{WARGA FELDA}

WARGA FELDA Blog | Created By Www.BestTheme.Net

Senarai Blog Saya

Kosmo Online - Rencana Utama

Posted by Tanpa Nama

Kosmo Online - Rencana Utama


Dilema pendatang Afrika

Posted:

Dilema pendatang Afrika

Dilema pendatang Afrika

DI sebuah kawasan bangunan satu tingkat jauh terletak di kawasan padang pasir selatan Israel, kira-kira 400 orang pendatang Afrika hidup dalam keadaan tanda tanya. Berapa lamakah mereka harus berada dalam tahanan ini?

Kawasan yang dikenali sebagai pusat tahanan 'terbuka' oleh pihak berkuasa Israel itu membenarkan mereka untuk keluar selama beberapa jam setiap hari. Namun, ia adalah sesuatu yang mustahil disebabkan lokasinya yang terpencil dan berhampiran sempadan Mesir.

Israel telah membuka Kompleks Holot pada Disember lalu selepas Mahkamah Agung negara tersebut menghentikan amalan memenjarakan pendatang haram sehingga tiga tahun di penjara biasa.

Bagaimanapun, pendatang-pendatang haram ini menyifatkan langkah mewujudkan kompleks itu sebagai satu tindakan kejam, malah kumpulan hak asasi mengatakan ia melanggar hak-hak kemanusiaan.

Di samping itu, satu rang undang-undang turut diluluskan pada bulan yang sama bagi membolehkan pendatang asing tersebut ditahan bagi suatu tempoh tidak diketahui sementara menunggu resolusi permintaan mereka untuk tinggal di Israel.

"Saya pergi untuk memperbaharui visa saya tetapi tiba-tiba ditahan di sini. Perkara ini adalah dahsyat," kata pendatang Eritrea, Hagos Fdwi, 30, yang bekerja di sebuah restoran di Tel Aviv.

Pelarian

Dipercayai lebih 50,000 warga Afrika terutamanya dari Sudan dan Eritrea telah menyeberang ke Israel secara haram dengan melalui jalan-jalan tikus di sempadan Mesir sepanjang lapan tahun lalu. Namun, laluan itu kini telah dipagar.

Kebanyakan pendatang haram ini cuba mendapatkan perlindungan ekoran peperangan di negara asal mereka, namun pihak Israel menolak dakwaan tersebut. Sebaliknya menuduh mereka sebagai pekerja haram meskipun segelintir kumpulan pelarian itu telah diberikan visa terhad.


KOMPLEKS Holot dibuka Disember lalu selepas Mahkamah Agung Israel menghentikan amalan memenjarakan pendatang haram sehingga tiga tahun di penjara biasa.


Pihak berkuasa juga mendakwa berlakunya ketegangan sosial di kawasan-kawasan miskin di Tel Aviv yang menjadi penempatan pendatang Afrika ini.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menyatakan bahawa kemasukan pendatang asing ke negara tersebut mengancam cara hidup kaum Yahudi Israel dan mahu kumpulan ini dihalau keluar.

Bagaimanapun, daripada melaksanakan pengusiran secara terang-terangan, Israel cuba memujuk pendatang asing ini untuk pulang ke negara asal secara sukarela termasuk menawarkan insentif wang tunai selain meyakinkan negara-negara dunia ketiga agar menerima mereka.

Setakat ini, tidak ramai pendatang asing yang memilih tawaran insentif tersebut meskipun kenyataan rasmi Israel mengesahkan sejumlah 2,000 pendatang telah keluar pada tahun 2013, meningkat daripada apa yang dilaporkan iaitu kira-kira 400 orang pada tahun 2012.

Pada masa sama, tiada kawasan-kawasan perlindungan yang diwujudkan di negara-negara ketiga.

Kawalan

Sementara itu, Penasihat Undang-undang Kementerian Dalam Negeri Israel, Daniel Solomon berkata, Kompleks Holot ditubuhkan untuk memastikan pendatang haram ini tidak berkeliaran di jalanan dan berada dalam pasaran kerja.

"Menurut undang-undang, pendatang haram boleh ditahan di pusat tahanan terbuka dalam tempoh tertentu. Namun idea sebenarnya ialah menjadikan Holot sebagai pusat transit untuk pendatang asing ini sebelum mereka kembali ke negara asal atau negara ketiga," katanya kepada pemberita pada Januari lalu.


PARA tahanan melakukan bantahan terhadap penjara tanpa had di Holot kerana tidak mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa.


Dalam pada itu, para wartawan tidak dibenarkan masuk ke kawasan kompleks tersebut. Namun pemberita Reuters berjaya menemubual kira-kira 12 orang tahanan yang berkeliaran di luar pintu masuknya.

Segelintir pendatang asing itu memberitahu bahawa mereka telah menaiki bas dari Tel Aviv dan kawasan sekitar untuk tiba ke pusat terbabit dengan hanya sehelai sepinggang.

Ramai tahanan tidak mengambil kesempatan yang diberikan untuk meninggalkan pusat tahanan tersebut. Ini kerana, pekan yang berhampiran iaitu Beersheba mengambil masa perjalanan selama sejam dan mereka perlu mendaftar masuk pada setiap jam. Kegagalan mendaftar masuk akan menyebabkan pendatang asing itu dipindahkan ke penjara konvensional.

Sungguhpun ditahan, tidak banyak rungutan yang diutarakan oleh mereka memandangkan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak Israel termasuk televisyen, penyediaan sajian sebanyak tiga kali sehari dan ruang tidur luas yang mampu memuatkan 10 orang lelaki. Tiada tahanan wanita atau kanak-kanak yang ditempatkan di situ.

Sesak

Holot mempunyai kapasiti untuk menahan lebih 3,000 penghuni dan kumpulan hak asasi manusia memaklumkan bahawa sekurang-kurangnya 2,000 lagi pendatang haram ini menerima perintah untuk melaporkan diri ke pusat tahanan berkenaan pada bulan hadapan.

Kumpulan hak asasi tersebut membantah tindakan itu dan menegaskan ramai di antara pendatang yang terlibat layak menerima suaka politik ekoran kekacauan dan penindasan di negara asal mereka. Ekoran itu, kumpulan tersebut telah mengemukakan petisyen kepada Mahkamah Agung Israel bagi menentang undang-undang yang termaktub sebelum ini.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Wakil Pelarian di Israel, , Walpurga Englberct berkata, penjara tanpa had di Holot adalah tidak mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa.


WARGA Afrika terutamanya dari Sudan dan Eritrea menyeberang ke Israel secara haram dengan melalui jalan-jalan tikus di sempadan Mesir.


Tegas beliau, penjara tanpa had di Holot tidak mematuhi norma hak asasi manusia antarabangsa.

"Apa yang lebih membimbangkan ialah ketiadaan sebab pelepasan dari Holot dan satu-satunya cara keluar adalah menandatangani untuk persetujuan pulang ke negara asal secara sukarela," katanya.

Kemarahan terhadap pusat tersebut telah mencetuskan beberapa siri bantahan daripada tahanan sejak beberapa bulan lalu, termasuk tunjuk perasaan di Parlimen Israel.

Apabila krew televisyen Reuters membuat rakaman di luar Holot baru-baru ini, kelihatan beberapa tahanan menunjukkan isyarat meminta bantuan perlindungan atau suaka. Malah, terdapat tiga tahanan yang keluar berjalan melintasi rakaman tersebut dengan gaya menyilang pergelangan tangan ke atas kepala seolah-olah mereka digari.

Ada tahanan yang bercakap kepada Reuters memaklumkan bahawa mereka bosan dan kecewa kerana berasa tiada cara untuk keluar segera dari kesusahan yang dihadapi itu. Dua daripada tahanan itu memberitahu, mereka telah dipisahkan daripada keluarga meskipun Israel ada menyatakan untuk mengelak penahanan lelaki yang berkeluarga.

Sementara itu seorang tahanan lain, Solomon Hagos, 25, berkata, dia sudah berada dalam tahanan di Israel sejak memasuki negara itu secara haram kira-kira 18 bulan lalu.

Katanya, dia melarikan diri daripada penjara tentera Eritrea pada tahun 2012 dan telah diliwat selama beberapa hari oleh tiga lelaki yang mengurungnya di padang pasir Sinai, Mesir sebelum menyeberang ke Israel.

"Kehidupan saya tiada apa-apa, tapi penjara," kata Hagos yang memberitahu petisyen suakanya telah ditolak pada bulan lalu.

Namun rakannya, Robel Yohanns , 23, dari Eritrea pula lebih bersifat optimistik berbanding kebanyakan tahanan.

"Saya hanya akan duduk dengan sabar dan menunggu mereka untuk menukar undang-undang sekali lagi," ujarnya.

Leave a Reply

Raja Alias

Segamat

Kuantan

G. Musang

Trolak

J. Bahru

Terengganu

Mempaga

A. Setar

Jengka

Sahabat