Kosmo Online - Rencana Utama
Posted by Tanpa Nama
Kosmo Online - Rencana Utama |
Peluang pendidikan kedua buat banduan Posted: Peluang pendidikan kedua buat banduanSESAL pernah bermaharajalela dalam diri lelaki berumur 28 tahun itu. Pada usia 14 tahun, ketika remaja lain mengutip ilmu di sekolah, dia telah pun menjadi penghuni penjara. Mahu dipanggil Mikail, kesalahan membunuh yang dilakukan jejaka dari Sabah itu mempunyai justifikasi kemanusiaan yang logik. Plot jenayah spontannya berakar selepas dibawa ke Kuala Lumpur oleh seorang ejen yang menjanjikan pekerjaan dalam perusahaan bakeri dengan gaji bulanan RM800. Dia bersama tujuh lagi orang Sabah kemudiannya dipisahkan mengikut kerja berbeza. Pekerjaan yang diaturkan menyimpang daripada perancangan asal. Mikail dihantar ke Sekinchan, Selangor untuk bekerja sebagai tukang masak di sebuah warung dengan gaji RM150 sebulan. Tanpa kemahiran memasak, tiga bulan pertama bekerja menjadi tempoh perit buatnya. Hampir setiap hari dia dipukul majikan. Namun semangatnya kental dan menganggap ia sebagai proses pembelajaran. Begitupun, memasuki bulan kelima, gajinya masih belum diterima. Kerja keras setiap hari tanpa cuti bermula 9 pagi hingga 12 tengah malam langsung tidak membenihkan keselesaan dari segi kewangan. Hanya sepak terajang terus membekas luka dan lebam pada tubuhnya. Mikail nekad melarikan diri. Nasibnya malang. Dia ditangkap majikannya dalam cubaan tersebut dan dibelasah teruk. Bagi mempertahankan diri, dia mencapai sebilah pisau dan menikam majikannya. Kerana takut, Mikail lari sehingga ke Subang Jaya dan ditangkap pihak polis. Sejak itu, hidupnya berubah. Pada usia muda, Mikail telah bergelar banduan. Penjara Sungai Buloh menjadi kediaman terkurung pertamanya. Ketika itu, sekolah juvana masih belum diwujudkan. Beberapa kali dia dipindah dari Sungai Buloh ke Penjara Kajang. Hanya selepas hukuman dijatuhkan pada tahun 2005, Mikail menghuni Penjara Kajang sehingga kini. Raih ijazah Tahun ini, genap 14 tahun Mikail tinggal di dalam penjara. Pelbagai pengalaman diperoleh daripada selok-belok kehidupan sebagai banduan. Perubahan teragungnya bermula pada umur 18 tahun apabila dia membuat keputusan memeluk Islam. Baru-baru ini Mikail menambah pencapaian peribadi yang membanggakan. Program ijazah sarjana muda dalam bidang Pentadbiran Perniagaan berjaya ditamatkan Mikail sekali gus menjadikan dia antara banduan terawal yang meraih ijazah dari dalam penjara. "Semuanya bermula apabila saya dicabar seorang kawan di sini agar menyambung pelajaran. Dalam tempoh beberapa bulan, saya menyiapkan diri bagi menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). "Kemudian saya mengikuti kelas asas komputer dan pada tahun 2008 saya ambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). "Berkat usaha dan semangat, saya tersenarai dalam 10 banduan peringkat pertama yang terpilih mengikuti program ijazah sarjana muda bersama Open University Malaysia (OUM) secara percuma," tenang Mikail meluncur cerita ketika ditemui Kosmo! di Penjara Kajang baru-baru ini. MIKAIL (kiri) menceritakan kejayaannya meraih ijazah sarjana muda selepas bergelar banduan selama 14 tahun kepada penulis. Anak keempat daripada enam adik-beradik itu kini dalam perancangan untuk mengambil ijazah sarjana muda kedua dalam jurusan undang-undang kelolaan Universiti Malaya. Sebagai banduan kategori Tahanan Limpah Sultan (TLS), Mikail hanya boleh dibebaskan menerusi pengampunan Sultan Selangor. Pelajaran moral dan profesional yang digali sepanjang berada di penjara membuatkan Mikail bersedia untuk menyambung hidup di dunia luar. Berbekalkan ijazah yang ada, dia merancang untuk bekerja terlebih dulu bagi menimba pengalaman sebelum membuka restoran sendiri. Anuar, banduan yang telah menjalani hukuman penjara selama tiga tahun di bawah Akta 613 Seksyen 409 Kanun Keseksaan iaitu jenayah pecah amanah pula merupakan banduan yang sedang mengambil Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) OUM di Penjara Kajang. Berbeza dengan segelintir banduan lain, Anuar mempunyai latar belakang pendidikan yang baik. Setakat ini, hanya dua banduan termasuk Anuar yang sedang menjalani program ijazah sarjana daripada seluruh penjara di Malaysia. Lelaki berusia 40-an itu memberitahu, belajar di dalam penjara sama seperti di luar. Tutor masih hadir untuk sesi pembelajaran selama tiga jam bagi lima pertemuan. Penilaian gred juga dibuat berpandukan peperiksaan dan tugasan. Internet "Cuma tugasan yang memerlukan kajian agak terhad memandangkan jaringan internet di sini dihadkan untuk mengakses perpustakaan digital OUM sahaja. "Sebagai pelajar ijazah sarjana, saya banyak belajar sendiri dan membuat rujukan daripada buku-buku yang dibekalkan OUM," kongsi Anuar yang telah menamatkan tiga semester daripada keseluruhan lima semester. Memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB), Anuar sering dijadikan rujukan banduan lain yang mengambil jurusan undang-undang. Perkongsian pendapat dan pengetahuan dalam penjara disifatkan berlangsung dalam suasana profesional dan harmoni. Banduan-banduan juga dibenarkan membawa buku-buku rujukan mereka ke dalam sel. Semangat mereka untuk belajar juga dikagumi Pegawai Penjara KX17 (Bahagian Keselamatan), Penjara Kajang, Hasfizullah Hamzah yang memantau pergerakan banduan hampir lapan tahun. KESEMUA banduan tetap mengikuti tiga kaedah pembelajaran iaitu kendiri, bersemuka dan e-pembelajaran sama seperti pelajar di luar. Dedah Hasfizullah, ketika melakukan rondaan malam memeriksa sel-sel banduan, masih ada banduan yang mengulang kaji pelajaran sehingga pukul 4 pagi. Pegawai berumur 32 tahun itu memetik nama Mikail sebagai banduan yang rajin belajar sendiri hampir setiap malam. Dia juga menyifatkan banduan yang berusaha memperbaiki taraf pendidikan seperti ini mudah dikawal dan memiliki karakter yang sangat berbeza. Begitupun, tidak semua banduan berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat tinggi. Kekangan kewangan dan pemilihan ketat dengan mengambil kira latar belakang, jenis kesalahan dan ujian kelayakan antara garis panduan asas bagi seorang banduan menyambung pengajian di dalam penjara. Program kerjasama OUM bersama Jabatan Penjara Malaysia yang bermula pada tahun 2008 itu menetapkan syarat kemasukan fleksibel di peringkat diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Selain kemasukan biasa, kemasukan fleksibel tersebut membenarkan banduan tanpa kelayakan SPM, STPM atau sijil matrikulasi untuk menyambung pengajian di OUM. Syaratnya, mereka perlu mempunyai sekurang-kurangnya sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR), pengalaman bekerja dalam jurusan yang dipohon dan lulus ujian kemasukan yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia (AKM). Program Empat program yang ditawarkan iaitu Diploma Pengurusan, Ijazah Sarjana Muda Sains Politik, Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan Ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan dipilih bersandarkan kesesuaian suasana dalam penjara. Timbalan Pengurus Besar (Pembangunan Perniagaan) OUM, Prof. Madya Yon Rosli Daud menjelaskan, empat program berkenaan tidak memerlukan penggunaan komputer yang kerap dan bahan rujukannya boleh dicari menerusi perpustakaan digital. "Kami mengambil kira pengehadan akses internet di dalam penjara. Penggunaan modul bahasa Inggeris juga diselaraskan tetapi soalan peperiksaan disediakan dalam dwibahasa. Jadi mereka bebas menjawab sama ada dalam bahasa Inggeris atau bahasa Melayu. "Selama program ini dijalankan lebih lima tahun, tidak ada seorang pun banduan yang gagal. Malah sebanyak 17 peratus banduan mencatatkan keputusan cemerlang dengan purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.7 ke atas," ujar pensyarah jurusan perbankan dan pemasaran di OUM itu. Penerimaan banduan terhadap pembelajaran secara amnya pula memuaskan, selepas membuat perbandingan antara suasana dengan beberapa kekangan yang dialami golongan banduan. Tutor yang terlibat juga diingatkan agar tidak melibatkan diri dalam masalah peribadi banduan. Perkongsian masalah antara tutor dan banduan perlu bersifat profesional dan melingkungi perihal pelajaran sahaja. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |