) tetapi di AS, saya bekerja. Bekerja untuk merealisasikan misi muzik saya," jelasnya bersungguh-sungguh. Album Melayu Ironi, Yuna sebenarnya memang menghasilkan album Inggeris yang diselit satu atau dua lagu Melayu. Namun, sudah menjadi situasi biasa, lagu Melayu akan mudah diterima oleh khalayak Melayu. Ditanya mengenai perancangan melahirkan album Melayu penuh, dia mengaku mempunyai perancangan untuk menerbitkan album tersebut, namun sebagai artis yang bernaung di bawah label Universal Music, dia juga perlu menghormati kontrak yang telah dipersetujui. "Insya-Allah, perancangan memang ada tapi saya perlu berbincang dengan pihak syarikat rakaman kerana saya memang mempunyai dua buah album lagi untuk dirakamkan bersama mereka," katanya yang merancang untuk melakukan konsert di Asia sempena mempromosi album Nocturnal. Inspirasi Sebelum zaman dirinya menjadi pujaan dan idola banyak pihak, sebagai pemimpi biasa, Yuna mengaku dia juga pernah meletakkan individu berpengaruh seperti Datuk Sheila Majid sebagai inspirasi hidupnya. Kini, kitaran tersebut telah berputar. Sejak meledak naik saat pertama kali diperkenalkan secara komersial sekitar tahun 2008 dengan lagu Dan Sebenarnya, Yuna kini menjadi inspirasi hampir semua remaja perempuan yang memasang mimpi untuk bergelar penyanyi dan terbang tinggi sepertinya. Dengan rendah diri Yuna menyatakan, dia tidak pernah meletakkan dirinya sebagai model yang perlu dicontohi oleh sesiapa. Katanya yang sejak dahulu sudah jelas dengan prinsipnya untuk menjadi diri sendiri: "Jujur, saya terharu apabila banyak yang menjadikan saya inspirasi. Namun saya kira, pada masa yang sama, kita perlu menjadi diri sendiri. "Ya, mungkin dari segi semangat bekerja, meneroka isi dunia dan fokus terhadap karier boleh dicontohi. Namun, untuk menjadi seorang lagi Yuna, saya kira lebih elok jika mempunyai identiti sendiri."
Pusat Jauh berada di AS bukan bermakna dirinya terlepas daripada pandangan khalayak di Malaysia terutama apabila ia melibatkan laman sosial. Terkini, dua keping gambar Yuna dengan penampilannya yang disifatkan sebagai kurang sesuai dengan imejnya yang berhijab menjadi perdebatan di laman Facebook rasmi miliknya. Gambar yang dimuat naik oleh penyanyi itu sendiri kemudiannya telah dikeluarkan selepas ia menjadi hangat. Ujar Yuna, ada dua perkara yang perlu diperjelaskan mengenai gambar tersebut. Pertama, tentang tindakannya menarik semula gambar itu. "Secara peribadi, saya menarik semula gambar tersebut bukan kerana tersinggung dengan banyak tohmahan tetapi saya tidak mahu dua pihak terus bertelagah mengenai isu gaun tersebut. "Malah saya juga tidak mahu orang luar melihat orang Malaysia bergaduh dan bertahan dengan pendapat masing-masing hanya kerana isu sebegini. "Jadi, saya fikir lebih mudah sekiranya gambar itu dibuang dan perbalahan tidak berlanjutan," ujarnya yang mengaku menutup laman sosial Instagram miliknya dahulu kerana isu perbalahan seperti ini. Kedua, tentang kekesalannya terhadap pihak tidak bertanggungjawab yang telah melakukan proses editing di atas gambar tersebut. Jelas Yuna, gambar tersebut yang disiarkan di dalam beberapa blog telah melalui proses editing sehingga menyaksikan bahagian pusatnya. "Gambar tersebut diambil untuk satu sesi fotografi di sana. Apa yang saya kesalkan, gambar yang tersebar di beberapa blog telah melalui proses editing sehingga menampakkan pusat saya apabila baju pada bahagian dalam dinipiskan," ujarnya kesal. Tambah Yuna, sebagai wanita yang telah matang, dia faham benar tentang batasan kehidupan yang selalu dipegang olehnya selama ini. Sudah berusia 28 tahun, katanya lagi, dia kini cukup selesa dan memahami kehendak diri sendiri. "Saya anggap semua perkara seperti ini (dinilai orang) sebagai lumrah kehidupan. Saya sudah belajar menelannya sejak dulu lagi. "Sebagai seorang manusia yang tidak sempurna, saya menerima dengan hati yang terbuka tentang teguran sekiranya saya melakukan kesalahan. secara jujurnya, buat masa ini, saya selesa dengan diri saya," ujarnya. KELAHIRAN album Nocturnal menjadi tanda aras yang tinggi dalam evolusi muzik Yuna. Biar semakin berbunyi antarabangsa, kata Yuna: "Biarpun mengikuti perkembangan, satu yang pasti saya tidak akan mendendangkan lagu dalam bentuk dance music. Saya juga akan kekal menulis lagu sendiri sebagai identiti saya." NovemberCulture Sukses sebagai penyanyi, Yuna menggunakan 'senjata' fesyennya yang selama ini banyak mempengaruhi peminatnya dengan mengembangkannya dalam bentuk bisnes. NovemberCulture menjadi medan buat dia menumpahkan dan berkongsi bukan sahaja cita rasa fesyen tetapi juga kebolehannya menata hias dalaman termasuk 'mereka' pokok kaktus di dalam balang atau dikenali sebagai terrariums yang menjadi obsesinya dengan khalayak. "Saya namakan butik ini sebagai NovemberCulture kerana saya lahir pada bulan November. Kata orang, sesiapa yang lahir pada bulan ini merupakan seorang yang kreatif dan inovatif. "Butik ini bukan sekadar menyediakan fesyen terkini tetapi juga khidmat menata hias dalaman dan membuat terrariums. "Besar harapan agar saya mampu menyebarkan aura positif dan semua yang bersifat baik kepada semua khalayak dengan bisnes yang saya jalankan ini," ujarnya yang juga mempunyai rencana untuk menjadikan hobinya seperti merakam gambar sebagai satu bisnes. | ||
Risiko Fizz, Izzue jadi perempuan Posted: Risiko Fizz, Izzue jadi perempuanOleh HARYATI KARIM DARI kiri: Tindakan Fizz Fairuz dan Izzue Islam menyamar sebagai wanita dalam filem Mat Tudung menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat. DUA nama besar dalam industri lakonan, Fizz Fairuz dan Izzue Islam tidak pernah kering daripada kontroversi. Fizz menamatkan deretan kontroversi cintanya dengan bergelar suami kepada pelakon Almy Nadia. Izzue pula sebelum ini pernah dilanda kontroversi dia tidak sehaluan dengan pelakon Anzalna. Di sebalik kontroversi yang timbul, kedua-dua mereka merupakan pelakon yang amat berbakat. Lakonan mereka diakui memberi kesan kepada penonton. Bergandingan dalam filem terbaharu berjudul Mat Tudung yang bakal ditayangkan pada 28 Julai depan sempena Aidilfitri, Fizz dan Izzue mengejutkan peminat apabila mereka berdua sanggup bertudung dan bersolek seperti wanita dalam filem tersebut. Bahkan, foto mereka bertudung ketika menjalani penggambaran filem berkenaan turut tersebar di internet dan mengundang pelbagai reaksi daripada peminat. Bagi mendapat penjelasan lanjut, ikuti temu bual Kosmo! bersama mereka berdua baru-baru ini. Kosmo!: Adakah Fizz diberitahu oleh pengarah bahawa anda perlu bertudung dan bersolek seperti wanita dalam filem berkenaan? FIZZ: Ya, memang saya telah diberitahu awal oleh pengarah ketika mendapat skrip. Dalam filem ini saya memegang dua watak iaitu Johari dan Joanna. Sebagai Joanna, saya perlu bertudung dan bersolek tebal. Apakah yang membuatkan anda terima tawaran ini? Filem ini merupakan filem komedi pertama yang mempertaruhkan saya sebagai watak utama. Saya sedar, saya bukan pelawak dan saya nekad untuk mencuba watak ini demi memberi kelainan kepada penonton. Kepercayaan daripada pihak KRU Studios dan jalan cerita yang menarik membuatkan saya menerima tawaran mereka. Sebelum ini anda cukup popular dengan watak romantik, aksi dan lelaki budiman. Tidakkah dengan menyarungkan tudung dan bersolek seperti wanita akan menjatuhkan kredibiliti anda sebagai lelaki? Saya bukannya berlakon watak pondan, sebaliknya menyamar sebagai wanita. Mungkin orang lain tidak mahu membawakan watak sebegini kerana bimbang menjatuhkan maruah, malu dan tidak macho tetapi sebagai pelakon saya ingin mempelbagaikan watak. Saya berfikiran waras. Jika watak itu terlalu membuka aib atau tidak sesuai, pasti saya tidak akan terima. Apakah perasaan anda apabila menyarungkan tudung dan bersolek tebal? Sebenarnya susah juga kerana saya harus membawa dua watak dalam masa yang sama iaitu Johari dan Joanna. Namun, saya cukup seronok kerana memang saya idamkan untuk membawa beberapa watak dalam sebuah filem. Saya tidak kisah orang mahu bercakap apa sahaja selepas ini. Saya sendiri sudah tidak sabar menunggu maklum balas penonton. Sudah pasti selepas filem ini ditayangkan akan mengundang pelbagai persepsi daripada penonton, adakah anda sudah bersedia dengan impak tersebut? Saya sudah bersedia bahkan telah mula membuat promosi di laman sosial berkenaan filem ini. Kalau boleh saya ingin tahu maklum balas daripada pihak media dan penonton berkenaan filem Mat Tudung. Setakat ini, berdasarkan thriller, banyak komen positif yang diberikan. | ||
Posted: Unik Festival Georgetown 2014JOE SIDEK optimis Festival Georgetown 2014 bakal menarik ramai pengunjung berdasarkan pelbagai acara persembahan menarik yang bakal diadakan. SEBANYAK 90 persembahan bakal menanti lebih daripada 200,000 pengunjung yang dijangka membanjiri Festival Geor- getown 2014 di Pulau Pinang. Festival yang akan berlangsung selama sebulan itu dijadualkan bermula pada 1 Ogos depan. Menurut pengarah acara tersebut, Joe Sidek, antara persembahan yang bakal mencuri perhatian masyarakat di Pulau Pinang kelak termasuklah persembahan daripada para penari profesional Australia yang bernaung di bawah Sydney Dance Company. "Troli biasanya kita gunakan untuk membeli-belah di pasar raya. "Namun, siapa sangka dengan idea kreatif Sydney Dance Company, yang mana mereka menggunakan troli dalam persembahan yang akan dipersembahkan nanti," jelasnya ketika ditemui pada majlis pelancaran festival tersebut baru-baru ini. Mengulas lanjut, kata Joe, penari-penari Sydney Dance Company itu akan menggunakan lima troli untuk beraksi lincah mengikut alunan irama biola elektrik dan piano. Selain tarian lincah tersebut, persembahan yang diterajui Nick Wales itu juga akan dipelbagaikan dengan tarian-tarian lain seperti balet dan sejenis aksi ekstrem, parkour selain turut menggabungkan seni klasik akrobatik. Tidak hanya negara luar, Joe memberitahu, Malaysia juga tidak ketinggalan mengetengahkan keunikan seni budaya kita. "Sempena tahun keempat festival ini diadakan, kita menyajikan persembahan tradisional Kelantan, mak yong dan wayang kulit. "Selain itu, kisah dua keluarga elit Pulau Pinang juga akan dipertontonkan menerusi teater, 2 Houses arahan Lim Yu-Beng," ulasnya yang turut membawa sebanyak 150 pelukis terkenal dari Australia, Hong Kong, Indonesia, New Zealand, Singapura, Thailand dan Vietnam untuk bergabung menghasilkan pameran lakaran Urban Sketchers Penang. Uniknya, festival tersebut tidak hanya diadakan di satu lokasi di Pulau Pinang, sebaliknya bergerak ke lokasi yang terlibat seperti Lebuh Armenian, Galery A2, Dewan Sri Pinang dan Macalister Mansion. Menurut Joe, tidak semua persembahan berbayar, sebaliknya kebanyakannya diadakan percuma. Katanya, tarikan lain yang menanti para pengunjung termasuk persembahan teater The Kitchen dari Kerala, India dan Circus Circus dari Jepun. The Kitchen memaparkan tentang sepasang suami isteri memupuk rasa kasih sayang menerusi masakan manakala Circus Circus merupakan persembahan sarkas gabungan persembahan dari negara Jepun, China serta Finland. Joe yang merupakan pengarah Festival Georgetown sejak edisi pertama pada 2010 juga menegaskan bahawa Pulau Pinang merupakan lokasi menarik untuk menganjurkan festival kerana kepelbagaian masyarakat dan keunikannya. "Pulau Pinang diiktiraf sebagai salah satu daripada tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco). Disebabkan itu, ia merupakan lokasi strategik untuk diadakan festival sebegini," tuturnya lagi - FATEN SAPHILLA MOHAMED ISA |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Hiburan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |