{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Pemotoran

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Pemotoran


EcoSport tepati citarasa tempatan

Posted:

EcoSport tepati citarasa tempatan

EcoSport tepati citarasa tempatan

Oleh WAN AZHAR WAN ABDULLAH
garaj@kosmo.com.my

AWAL tahun ini, penulis bersama beberapa pengamal media lain menerima jemputan daripada pengeluar kereta tersohor Amerika Syarikat, Ford Motor Co. (Ford Motor) untuk menyertai satu sesi pembentangan produk dan pandu uji salah sebuah model terbaharunya di Thailand.

Model itu ialah Ford EcoSport dan ia dikatakan bakal menjengah pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Secara jujur, penulis bukan berkecimpung secara langsung dalam bidang permotoran namun diberi peluang untuk menilai dan merasai apa kehebatan sebenar kereta terbaharu keluaran Ford Motor daripada perspektif seorang pemandu kebanyakan seperti anda.

Sudah menjadi lumrah sebilangan besar pembeli tempatan cepat tergoda dengan kecantikan reka bentuk sesebuah kereta sehinggakan ia dikatakan sebagai antara ukuran penting yang mempengaruhi trend pembelian kenderaan di Malaysia.

Begitu juga dengan penulis, faktor reka bentuk juga diambil kira sepanjang pengalaman ketika membeli kereta pertama sehinggalah jentera ketiga. Bukan itu sahaja, rata-rata pengguna muda juga lebih gemari kereta bersaiz kompak dan tampil bersama imej sporty serta moden kontemporari.

Faktor kosmetik yang mampu paut pada hati pembeli ada pada model Ford EcoSport. Itulah tafsiran pertama penulis sejurus sahaja memandangnya ketika memasuki pekarangan Hotel Sheraton di Hua Hin, Thailand. Kenderaan crossover segmen B kompak itu pantas menarik perhatian penulis dan beberapa pengamal media lain.


KADAR pencahayaan malam harus diberi pujian kerana ia cukup terang.


Lebih praktikal

Ford EcoSport menampilkan binaan ergonomik yang diperlukan kebanyakan pemandu khususnya di Malaysia. Kelebihan jarak ketinggian antara tanah dan casis memberikannya kelebihan untuk meredah situasi banjir kilat atau lopak air yang lazimnya melanda ibu kota setiap kali musim tengkujuh.

Secara kasar, Ford EcoSport mampu mengharungi paras air setinggi lutut seorang lelaki normal. Bagaimanapun, anda tidak menggalakkan berbuat demikian kerana ia agak merbahaya.

Jika berada dalam keadaan memaksa, kenderaan itu masih mampu mendaki bahu jalan dengan mudah tanpa sebarang masalah.

Apabila berada dalam duduk pemandu, didapati kenderaan itu tidak setinggi model-model SUV lain khasnya produk keluaran negara Korea Selatan dan tidak keterlaluan dikatakan ia hampir sama seperti sebuah kereta sedan. Untuk menghidupkannya, tekan sahaja butang pemula enjin. Anda tidak perlu menggunakan kunci untuk membuka pintu kenderaan.

Selain mudah dan sporty, ciri itu amat berguna khasnya pada waktu malam ketika anda berada dalam situasi cemas, tergesa-gesa, sedang memikul anak kecil atau membawa banyak barang.

Ketika memandu SUV itu di kawasan sekitar Hua Hin, penulis mendapati pengendaliannya lebih mirip kepada sebuah kereta dan amat sesuai juga untuk para pemandu wanita. Sterengnya ringan ketika pemanduan perlahan tetapi bertindak responsif apabila memandu laju atau menakluki kawasan selekoh tajam.


BAGI anda yang sedang merancang pembelian sebuah crossover praktikal, nantikan sahaja ketibaan Ford EcoSport ke Malaysia tidak lama lagi.


Ford EcoSport didatangkan dengan transmisi automatik tetapi anda perlu berusaha sedikit untuk memijak pedal minyak jika mahu memecut laju.

Pemandu juga boleh memilih transmisi sequential untuk memberi lebih kuasa pecutan apabila memandu di lebuh raya atau jalan persekutuan.

Satu ciri menarik tentang Ford EcoSport adalah kenderaan itu sememangnya senyap dan tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa ia hampir kalis bunyi.

Keselesaan pemanduan

Sewaktu melalui kawasan bandar Hua Hin, penulis tidak mendengar sebarang bunyi bingit lalu lintas di luar dan membuatkan anda seakan-akan berada dalam dunia sendiri iaitu dunia Ford EcoSport.


FORD EcoSport menawarkan ruang kargo yang cukup luas sehingga mampu menempatkan sebuah mesin basuh tanpa sebarang masalah.


SUV itu dilengkapi tayar ganti yang diletakkan di hud belakang secara menegak dan bukannya pada bahagian bawah kenderaan untuk memudahkan operasi menukar tayar. Apabila memandu Ford EcoSport di kawasan pedalaman, kenderaan ini mampu menyerap hentakan dan lubang dengan amat baik malah penulis tidak memperlahankan kelajuan semasa merentas mana-mana bonggol atau lubang di sepanjang laluan tersebut.

Ruang papan pemuka tidak banyak berbeza daripada kereta Fod Fiesta tetapi tempat duduknya nyata lebih selesa jika dibandingkan dengan kereta kompak itu.

Ford EcoSport dilengkapi sistem audio kawalan suara supaya pemandu dapat memberi tumpuan penuh pada pemanduan. Pemandu boleh membuat atau menjawab panggilan telefon dan mengawal muzik melalui suara. Penulis berpendapat selain dijadikan kenderaan harian, Ford EcoSport selesa untuk destinasi percutian hujung minggu.

Kenderaan ini cukup sesuai untuk melakukan perjalanan ke kawasan Pantai Timur yang memiliki keadaan jalan raya yang agak mencabar. Mereka yang kerap melakukan perjalanan ke kawasan itu tentu arif dengan situasi jalan yang berlekuk di sana sini terutamanya selepas melintasi bandar Lipis.

Berkenaan harga, penulis percaya kenderaan Crossover ini akan dijual pada harga lebih tinggi daripada model Fiesta tetapi lebih berpatutan berbanding beberapa SUV popular di negara ini.

Satu lagi faktor yang perlu diambil-kira adalah penjimatan petrol. Kenderaan ini dilengkapi enjin EcoBoost bersesaran satu liter mampu mencapai jarak 18.9 kilometer dengan setiap liter petrol. Ia juga didatangkan dengan enam beg udara untuk pemandu dan penumpang, sistem ABS dan serta sensor belakang.

Naza Italia memperkenalkan Ferrari California T

Posted:

Naza Italia memperkenalkan Ferrari California T

Naza Italia memperkenalkan Ferrari California T

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
afifihafiz.nor@kosmo.com.my


CALIFORNIA T boleh kelihatan sebagai coupe dan konvertibel.


NAZA Italia Sdn. Bhd. (Naza Italia), pengedar rasmi kenderaan Ferrari di Malaysia telah melancarkan model terbaharu, Ferrari California T baru-baru ini.

Model itu didatangkan bersama unit enjin V8 turbo berkembar yang diperbaharui dan mampu mengurangkan kadar pembebasan emisi karbon dan penggunaan bahan bakar secara drastik tanpa menjejaskan faktor prestasi enjin.

Ferrari California T merupakan salah satu model Ferrari yang melambangkan ciri elegan, sporty dan eksklusif sejak tahun 1950-an lagi.

Menurut Pengerusi Eksekutif Bersama Kumpulan Naza, Datuk SM Faisal SM Nasimuddin, generasi terkini California adalah lebih cepat dengan enjin yang lebih berprestasi dan cekap yang memaksimumkan ekonomi bahan api sambil mengekalkan bunyi enjin signatur Ferrari.


RUANG dalaman California T ini menggunakan kombinasi dua tona warna yang menaikkan imej eksklusif kereta ini.


California T yang menggunakan enjin berkapasiti 3,855cc V8 turbo mampu menghasilkan kuasa maksimum 560hp pada 7,500rpm serta tork maksimum 755Nm pada gear ketujuh.

Ferrari mendakwa California T mencatat masa pecutan dari titik pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam tempoh 3.6 saat dengan kecekapan bahan api yang cemerlang. Kelajuan maksimum yang diberitahu ialah 316km/j.

Bagi menghasilkan enjin California T ini, sepasukan jurutera pakar dari Maranello, Itali telah bertanggungjawab menghasilkan enjin Ferrari berkualiti dengan tahap responsif, prestasi dan pecutan mengagumkan pada setiap kelajuan yang dikehendaki.

Ferrari California T ini menggunakan rim bersaiz 19 inci dengan tayar 245/40 untuk depan dan 285/40 di bahagian belakang.


ENJIN dengan suntikan turbo ini memberikan kuasa sepatutnya kepada California T.


Antara ciri-ciri menarik yang ada pada California T seperti ESC dengan sistem F1-Trac.

Selain ruang kabin California T yang dinaik taraf menggunakan semi-aniline leather, model ini juga berkeupayaan untuk bertukar dari coupe kepada konvertibel dengan membuka bumbung kereta dalam masa hanya 14 saat sahaja.

Kepada sesiapa yang berkenan dengan model California T kini sedia dikunjungi di bilik pameran Naza Italia dengan harga pengenalan RM888,800, tidak termasuk duti dan opsyen personal.

Ferrari juga menawarkan program lanjutan waranti tujuh tahun pertama yang meliputi semua penyenggaraan biasa California T.


NAIB Presiden Kanan Bahagian Pelaburan Strategik Korporat Naza World, Datuk Maruan Mohd. Said (kanan) bergambar bersama Pengarah Urusan Ferrari Far East, Giuseppe Cattaneo.


Program penyenggaraan yang ditawarkan ini adalah servis eksklusif khas buat pemilik Ferrari bagi memastikan kereta anda kekal dalam prestasi terbaik.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Ferrari dan NAZA Italia sila layari laman web www.kualalumpur.ferraridealers.com dan www.facebook.com/nazaitalia.

Ducati umum Monster 821

Posted:

Ducati umum Monster 821

Ducati umum Monster 821

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my


DUCATI Monster 821 kelihatan tidak jauh berbeza dengan model Monster 1200.


SELEPAS enam bulan mempersembahkan model Monster 1200 sempena Pameran Motosikal Antarabangsa (EICMA) di Milan, Itali pada November lalu, Ducati Motor Holding S.p.A (Ducati) meneruskan momentum mengukuhkan keluarga Monster apabila menampilkan satu lagi varian terbaharu ke pasaran dunia iaitu Ducati Monster 821.

Jentera dalam kategori naked itu masih mewarisi konsep binaan asas sebuah Monster yang diamalkan sejak 20 tahun lalu iaitu menawarkan elemen versaliti pada masa sama menjayakan faktor keseronokan tunggangan dengan penuh bergaya.

Sejarah dua dekad

Sepanjang tempoh dua dekad itu, Ducati berjaya mengagihkan lebih 290,000 unit motosikal keluaran fasiliti pemasangan di Itali dan Thailand kepada pengguna akhir di serata dunia.

Siri Monster memainkan peranan signifikan khususnya dalam meneruskan survival jenama motosikal eksotik Itali itu dan membantu menambah wang ke dalam akaun syarikat.

Kemunculan Monster 821 menandakan komitmen Ducati untuk terus menawarkan model-model asas dan peringkat pertengahan demi memenuhi keperluan pelbagai lapisan penunggang motosikal.

Pendekatan itu amat penting memandangkan Ducati menerima saingan hebat daripada pengeluar-pengeluar motosikal Jepun.

Ducati Monster 821 memperlihatkan banyak persamaan seperti model Monster 1200. Perkara itu ketara ekoran perkongsian pelbagai komponen utama antaranya, casis, tangki minyak, pelana dan sistem ekzos kembar. Alat-alat itu membolehkan kedua-dua motosikal memiliki ergonomik binaan tunggangan yang hampir sama. Bagaimanapun, Ducati tidak memberikan komponen lengan ayun tunggal pada Monster 821.

Kemunculan model Monster 821 dilihat sebagai pengisi vakum antara model Monster 1200 dan Monster 796 (atau model 795 di beberapa negara Asia Tenggara). Kuasa untuk menggerakkan roda belakang Monster 821 datangnya daripada unit rangkaian kuasa V-Twin Testastretta 11° dengan sistem penyejukan cecair.

Enjin berkapasiti 821cc itu ditala untuk menghasilkan kuasa impresif pada julat pusingan enjin rendah hingga peringkat sederhana tinggi. Ada yang mendakwa enjin itu bukannya baharu tetapi diambil daripada model Ducati Hyperstrada dan Hypermotard.


SISTEM ekzos kembar menjadikan model baharu ini kelihatan lebih menawan dalam siri Ducati Monster.


Motosikal seberat 179.5 kilogram itu dikatakan mampu menghamburkan kuasa setinggi 112hp dan kuasa kilas setinggi 89.34Nm.

Mula dijual Julai ini

Seperti dua model Hyper sebelum ini, pasukan juruteknik Ducati tetap memastikan Monster 821 sarat dengan pelbagai aplikasi teknologi keselamatan yang boleh diubah dengan menggunakan butang kawalan sedia ada pada bahagian hendal.

Objektif mengadun teknologi itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan pada sebuah motosikal berkuasa tinggi selain menampung keperluan para pengguna yang baharu menjinakkan diri dalam dunia tunggangan.

Pengguna kini memiliki lapan pilihan tetapan untuk mengubah kadar kekuatan cengkaman tayar atas tar bagi mengelakkan terjadinya gelinciran khususnya pada permukaan licin atau tunggangan dalam kawasan bandar. Selain itu, Monster 821 juga dilengkapi tiga mod pemetaan enjin.

Tidak cukup dengan itu, model itu dipasang dengan sistem brek antikunci (ABS) yang untuk membolehkan penunggang membrek dengan lebih selamat. Pengguna diberikan opsyen mengubah tetapan sistem ABS Ducati dengan menekan butang.

Sistem brek ABS dihubungkan dengan sistem brek cakera pada kedua-dua roda jentera. Kesemua kepingan cakera itu dipasang dengan angkup jenama Brembo. Rim 17 inci yang diperbuat daripada aluminium tuangan dibaluti dengan tayar jenis Pirelli Diablo Rosso berukuran 120/70 (hadapan) dan 180/60 (belakang).

Bagaimanapun, sehingga kini, Ducati masih belum mengeluarkan spesifikasi lengkap model Monster 821. Apa yang diumumkan hanyalah kebolehdapatan dua varian Monster 821 iaitu Monster 821 Dark dan Monster 821.

Ducati Monster 821 Dark didatangkan dengan casis dan rim berwarna hitam dijual pada harga £8,795 (RM47,358) seunit manakala Monster 821 pula mengekalkan warna tradisi casis merah dan rim hitam dikenakan harga £8,995 (RM48,435) sebuah. Model itu akan memasuki pasaran Eropah mulai Julai ini.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat